SOALAN
Salam Datuk. Saya ingin bertanya berkenaan lafaz akad nikah. Dalam kad pengenalan abah saya menyatakan namanya ABULLAH. Kemudiannya saya baru perasan dalam surat beranak nama ayah saya adalah ABDULLAH. Persoalan saya semasa lafaz akad nikah, yang mana saya perlu ikut sama ada nama di kad pengenalan atau surat beranak dan adakah akad tersebut terbatal jika saya atau jurunikah tersalah menyebut nama abah?
RINGKASAN JAWAPAN
Sebuah perkahwinan dianggap sah apabila memenuhi syarat dan rukun-rukunnya. Kesalahan ketika menyebut nama pengantin perempuan atau nama bapa pengantin perempuan tidak menjejaskan akad perkahwinan tersebut. Bahkan ia dianggap sah di sisi syarak. Hal ini kerana menyebut nama pengantin bukan termasuk syarat-syarat sah perkahwinan. Antara syarat sah perkahwinan bagi pengantin perempuan adalah ta’yin iaitu penentuan seorang wanita sebagai isteri.
HURAIAN JAWAPAN
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkah Baginda hingga Hari Kesudahan.
Setiap individu muslim yang ingin melaksanakan akad perkahwinan wajib memenuhi syarat dan rukun-rukunnya. Syarak menetapkan lima rukun yang wajib dipenuhi ketika akad nikah iaitu pengantin lelaki, pengantin perempuan, lafaz (ijab dan qabul), wali dan dua orang saksi.
(Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 4/226)[1]
Antara syarat sah perkahwinan bagi pengantin wanita adalah ta’yin iaitu penentuan pengantin perempuan di dalam akad. Suami wajib menentukan pengantin wanita ketika akad. Sama ada ditentukan melalui nama, atau isyarat, atau melalui sifat-sifat yang membezakan sekira terdapat persamaan atau tidak. Dr Muhammad al-Zuhaili menukilkan perkara ini di dalam karyanya:
يشترط في الزوجة أن تكون معينة في العقد، وإلا بطل العقد، فوجب تعيينها في العقد، لأن المقصود في النكاح أعيان الزوجين إما بالاسم أو الإشارة أو الصفة المميزة
Maksudnya: “Syarat pengantin perempuan adalah ditentukan dalam akad, jika tidak (ditentukan) maka batal akad tersebut. Ini kerana maksud perkahwinan adalah ditentukan pasangan suami isteri sama ada dengan nama, isyarat atau dengan sifat-sifat yang dapat membezakan.”
(Rujuk: al-Muktamad, 4/58)
Di sisi mazhab Syafi’i, sekiranya bapa melafazkan ijab dalam sesuatu pernikahan dengan tanpa menyebut nama atau tersalah sebut nama anaknya, maka pernikahan tersebut tetap dianggap sah.
(Rujuk: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 19/163)[2]
Tambahan pula, menyebut nama bukan syarat sah dalam akad perkahwinan sebagaimana contoh yang dinukilkan oleh imam al-Nawawi di dalam kitabnya:
لَو قَالَ الْوَلِيّ تَزَوَّجتهَا فَقَالَ تزوجت صح
Maksudnya: “Berkata wali: kahwini dia, maka kata suami: aku mengahwininya, sah.”
(Rujuk: Minhaj al-Tolibin, hlm 207)
Oleh hal yang demikian, menurut pandangan dan kenyataan di atas dapat difahami bahawa akad perkahwinan yang dilaksanakan dalam keadaan tersalah menyebut nama wali atau nama pengantin perempuan tidak menyebabkan batal perkahwinan tersebut. Ini kerana syarat bagi pengantin wanita adalah ditentukan sama ada melalui sifat, isyarat atau namanya jika terdapat persamaan atau tidak mampu untuk membezakan.
KESIMPULAN
Kesimpulannya, kesalahan menyebut nama pengantin perempuan atau nama walinya tidak membatalkan perkahwinan. Bahkan perkahwinan tersebut dianggap sah di sisi syarak jika memenuhi syarat dan rukun-rukunnya..والله أعلم
[1] وَأَرْكَانُهُ خَمْسَةٌ: صِيغَةٌ، وَزَوْجَةٌ، وَشَاهِدَانِ، وَزَوْجٌ، وَوَلِيٌّ، وَهُمَا الْعَاقِدَانِ
[2] وَقَال شَمْسُ الدِّينِ الرَّمْلِيُّ مِنَ الشَّافِعِيَّةِ: لَوْ قَال أَبُو بَنَاتٍ: زَوَّجْتُكَ إِحْدَاهُنَّ أَوْ بِنْتِي أَوْ فَاطِمَةَ وَنَوَيَا مُعَيَّنَةً وَلَوْ غَيْرَ الْمُسَمَّاةِ فَإِنَّهُ يَصِحُّ، قَال الشَّبْرَامَلِّسِيُّ: لَوْ زَوَّجَهَا الْوَلِيُّ ثُمَّ مَاتَ ثُمَّ اخْتَلَفَتُ الزَّوْجَةُ مَعَ الزَّوْجِ فَقَالَتْ: لَسْتُ الْمُسَمَّاةَ فِي الْعَقْدِ، وَقَال الشُّهُودُ: بَل أَنْتِ الْمَقْصُودَةُ بِالتَّسْمِيَةِ، وَإِنَّمَا الْوَلِيُّ سَمَّى غَيْرَكَ فِي الْعَقْدِ غَلَطًا وَوَافَقَهُمَا الزَّوْجُ عَلَى ذَلِكَ، فَهَل الْعِبْرَةُ بِقَوْلِهَا لأَنَّ الأَصْل عَدَمُ النِّكَاحِ، أَوِ الْعِبْرَةُ بِقَوْل الشُّهُودِ؟ فِيهِ نَظَرٌ وَالأَقْرَبُ الأَوَّل، لأَنَّ الأَصْل عَدَمُ الْغَلَطِ