Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-737 : HUKUM MENGANGGUK DAN MENGGELENG KETIKA MEMBACA AL-QURAN DALAM SOLAT

 

Irsyad fatwa 737

SOALAN

Assalamualaikum. Apakah hukum apabila seseorang imam membaca secara jahar(kuat) dengan kepala tergeleng-geleng dan terangguk-angguk ketika sedang solat? Persoalan saya, adakah sah solat tersebut dan bolehkah saya menjadi makmum kepadanya? Ini kerana saya melihat ada yang melakukan dengan ketara melebihi tiga kali pergerakan berturut-turut.

Mohon pencerahan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Hukum seseorang mengangguk dan menggeleng ketika membaca al-Quran dalam solat adalah makruh. Namun, jika ia melibatkan pergerakan tiga kali berturut-turut, maka solatnya tersebut batal.

Apabila seseorang makmum mendapati imam melakukan perkara yang membatalkan solat, maka hendaklah dia keluar daripada berjemaah(mufaraqah) dan tidak boleh untuk berimam dengannya.

WaAllahu a’lam. 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Secara asasnya, kita dituntut untuk mendirikan solat dalam keadaan khusyuk berdasarkan firman Allah SWT:

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ (1) الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ (2)

Maksudnya: Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.

(Surah al-Mu’minun: 1-2)

Imam Zakaria al-Ansari menerangkan makna khusyuk dalam solat ialah menghadirkan hati, tenang dengan tidak bergerak-gerak serta mentadabbur makna ayat-ayat yang dibaca ketika solat.[1]

Hal ini juga sepertimana disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Jabir Ibn Samurah, bahawa beliau berkata:

خَرَجَ عَلَيْنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ : مَا لِي أَرَاكُمْ رَافِعِي أَيْدِيكُمْ كَأَنَّهَا أَذْنَابُ خَيْلٍ شُمْسٍ؟ اسْكُنُوا فِي الصَّلَاةِ.

Maksudnya: Rasulullah SAW datang menemui kami dan bersabda, “Apakah yang aku lihat kalian lakukan dengan mengangkat tangan-tangan kalian (ketika solat) seperti ekor-ekor kuda liar? Dirikanlah solat kalian dalam keadaan tenang (tidak banyak pergerakan).[2]  

Sebahagian ulama salaf juga menyebutkan bahawa maksud khusyuk dalam solat adalah mendirikannya dalam keadaan tenang dan tidak bergerak-gerak. Imam al-Nawawi menyatakan bahawa:

وَعَنْ جَمَاعَةٍ مِنْ السَّلَفِ الْخُشُوعُ السُّكُونُ فِيهَا

Maksudnya: Sebahagian daripada ulama salaf menjelaskan maksud khusyuk ialah tenang ketika melaksanakannya.[3] (Rujuk al-Majmuk, 3:519)

Di samping itu, terdapat perbuatan bergerak-gerak ketika membaca al-Quran, berzikir dan seumpamanya itu. Ia disebut sebagai al-tamayul (التَّمَايُلُ). Kebiasaannya ia dilakukan menunjukkan kekhusyukan seseorang ketika melakukan sesuatu ibadah tersebut.

Walau bagaimanapun, perbuatan seumpama ini dilarang ketika seseorang sedang solat kerana ia tidak menggambarkan kekhusyukan seseorang, bahkan kekhusyukan itu adalah di dalam hati. Hal ini sepertimana Saidina Umar RA pernah menegur seseorang yang melakukan sedemikian bahawa:

فيروى أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ رَأَى رَجُلًا يُطَأْطِئُ رَقَبَتَهُ فَقَالَ يَا صَاحِبَ الرَّقَبَةِ ارْفَعْ رَقَبَتَكَ لَيْسَ الْخُشُوعُ فِي الرِّقَابِ إِنَّمَا الْخُشُوعُ فِي الْقُلُوبِ.

Maksudnya: Diriwayatkan bahawa Saidina Umar al-Khattab RA melihat seorang lelaki yang menunduk-nundukkan kepalanya. Lalu beliau RA berkata: “Wahai orang menundukkan tengkuk, tegakkanlah tengkuk kamu. Sesungguhnya khusyuk itu bukanlah di tengkuk, tetapi khusyuk itu di dalam hati.”[4] (Rujuk Ihya Ulumuddin, 3:296)

Selain itu, hukum melakukan perbuatan sedemikian dalam solat adalah makruh jika pergerakan tersebut tidak melibatkan tiga kali pergerakan secara berturut-turut, namun jika melebihi tiga kali maka solatnya tersebut batal. Hal ini sepertimana disebutkan Syeikh Sayyid Abd al-Rahman Ba’alawi bahawa:

الاهتزاز في الصلاة وهو التمايل يمنة ويسرة مكروه ما لم يكثر وإلا أبطل

Maksudnya: Hukum al-Ihtizaz dalam solat iaitu perbuatan bergerak-gerak ke kiri dan ke kanan adalah makruh jika tidak melibatkan pergerakan yang banyak. Jika tidak maka solat tersebut batal.[5] (Rujuk Bughyat al-Mustarsyidin, 1:111)

Manakala bagi makmum yang melihat imam melakukan perbuatan yang membatalkan solat tersebut, maka wajib baginya untuk keluar daripada berjemaah(mufaraqah) dengan imam tersebut. Ini kerana orang yang terbatal solatnya tidak dikira solatnya, maka tidak boleh untuk berimamkannya.

Hal ini seperti disebutkan Imam Ibn Hajar al-Haitami bahawa:

شروط صحة القدوة أن لا يعلم المقتدي بطلان صلاة إمامه بحدث أو غيره كنجاسة؛ لأنه حينئذ ليس في صلاة فكيف يقتدي به.

Maksudnya: Antara syarat sah qudwah (berjemaah bersama imam) ialah makmum hendaklah tidak mengetahui solat imamnya itu batal disebabkan oleh hadas atau selainnya seperti terdapat najis pada imam itu. Ini kerana imam yang terbatalnya itu tidak dikira sedang mendirikan solat, maka tidak mengikutinya sebagai imam. (Rujuk al-Minhaj al-Qawim, 1:150)

Kesimpulan

Kesimpulannya, hukum mengangguk dan menggeleng ketika membaca al-Quran dalam solat adalah makruh. Namun sekiranya pergerakan itu melibatkan tiga pergerakan berturut-turut maka solat tersebut batal.

Manakala bagi makmum yang melihat imam melakukan perbuatan yang membatalkan solat sedemikian, maka makmum wajib keluar daripada berjemaah(mufaraqah) dan tidak boleh untuk berimamkannya.

WaAllahu a’lam.

 RUJUKAN

[1] "وَخُشُوعٌ" وَهُوَ حُضُورُ الْقَلْبِ وسكون الجوارح لآية: {قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ، الَّذِينَ هُمْ فِي صَلاتِهِمْ خَاشِعُونَ} 1 وتدبر.

Al-Ansari, Zakaria, 1994, Fath al-Wahhab bi Syarh Manhaj al-Tullab, Dar al-Fikr, Beirut, jld. 1, hlmn. 55.

[2] Muslim Ibn al-Hajjaj, t.t, al-Musnad al-Sahih al-Mukhtasar bi Naql al-Adl ‘an al-Adl ila Rasulillah SAW, Beirut: Dar al-Ihya al-Turath al-‘Arabiy, jld. 1, hlmn. 322.

[3] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, t.t, al-Majmuk Syarh al-Muhazzab, Dar al-Fikr, Beirut, jld. 3, hlmn. 519.

[4] Al-Ghazali, Abu Hamid, t.t, Ihya Ulum al-Din, Dar al-Makrifah, Beirut, jld. 3, hlmn. 296.

[5] Ba’lawiy, Abd al-Rahman Ibn Muhammad, t.t, Bughyat al-Mustarsyidin, Dar al-Fikr, Beirut, jld. 1, hlmn. 111.