Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-742 : HUKUM SOLAT BERASINGAN DARIPADA SAF SOLAT KERANA MENJAGA BARANG

 

IF 742

SOALAN

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya, apakah hukum seseorang musafir solat di bahagian belakang masjid, berasingan dengan saf solat berjemaah atas alasan menjaga beg dan barangan berharga peribadinya? Adakah solat tersebut sah?

Mohon pencerahan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Kesimpulannya, seseorang diharuskan untuk meninggalkan solat berjemaah jika khuatir kehilangan hartanya apabila dia berbuat demikian. Jika dia ingin menunaikan solat berjemaah dengan solat secara berasingan daripada saf solat, maka dia boleh melakuan sedemikian. Solatnya tersebut sah dan hukumnya tidak makruh serta tidak meluputkan pahala berjemaah.

Namun begitu, dinasihatkan supaya dia terlebih dahulu berusaha untuk mencari cara memastikan bahawa beg dan barangan berharga peribadinya tersebut selamat. Namun, jika memang tiada cara lain kecuali dengan solat secara berasingan daripada saf jemaah, maka hukum adalah seperti mana yang telah kami jelaskan.

WaAllahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Pertama, antara sebab yang dibenarkan seseorang meninggalkan solat berjemaah adalah kerana takut kehilangan barang berharga miliknya. Imam Abu Ishaq al-Syirazi menerangkan bahawa:

ومنها أن يخاف ضرراً في نفسه أو ماله أو مرضاً يشق معه القصد والدليل عليه ما روى ابن عباس رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم قال "من سمع النداء فلم يجبه فلا صلاة له إلا من عذر" قالوا يا رسول الله وما العذر؟ قال: "خوف أو مرض"

Maksudnya: Antara sebab yang mengharuskan seseorang meninggalkan solat berjemaah ialah jika perbuatan itu akan mendatangkan mudarat pada diri dan hartanya atau sakit yang menimbulkan kesulitan baginya. Dalilnya berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA bahawa Nabi SAW bersabda, "Sesiapa yang mendengar azan dan tidak mennyahut seruan itu maka tidak sempurna solat baginya kecuali jika ada keuzuran." Para sahabat bertanya, "Apakah keuzuran itu, wahai Rasulullah SAW?" Sabda Rasulullah SAW: "Takut dan sakit."  .[1] (Rujuk al-Muhazzab, 1:178)

Justeru jika seseorang khuatir akan kehilangan hartanya dengan dia melaksanakan solat berjemaah, maka diharuskan baginya untuk meninggalkan solat berjemaah dan solat secara bersendirian.

Kedua, Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa hukum solat secara bersendirian atau berpisah daripada saf jemaah adalah makruh jika ia dibuat tanpa keuzuran yang dibenarkan syarak. Seseorang itu perlu masuk ke dalam saf sekiranya masih ada ruang untuk melakukan demikian. Jika tiada ruang, dia hendaklah menarik salah seorang daripada makmum untuk membuat saf baru bersamanya. Hal ini sepertimana yang disebutkan beliau bahawa:

ويكره وقوف المأموم فردا بل يدخل الصف إن وجد سعة وإلا فليجر شخصا بعد الإحرام وليساعده المجرور.

Maksudnya: Hukum seorang makmum berdiri secara bersendirian (dalam solat berjemaah) adalah makruh, bahkan dia perlu masuk ke dalam saf jika mendapati ada ruang. Jika dia tidak mendapati ruang untuk masuk ke dalam saf, maka dia perlu menarik seorang makmum yang lain selepas takbiratul ihram supaya dia dapat membantunya (membuat saf baru).[2] (Rujuk Minhaj al-Talibin, 1:40)

Walau bagaimanapun, jika seseorang melakukan perbuatan tersebut disebabkan keuzuran yang dibenarkan syarak seperti takut kehilangan hartanya, maka hukumnya adalah tidak makruh dan tidak meluputkan pahala berjemaah. Dalam hal ini, Ibn Hajar al-Haitami menjelaskan apabila sesuatu perbuatan makruh dilakukan disebabkan oleh keuzuran yang dibenarkan syarak, maka hilang hukum makru tersebut dan tidak dikira sebagai satu kekurangan. Kata beliau:

إنْ كَانَ تَأَخُّرُهُمْ لِعُذْرٍ كَوَقْتِ الْحَرِّ بِالْمَسْجِدِ الْحَرَامِ فَلَا كَرَاهَةَ وَلَا تَقْصِيرَ كَمَا هُوَ ظَاهِرٌ

Maksudnya: Sekiranya perbuatan mereka yang tidak menyempurnakan saf disebabkan oleh keuzuran seperti waktu cuaca yang panas di Masjidil Haram, maka tidak makruh dan tidak dikira sebagai kekurangan sepertimana ia jelas.[3] (Rujuk Tuhfat al-Muhtaj, 2:311)

Namun begitu, kami menasihatkan sebaiknya seseorang itu berusaha terlebih dahulu untuk mencari cara memastikan begnya selamat dan tidak menjadikannya sebagai alasan untuk tidak masuk bersama dalam saf jemaah. Apabila tiada cara lain, maka hukumnya adalah seperti yang kami jelaskan di atas.

WaAllahu a’lam.

 RUJUKAN

[1] Al-Shirazi, Abu Ishaq, t.t, al-Muhazzab fi Fiqh Imam al-Syafie, Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, jld. 1, hlmn. 178.

[2] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, 2005, Minhaj al-Talibin, Dar al-Fikr, Beirut, jld. 1, hlmn. 40.

[3] Al-Haitami, Ibn Hajar, 1983, Tuhfat al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, Maktabah al-Tijariah al-Kubra, Kaherah, jld. 2, hlm. 311.