Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-747 : BAGAIMANAKAH MENGURUS LEBIHAN WANG KHAIRAT DAN SUMBANGAN KEMATIAN

BAGAIMANAKAH MENGURUS LEBIHAN WANG KHAIRAT DAN SUMBANGAN KEMATIAN

 

Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya berkenaan duit khairat. Adakah duit khairat dikira duit untuk semua ahli waris si mati atau hanya kepunyaan si suami sahaja, ini kerana arwah mak meninggal ada duit khairat yang diberikan oleh agensi tertentu. Mohon penjelasan tuan. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Wang khairat kematian atau sumbangan kematian diberi adalah untuk urusan kematian dan meringankan beban ahli keluarga si mati. Oleh itu, lebihan wang sumbangan setelah selesai urusan pengebumian boleh digunakan oleh ahli keluarga si mati dan tidak dikhususkan oleh mana-mana individu bagi meringankan urusan mereka mengikut keperluan yang utama, seperti makan dan minum atau apa sahaja keperluan yang dikehendaki mereka.

Sekiranya si mati masih memiliki hutang, pada masa yang sama si mati tidak mewarisi harta maka ahli keluarga boleh digunakan wang tersebut bagi melangsaikan hutangnya bahkan ini bertepatan dengan tujuan pemberi yang ingin meringankan beban ahli keluarga si mati.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Islam menuntut umatnya dalam perkara kebaikan dan kebajikan bagi meringankan beban saudaranya yang lain ketika ditimpa musibah. Sebagai contoh, Nabi SAW telah meminta para sahabatnya untuk menyediakan makanan kepada ahli keluarga Ja’far atas kematiannya. Hal ini sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Jaafar, Nabi SAW sabdanya:

اصْنَعُوا لآلِ جَعْفَرٍ طَعَامًا فَإِنَّهُ قَدْ أَتَاهُمْ أَمْرٌ شَغَلَهُمْ

Maksudnya: Sediakan makanan untuk ahli keluarga Ja’far. Sesungguhnya mereka telah ditimpa sesuatu (musibah kematian) yang menyibuk (meresahkan) diri mereka.

Riwayat Abu Daud (3132)

Sehubungan dengan itu, masyarakat Malaysia terkenal dengan sifat pemurah dalam membantu terutamanya jika melibatkan musibah kematian. Budaya ini dapat dilihat menerusi amalan memberi sumbangan kepada ahli keluarga si mati. Demikian juga institusi-institusi seperti masjid, badan kerajaan atau NGO yang menyediakan tabung khairat kematian bagi tujuan menjaga kebajikan ahli untuk meringankan pengurusan berkaitan kematian.

Dalam hal ini, istilah khairat menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka didefinisikan sebagai kebajikan, derma dan sedekah seperti mengumpulkan wang atau yuran untuk kebajikan ahli-ahlinya yang meninggal dunia.[1] Oleh itu, khairat kematian atau sumbangan kepada keluarga si mati boleh dikategorikan sebagai sedekah atau tabarruk kepada keluarga si mati dan tidak termasuk dalam kategori harta pusaka.[2]

Dalam isu sedekah atau tabarruk, penerima sedekah hendaklah menggunakan wang yang diberi dengan meraikan tujuan atau niat pemberi. Sekiranya pemberi tidak menyatakan tujuan atau niat, maka penerima boleh menggunakan wang tersebut mengikut kehendaknya.[3] Syeikh Jamal dalam hasyiahnya menyebut:

وَلَوْ دَفَعَ لَهُ تَمْرًا لِيُفْطِرَ عَلَيْهِ تَعَيَّنَ لَهُ عَلَى مَا يَظْهَرُ فَلَا يَجُوزُ اسْتِعْمَالُهُ فِي غَيْرِهِ نَظَرًا لِغَرَضِ الدَّافِعِ

Maksudnya: Sekiranya si pemberi memberikan kepadanya buah tamar untuk berbuka puasa dan pemberi menjelaskan tujuan pemberiannya, maka si penerima tidak harus menggunakannya pada tujuan yang lain. Perkara ini kerana melihat kepada tujuan pemberi.[4]

Hal ini dapat difahami bahawa wang khairat kematian atau sumbangan kematian diberi adalah untuk urusan kematian dan meringankan beban ahli keluarga si mati. Oleh itu, lebihan wang sumbangan setelah selesai urusan pengebumian boleh digunakan oleh ahli keluarga si mati dan tidak dikhususkan oleh mana-mana individu bagi meringankan urusan mereka mengikut keperluan yang utama seperti makan dan minum atau apa sahaja keperluan yang dikehendaki mereka.

Sekiranya si mati masih memiliki hutang, pada masa yang sama si mati tidak mewarisi harta maka ahli keluarganya boleh menggunakan wang tersebut bagi melangsaikan hutangnya bahkan ini bertepatan dengan tujuan pemberi yang ingin meringankan beban ahli keluarga si mati.

 

Wallahu‘alam

Rujukan: 

[1] Rujuk: https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=khairat, diakses pada, 22/12/2022

[2] Rujuk: https://www.maiwp.gov.my/i/index.php/en/2015-11-20-07-49-26/faraid-pusaka, diakses pada, 22/12/2022

[3] Zakaria bin Muhammad al-Ansari, Asna Matalib fi Syarh Raudah al-Talib. (Dar al-Kitab al-Islamiy) Jld.2 Hlm.479-480

(وَلَوْ أَعْطَاهُ دَرَاهِمَ وَقَالَ اشْتَرِ لَك) بِهَا (عِمَامَةً أَوْ اُدْخُلْ بِهَا الْحَمَّامَ) أَوْ نَحْوَ ذَلِكَ (تَعَيَّنَتْ) لِذَلِكَ مُرَاعَاةً لِغَرَضِ الدَّافِعِ هَذَا (إنْ قَصَدَ سَتْرَ رَأْسِهِ) بِالْعِمَامَةِ (وَتَنْظِيفَهُ) بِدُخُولِهِ الْحَمَّامَ لِمَا رَأَى بِهِ مِنْ كَشْفِ الرَّأْسِ وَشَعَثِ الْبَدَنِ وَوَسَخِهِ (وَإِلَّا) أَيْ وَإِنْ لَمْ يَقْصِدْ ذَلِكَ بِأَنْ قَالَهُ عَلَى سَبِيلِ التَّبَسُّطِ الْمُعْتَادِ (فَلَا) تَتَعَيَّنُ لِذَلِكَ بَلْ يَمْلِكُهَا أَوْ يَتَصَرَّفُ فِيهَا كَيْفَ شَاءَ.

[4] Sulaiman bin Umar al-‘Ujaili al-Azhari, Hasyiah Jamal ala Syarh al-Minhaj. (Dar Al-Fikr) Jld. 2 Hlm. 328