Soalan:
Seorang isteri kematian suami dan pasangan tersebut mempunyai anak:
- Selepas kematian suami, siapakah yang bertanggungjawab menanggung nafkah isteri dan anak tersebut?
- Nafkah apa yang perlu ditanggung oleh pihak penanggung?
- Berapa lamakah pihak penanggung tersebut perlu menanggung nafkah isteri dan anak tersebut?
Seorang isteri kematian suami dan pasangan tersebut tidak mempunyai anak:
- Selepas kematian suami, siapakah yang bertanggungjawab menanggung nafkah isteri?
- Nafkah apa yang perlu ditanggung oleh pihak penanggung?
- Berapa lamakah pihak penanggung tersebut perlu menanggung nafkah isteri tersebut?
Ringkasan Jawapan
Kewajipan suami memberi nafkah kepada isterinya gugur setelah kematian suami. Hal ini kerana, isteri merupakan salah seorang waris yang berhak mendapat bahagian daripada harta peninggalan suaminya. Dengan demikian, harta peninggalan tersebutlah yang digunakan sebagai nafkah terhadap dirinya.
Seorang bapa tidak bertanggungjawab untuk memberi nafkah kepada anak perempuannya yang kematian suami jika anaknya itu mampu. Namun jika anaknya itu fakir dan tidak mampu bekerja atas beberapa faktor tertentu seperti gila, sakit dan sebagainya, maka bapa wajib memberi nafkah kepadanya, sekiranya bapa sudah tiada, maka tanggungjawab jatuh kepada datuknya untuk memberi nafkah.
Manakala nafkah anak kecil yang kematian bapa dan belum mampu bekerja, maka tanggungjawab tersebut terletak kepada datuk dari keturunan bapanya. Jika datuk sudah tiada, maka ibu kepada anak kecil tersebut dipertanggungjawabkan untuk memberi nafkah kepadanya sehingga anak tersebut baligh dan mampu bekerja.
Dari sudut kadar nafkah yang perlu diberi, hukum syarak tidak menetapkannya. Penentuan kadar nafkah itu hanya berdasarkan konsep mencukupi berdasarkan pandangan umum dan kemampuan pemberi nafkah.
Namun, jika datuk sebelah bapa anak kecil tersebut tidak mampu serta ibunya juga seorang yang fakir kerana kematian suami dan tidak mampu menanggung anaknya, maka menjadi tanggungjawab Pusat Zakat atau Baitulmal untuk untuk menanggung keperluan si anak itu. Oleh itu, isteri tersebut berhak mendapat zakat dan boleh memohon bantuan Pusat Zakat atau Baitulmal kerana statusnya sebagai asnaf zakat dalam kategori fakir dan miskin. Di samping itu, saudara-mara yang lain juga digalakkan untuk menghulurkan bantuan kepada saudaranya yang berada dalam kesusahan bahkan sunat membantunya atas tuntutan sedekah dan demi mengeratkan lagi silaturahim.
Huraian Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat serta salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW dan seluruhnya.
Nafkah merupakan perbelanjaan bagi keperluan asas manusia seperti makan, minum, pakaian dan tempat tinggal. Secara asasnya, nafkah boleh dibahagi kepada lima, iaitu [1] Nafkah atas dirinya sendiri [2] Nafkah furuk kepada usul seperti anak memberi nafkah kepada ibu [3] Nafkah usul kepada furuk seperti bapa memberi nafkah kepada anak [4] Nafkah suami kepada isteri [5] Nafkah-nafkah yang lain.[1]
Kewajipan seorang suami dalam memberi nafkah kepada isteri merupakan perkara yang telah disepakati para ulama[2] berdasarkan firman Allah SWT:
وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ ۖ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ ۚ وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.
(Surah al-Baqarah, 233)
Namun, kewajipan suami memberi nafkah kepada isterinya gugur setelah kematian suami.[3] Hal ini kerana, isteri merupakan salah seorang waris yang berhak mendapat bahagian daripada harta peninggalan suaminya. Dengan demikian, harta peninggalan tersebutlah yang digunakan sebagai nafkah terhadap dirinya.[4]
Dalam hal ini juga, tidak menjadi tanggungjawab seorang bapa untuk memberi nafkah kepada anak perempuannya yang kematian suami jika anaknya mampu. Namun jika anaknya itu fakir dan tidak mampu bekerja untuk menampung keperluan atas beberapa faktor tertentu seperti gila, sakit dan sebagainya. Maka disebabkan itu, bapa wajib memberi nafkah kepadanya. Sekiranya bapa sudah tiada, maka tanggungjawab jatuh kepada datuknya untuk memberi nafkah.[5]
Manakala nafkah anak kecil yang kematian bapa dan belum mampu bekerja, tanggungjawab nafkah terletak kepada datuk dari keturunan bapanya. Jika datuk sudah tiada, maka ibu kepada anak kecil tersebut dipertanggungjawabkan untuk memberi nafkah kepadanya sehingga anak tersebut baligh dan mampu bekerja.[6] Menurut Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan, perintah memberi nafkah tamat apabila anak tersebut mencapai umur lapan belas tahun. Namun mahkamah juga boleh melanjutkan perintah pemberian nafkah sekiranya terdapat alasan yang munasabah seperti melanjutkan pembelajarannya.[7]
Dari sudut kadar nafkah yang perlu diberi, hukum syarak tidak menetapkannya. Penentuan kadar nafkah itu hanya berdasarkan konsep mencukupi berdasarkan pandangan umum dan kemampuan pemberi nafkah. Firman Allah SWT:
لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍ مِّن سَعَتِهِ ۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنفِقْ مِمَّا آتَاهُ اللَّهُ ۚ لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا مَا آتَاهَا ۚ سَيَجْعَلُ اللَّهُ بَعْدَ عُسْرٍ يُسْرًا
Maksudnya: Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.
(Surah al-Talaq, 7)
Kewajipan memberi nafkah hanya terletak kepada punca keturunan (usul) iaitu bapa, ibu, datuk, nenek dan ke atas, begitu juga dengan cabang keturunan (furuk) iaitu anak, cucu dan ke bawah. Di samping itu, saudaranya yang lain seperti abang atau kakaknya tidak dituntut untuk menafkahinya. Hal ini sebagaimana yang disebut oleh Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari:
وإنما تجب على ذي قرابة بعضية وتجب له وهم الفروع وإن نزلوا والأصول وإن علوا فقط، أي دون سائر القرابات كالأخ والأخت والعم والعمة، ذكوراً وإناثاً وارثين وغير وارثين.
Maksudnya: Sesungguhnya yang hanya diwajibkan nafkah kepada kaum kerabat yang bersifat punca dan cabang keturunan(qarabah ba’diyyah) iaitu furuk(anak, cucu, cicit) dan yang ke bawah dan usul(bapa kandung, ibu kandung, datuk, nenek) dan yang ke atas sahaja, iaitu tidak termasuk kaum keluarga yang lain seperti adik beradik lelaki, adik beradik perempuan, pakcik, makcik samaada lelaki mahupun perempuan, samaada yang tergolong daripada pewaris harta atau tidak.[8]
Meskipun saudara-saudara yang lain seperti bapa saudara tidak wajib menanggung nafkah anak saudaranya, mereka digalakkan untuk menghulurkan bantuan. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Salman bin Amir, Nabi SAW bersabda:
إِنَّ الصَّدَقَةَ عَلَى الْمِسْكِينِ صَدَقَةٌ وَعَلَى ذِي الرَّحِمِ اثْنَتَانِ صَدَقَةٌ وَصِلَةٌ
Maksudnya: Sesungguhnya memberi sedekah kepada orang miskin adalah sedekah, manakala memberi sedekah kepada saudara-mara dihitung dua kelebihan, iaitu sedekah dan silaturahim.
Riwayat al-Nasa’ie (2582)
Namun, jika datuk keturunan sebelah bapa anak kecil tersebut tidak mampu serta ibunya juga seorang yang fakir kerana kematian suami dan tidak mampu menanggung anaknya, maka menjadi tanggungjawab Pusat Zakat atau Baitulmal untuk membantunya. Oleh itu, isteri tersebut berhak mendapat zakat dan boleh memohon bantuan kepada Pusat Zakat atau Baitulmal kerana statusnya sebagai asnaf zakat dalam kategori fakir dan miskin.[9]
Wallahua’lam
Rujukan:
[1] Fiqh al-Manhaji
والنفقة اصطلاحاً: كلُّ ما يحتاجه الإنسان، من طعام وشراب، وكسوة ومسكن.
وسمي نفقة، لأنه ينفد ويزول، في سبيل هذه الحاجات. أنواع النفقات:للنفقات أنواع خمسة نذكرها فيما يلي:
1ـ نفقة الإنسان على نفسه.
2ـ نفقة الفروع على الأصول.
3ـ نفقة الأصول على الفروع.
4ـ نفقة الزوجة على الزوج.
5ـ نفقات أخرى.
[2] Wizarah al-Auqaf wa al-Syu’un al-islamiyyah, al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, (al-Wizarah, 1427h) Jld. 41 hlm. 35
فَقَدِ اتَّفَقَ أَهْل الْعِلْمِ عَلَى وُجُوبِ نَفَقَاتِ الزَّوْجَاتِ عَلَى أَزْوَاجِهِنَّ إِذَا مَكَّنَتِ الْمَرْأَةُ زَوْجَهَا مِنْهَا وَكَانَتْ مُطِيقَةً لِلْوَطْءِ وَلَمْ تَمْتَنِعْ عَنْهُ لِغَيْرِ عُذْرٍ شَرْعِيٍّ.
[3] Muhammad al-Zuhaili, al-Mu’tamad fi al-fiqh al-Syafi’e. (Damsyik: Dar al-Qalam,1434h) Jld. 4 hlm. 264
اذا كان الزوجة معتدة عن الوفاة لم تجب لها النفقة ولا تستحقها سواء كانت حاملا أو حائلا
[4] Ibid. jld. 4 hlm. 265
ولا تجب نفقة الحاضنة بعد الموت ولأن حق المعتدة صار بالميراث فتنفق على نفسها مما ترثه من زوجها.
[5] Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, Ali al-syarbaji, al-Fiqh al-Manhaji ala Mazhab al-Imam al-Syfie. (Damsyik: Dar al-Qalam li Taba’ah wa al-Nasyr wa al-Tauzi’, 1413h) jld. 4 hlm. 172
فالصغير الفقير يكلّف أبوه، بالإنفاق عليه، فإن لم يكن أبوه فجده. وكذلك الفقير الزمن، وهو العاجز عن العمل. وكذلك الفقير المجنون. والمقصود بالفقر: العجز عن الاكتساب. فلو كان الولد صحيحاً بالغاً، قادراً على الاكتساب، لم تجب نفقته على أبيه، وإن لم يكن مكتسباً بالفعل
[6] Muhammad al-Zuhaili, al-Mu’tamad fi al-fiqh al-Syafi’e. (Damsyik: Dar al-Qalam,1434h) Jld. 4 hlm. 286
يجب على الأصل وهو الوالد والجد وان علا و الأم والجدة وان علت نفقة الولد: الابن و ابن الابن وان نزل، والبنت و بنت الابن و ابن البنت وبنت البنت وان نزلت.
[7] Lembaga Penyelidikan Undang-undang, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) Hlm. 50
[8] Zakaria bin Muhammad al-Ansari, Asna al-Matalib fi Syarh Raud al-Talib. (Dar al-Kutub al-Islamiy), jld. 3 hlm443
[9] Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, Ali al-syarbaji, al-Fiqh al-Manhaji ala Mazhab al-Imam al-Syfie. (Damsyik: Dar al-Qalam li Taba’ah wa al-Nasyr wa al-Tauzi’, 1413h) jld. 2 hlm. 60
المستحقون للزكاة: لقد ذكر الله تعالى المستحقين الذين تصرف إليهم الزكاة بقوله: {إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاء وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللهِ وَابْنِ السَّبِيلِ فَرِيضَةً مِّنَ اللهِ وَاللهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ} التوبة/60 وإليك بيان هذه الأصناف: 1ـ الفقراء: جمع فقير، وهو: من لا مال له يقع موقعاً من كفاية مطعماً وملبساً ومسكناً، كمن يحتاج إلى عشرة فلا يقدر إلى على ثلاثة. 2ـ المساكين: جمع مسكين، وهو: من له شيء يسد مسداً من حاجته، ويقع موقعاً من كفايته، ولكنه لا يكفيه. كمن يحتاج إلى عشرة مثلاً فلا يجد إلى ثمانية. ويعطى هؤلاء ومن قبلهم كفاية العمر الغالب على الأصح.