Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-780: HUKUM BERMAIN SERULING SERTA MENGAMBIL UPAH DENGAN MEMBUAT PERSEMBAHAN

HUKUM_BERMAIN_SERULING_SERTA_MENGAMBIL_UPAH_DENGAN_MEMBUAT_PERSEMBAHAN.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum, saya ada satu pertanyaan. Hobi saya adalah bermain seruling dan rekorder bagi mengisi masa lapang. Namun ada juga panggilan untuk membuat persembahan dalam majlis-majlis seperti kenduri kahwin dan kebiasaannya diberi upah. Cuma persoalannya apakah hukum bermain alat ini dan mengambil upah denganya ada yang kata hukum meniup seruling adalah haram. Mohon petunjuk, terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Para ulama berbeza pandangan dalam isu nyanyian dan penggunaan alat muzik. Menurut mazhab al-syafi’e dan pendapat muktamad empat mazhab, nyanyian yang diiringi dengan alat muzik adalah dilarang dan diharamkan. Di samping itu terdapat sebahagian ulama yang mengharuskan sebahagian alat muzik dan mengharamkan sebahagian yang lain seperti seruling dan gitar. Namun begitu, terdapat pandangan minoriti ulama yang membenarkan bermain seruling seperti pandangan Mazhab al-Zahiri dan Ibn Tahir.

Meskipun begitu, tindakan terbaik dalam menyingkapi perkara khilaf dan perbezaan pandangan adalah dengan tidak melakukannya dan berpegang dengan pandangan kebanyakan para ulama.

Huraian Jawapan

Islam tidak melarang umatnya untuk berhibur, namun batasan yang telah ditetapkan syarak hendaklah dijaga. Berhibur dengan mendengar muzik dan nyanyian, ulama berbeza pandangan berkenaan dengannya sebahagian daripada ulama mazhab Hanbali dan Hanafi berpendapat nyanyian adalah haram walaupun tanpa diiringi alat muzik. Manakala sebahagian yang lain dalam kalangan ulama mazhab Hanafi, Hanbali dan Maliki berpendapat bahawa harus nyanyian tanpa alat muzik. Menurut mazhab al-Syafi’e, nyanyian tanpa iringan alat muzik hukumnya adalah makruh.[1] Namun, sekiranya disertakan dengan alat muzik hukumnya adalah haram, ini merupakan pandangan yang muktamad di sisi empat mazhab.[2] Perkara ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَمِنَ النَّاسِ مَن يَشْتَرِي لَهْوَ الْحَدِيثِ لِيُضِلَّ عَن سَبِيلِ اللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَيَتَّخِذَهَا هُزُوًا ۚ أُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ مُّهِينٌ

Maksudnya: Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.

(Surah Luqman, 6)

Menurut pandangan mazhab al-Syafi’e, nyanyian yang diiringi bersama alat muzik seperti rebana, gitar, gendang, seruling dan selainnya adalah haram sama ada mendengar, mengguna dan mengambil manfaat daripadanya, hal ini kerana ia merupakan syiar bagi ahli maksiat dan golongan yang suka berhibur menurut hawa nafsu.[3] Abdul Rahman bin Ghanam al-Ash’ari meriwayatkan sebuah hadis daripada Nabi SAW:

لَيَكُونَنَّ مِنْ أُمَّتِي أَقْوَامٌ يَسْتَحِلُّونَ الْحِرَ وَالْحَرِيرَ وَالْخَمْرَ وَالْمَعَازِفَ

Maksudnya: Suatu masa akan berlaku dalam kalangan umatku, suatu kaum yang akan menghalalkan hubungan seks, memakai sutera, arak dan alat muzik.

Riwayat Bukhari

Menurut pandangan minoriti ulama, nyanyian yang disertakan dengan alat muzik seperti gendang adalah dibenarkan dengan tujuan menghilangkan keletihan ketika bermusafir, bergembira ketika hari perayaan, majlis perkahwinan, berkhatan dan seumpamanya[4].

Menurut Imam al-Ghazali, alat muzik yang dilarang syarak terbahagi kepada tiga jenis iaitu seruling, gambus dan tabla manakala harus bagi alat muzik yang lain seperti kompang.[5] Syeikh Wahbah Zuhaili dalam menyimpulkan pandangan Imam al-Ghazali menyatakan bahawa tiga alat muzik iaitu seruling, gambus dan tabla yang dilarang untuk bermain atau mendengar, ini kerana terdapat dalil yang melarangnya bukan kerana kelunakan bunyinya.[6]

Imam al-Zabidi dalam syarahnya Ithaf al-Sadah al-Muttaqin menyatakan tentang perbezaan pendapat ulama berkaitan seruling sepertimana yang diketahui, menurut pendapat muktamad di sisi empat mazhab, al-Mizmar(seruling) adalah diharamkan. Manakala menurut pandangan mazhab al-Zahiri dan Ibn Tahir adalah harus kerana mereka berpendapat status hadis yang melarangnya adalah lemah.[7] Manakala gambus menurut Abdullah bin Ja’afar, Abdullah bin ‘Umar dan Ibrahim bin Mas’ud membenarkannya sama ada bermain atau mendengarnya. Manakala tabla menurut kitab-kitab mazhab al-Syafie adalah diharamkan namun Imam al-Haramain mengambil jalan untuk tawaqquf (berdiam diri dari mengeluarkan pendapat).[8] Selain itu, Imam Ibn ‘Arafah menukilkan pandangan Imam ‘Izz al-Din Ibn Salam yang menyebut bahawa terdapat pelbagai cara untuk menenangkan hati antaranya adalah dengan mendengar nyanyian yang diiringi alunan alat muzik.[9]

Menurut fatwa yang dikeluarkan oleh Dar Ifta’ Mesir, penggunaan alat muzik adalah diharuskan jika cara pengendaliannya membantu ke arah kebaikan selagi mana tidak lalai dalam mengingati Allah SWT dan tidak disertakan dengan kemungkaran.[10] Di samping itu, menurut fatwa Darul Ifta Jordan, nanyian yang disertakan alat muzik seperti gitar dan seruling adalah haram sama ada mendengar dan bermain. Pengharaman ini adalah kerana alat muzik itu sendiri.[11] Dalam isu ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia berpendapat, bermain alat muzik atau pancaragam yang melalaikan adalah diharamkan.[12]

Secara umumnya, para ulama berbeza pandangan dalam isu nyanyian dan penggunaan alat muzik. Menurut mazhab al-Syafi’e dan pendapat muktamad dalam kebanyakan mazhab, nyanyian yang diiringi dengan alat muzik adalah dilarang dan diharamkan. Di samping itu terdapat sebahagian ulama yang mengharuskan sebahagian alat muzik dan mengharamkan sebahagian yang lain seperti seruling dan gitar. Namun begitu, terdapat pandangan minoriti ulama yang membenarkan bermain seruling seperti pandangan Mazhab al-Zahiri dan Ibn Tahir.

Meskipun begitu, tindakan terbaik dalam menyingkapi perkara khilaf dan perbezaan pandangan adalah dengan tidak melakukannya dan berpegang dengan pandangan kebanyakan para ulama. Tindakan seperti ini lebih utama dan bersifat warak. Imam al-Suyuti menyebut satu kaedah dalam kitabnya:

الْخُرُوجُ مِنْ الْخِلَافِ مُسْتَحَبٌّ

Maksudnya: Keluar daripada khilaf adalah dituntut.[13]

Wallahhu’alam.

 

Rujukan: 

[1] Dr. Wahbah bin Mustafa al-Zuhaili, al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuh. (Damsyik: Dar al-Fikr,t.t) Jld. 4 Hlm. 2664

قال بعض الحنفية وبعض الحنابلة: يحرم الغناء وسماعه من غير آلة مطربة، لما روى ابن مسعود أن النبي صلّى الله عليه وسلم قال: الغناء ينبت النفاق في القلب. وقال بعض آخر من الحنفية والحنابلة، والمالكية: يباح الغناء المجرد من غير كراهة. ويظهر أن رأي هذا البعض هو الراجح. وقال الشافعية: يكره الغناء وسماعه من غير آلة مطربة، ولا يحرم

[2] Ibid.

وأما الآلات: فيحرم في المشهور من المذاهب الأربعة (الحنفية والمالكية والشافعية والحنابلة) استعمال الآلات التي تطرب كالعود والطنبور والمعزفة والطبل والمزمار والرباب وغيرها من ضرب الأوتار والنايات والمزامير كلها

[3] Zakaria bin Muhammad bin Zakaria al-Ansari, Asna al-Matalib fi Syarh Raud al-Talib. (t.tp. Dar al-Kitab al-Islamiy, t.t) Jld. 4 Hlm. 344

(وَأَمَّا الْغِنَاءُ عَلَى الْآلَةِ الْمُطْرِبَةِ كَالطُّنْبُورِ وَالْعُودِ وَسَائِرٍ الْمَعَازِفِ) أَيْ الْمَلَاهِي (وَالْأَوْتَارِ) وَمَا يُضْرَبُ بِهِ (وَالْمِزْمَارِ) الْعِرَاقِيِّ وَهُوَ الَّذِي يُضْرَبُ بِهِ مَعَ الْأَوْتَارِ (وَكَذَا الْيَرَاعُ) وَهُوَ الشَّبَّابَةُ (فَحَرَامٌ) اسْتِعْمَالُهُ وَاسْتِمَاعُهُ وَكَمَا يَحْرُمُ ذَلِكَ يَحْرُمُ اسْتِعْمَالُ هَذِهِ الْآلَاتِ وَاِتِّخَاذُهَا لِأَنَّهَا مِنْ شِعَارِ الشَّرَبَةِ وَهِيَ مُطْرِبَةٌ

[4] Ibid. Jld. 4 Hlm. 345

وَصَحَّحَ الرَّافِعِيُّ حِلَّ الْيَرَاعِ لِأَنَّهُ يُنَشِّطُ عَلَى السَّيْرِ فِي السَّفَرِ

(وَضَرْبُ الدُّفِّ) بِضَمِّ الدَّالِ أَشْهَرُ مِنْ فَتْحِهَا (مُبَاحٌ فِي الْعُرْسِ وَالْخِتَانِ وَغَيْرِهِمَا) مِمَّا هُوَ سَبَبٌ لِإِظْهَارِ السُّرُورِ كَعِيدٍ

[5] Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali, Ihya ‘Ulum al-Din. (Beirut: Dar al-Ma’rifah,t.t.) Jld. 2/ 282

الآلة بأن تكون من شعار أهل الشرف أو المخنثين وهي المزامير والأوتار وطبل الكوبة فهذه ثلاثة أنواع ممنوعة وما عدا ذلك يبقى على أصل الإباحة كالدف وإن كان فيه الجلاجل وكالطبل والشاهين والضرب بالقضيب وسائر الآلات

[6] Dr. Wahbah bin Mustafa al-Zuhaili, al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuh. (Damsyik: Dar al-Fikr,t.t) Jld. 4 Hlm. 2664

ويلاحظ أن الغزالي أباح سماع القضيب والطبل والدف وغيره، ولم يستثن إلا المعازف والأوتار والمزامير التي ورد الشرع بالمنع منها، لا للذتها، مثل البَرْبَط والطُنبُور

[7] Muhammad bin Muhammad al-Husaini al-Zabidi, Ithaf al-Sadah al-Muttaqin. (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah,1422). Jld. 7 Hlm. 644

وقد اختلف العلماء في المزامير فالمعروف في المذب الائمة التحريم. وذهبت الظاهرية و ابن طاهر الى الاباحة والظاهرية بنوه على مسألة الحظر والاباحة والأصل عندهم الاباحة ومنعوا ورود نص فيها وضعفوا الأحاديث الوارد كلها.

[8] Ibid. Jld. 7 Hlm. 645

وحكى جماعة جواز ضرب العود وسماعه عن عبدالله بن جعفر و عبدالله بن عمر و ابراهيم بن مسعود وغيرهم.

وأما طبل الكوبة فقد تقدم تحقيقه وتقدم قول المصنف أنه من عادة المخنثين، والموجود في كتب الشافعية أنه حرام وتوقف امام الحرمين فيه كما تقدم.

[9] Muhammad bin Yusuf al-Gharnati, al-Taj wa al-Iklil li Mukhtasar Khalil. (Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1416) Jld. 2 Hlm. 363

وَقَالَ ابْنُ عَرَفَةَ: عَنْ عِزِّ الدِّينِ بْنِ عَبْدِ السَّلَامِ: إنَّهُ مُتَّفَقٌ عَلَى عِلْمِهِ وَدِينِهِ لَا يَنْعَقِدُ إجْمَاعٌ بِدُونِهِ. قَالَ فِي قَوَاعِدِهِ: الطَّرِيقُ فِي صَلَاحِ الْقُلُوبِ يَكُونُ بِأَسْبَابٍ مِنْ خَارِجٍ فَيَكُونُ بِالْقُرْآنِ وَهَؤُلَاءِ أَفْضَلُ أَهْلِ السَّمَاعِ، وَيَكُونُ بِالْوَعْظِ وَالتَّذْكِيرِ وَيَكُونُ بِالْحِدَاءِ وَالنَّشِيدِ وَيَكُونُ بِالْغِنَاءِ بِالْآلَاتِ الْمُخْتَلَفِ فِي سَمَاعِهَا كَالشَّبَّابَاتِ، فَإِنْ كَانَ السَّامِعُ لِهَذِهِ الْآلَاتِ مُسْتَحِلًّا سَمَاعَ ذَلِكَ فَهُوَ مُحْسِنٌ بِسَمَاعِ مَا يَحْصُلُ لَهُ مِنْ الْأَحْوَالِ وَتَارِكٌ لِلْوَرَعِ لِسَمَاعِهِ مَا اُخْتُلِفَ فِي جَوَازِ سَمَاعِهِ، وَإِلَّا فَهُوَ مُحْسِنٌ بِمَا حَصَلَ لَهُ مِنْ الْأَحْوَالِ مُسِيءٌ فِي سَمَاعِ مَا هُوَ يَعْتَقِدُ تَحْرِيمَهُ.

[10] Rujuk: https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/16350/%D8%A7%D9%84%D9%81%D8%AA%D8%A7%D9%88%D9%8A

أنَّ الضرب بالمَعازف والآلات ما هو إلَّا صوتٌ: حَسَنُه حَسَنٌ وقبيحُه قبيحٌ؛ فيجوز استعمالها وسَمَاعها بشرط اختيارِ الحَسَنِ، وعَدَمِ الاشتغالِ بما يُلهي عن ذكر الله تعالى أو يَجُرُّ إلى الفسادِ، أو يَتنافى مع الشرع الشريف؛ إذ ليس في كتاب الله تعالى ولا في سُنة رسوله صلى الله عليه وآله وسلم ولا في معقولِهِما مِن القياس والاستدلال ما يَقتضي تحريمَ مُجَرَّدِ الأصواتِ المَوزُونةِ مع آلةٍ مِن الآلات

[11] Rujuk: https://aliftaa.jo/Question.aspx?QuestionId=1158#.Y_LcAHZBzcc

الغناء وسماعه بلا آلة موسيقية مباح ما لم يتخذه حرفة له، بشرط أن يكون من رجل لرجال أو من امرأة لنساء مع أمن الفتنة،ويشترط أن تكون كلمات الغناء شرعية، فإن خيف فتنة فحرام قطعاً. والمراد بالفتنة: ما يدعو إلى الوقوع في الفاحشة.أما الغناءمع الآلة المطربة كالعود وسائر المعازف والأوتار والمزمار والشبابة فحرام استعماله واستماعه. والحرمة هنا بسبب حرمة الآلة. وضرب الدف والأناشيد الدينية مباحان في العرس والختان وغيرهما.

[12] Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali ke-2 pada 12 - 13 Mei 1981 telah menetapkan garis panduan seperti berikut:

1.            Nyanyian yang senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap dan tidak mendorong kepada maksiat, tidak bercampur gaul antara lelaki dengan perempuan dan tidak membawa kepada fitnah adalah harus;

2.            Jika nyanyian senikatanya tidak baik, lucah, biadap, mendorong kepada maksiat, bercampur gaul lelaki dengan perempuan dan membawa kepada fitnah maka nyanyian itu adalah haram;

3.            Pancaragam yang melalaikan hukumnya haram;

4.            Mendengar nyanyian dan pancaragam adalah harus dengan syarat senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap, tidak bercampur lelaki dan perempuan dalam keadaan yang tidak menimbulkan fitnah; dan

5.            Menyanyi untuk menimbulkan semangat jihad adalah harus.

[13] Jalaluddin al-Suyuti, al-Ashbah wa al-Nazair. (t.tp, Dar al-kutub al-‘Ilmiyyah, 1411H) Hlm. 136