Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-795: STATUS WUDUK PESAKIT “CYSTOCELE “

APAKAH_STATUS_WUDUK_PESAKIT_CYSTOCELE.jpg

SOALAN                    

Assalammualaikum. Saya ada sakit puan yang dialami bagi kes-kes terpencil. Sakit “Cystocel” saya tahap ke – 4 yang mana kedudukan pundi kencing saya berada sedikit di luar faraj. Saya keliru untuk tentukan keadaan saya apabila saya hendak menunaikan ibadah, tapi sebagai langkah berhati-hati saya selalu bertindak dan anggap saya sebagai individu yang di kategorikan sebagai orang sentiasa berhadas seperti salasul baul walaupun saya masih boleh mengawal kencing. Maka benarkah wuduk saya seperti salasul baul sebab pundi kencing yang menahan kencing kedudukannya di luar seperti menanggung najis. Mohon pencerahan SS Datuk Mufti memandangkan saya akan menunaikan haji.

Ringkasan Jawapan:

Status wuduk bagi wanita yang mempunyai sakit cystocele ialah melihat kepada beberapa situasi berikut :

  1. Sekiranya keadaan pundi kencing kebiasaannya berada di dalam faraj, kemudian terkeluar daripada faraj selepas mengambil wuduk, maka ia membatalkan wuduk.
  2. Sekiranya telah berusaha memasukkan semula pundi kencing, kemudian keadaaannya sentiasa membonjol berada diluar, maka ia tidak dianggap menanggung najis dan wuduknya tetap sah.

Huraian Jawapan:

Definisi Cystocele

Cystocele ialah keadaan di mana tisu penyokong di sekeliling pundi kencing dan dinding faraj melemah dan meregang, membolehkan pundi kencing dan dinding faraj jatuh ke dalam saluran faraj. Dengan cystocele, otot dan tisu yang menyokong faraj menjadi lemah dan meregang, membolehkan pundi kencing bergerak keluar dari tempatnya.[1] Pundi kencing wanita membonjol ke luar farajnya.[2] Terdapat tiga tahap cystocele seperti berikut :

Tahap 1 – Pundi kencing jatuh hanya sedikit ke dalam faraj anda.

Tahap 2 – Pundi kencing jatuh ke lubang atau sedikit di luar faraj.

Tahap 3 – Pundi kencing sentiasa membonjol melepasi pembukaan faraj.   [3]

cys.jpg

 

Hukum Wuduk Pesakit Cystocele

Terdapat dua keadaan yang perlu diberi perhatian dalam membahaskan status wuduk seseorang pesakit cystocele, iaitu:

i) Pundi kencing hanya terkeluar pada waktu-waktu tertentu dan bukan sentiasa berada di bahagian luar faraj

Dalam kes ini, sekiranya pundi kencing pesakit kebanyakan waktunya berada di dalam namun terkeluar melepasi bahagian had zahir faraj[4] selepas pesakit mengambil wuduk, maka wuduknya terbatal dan wajib diperbaharui. Hal ini berdasarkan kenyataan Imam al-Nawawi dalam karyanya al-Majmu berkata:

حُكْمُ الْمَسْأَلَةِ فَالْخَارِجُ مِنْ قُبُلِ الرَّجُلِ أَوْ الْمَرْأَةِ أَوْ دُبُرِهِمَا يَنْقُضُ الْوُضُوءَ سَوَاءٌ كَانَ غَائِطًا أَوْ بَوْلًا أَوْ رِيحًا أَوْ دُودًا أَوْ قَيْحًا أَوْ دَمًا أَوْ حَصَاةً أَوْ غَيْرَ ذَلِكَ وَلَا فَرْقَ فِي ذَلِكَ بَيْنَ النَّادِرِ وَالْمُعْتَادِ

Permasalahan hukum berkaitan perkara yang keluar daripada qubul lelaki atau perempuan atau daripada dubur keduanya itu membatalkan wuduk sama ada yang keluar itu berupa tahi, air kencing, angin, ulat, nanah, darah, batu kecil dan selainnya. Tiada perbezaan dalam hal ini di antara perkara yang jarang-jarang berlaku atau yang biasa berlaku. [5]

Berdasarkan pernyataan ini, jelas bahawa sebarang benda yang keluar daripada qubul atau dubur selepas mengambil wuduk boleh mengakibatkan terbatal wuduk walaupun perkara tersebut jarang berlaku seperti keluarnya batu, cacing, kencing tidak lawas atau istihadah[6].

Al-Malbari dalam kitab Fath al-Mu’in menjelaskan bahawa salah satu perkara yang membatalkan wuduk termasuklah keluar sesuatu daripada qubul atau dubur sama ada keluarnya terputus atau tidak, seperti keluar kepala cacing dalam keadaan sebahagiannya berada di dalam[7].Beliau juga berkata:

ولو كان الخارج باسورا نابتا داخل الدبر فخرج أو زاد خروجه

Maksudnya: “Walau yang keluar itu buasir usus yang membengkak dalam dubur. Kemudian ia terkeluar atau terlebih daripada bahagian zahir”.

Pesakit buasir tahap 3 (berbahaya) yang mana buasir terkeluar dan perlu ditolak dengan jari sama ada berdarah atau tidak. Tahap 4 (kronik) buasir terkeluar dan tidak boleh langsung dimasukkan semula.[8] Hal ini disamakan dengan status pesakit Cystocele yang mana pundi kencing wanita membonjol ke luar farajnya.

Justeru dapat disimpulkan bahawa wuduk terbatal sekiranya kedudukan pundi kencing yang kebanyakan waktunya berada di dalam kemudiannya terkeluar.

ii) Pundi kencing sentiasa berada di bahagian luar faraj dan tidak dapat kekal berada di dalam.

Sekiranya pesakit berada di tahap kronik yang mana dinding faraj terlalu lemah dan tidak dapat menampung pundi kencing daripada jatuh ke bahagian zahir faraj, maka keadaan pundi kencing yang sentiasa berada di luar itu tidak dihukumkan seperti menanggung najis. Hal ini kerana keadaan pesakit cystocele yang pundi kencingnya sering terkeluar tanpa disengajakan merupakan sesuatu yang berada di luar kawalan dan sukar untuk dielakkan.

Terdapat kaedah fiqh yang menyatakan:

إذا ضاق الأمر اتسع

Maksudnya: “Suatu perkara itu apabila ia menjadi sempit, maka ia diperluaskan”.

Kaedah ini ditetapkan para ulama berdasarkan pelbagai ayat al-Quran dan Hadis yang menunjukkan Syariah memberikan jalan keluar dan penyelesaian kepada beberapa keadaan yang mendesak.

Tambahan pula, air kencing yang berada di dalam pundi kencing dianggap masih berada di dalam anggota batin walaupun anggota tersebut telah terkeluar melepasi bahagian zahir faraj. Dalam hal ini, pundi kencing yang terkeluar tersebut diibaratkan sebagai had zahir kemaluan pesakit cystocele. Selagi air kencing tidak keluar daripada pundi kencing maka ia tidak dianggap menanggung najis.

Kesimpulan

Berdasarkan hujah yang dikemukakan, hukum bagi wanita yang mempunyai sakit cystocele ialah melihat kepada situasi keadaan pundi kencing. Sekiranya ia kebiasaannya berada di dalam kemudian terkeluar daripada faraj selepas mengambil wuduk, maka ia membatalkan wuduk. Namun sekiranya telah berusaha memasukkan semula dan sentiasa berada diluar, maka ia tidak dianggap menanggung najis.

Wallahu A'lam

 

Rujukan:

 

[1] https://www.niddk.nih.gov/health-information/urologic-diseases/cystocele#what

[2] https://en.wikipedia.org/wiki/Cystocele

[3] https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/15468-cystocele-fallen-bladder

[4] Bahagian faraj yang zahir ialah bahagian yang dapat dilihat apabila dia duduk (mencangkung) ketika membuang air

فالذي يظهر من فرجها إذا قعدت لقضاء الحاجة له حكم الظاهر

Mahyuddin bin Syaraf al-Nawawi, Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, (Beirut: Dar al-Fikr), 6/314

[5] Al-Majmu' Syarh al-Muhadzzab, 2/4.

[6] Al-'Imrani,  al-Imam Abu Husain Yahya bin Abu al-Khair Salim al-Yamani, al-Bayan fi Fiqh Mazhab al-Imam al-Shafi'I, 1, 172

وأما النادر فهو: كالحصى، والدود، وسلس البول، ودم الاستحاضة، وهو ينقض الوضوء عندنا، وبه قال أبو حنيفة، والثوري، وأحمد، وإسحاق.

[7] Zainuddin Abd Aziz al-Malbariy, Fath al-Mu’in Bi Syarh Qurrat al-Ain Bi Muhimmat Al-Din, (Dar Ibn Hazam), 60

حدها: تيقن خروج شيء غير منيه عينا كان أو ريحا رطبا أو جافا معتادا كبول أو نادرا كدم باسور أو غيره انفصل أو لا كدودة أخرجت رأسها ثم رجعت من أحد سبيلي المتوضئ الحي دبرا كان أو قبلا

[8]https://pilescapsule.com/index.php/piles-capsuleofficial/?gclid=CjwKCAjw1YCkBhAOEiwA5aN4AWEfkRtSFjc1TIJDiZ0P_WGXZKIOMhgi3COYx7pUO2Be4_072541ohoCI9UQAvD_BwE