Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-801: ISU KHATIB MEMANJANGKAN KHUTBAH PADA HARI JUMAAT

ISU_KHATIB_MEMANJANGKAN_KHUTBAH_PADA_HARI_JUMAAT.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum, saya seorang pekerja dari syarikat swasta. Pada hari jumaat saya diberi masa rehat yang hanya mencukupi untuk melakukan solat jumaat sekiranya khutbah yang panjang. Jika khatib membaca khutbah dan melakukan solat dengan cepat baru dapat saya rehat dan membeli makanan pada tengah hari itu. Boleh ke saya minta pandangan pejabat mufti dalam isu ini. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Khatib dan imam memainkan peranan yang penting dalam meraikan keperluan jemaah. Khutbah yang disampaikan itu seharusnya tidak terlalu panjang sehingga boleh membebankan para jemaah dan juga tidak terlalu ringkas sehingga menjejaskan isi kandungan khutbah. Tempoh masa khutbah dan solat Jumaat sebaiknya dilakukan dalam tempoh yang sederhana panjang bagi menyeimbangkan tuntutan syarak dan meraikan keperluan para jemaah yang hadir.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Penyampaian khatib memainkan peranan penting dalam menyalurkan maklumat di samping itu, isi kandungan khutbah yang disampaikan itu, mestilah dapat memberi kesan kepada para pendengar. Jangka waktu ketika menyampaikan khutbah sewajarnya bersesuaian sama ada diberi dalam tempoh yang panjang mahu pun pendek. Hal ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abu Aufa RA:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُكْثِرُ الذِّكْرَ وَيُقِلُّ اللَّغْوَ وَيُطِيلُ الصَّلاَةَ وَيُقَصِّرُ الْخُطْبَةَ وَلاَ يَأْنَفُ أَنْ يَمْشِيَ مَعَ الأَرْمَلَةِ وَالْمِسْكِينِ فَيَقْضِيَ لَهُ الْحَاجَةَ ‏

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW memperbanyakkan zikir, tidak melakukan perbuatan yang sia-sia, memanjangkan solat, meringkaskan khutbah dan tidak menolak untuk berjalan dengan janda atau orang-orang miskin sehingga hajat mereka tertunai.

Riwayat al-Nasa‘i (1414)

Hadis ini menjelaskan perihal Nabi SAW memanjangkan solat lebih dari kadar khutbah dan memendekkan khutbah kurang dari kadar solat. Ini menggambarkan tentang kebijaksanaan Nabi SAW dalam kesederhanaannya melakukan ibadah. Tempoh panjang dan pendek solat dan khutbah bukanlah sesuatu perkara yang mutlak dan boleh berubah mengikut keadaan.[1]

Dalam hadis yang lain, Jabir bin Samurah menceritakan bahawa Nabi SAW melakukan solat dan menyampaikan khutbah dalam tempoh masa yang sederhana. Lafaznya seperti berikut:

كُنْتُ أُصَلِّي مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَكَانَتْ صَلاَتُهُ قَصْدًا وَخُطْبَتُهُ قَصْدًا

Maksudnya: Aku pernah menunaikan solat bersama Rasulullah SAW, sesungguhnya solatnya sederhana dan khutbahnya sederhana.

Riwayat Muslim (866)

Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa hadis di atas menunjukkan tentang sifat solat dan khutbah Nabi SAW yang dilakukan secara sederhana, tidak terlalu panjang dan tidak terlalu ringkas.[2] Abu Abdul Rahman al-‘Azim Abadi menyebut bahawa tidak memanjangkan khutbah merupakan suatu perkara yang disyariatkan di samping tidak membosankan para jemaah.[3] Bahkan khutbah sunat disampaikan dengan nada yang memikat hati supaya dapat menarik perhatian dan memberi kefahaman kepada para jemaah.[4] Imam Badr al-Din al-‘Aini menyebut:

وفيه من السُّنَّة تخفيف الخطبة وتخفيف الصلاة؛ لأن تطويلهما يثقل على الناس، ولا سيما إذا كان القوم كُسالَى

Maksudnya: Hadis ini menerangkan tentang sunnah meringkaskan khutbah dan solat. Ini kerana dengan memanjangkan khutbah dan solat akan memberatkan manusia, terutamanya mereka yang malas. [5]

Dalam hal yang lain, Nabi SAW pernah menegur sahabatnya Muaz yang pernah membaca surah yang panjang ketika menjadi imam dan perkara ini perlu diambil berat agar tidak menimbulkan fitnah pada masa yang sama para jemaah tidak terbeban dalam urusan mereka. Nabi SAW bersabda:

يَا مُعَاذُ لَا تَكُنْ فَتَّانًا فَإِنَّهُ يُصَلِّي وَرَاءَكَ الْكَبِيرُ وَالضَّعِيفُ وَذُو الْحَاجَةِ وَالْمُسَافِرُ

Maksudnya: Wahai Mu’adz, janganlah kamu menimbulkan fitnah. Sesungguhnya terdapat dalam jemaah yang solat di belakang kamu dalam kalangan orang tua, orang sakit, orang yang mempunyai urusan dan musafir

Riwayat Abu Daud (791)

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa meringankan solat dengan meringkaskannya merupakan satu perkara yang sunat dalam meraikan perihal makmum di samping tidak mendatangkan fitnah. Namun sekiranya imam mengetahui bahawa makmum reda jika memanjangkan solat maka imam harus memanjangkannya.[6]

Oleh yang demikian, Khatib dan imam memainkan peranan yang penting dalam meraikan keperluan jemaah. Khutbah yang disampaikan itu seharusnya tidak terlalu panjang sehingga boleh membebankan para jemaah dan juga tidak terlalu ringkas sehingga menjejaskan isi kandungan khutbah. Tempoh masa khutbah dan solat Jumaat sebaiknya dilakukan dalam tempoh yang sederhana panjang bagi menyeimbangkan tuntutan syarak dan meraikan keperluan para jemaah yang hadir.

Wallahu‘alam

Rujukan:

[1] Zakaria bin Muhammad bin Zakaria al-Ansari, Asna al-Matalib fi Syarh Raudah al-Talib. (Dar Kutub al-Islamiy)

ولا يعارضه خبره أيضا طول صلاة الرجل وقصر خطبته مئنة من فقهه أي علامة عليه فأطيلوا الصلاة واقصروا الخطبة ؛ لأن القصر والطول من الأمور النسبية فالمراد بإقصار الخطبة إقصارها عن الصلاة وبإطالة الصلاة إطالتها على الخطبة

[2] Abu Zakaria bin Syarf al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim bin al-Hajjaj. (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabiy,1392H) 6/154

أَيْ بَيْن الطُّول الظَّاهِر وَالتَّخْفِيف الْمَاحِق

[3] Muhammad Ashraf bin Amir al-Siddiqi al-‘Azim Abadi, ‘Aun al-M’abud. (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1415H) 3/316

(وخطبته قصدا ) القصد في الشيء هو الاقتصاد فيه وترك التطويل وإنما كانت صلاته صلى الله عليه واله وسلم وخطبته كذلك لئلا يمل الناس والحديث فيه مشروعية إقصار الخطبة ولا خلاف في ذلكٍ

[4] Syeikh Ibrahim al-Baijuri, Hasyiah Syeikh Ibrahim al-Baijuri ala Fath al-Qarib al-Mujib. (Indonesia: Dar al-Kutub al-Islamiyyah, 1468H) 1/412

ويسن أن تكون الخطبة فصيحة جزلة قريبة للفهم لا مبتذل ركيكة ولا غريبة وحشية

[5] Badr al-Din al-‘Aini, Syarh Sunan Abu daud. (Riyad: Maktabah al-Rushd, 1420H) 4/443

[6] Muhammad Ashraf bin Amir al-Siddiqi al-‘Azim Abadi, ‘Aun al-M’abud. (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1415H) 3/7

قَالَهُ النَّوَوِيُّ (فَإِنَّهُ يُصَلِّي وَرَاءَكَ الْكَبِيرُ وَالضَّعِيفُ وَذُو الْحَاجَةِ وَالْمُسَافِرُ) فِيهِ اسْتِحْبَابُ تَخْفِيفِ الصَّلَاةِ مُرَاعَاةً لِحَالِ الْمَأْمُومِينَ وَأَمَّا مَنْ قَالَ لَا يُكْرَهُ التَّطْوِيلُ إِذَا عُلِمَ رِضَا الْمَأْمُومِينَ فَيُشْكِلُ عَلَيْهِ أَنَّ الْإِمَامَ قَدْ لَا يَعْلَمُ حَالَ مَنْ يَأْتِي فَيَأْتَمُّ بِهِ بَعْدَ دُخُولِهِ فِي الصَّلَاةِ كَمَا فِي حَدِيثِ الْبَابِ فَعَلَى هَذَا يُكْرَهُ التَّطْوِيلُ مُطْلَقًا إِلَّا إِذَا فُرِضَ فِي مُصَلٍّ بِقَوْمٍ مَحْصُورِينَ رَاضِينَ بِالتَّطْوِيلِ فِي مَكَانٍ لَا يَدْخُلُهُ غَيْرُهُمْ