Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-803: HUKUM LARI DARIPADA MEMBAYAR TEMPAHAN

HUKUM_LARI_DARIPADA_MEMBAYAR_TEMPAHAN.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanyakan satu soalan, saya ada berniaga sebuah kedai masakan, kemudian pada satu hari ada satu keluarga ini singgah makan di kedai saya, lalu mereka pun membuat pesanan makanan yang agak banyak, kemudian setelah pesanan siap disediakan, keluarga tersebut terus tinggalkan meja tanpa membuat pembayaran, persoalan di sini, bolehkah saya menuntut ganti rugi daripada mereka? Apakah hukum mereka berbuat demikian? Mohon pencerahan Datuk Mufti. Terima kasih Datuk.

Ringkasan Jawapan

Hukum lari daripada membayar tempahan tanpa persetujuan pihak penerima tempahan adalah haram dan berdosa besar atas sebab melanggar janji yang telah disepakati di awal akad. Pihak kedai berhak menuntut ganti rugi daripada pelanggan atas kerugian yang menimpa pihak kedai.

 

Huraian Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.

Pada dasarnya, jual beli boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk selagi mana dalam keredaan pihak yang terlibat dan selari dengan kaedah syarak. Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ ۚ وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا ‎﴿٢٩﴾

Maksudnya:Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu.”

Surah al-Nisa’ (29)

Berkenaan hal pesanan makanan ini, secara asasnya ia mengambil konsep akad jual beli tempahan iaitu bai‘ al-Istisna‘. Menurut istilah Fiqh, jual beli tempahan ialah tindakan meminta seseorang yang berkemahiran supaya membuat sesuatu berdasarkan ciri-ciri tertentu yang berkaitan dengan kemahirannya, manakala bahan yang digunakan disediakan oleh pembuat[1].

Akad jual beli tempahan ini menjadi perdebatan di kalangan para fuqaha dan secara ringkasnya seperti berikut:

Jika akad tersebut memenuhi syarat-syarat yang perlu dipenuhi dalam jual beli salam iaitu spesifikasi barangan dinyatakan dengan jelas, bahan yang digunakan juga dinyatakan dengan jelas, tempoh penyerahan dinyatakan, bayaran diserahkan pada ketika akad dimeterai di samping syarat-syarat lain. Jika semua syarat ini dipenuhi, kita boleh sahkan akad tersebut sebagai akad jual beli salam walaupun akad tersebut menggunakan lafaz jual beli. Sebabnya, dalam soal akad, perkara yang diambil kira ialah niat yang tersirat, dan bukan bergantung kepada lafaz dan apa yang kelihatan.

Bagi akad yang tidak memenuhi syarat jual beli salam, dan inilah yang biasa berlaku dalam akad jual beli hari ini, terutamanya dalam masalah penyerahan modal atau harga barangan yang ditempah ketika memeterai akad. Kebanyakan penempah akan hanya membayar sebahagian daripada harga yang ditetapkan kepada pembuat ketika membuat tempahan. Adakalanya mereka tidak membuat sebarang bayaran sama sekali. Setelah itu, penempah akan membayar secara ansuran atau sekaligus selepas barangan yang ditempah siap. Malah, adakalanya masih ada baki bayaran yang perlu dituntut oleh pembuat selepas itu. Inilah yang biasa dilakukan oleh orang ramai. Amalan seperti ini tidak dikira sebagai jual beli salam. Dengan itu, jual beli ini tidak sah menurut ulama mazhab al-Syafie.

Walau bagaimanapun, para ulama mazhab Hanafi membenarkan akad ini sebagaimana yang diamalkan oleh orang ramai kerana mengambil kira keperluan orang ramai. Namun dengan syarat akad tersebut dengan jelas menyatakan segala perkara berkenaan barangan yang ditempah yang mana sekiranya tidak dinyatakan dengan jelas, mungkin boleh menimbulkan pergaduhan antara kedua-dua pihak. Sebagai contoh, akad tersebut mesti menyebut tentang bahan yang digunakan dan sumbernya, spesifikasinya, kadarnya dan sebagainya.

Dengan ini, kami merasakan tidak salah menerima pandangan ulama mazhab Hanafi ini. Kita menerima amalan ini sebagai sah untuk memudahkan orang ramai. Apatah lagi amalan seperti ini amat diperlukan[2].

Pada masa yang sama, akad jual beli ini juga terkandung padanya konsep wa‘d (perjanjian) yang mana ia secara konseptualnya merupakan sebuah janji daripada pembuat (al-Sani‘) untuk menghasilkan barangan yang ditempah mengikut spesifikasi yang disepakati.

Berkenaan situasi di atas, pelanggan restoran datang ke kedai lalu meletakkan pesanan makanan yang diingini seterusnya tukang masak akan menyediakannya seterusnya dihidangkan kepada pelanggan. Di sini berlakunya janji tukang masak untuk menyediakan makanan dan janji pelanggan untuk membayarnya sesudah siap.

Di samping itu, Majlis Syariah Majlis Perakaunan dan Kewangan Islam Sedunia memutuskan bahawa jual beli tempahan (bai‘ al-Istisna‘) merupakan akad lazim[3] yakni sebuah kontrak yang tidak membolehkan salah satu pihak yang memeterai kontak membatalkannya tanpa persetujuan pihak yang lagi satu seperti kontrak sewa dan jual beli[4].

Oleh yang demikian, perbuatan lari daripada membayar tempahan makanan yang telah dipesan di kedai makan merupakan suatu perbuatan haram dan berdosa. Hal ini kerana, ia dikira sudah melanggar janji untuk membeli makanan tersebut. Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ

Maksudnya:Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.”

Surah al-Ma’idah (1)

Begitu juga firman-Nya:

وَأَوْفُوا بِالْعَهْدِ ۖ إِنَّ الْعَهْدَ كَانَ مَسْئُولًا

Maksudnya:Dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.”

Surah al-Isra’ (34)

Syeikh al-Maraghi menafsirkan ayat ini bahawa tuntutan agar menunaikan apa yang telah kita janjikan kepada Allah untuk sentiasa menunaikan apa yang Dia bebankan kepada kita mahupun apa yang kita janjikan kepada orang lain, seperti akad-akad muamalat dalam soal jual beli, sewa-menyewa dan sebagainya[5].

Dr Wahbah al-Zuhaili pula menyatakan bahawa janji merupakan satu sifat yang terpuji. Menyalahi janji adalah satu sifat khianat dan munafik. Meleraikan perjanjian yang telah dibuat merupakan sikap yang boleh menyebabkan hilangnya kepercayaan. Maka, secara syarak, wajib untuk menepati janji. Sesiapa yang menyalahi dan tidak menepati janji yang telah dilakukan, sebenarnya dia telah melakukan maksiat dan dosa[6].

Berkenaan ganti rugi pula, pihak kedai diharuskan untuk menuntut ganti rugi daripada pelanggan sekadar kerugian yang menimpa si empunya kedai[7]. Meskipun begitu, tuntutan ganti rugi itu tidaklah melebihi kadar kerugian yang ditanggung. Di sini perlunya ada toleransi antara kedua belah pihak agar kata sepakat dapat dicapai.

Kesimpulannya, hukum lari daripada membayar tempahan tanpa persetujuan pihak penerima tempahan adalah haram dan berdosa besar atas sebab melanggar janji yang telah disepakati di awal akad. Pihak kedai berhak menuntut ganti rugi daripada pelanggan atas kerugian yang menimpa pihak kedai.

Wallahu A‘lam.

 

Rujukan: 

[1] Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, ‘Ali al-Syarbaji, al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi‘i, (Damsyik: Dar al-Qalam, cetakan ke-4, 1413H/1992M), 6/59.

عقد الاستصناع

هو أن يطلب إنسان ممّن له صنعة: أن يصنع له شيئاً مما له علاقة بصنعته على وجه مخصوص، وتكون مادة الصنعة من الصانع.

[2] Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, ‘Ali al-Syarbaji, al-Fiqh al-Manhaji, 6/59-60.

إن هذا العقد موضع اختلاف لدى الفقهاء، ونستطيع أن نقول:

إذا انطبقت عليه شروط عقد السلم التي مرّ ذكرها: من ضبطه بالوصف، وضبط ما يدخل فيه من مواد، ومن تحديد الأجل لتسليمه، وتسليم ثمنه في مجلس العقد، إلى غير ذلك من شروط، استطعنا أن نحكم بصحته على أنه عقد سلم، وإن جرى بلفظ البيع، لأن العبرة في العقود للمقاصد والمعاني، لا للألفاظ والمباني.

وإذا لم تنطبق عليه شروط السلم السابقة الذكر، وهذا هو الغالب في تعامل الناس بهذا العقد، فإن أكثر المستصنعين يدفعون للصانع قسطاً من الثمن عند التعاقد، وقد لا يدفعون شيئاً بالكلية، ثم يؤدون باقي الثمن أقساطاً، أو عند الانتهاء من الصنعة، وربما بقي للصانع شيء من الثمن يتقاضاه فيما بعد، هذا هو الغالب في تعامل الناس، وعليه فلا يعتبر هذا سَلماً، وبالتالي فهو غير صحيح عند الشافعية رحمهم الله تعالى.

وقد قال بصحة هذا التعاقد السادة الحنفية رحمهم الله تعالى فيما جرى به العرف وِتعامَل الناس به، لحاجة الناس إليه. شريطة أن يبيّن في العقد ما يزيل عن المستصنَع الجهالة المفضية إلى التنازع بين المتعاقدين، كأن تذكر مادة الصنع ومصدرها، وصفتها وقدرها، وما إلى ذلك.

هذا ولا نرى مانعاً من الأخذ برأي السادة الحنفية رحمهم الله تعالى، والحكم بصحة هذا التعامل، تيسيراً على الناس، إذ أن الحاجة ماسّة إليه، والناس يتعاملونه - كما ذكرنا - في أكثر صناعاتهم،

[3] ‘Abd al-Rahman al-Najdi, al-Ma‘ayir al-Syar‘iyyah, (Bahrain: AAOIFI, t.c, 1430H/2009M), hlm.146.

صفة عقد الاستصناع وشروطه

  1. عقد الاستصناع ملزم للطرفين إذا توافرت فيه شروطه، وهي: بيان جنس الشيء المستصنع ونوعه وقدره وأوصافه المطلوبة ومعلومية الثمن وتحديد الأجل إن وجد. ويثبت للمستصنع الخيار إذا جاء المصنوع مخالفًا للمواصفات المشروطة.
  2. بما أن الاستصناع عقد لازم بنفسه، فإنه تترتب آثاره بمجرد العقد، ولا حاجة إلى إعادة إيجاب وقبول بعد الصنع، وهذا بخلاف الوعد بالمرابحة للآمر بالشراء الذي يحتاج إلى إنشاؤ البيع بإيجاب وقبول بعد تملك المؤسسة للمبيع.

[4] Lihat: https://e-muamalat.islam.gov.my/en/bahan-ilmiah/artikel/156-konsep-akad-dan-jenisnya-dalam-muamalat-islam, laman web diakses pada 10/2/2023.

[5] Ahmad bin Mustafa al-Maraghi, Tafsir al-Maraghi, (Mesir: Syarikat Maktabah al-Babi Halabi, cetakan pertama, 1365H/1946M), 15/44.

(1) (وَأَوْفُوا بِالْعَهْدِ) أي وأوفوا بما عاهدتم الله عليه من التزام ما كلفكم به، وما عاهدتم الناس عليه من العقود التي تتعاملون بها فى البيوع والإجارة ونحوها، قال الزجاج: كل ما أمر الله به ونهى عنه فهو من العهد، ويدخل فى ذلك ما بين العبد وربه، وما بين العباد بعضهم وبعض.

والوفاء به القيام بحفظه على الوجه الشرعي والقانون المرضى.

[6] Wahbah bin Mustafa al-Zuhaili, al-Tafsir al-Munir fi al-‘Aqidah wa al-Syari‘ah wa al-Manhaj, (Damsyik: Dar al-Fikr al-Mu‘asir, cetakan ke-2, 1418H), 15/73.

يا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ [المائدة 5/ 1] فالعهد فضيلة وميثاق، والعقد التزام وارتباط، والإخلال بالعهد خيانة ونفاق، والتحلل من العقد إهدار للثقة وتضييع للحقوق، فيجب شرعا الوفاء بالعهد، وتنفيذ مقتضى العقد، فمن أخلف بوعده، ولم يوف بعهده، ولم ينفذ التزام عقده، وقع في الإثم والمعصية، وأخل بمقتضى الإيمان والدين، والعهد: أمر عام يشمل كل ما بين الإنسان وبين الله والنفس والناس. والعقد: كل التزام يلتزمه الإنسان، كعقد اليمين والنذر، وعقد البيع والشركة والإجارة والصلح والزواج.

وكل عقد لأجل توثيق الأمر وتوكيده، فهو عهد.

[7] Al-Najdi, al-Ma‘ayir al-Syar‘iyyah, hlm.148.

الضمانات

يجوز للمؤسسة في عقد الاستصناع، سواء كانت صانعة أم مستصنعة، أن تأخذ الضمانات التي تراها كافية للوفاء بحقوقها لدى المستصنع أو الصانع، كما يجوز لها إذا كانت مستصنعة أن تعطي الضمانات التي يطلبها الصانع، سواء كان الضمان رهنًا أم كفالة أم حوالة حق أم حسابًا جاريًا أم إيقاف السحب من الأرصدة.