Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-804: HUKUM MEMPROMOSIKAN APLIKASI JUDI ATAS TALIAN

HUKUM_MEMPROMOSIKAN_APLIKASI_JUDI_ATAS_TALIAN.jpg

 

SOALAN

Assalamualaikum. Akhir-akhir ini saya melihat ada pempengaruh media sosial yang dengan terang-terang mempromosikan judi dalam talian dalam kalangan anak-anak muda bermajoriti muslim. Apakah pandangan pihak berwajib terhadap perkara ini?

Mohon pencerahan SS Mufti. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Kesimpulannya, hukum mempromosikan permainan judi adalah haram dengan apa jua cara sekalipun. Kepada umat Islam khususnya pempengaruh media sosial, kita hendaklah lebih cakna dan ambil tahu sesuatu produk sebelum mempromosikannya. Selain itu, kita juga hendaklah lebih sensitif dalam perkara yang melibatkan hal-hal yang jelas pengharamannya seperti amalan judi.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Berkenaan hal ini, kami telah menyatakan hukum berkaitannya dengan jelas dalam Artikel Al-Kafi #1782: Hukum Berlakon Dalam Mempromosikan Judi. Kami menyatakan bahawa perbuatan berlakon untuk mempromosikan judi adalah haram dan orang Islam dilarang daripada terlibat dengannya. Hal ini kerana berjudi merupakan dosa besar berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

(Surah al-Maidah: 90)

Al-Maysir (الْمَيْسِرُ) dalam ayat di atas membawa maksud permainan judi iaitu permainan yang pemainnya berada di antara keuntungan dan kerugian. Hal ini seperti yang dinyatakan oleh Sheikh Sulaiman al-Bujairimi bahawa:

(وَالْمَيْسِرُ) هُوَ لَعِبُ الْقِمَارِ وَهُوَ كُلُّ لَعِبٍ تَرَدَّدَ بَيْنَ الْغُنْمِ وَالْغُرْمِ.

Maksudnya: Al-Maysir ialah judi iaitu permainan yang pemainnya berada di antara keuntungan dan kerugian.[1] (Rujuk Hasyiah al-Bujairimi, 4:186)

Disamping itu, perbuatan mempromosinya atau mengajak orang ramai untuk menyertainya dengan apa jua cara sekalipun, hukumnya juga tetap haram. Perkara ini dijelaskan oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami:

وَالْقِمَارُ حَرَامٌ بِاتِّفَاقٍ فَالدُّعَاءُ إِلَى فِعْلِهِ حَرَامٌ

Maksudnya: Perbuatan berjudi adalah haram mengikut kesepakatan ulama. Manakala, perbuatan mengajak orang ramai untuk menyertainya juga adalah haram.[2] (Rujuk Fath al-Bari, 8:613)

Selain itu juga, al-Quran dengan jelas melarang kita daripada bertolong-tolongan dalam perkara maksiat dan dosa. Allah SWT berfirman:

وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ

Maksudnya: Hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan taqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

(Surah al-Maidah: 2)

 

Kesimpulan

  1. Hukum mempromosikan permainan judi adalah haram dengan apa jua cara sekalipun. Kepada umat Islam khususnya pempengaruh media sosial, kita hendaklah lebih cakna dan ambil tahu sesuatu produk sebelum mempromosikannya.
  2. Selain itu, kita juga hendaklah lebih sensitif dalam perkara yang melibatkan hal-hal yang jelas keharamannya seperti perbuatan judi ini.

Wallahu a’lam.

 

Rujukan: 

[1] Al-Bujairimi, Sulaiman, 1995, Hasyiah al-Bujairimi ala al-Khatib, Dar al-Fikr, Beirut, jld. 4, hlmn. 186.

[2] Al-Asqalani, Ibn Hajar, 1379h, Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, Dar al-Ma’rifat, Beirut, jld. 8, hlmn. 613.