Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-809: MUSTAHADAH GOLONGAN KETIGA: MU’TADAH MUMAYYIZAH

MUSTAHADAH_GOLONGAN_KETIGA_MUTADAH_MUMAYYIZAH.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum w.b.t, saya ada satu persoalan. Kitaran haid saya pada bulan-bulan lepas adalah normal iaitu 7 hari darah merah pada setiap bulan. Namun, pada bulan ini darah yang datang adalah melebihi 15 hari iaitu 4 hari (hitam), 6 hari (merah), dan 6 hari (perang). Persoalannya, berapakah hari-hari haid dan istihadah saya?

Ringkasan Jawapan

Mu’tadah mumayyizah merupakan wanita yang pernah didatangi haid dan suci walaupun sekali, namun darah yang datang pada bulan terkini melebihi tempoh maksimum haid (15 hari). Mereka juga mengingati adat haid bulan sebelumnya dari segi kadar dan harinya, serta mampu membezakan sifat darah sama ada ia adalah darah kuat atau lemah . Justeru, hukumnya adalah dia perlu beramal dengan kaedah tamyiz(pembeza warna darah) yang mana darah kuat dikira haid dan darah lemah dikira istihadah.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Pada artikel lepas telah dijelaskan berkenaan hukum wanita istihadah bagi golongan pertama dan kedua :

  1. www.muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/5643-irsyad-al-fatwa-siri-ke-770-mustahadah-golongan-pertama-mubtadaah-mumayyizah
  2. https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum-cat/5753-irsyad-al-fatwa-siri-ke-800-mustahadah-golongan-kedua-mubtadaah-ghairu-mumayyizah

Penulisan pada kali ini akan membicarakan berkaitan golongan ketiga daripada tujuh golongan wanita mustahadah sebagaimana diklasifikasikan dalam mazhab al-Syafi‘i.

Golongan ketiga disebut sebagai mu’tadah mumayyizah adalah wanita yang pernah didatangi haid dan suci pada bulan sebelumnya walaupun sekali, namun pada bulan terkini darah yang datang melebihi tempoh maksimum haid(15 hari). Dia juga mengingati adat haid bulan sebelumnya menurut nisbah kadar(bilangan hari) dan waktu(awal, pertengahan atau akhir bulan), serta mampu membuat perbezaan terhadap sifat darah berdasarkan syarat-syarat tamyiz(pembeza warna darah)[1].

Golongan ini dihukumkan berdasarkan tamyiz menurut pandangan muktamad dalam mazhab Syafi’i sekalipun tamyiznya berbeza dengan adat kebiasaan haid. Oleh itu, darah yang kuat dikira sebagai haid manakala darah yang lemah dikira sebagai istihadah. Ini sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Nawawi[2]:

ويحكم للمعتادة المميزة بالتمييز لا العادة في الأصح

Maksudnya: “Dihukumkan kepada golongan mu’tadah mumayyizah dengan tamyiz bukan berdasarkan adatnya menurut pandangan yang asah”.

Hal ini disebabkan tamyiz merupakan perkara yang lebih kuat daripada adat berdasarkan kejelasan dan kenampakkannya. Bahkan ia juga petanda yang ditunjukkan pada darah manakala adat adalah petanda yang ditunjukkan kepada diri seseorang (wanita yang mengalami istihadah). Selain itu, tamyiz adalah petanda bagi perkara yang sedang terjadi sedangkan adat adalah petanda bagi perkara yang telah berlalu[3].

Contoh-contoh permasalahan mustahadah mu’tadah mumayyizah:

  • Wanita keluar darah selama 20 hari pada bulan terkini; iaitu 5 hari pertama adalah darah hitam dan 15 hari berikutnya adalah darah merah. Namun, adat haid bulan sebelumnya adalah 5 hari darah hitam. Berdasarkan situasi ini, imam al-Nawawi menyatakan bahawa ini merupakan permasalahan tempoh adat (bulan lepas) adalah bertepatan dengan tempoh tamyiz (bulan terkini). Maka, hukum haid wanita ini diambil kira berdasarkan tamyiz bulan terkini iaitu 5 hari darah hitam sahaja[4].

table_1.png

 

  • Wanita keluar darah selama 30 hari pada bulan terkini iaitu 10 hari pertama adalah darah hitam dan diikuti 20 hari darah merah. Akan tetapi, adat haid bulan sebelumnya adalah 5 hari darah hitam. Sebagaimana dinyatakan oleh Sheikh Khatib al-Syirbini, situasi ini termasuk dalam permasalahan tamyiz (bulan terkini) berbeza dengan adat (bulan lepas), dan ia tidak diselangi oleh tempoh minimum suci(15 hari). Oleh itu, dihukumkan haid ke atas wanita berkenaan pada 10 hari yang pertama kerana mengambil kira tamyiznya[5].

Table_2.png

 

  • Wanita keluar darah selama 40 hari berturut-turut iaitu 5 hari pertama darah hitam, diikuti 20 hari darah merah, kemudiannya 10 hari darah hitam dan bersambung 5 hari darah perang. Imam Al-Ramli menyatakan bahawa situasi ini termasuk dalam permasalahan yang mana antara darah adat(bulan sebelum) dengan darah tamyiz(bulan terkini), ia diselangi dengan tempoh minimum suci(15 hari). Justeru, 5 hari pertama darah hitam merupakan haid bulan 1, manakala 10 hari darah hitam berikutnya merupakan haid bulan ke-2. Tempoh 20 hari darah merah tidak dianggap haid kerana telah memenuhi syarat tamyiz; iaitu darah lemah keluar melebihi 15 hari[6].

Table_3.png

 

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan:

Wanita ini keluar darah selama 16 hari iaitu 4 hari pertama adalah darah hitam, diikuti 6 hari darah merah dan kemudiannya 6 hari darah perang. Namun, adat haid pada bulan sebelumnya adalah sebanyak 7 hari darah merah. Oleh itu, Hukum darah wanita bagi masalah ini adalah mengambil kira darah hitam dan merah sebagai haid. Hal ini kerana, apabila berhimpun tiga jenis sifat darah iaitu darah kuat, lemah dan paling lemah, maka terdapat beberapa syarat yang perlu diperhatikan[7]:

  1. Darah kuat datang dahulu dan mendahului yang lain.
  2. Darah kuat mestilah bersambung dengan darah lemah, serta darah paling lemah tidak boleh berada antara darah kuat dan darah lemah.
  3. Gabungan antara tempoh darah kuat dan lemah mestilah tidak melebihi 15 hari bagi menghukumkannya sebagai haid.

Table_4.png

 

Kesimpulan

Gambaran ketiga dalam permasalahan wanita istihadah adalah golongan mu’tadah mumayyizah. Mereka merupakan wanita yang pernah didatangi haid dan suci walaupun sekali, namun darah yang datang pada bulan semasa melebihi tempoh maksimum haid (15 hari). Mereka juga mengingati adat haid bulan sebelumnya dari segi kadar dan harinya, serta mampu membuat perbezaan pada sifat-sifat darah berdasarkan syarat-syarat tamyiz. Hukum darahnya adalah mengambil kira tamyiznya iaitu darah kuat dikira haid manakala darah lemah dikira istihadah.

[1] Dr. Abd al-Rahman bin Abdullah bin Abd al-Qadir al-Saqqaf. Al-Ibanah wa al-Ifadhah fi Ahkam al-Haid wa al-Nifas wa al-Istihadhah. (Amman: Dar al-Nur al-Mubin. 2017). Hlm 64.

المعتادة هي : من سبق لها حيض وطهر, وتعلم قدر الحيض والطهر, والمميزة : من ترى دما قويا وضعيفا ووجدت شروط التمييز.

[2] Al-Nawawi, Yahya bin Syaraf. Minhaj al-Talibin wa Umdah al-Muftiin. Ed: Iwadh Qasim Ahmad Iwadh. (t.tp: Dar al-Fikr, 2005). Hlm 20.

[3] Syamsuddin al-Ramli, Muhammad bin Abi al-Abbas. Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj. (Beirut: Dar al-Fikr, 1984). Jld 1. Hlm 345.

لِأَنَّ التَّمْيِيزَ أَقْوَى مِنْ الْعَادَةِ لِظُهُورِهِ وَلِأَنَّهُ عَلَامَةٌ فِي الدَّمِ وَهِيَ عَلَامَةٌ فِي صَاحِبَتِهِ وَلِأَنَّهُ عَلَامَةٌ حَاضِرَةٌ وَالْعَادَةُ عَلَامَةٌ مُنْقَضِيَةٌ

[4] Al-Nawawi, Yahya bin Syarf. Raudhah al-Talibin wa Umdah al-Muftiin. (Beirut: al-Maktab al-Islamiy, 1991). Jld 1 hlm 150.

إِنِ اتَّفَقَتْ عَادَتُهَا وَالتَّمْيِيزُ بِأَنْ كَانَتْ تَحِيضُ خَمْسَةً مِنْ أَوَّلِ الشَّهْرِ، وَتَطْهُرُ بَاقِيَهُ، فَاسْتُحِيضَتْ، وَرَأَتْ خَمْسَهَا سَوَادًا، وَبَاقِيَ الشَّهْرِ حُمْرَةً، فَحَيْضُهَا تِلْكَ الْخَمْسَةَ

[5] Khatib al-Syirbini, Muhammad bin Muhammad. Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Maani Alfaz al-Minhaj. (t.tp: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1994). Jld 1 hlm 288.

)وَيُحْكَمُ لِلْمُعْتَادَةِ الْمُمَيِّزَةِ بِالتَّمْيِيزِ (حَيْثُ خَالَفَ الْعَادَةَ وَلَمْ يَتَخَلَّلْ بَيْنَهُمَا أَقَلُّ الطُّهْرِ )لَا الْعَادَةِ فِي الْأَصَحِّ( كَمَا لَوْ كَانَ عَادَتُهَا خَمْسَةً مِنْ أَوَّلِ كُلِّ شَهْرٍ وَبَاقِيهِ طُهْرٌ، فَاسْتُحِيضَتْ فَرَأَتْ عَشْرَةً سَوَادًا مِنْ أَوَّلِ الشَّهْرِ وَبَاقِيهِ حُمْرَةٌ، فَحَيْضُهَا الْعَشَرَةُ السَّوَادُ

[6] Syamsuddin al-Ramli, Muhammad bin Abi al-Abbas. Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj. (Beirut: Dar al-Fikr, 1984). Jld 1 hlm 346.

أَمَّا إذَا تَخَلَّلَ بَيْنَهُمَا أَقَلُّ الطُّهْرِ كَأَنْ رَأَتْ بَعْدَ خَمْسَتِهَا عِشْرِينَ ضَعِيفًا ثُمَّ خَمْسَةً قَوِيًّا ثُمَّ ضَعِيفًا فَقَدْرُ الْعَادَةِ حَيْضٌ لِلْعَادَةِ وَالْقَوِيُّ حَيْضٌ آخَرُ لِأَنَّ بَيْنَهُمَا طُهْرًا كَامِلًا

[7] Ahmad Salamah al-Qalyubi & Ahmad al-Burullusi ‘Umairah. Hasyiata Qalyubi wa ‘Umairah. (Beirut: Dar al-Fikr, 1995). Jld 1 hlm 118.

لَوْ رَأَتْ قَوِيًّا وَضَعِيفًا وَأَضْعَفَ فَالْقَوِيُّ مَعَ مَا يُنَاسِبُهُ فِي الْقُوَّةِ مِنْ الضَّعِيفِ، حَيْضٌ بِثَلَاثَةِ شُرُوطٍ، تَقَدُّمُ الْقَوِيِّ وَاتِّصَالُ الْمُنَاسِبِ لَهُ بِهِ، وَصَلَاحِيَّتُهُمَا مَعًا لِلْحَيْضِ