Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-815: HUKUM MELAFAZKAN NIAT DALAM IBADAT DI SISI HUKUM SYARAK

HUKUM_MELAFAZKAN_NIAT_DALAM_IBADAT DI_SISI_HUKUM_SYARAK.jpg

 

SOALAN:

Assalamualaikum wbt. Saya ada terbaca satu status di media sosial yang mengatakan bahawa tidak sah solat jika melafazkan niat melalui bibir mulut. Tambahnya lagi perbuatan itu tidak dinyatakan dalam mana-mana hadis mahupun sunnah. Apakah pandangan datuk mengenai kenyataan ini?

RINGKASAN JAWAPAN:

Terdapat banyak perbincangan dari sudut hukum syarak mengenai amalan lafaz niat atau menyebut lafaz niat secara lisan. Meskipun tidak terdapat riwayat suruhan secara langsung daripada Rasulullah SAW berkenaan amalan ini namun keharusan amalan ini mempunyai asas dan sandarannya. Keharusan melafazkan niat ini dikiyaskan oleh ulama melalui riwayat kisah Rasulullah SAW menzahirkan lafaz niat haji dan umrah. Tambahan lagi, amalan ini termasuk dalam perkara yang dianjurkan oleh ulama mazhab yang muktabar serta menjadi amalan dalam kalangan sebahagian ulama salaf.

HURAIAN JAWAPAN:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT, tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW, para sahabat serta mereka yang mengikut jejak langkah baginda hingga hari kiamat.

Niat merupakan merupakan rukun bagi sesebuah ibadat baik ibadat tersebut adalah ibadat yang sunat mahupun ibadat yang wajib dan tempat menentukan niat ialah di dalam hati.[1] Adapun amalan melafazkan niat ibadat, para ulama membincangkan hal ini dari sudut hukum syarak khususnya.

Terdapat pandangan yang menyatakan bahawa pensyariatan lafaz niat dalam ibadat mempunyai sandarannya. Antaranya ialah melalui kisah Rasulullah SAW menyebut lafaz niat puasa sunat sebelum matahari tergelincir. Kisah ini diriwayatkan oleh Aisyah RA yang berbunyi:

دَخَلَ عَلَيَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ فَقَالَ: «هَلْ عِنْدَكُمْ شَيْءٌ؟» فَقُلْنَا: لَا، قَالَ: «فَإِنِّي إِذَنْ صَائِمٌ»

Maksudnya: “Suatu hari Rasulullah SAW telah masuk ke dalam rumahku. Lalu Baginda bertanya: adakah terdapat sesuatu (makanan) padamu? Maka aku menjawab: tiada. Lalu Baginda berkata: Kalau begitu aku berpuasa hari ini.”

(Riwayat Muslim: 1154)

Begitu juga dalam riwayat saidina Umar RA, bahawa sabda Rasulullah SAW:

اللَّيْلَةَ أَتَانِي آتٍ مِنْ رَبِّي، وَهُوَ بِالعَقِيقِ، أَنْ صَلِّ فِي هَذَا الوَادِي المُبَارَكِ، وَقُلْ: عُمْرَةٌ فِي حَجَّةٍ

Maksudnya: “Malam tadi aku didatangi (malaikat) yang datang membawa perintah tuhanku (ketika itu baginda berada di al-‘Aqiq) bahawa hendaklah engkau solat di lembah yang diberkati ini dan katakanlah: Aku berniat mengerjakan umrah dalam ibadat haji.”

(Riwayat Bukhari: 2337)

Riwayat di atas menjelaskan tentang keharusan menggabungkan niat haji dan umrah apabila berada satu masa yang sama ketika berihram.[2] Melalui ungkapan ‘Aku berniat mengerjakan umrah dalam ibadat haji’ yang disampaikan oleh Jibril AS kepada Rasulullah SAW, para ulama mengkiyaskan bahawa amalan melafazkan niat dalam ibadat termasuk dalam perkara sunat.[3]

Oleh yang demikian, jelaslah bahawa amalan melafazkan niat ketika di permulaan ibadat ini bukan perkara yang asing bahkan perbuatan ini pernah diamalkan oleh sebahagian ulama salaf dan antaranya ialah Imam al-Syafi‘i. Hal ini diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah daripada al-Rabi‘ yang berbunyi:

كَانَ الشَّافِعِيُّ إِذَا أَرَادَ أَنْ يَدْخُلَ فِي الصَّلَاةَ قَالَ: بِسْمِ اللَّهِ، مُوَجِّهًا لَبَيْتِ اللَّهِ مُؤْدِيًا لِفَرْضِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ اللَّهُ أَكْبَرُ

Maksudnya: “Imam al-Syafi‘i apabila beliau ingin mengerjakan solat lalu beliau sentiasa berkata: Bismillah (Dengan nama Allah) aku menghadap ke arah Kaabah, melaksanakan kefarduan Allah. Allahu Akbar(melafaz takbir).”

(Mu‘jam Ibn al-Muqri’: 317)

 

Hukum lafaz niat dalam Mazhab Syafi‘i

Dalam mazhab Syafi‘i, lafaz niat bukan syarat sah ibadat, iaitu amalan ini bukan suatu yang diwajibkan. Namun begitu, ia termasuk dalam perbuatan yang dianjurkan oleh syarak(mustahab).[4] Tambahan lagi, Imam al-Khatib Syirbini menjelaskan galakan(istihbab) melafazkan niat sebelum mengangkat takbir dapat membantu hati kerana ia dapat mengelakkan dari perkara yang boleh mendatangkan was-was.[5]

Selain itu, Imam Nawawi turut menjelaskan bahawa amalan menyatakan amalan melafazkan niat adalah lebih afdal berbanding tidak dilafazkan, kata beliau:

النية الواجبة في الوضوء هي النية بالقلب ولا يجب اللفظ باللسان معها: ولا يجزئ وحده وان جمعها فهو آكد وأفضل هكذا قاله الأصحاب واتفقوا عليه

Maksudnya: “Niat yang wajib ketika berwuduk ialah niat di dalam hati. Tidak wajib melafazkan niat dengan lisan dan tidak sah jika hanya melafazkan niat sahaja. Oleh itu, apabila digabungkan niat dalam hati dengan lafaznya secara lisan maka itu lebih kuat dan afdal. Hal ini sepertimana yang disepakati ulama mazhab Syafi‘i.”

(Rujuk al-Majmuk Syarh al-Muhazzab: 1/316)

 

Hukum lafaz niat menurut mazhab lain

Perihal berkaitan melafazkan niat secara lisan ini tidak terhenti dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i semata-mata. Malah turut dibincangkan oleh ulama-ulama mazhab yang mukatabar. Antaranya ialah:

1) Mazhab hanafi

Imam Fakhruddin al-Zaila‘i dalam membincangkan syarat-syarat solat menyatakan bahawa melafazkan niat tidak termasuk dalam syarat sah namun ia adalah perkara yang baik untuk menghadirkan keazaman solat.[6] Menurut Imam al-Haskafi pula:

والجمع بين نية القلب وفعل اللسان هذه رتبة وسطى بين من سن التلفظ بالنية ومن كرهه لعدم نقله عن السلف

Maksudnya: “Menghimpunkan niat dalam hati antara lafaz dengan lisan merupakan kedudukan yang adil antara pihak yang menjadikannya sebagai amalan sunat dan pihak yang memakruhkannya kerana tiada nukilan daripada ulama salaf.”

(Rujuk al-Durr al-Mukhtar: J1 hlm 23)

2) Mazhab hanbali

Menurut pandangan mazhab Hanbali yang terkemudian(mutaakhirin), melafazkan niat termasuk dalam amalan yang disunatkan jika lafaz tersebut dibaca secara perlahan serta diniatkan dalam hati. Hal ini kerana perbuatan sedemikian dapat diseiringkan antara hati dan lisan.[7] Selain itu, Imam al-Mardawi turut menyatakan dalam karyanya:

يُسْتَحَبُّ التَّلَفُّظُ بِهَا سِرًّا، وَهُوَ الْمَذْهَبُ

Maksudnya: “Disunatkan melafazkan niat secara perlahan dan ini merupakan pandangan muktamad mazhab hanbali”

(Rujuk al-Insof fi Ma‘rifat al-Rajih min Khilaf: 1/142)

 

Kesimpulan

Terdapat banyak perbincangan dari sudut hukum syarak mengenai amalan lafaz niat atau menyebut lafaz niat secara lisan. Meskipun tidak terdapat riwayat suruhan secara langsung daripada Rasulullah SAW berkenaan amalan ini namun keharusan amalan ini mempunyai asas dan sandarannya. Keharusan melafazkan niat ini dikiyaskan oleh ulama melalui riwayat kisah Rasulullah SAW menzahirkan lafaz niat haji dan umrah. Tambahan lagi, amalan ini termasuk dalam perkara yang dianjurkan oleh ulama mazhab yang muktabar serta menjadi amalan dalam kalangan sebahagian ulama salaf.

Wallahu A’lam.

 

Rujukan: 

[1] Al-Nawawi, Yahya bin Sharf. Al-Majmuk Syarh al-Muhazzab. Dar al-Fikr. J1 Hlm 317.

قال المصنف رحمه الله* (يجب أن ينوى بقلبه لان النية هي القصد

[2] Ibn Battal, Abu al-Hasan ‘Ali bin Khalaf. 2003. Syarh Sahih al-Bukahri Li Ibn Battal. Ed 2, Riyadh: Maktabah al-Rusyd. J4 hlm 202.

فلما كان الإحرام بالحج والعمرة واحدًا أخبر الله عنها فى هذه الرؤيا بذلك فقال: (عمرة فى حجة) أى إحرامكم تدخل فيه العمرة والحجة متتاليًا ومفترقًا  

[3] Al-Syatiri, Muhammad bin Ahmad bin Umar. Syarh al-Yaqut al-Nafis. Beirut: Dar al-Minhaj. Hlm 133.

القياس على نية الحج، وأنهم مجمعون على أنه يسن التلفط بالحج كما لقن جبريل رسول الله صلى الله عليه وسلم وقال له: (قل عمرة في حجة) وعند رسول الله صلى الله عليه وسلم تلفظ بها.

[4] Al-Majmuk Syarh al-Muhazzab. J6, hlm289

ولا يشترط نطق اللسان بلا خلاف ولا يكفي عن نية القلب بلا خلاف ولكن يستحب التلفظ مع القلب

[5] Al-Syirbini, Muhammad bin Ahmad al-Khatib. Al-Iqna’ Fi Hil Alfaz Abi Syuja. Beirut: Dar al-Fikr. J1, hlm 129.

وَينْدب النُّطْق بالمنوي قبيل التَّكْبِير ليساعد اللِّسَان الْقلب وَلِأَنَّهُ أبعد عَن الوسواس

[6] Fakhrudin Al-Zailai, Uthman. Tabyin al-Haqaiq Syarh Kanz al-Daqaiq. Ed 1, Kaherah: al-Matba’ah al-Amiriyah. J 1, hlm 99.

‌وَأَمَّا ‌التَّلَفُّظُ ‌بِهَا ‌فَلَيْسَ ‌بِشَرْطٍ وَلَكِنْ يَحْسُنُ لِاجْتِمَاعِ عَزِيمَتِهِ

[7] Al-Buhuti, Mansur bin Yunus. Kasyaf al-Qina‘ An Matan al-Iqna‘. T.tp: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah. J1 hlm 87.

(وَاسْتَحَبَّهُ) أَيْ التَّلَفُّظَ بِالنِّيَّةِ (سِرًّا مَعَ الْقَلْبِ كَثِيرٌ مِنْ الْمُتَأَخِّرِينَ) لِيُوَافِقَ اللِّسَانُ الْقَلْبَ