Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-837: ADAKAH SABIT GELARAN IBU DAN BAPA BAGI IBU BAPA ANGKAT

ADAKAH_SABIT_GELARAN_IBU_DAN_BAPA_BAGI_IBU_BAPA_ANGKAT.jpg

 

SOALAN

Assalamualaikum, Datuk Mufti. Saya ada kemusykilan yang memerlukan kepada penerangan daripada pihak Datuk Mufti berkenaan anak angkat. Adakah sabit gelaran bapa dan ibu untuk ibu bapa yang mengambil anak angkat?

Sekian terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Islam tidak melarang pasangan suami isteri yang tidak ada rezeki mempunyai anak untuk mengambil anak angkat. Namun Islam menetapkan agar tidak menasabkan anak angkat tersebut kepada bapa angkat, namun wajib menasabkan anak angkat tersebut kepada nama bapa kandungnya. Sementara itu, Islam tidak melarang ibu bapa angkat untuk memanggil anak angkat tersebut dengan gelaran anak. Begitu juga anak angkat tersebut boleh memanggil ibu bapa angkat dengan gelaran ibu dan bapa.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Berdasarkan sirah Rasulullah SAW, baginda sendiri pernah mengambil seorang anak angkat dan menasabkan anak tersebut kepada diri baginda iaitu Zaid bin Haritsah RA. Bahkan pada awalnya, para sahabat Rasulullah S.A.W memanggil Zaid sebagai Zaid bin Muhammad. Para ulama menjelaskan bahawa ini merupakan suatu tradisi yang dilakukan oleh masyarakat arab jahiliyyah dan Rasulullah S.A.W mengambil Zaid sebagai anak angkat sebelum baginda dimuliakan Allah S.W.T sebagai seorang rasul. Kemudiannya perbuatan menasabkan anak angkat kepada bapa angkat dilarang oleh Allah S.W.T seperti yang disebutkan menerusi firman Allah S.W.T :

ادْعُوهُمْ لِآبَائِهِمْ هُوَ أَقْسَطُ عِندَ اللَّهِ

Maksudnya : Panggillah mereka (anak-anak angkat) kepada bapa-bapa mereka, yang demikian itu lebih tepat di sisi Allah.

Surah Al-Ahzab (5)

Maka bermula dari penurunan ayat ini Zaid bin Harithah kemudiannya dinasabkan semula dengan nama bapa kandungnya iaitu Haritsah. Ini seperti yang disebutkan oleh Imam Ibn Jarir al-Tobari ketika beliau menafsirkan ayat di atas dengan katanya:

انسبوا أدعياءكم الذين ألحقتم أنسابهم بكم لآبائهم، يقول لنبيه محمد صلى الله عليه وسلم: ألحق نسب زيد بأبيه حارثة، ولا تدعه زيدا بن محمد.

Maksudnya: ‘’Nasabkanlah anak-anak angkat yang kami nasabkan mereka kepada diri kamu itu kepada bapa-bapa kandung mereka. Allah berkata kepada Nabi-Nya S.A.W: Kembalikan lah nasab Zaid kepada bapanya Haritsah dan janganlah kamu memanggilnya dengan Zaid bin Muhammad’’.[1]

Demikian juga larangan hal ini adalah berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sa’d bin Abi Waqqas R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

مَنِ ادَّعَى إِلَى غَيْرِ أَبِيهِ، وَهْوَ يَعْلَمُ أَنَّهُ غَيْرُ أَبِيهِ، فَالْجَنَّةُ عَلَيْهِ حَرَامٌ

Maksudnya : Sesiapa yang mendakwa sebagai anak kepada bapa yang bukan bapa kandungnya dalam keadaan dia mengetahui bahawa dia sebenarnya bukan bapa kandungnya, maka haram ke atas dirinya itu syurga.

Riwayat Al-Bukhari

Jelas menurut syarak, anak angkat dilarang untuk dinasabkan kepada bapa angkat sepertimana yang telah dijelaskan dalam al-Quran. Namun syarak tidak melarang anak angkat memanggil bapa angkat sebagai “bapa” atau ibu angkatnya “ibu” sebagai tanda hormat dan memuliakan mereka berdua. Hal ini sebagaimana yang terkandung dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA, katanya:

قَدَّمَنَا رَسُولُ اللَّهِ ـ صلى الله عليه وسلم ـ أُغَيْلِمَةَ بَنِي عَبْدِ الْمُطَّلِبِ عَلَى حُمُرَاتٍ لَنَا مِنْ جَمْعٍ فَجَعَلَ يَلْطَحُ أَفْخَاذَنَا وَيَقُولُ ‏"‏ أُبَيْنِيَّ لاَ تَرْمُوا الْجَمْرَةَ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ ‏"‏ ‏

Maksudnya: Rasulullah SAW membawa kanak-kanak dari Bani Abdul Muttalib kepada kami dengan menunggang keldai. Lalu Baginda menepuk paha kami seraya bersabda: "Wahai anak-anakku, janganlah kalian melontar jamrah sehingga terbit matahari."

Imam Ibn Kathir menyebut dalam tafsirnya:

فَأَمَّا دَعْوَةُ الْغَيْرِ ابْنًا عَلَى سَبِيلِ التَّكْرِيمِ وَالتَّحْبِيبِ، فَلَيْسَ مِمَّا نُهِيَ عَنْهُ فِي هَذِهِ الْآيَةِ بِدَلِيلِ مَا رَوَاهُ الْإِمَامُ أَحْمَدُ وَأَهْلُ السُّنَنِ إِلَّا التِّرْمِذِيُّ، مِنْ حَدِيثِ سُفْيَانُ الثَّوْرِيُّ عَنْ سَلَمَةَ بْنِ كُهَيْلٍ عَنْ الْحَسَنِ الْعُرَنِيِّ عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: قَدِمْنَا عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُغَيْلِمَةَ بَنِي عَبْدِ الْمُطَّلِبِ عَلَى حُمُرَاتٍ لَنَا مِنْ جَمْعٍ، فَجَعَلَ يُلَطِّخُ أَفْخَاذَنَا وَيَقُولُ «أُبَيْنِيَّ لَا تَرْمُوا الْجَمْرَةَ حَتَّى تطلع الشمس»

Maksudnya: Memanggil orang lain dengan gelaran anak atas dasar memuliakan dan kasih sayang bukan perkara yang dilarang dalam ayat ini berdalilkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan ahli-Sunan kecuali al-Tirmizi daripada hadis Sufyan al-Thauri daripada Salamah bin Kuhail daripada Hasan al-Uraniy daripada Ibnu Abbas R.Anhuma berkata: Kami mendahulukan anak-anak dari bani Abdul Mutalib yang berada di atas keldai-keldai kami daripada Rasulullah SAW (ketika berangkat) dari Muzdalifah. Baginda lantas menepuk-nepuk paha kami sambil bersabda: "Wahai anak-anakku, janganlah kalian melontar jumrah (kecuali) sampai matahari terbit."[2]

KESIMPULAN

  1. Berdasarkan penerangan dan perbahasan yang dinyatakan maka dapat difahami bahawa Islam tidak melarang pasangan suami isteri yang tidak ada rezeki mempunyai anak untuk mengambil anak angkat.
  2. Namun Islam menetapkan agar tidak menasabkan anak angkat tersebut kepada bapa angkat, tetapi menasabkan anak angkat tersebut kepada nama bapa kandungnya.
  3. Sementara itu, Islam tidak melarang ibu bapa angkat untuk memanggil anak angkat tersebut dengan gelaran anak. Begitu juga anak angkat tersebut boleh memanggil ibu bapa angkat dengan gelaran ibu dan bapa.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] Abu Ja’far al-Tabari. Jami’ al-Bayan fi Ta’wil al-Quran. (Beirut: Muassasah al-Risalah, 1420) Jld. 20 Hlm. 207

[2] Abu Fida’ Ismail bin Umar bin Kathir, Tafsir al-Quran al-Azim. (Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah, 1419) Jld. 6 Hlm. 337