Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-839: HUKUM ORANG DEWASA BERMAIN DENGAN PATUNG PERMAINAN TEDDY BEAR

HUKUM_ORANG_DEWASA_BERMAIN_DENGAN_PATUNG_PERMAINAN_TEDDY_BEAR.jpg

 

Soalan:

Assalamualaikum wbt. Baru-baru ini timbul polemik berkenaan hukum tidur dengan patung teddy bear. Adakah benar hukumnya haram? Mohon pencerahan. Terima kasih.

 

Ringkasan Jawapan

Patung mainan atau seumpama dengannya seperti Teddy Bear hanya dibenarkan kepada golongan kanak-kanak sahaja sebagai kelonggaran untuk berhibur atau bermain.

 

Huraian Jawapan

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW, para sahabat serta mereka yang mengikut jejak langkah baginda hingga hari kiamat.

Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sayyidatina Aisyah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كُنْتُ أَلْعَبُ بِالْبَنَاتِ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكَانَ لِي صَوَاحِبُ يَلْعَبْنَ مَعِي فَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ يَتَقَمَّعْنَ مِنْهُ فَيُسَرِّبُهُنَّ إِلَيَّ فَيَلْعَبْنَ مَعِي

Maksudnya: “Aku pernah bermain anak patung di sisi Nabi SAW dan aku mempunyai teman-teman yang bermain bersamaku. Lalu apabila nabi SAW masuk, mereka menyorokkan diri daripada Baginda”, lalu Baginda memanggil dan menyuruh mereka bermain bersamaku.”

(Riwayat Bukhari: 6130)

Hadis ini menjadikan dalil yang menunjukkan keharusan bagi kanak-kanak bermain anak patung. Melalui hadis ini, Imam al-Syaukani menyebut:

وَفِي هَذَا الْحَدِيثِ دَلِيلٌ عَلَى أَنَّهُ يَجُوزُ تَمْكِينُ الصِّغَارِ مِنْ اللَّعِبِ بِالتَّمَاثِيلِ

Maksudnya: Hadis ini merupakan dalil bahawa harus membenarkan kanak-kanak bermain dengan anak patung.[1]

Imam al-Nawawi menyebut, secara asasnya para ulama mengharamkan pembuatan patung yang berbentuk haiwan.[2] Dalam penjelasan ini, Imam al-Nawawi menukilkan pandangan Qadi Iyad dengan menyatakan bahawa patung yang dianggap sebagai permainan kanak-kanak dibenarkan dan merupakan satu kelonggaran.[3]

Imam Ibn Hajar al ‘Asqalani menyatakan bahawa para ulama mengharuskan patung untuk kanak-kanak sebagai permainan. Hadis ini adalah pengecualian dari keumuman hadis yang melarang daripada mencipta sesuatu yang menandingi dengan ciptaan Allah. Malahan menurut beliau keharusan ini adalah bertujuan untuk melatih kanak-kanak perempuan menguruskan rumah dan anak-anak ketika mereka dewasa nanti.[4]

 

Dalam riwayat yang lain, Aisyah RA juga meriwayatkan:

قدم رسول الله - صلى الله عليه وسلم - من غزوة تبوك أو خيبر فذكر الحديث في هتكه الستر الذي نصبته على بابها قالت : " فكشف ناحية الستر على بنات لعائشة لعب فقال : ما هذا يا عائشة ؟ قالت : بناتي . قالت : ورأى فيها فرسا مربوطا له جناحان فقال : ما هذا ؟ قلت فرس . قال فرس له جناحان ؟ قلت : ألم تسمع أنه كان لسليمان خيل لها أجنحة ؟ فضحك حتى رأيت نواجذه

Maksudnya: “Ketika Rasulullah SAW pulang daripada peperangan Tabuk atau Khaybar, lalu Baginda mengangkat hujung tirai yang di dalamnya terdapat patung milik Aisyah RA. Baginda bertanya: “Apakah ini?” Aisyah RA menjawab: “Anak patung saya”. Lalu Baginda melihat patung seekor kuda yang memiliki sayap maka Bagindapun bertanya: “Apakah ini?” Aisyah RA menjawab: “Kuda”. Baginda bertanya lagi: “Apa yang ada padanya? Baginda bertanya: Kuda memiliki dua sayap? Aisyah RA menjawab: “Tidakkah kamu pernah mendengar bahawa Nabi Sulaiman AS mempunyai kuda yang memiliki sayap? Rasulullah SAW tertawa dengan sangat gembira sehingga saya dapat melihat gigi geraham Baginda.”

(Riwayat Abu Daud)

Menurut Imam al-Khattabi, hadis ini menjelaskan bahawa bermain dengan anak patung tidak sama dengan patung yang diharamkan. Diberikan keringanan kepada Aisyah RA untuk berbuat demikian kerana pada masa itu beliau masih belum baligh[5]. Walau bagaimanapun Imam Ibn Hajar al-Asqalani berkata:

وفي الجزم به نظر لكنه محتمل; لأن عائشة كانت في غزوة خيبر بنت أربع عشرة سنة إما أكملتها أو جاوزتها أو قاربتها . وأما في غزوة تبوك فكانت قد بلغت قطعا فيترجح رواية من قال في خيبر ، ويجمع بما قال الخطابي لأن ذلك أولى من التعارض .

Maksudnya: “Tidak dapat dipastikan benarkah Aisyah RA ketika itu belum baligh kerana Aisyah RA semasa perang Khaibar berumur tepat, lebih atau hampir kepada empat belas tahun. Adapun semasa perang Tabuk dapat dipastikan bahawa beliau telah mencapai usia 14 tahun, maka lebih diutamakan riwayat yang mengatakan selepas perang Khaibar. Dihimpunkan riwayat-riwayat ini dengan apa yang dijelaskan oleh al-Khattabi kerana itu lebih baik daripada pertentangan.”

Sekalipun Imam Ibn Hajar menyebut bahawa Aisyah RA ketika itu telah berumur 14 tahun namun beliau memilih untuk menggunakan pandangan al-Khattabi yang mengatakan ketika itu Aisyah RA belum baligh bagi mengelakkan berlaku kontradiksi dengan hadis-hadis yang mengharamkan patung. Hal ini kerana menghimpunkan antara pandangan lebih utama berbanding memilih salah satu pandangan. Imam al-Qurtubi berkata:

والجمع أولى من الترجيح إذا أمكن باتفاق أهل الأصول

Maksudnya: “Menghimpunkan itu lebih utama berbanding melakukan tarjih jika mampu dengan sepakat para ulama usul[6].”

 

Kesimpulan

Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa patung mainan atau seumpama dengannya seperti Teddy Bear hanya dibenarkan kepada golongan kanak-kanak sahaja sebagai kelonggaran untuk berhibur atau bermain.

Wallahu a'lam

 

Rujukan:

[1] Muhammad bin Ali al-Syaukani, Nail al-Autar. (Mesir: Dar al-Hadis, 1413) Jld. 6 Hlm. 245

[2] Abu Zakaria Mahyuddin al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim bin al-Hajjaj. ( Beirut: dar al-Turath al-’Arabiy, 1392) Jld. 14 Hlm. 82

قَالَ أَصْحَابُنَا وَغَيْرُهُمْ مِنَ الْعُلَمَاءِ تَصْوِيرُ صُورَةِ الْحَيَوَانِ حَرَامٌ شَدِيدُ التَّحْرِيمِ وَهُوَ مِنَ الْكَبَائِرِ لِأَنَّهُ مُتَوَعَّدٌ عَلَيْهِ بِهَذَا الْوَعِيدِ الشَّدِيدِ الْمَذْكُورِ فِي الْأَحَادِيثِ وَسَوَاءٌ صَنَعَهُ بِمَا يُمْتَهَنُ أَوْ بِغَيْرِهِ فَصَنْعَتُهُ حَرَامٌ بِكُلِّ حَالٍ لِأَنَّ فِيهِ مُضَاهَاةً لِخَلْقِ اللَّهِ تَعَالَى وَسَوَاءٌ مَا كَانَ فى ثوب أو بساط أودرهم أَوْ دِينَارٍ أَوْ فَلْسٍ أَوْ إِنَاءٍ أَوْ حَائِطٍ أَوْ غَيْرِهَا

[3] Ibid. Jld. 14 Hlm. 81

قَالَ الْقَاضِي إِلَّا ماورد فِي اللَّعِبِ بِالْبَنَاتِ لِصِغَارِ الْبَنَاتِ وَالرُّخْصَةِ فِي ذَلِكَ لَكِنْ كَرِهَ مَالِكٌ شِرَاءَ الرَّجُلِ ذَلِكَ لِابْنَتِهِ

[4] Al-‘Asqalani, Ahmad bin ‘Ali bin Hajar, Fath al-Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari. (Beirut: Dar al-Ma‘rifat, 1379H). Jld. 10 Hlm. 527.

جزم عياض ونقله عن الجمهور وأنهم أجازوا بيع اللعب للبنات لتدريبهن من صغرهن على أمر بيوتهن وأولادهن

[5] Ibid.

قال الخطابي : في هذا الحديث أن اللعب بالبنات ليس كالتلهي بسائر الصور التي جاء فيها الوعيد : وإنما أرخص لعائشة فيها لأنها إذ ذاك كانت غير بالغ

[6] Ahmad bin Umar al-Qurtubi, al-Mufhim lima Usyqila min Talkhis Kitab Muslim (Beirut: Dar Ibn Kathir, 1996) 4:313.