Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-840: HUKUM PENGGUNAAN PERANTI CONTINUOUS GLUCOSE MONITORING (CGM) SEMASA MANDI WAJIB

HUKUM_PENGGUNAAN_PERANTI_CONTINUOUS_GLUCOSE_MONITORING_CGM_SEMASA_MANDI_WAJIB.jpg

 

Soalan:

Assalamualaikum, saya telah didiagnosis oleh pakar perubatan sebagai pesakit diabetes berisiko tinggi. Justeru, saya perlu memakai peranti continuous glucose monitoring (CGM) pada bahagian lengan bagi mengetahui maklumat tentang tahap glukosa dalam badan (24 jam). Peranti ini perlu kekal selama beberapa hari sebelum ia diganti dengan yang baharu. Persoalannya, adakah penggunaan CGM akan menyebabkan mandi wajib saya tidak sah kerana air tidak dapat mengalir di kawasan tersebut? Mohon pencerahan SS Datuk Mufti.

Ringkasan Jawapan:

Pesakit diabetes yang berkeperluan untuk memakai peranti CGM wajib melakukan mandi junub seperti biasa iaitu dengan mengalirkan air ke seluruh bahagian tubuh badannya termasuk pada bahagian peranti CGM. Kemudian, dia wajib bertayamum sebagai ganti anggota yang tidak terkena air. Walau bagaimanapun, jika terdapat kesukaran bagi mendapatkan debu tanah untuk bertayamum, maka dia boleh mengambil pandangan kedua dalam mazhab Syafi’i (qaul qadim) yang tidak mewajibkan tayamum setelah bersuci.

Sekiranya pesakit memakai alat tersebut dalam keadaan tidak suci, maka solat fardu yang dilakukan dalam tempoh tersebut perlu diqada setelah dia sembuh berdasarkan pandangan muktamad dalam mazhab Syafi’i. Namun, jika tempoh itu terlalu lama dia boleh mengambil pandangan mazhab Maliki, Hanafi atau sebahagian Hanbali yang tidak mewajibkan untuk qada solat tersebut.

 

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

CONTINUOUS GLUCOSE MONITORING (CGM)

Menurut National Library Of Medicine, Continuous Glucose Monitoring (CGM) ialah peranti pemantauan paras glukosa dalam darah yang bersifat kalis air yang digunakan oleh pesakit diabetes mellitus. Ia diletakkan di bahagian belakang lengan atas atau perut. Peranti tersebut boleh kekal pada pesakit selama tiga hingga 14 hari bergantung kepada produk. Sensor pada peranti CGM boleh diimbas dengan aplikasi tertentu bagi mengetahui paras glukosa semasa atau perkembangan paras glukosa bagi tempoh lapan jam sebelumnya. Peranti ini boleh menyimpan data glukosa selama 90 hari dan data tersebut boleh dikongsikan dengan keluarga dan penasihat kesihatan melalui aplikasi telefon pintar. CGM juga boleh bertindak sebagai sistem penggera yang memberi amaran atau mesej apabila paras gula terlalu tinggi atau terlalu rendah.[1]

Pengidap penyakit diabetes perlu diberikan insulin secara berkala dan bacaan gula dalam badan perlu disemak setiap hari untuk memastikan paras gula dalam darah stabil. Oleh itu, proses ini akan menjadi lebih mudah sekiranya terdapat kemudahan daripada teknologi terkini. Peranti ini kekal di tempatnya selama beberapa hari sebelum ia perlu diganti. Sehubungan itu, terdapat persoalan adakah mandi wajib semasa menggunakan CGM dihukumkan sah kerana air tidak dapat mengalir di kawasan tersebut.

HUKUM PEMAKAIAN JABIRAH

Berhubung isu penggunaan peranti CGM ketika mandi wajib, maka hukumnya adalah sama seperti hukum pemakaian jabirah (balutan). Menurut mazhab Syafi’i, tata cara berwuduk bagi orang yang memakai balutan adalah seperti berikut:

  1. Berwuduk sehingga sampai pada anggota yang berbalut.
  2. Bertayamum pada anggota yang luka dan tidak boleh terkena air.
  3. Membasuh atau menyapu anggota yang sihat dan boleh terkena air.
  4. Menyapu permukaan atas pembalut yang membalut luka dengan air.
  5. Menyempurnakan baki wuduk.[2]

Manakala, tatacara mandi wajib bagi seseorang yang memakai balutan boleh dilakukan sama ada ingin mendahulukan mandi atau tayamum. Namun, sebaiknya mendahulukan mandi daripada tayamum agar air itu dapat menghilangkan kesan daripada debu tayamum.[3] Hal ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, daripada Jabir bin Abdullah RA berkata:

أنَّ رَجُلًا أصابه حَجَرٌ فَشَجَّهُ في رَأْسِهِ، ثُمَّ احْتَلَمَ؛ فَسَأَلَ أَصْحَابَهُ فَقَالَ: هَلْ تَجِدُونَ لي رُخْصَةً في التَّيَمُّمِ؟ فَقَالُوا: مَا نَجِدُ لَكَ رُخْصَةً وَأَنْتَ تَقْدِرُ عَلَى الْمَاءِ. فَاغْتَسَلَ؛ فَمَاتَ. فَلَمَّا قَدِمْنَا عَلَى النبي صلى الله عليه وآله وسلم أُخْبِرَ بِذَلِكَ فَقَالَ: قَتَلُوهُ قَتَلَهُمُ اللهُ، أَلاَّ سَأَلُوا إِذْ لَمْ يَعْلَمُوا فَإِنَّمَا شِفَاءُ الْعِىِّ السُّؤَالُ، إِنَّمَا كَانَ يَكْفِيهِ أَنْ يَتَيَمَّمَ وَيَعْصِرَ أَوْ يَعْصِبَ عَلَى جُرْحِهِ خِرْقَةً ثُمَّ يَمْسَحَ عَلَيْهَا وَيَغْسِلَ سَائِرَ جَسَدِهِ

Maksudnya: “Seorang lelaki telah ditimpa batu di kepalanya sehingga menyebabkan luka, kemudian dia bermimpi junub, maka dia bertanya kepada sahabatnya; Adakah terdapat rukhsah bagiku untuk bertayamum? mereka menjawab: Kami tidak mendapati adanya keringanan bagi dirimu dengan bertayamum sedangkan engkau masih mampu menggunakan air lalu dia pun mandi lalu meninggal dunia. Ketika kami datang kepada Rasulullah SAW dan memaklumkan mengenai hal tersebut lalu Baginda SAW bersabda: “Mereka telah membunuhnya, Allah SWT membinasakan mereka, tidakkah mereka bertanya sekiranya mereka tidak mengetahui, kerana ubat kepada kejahilan itu adalah dengan bertanya. Memadailah baginya untuk bertayamum dan membalut lukanya serta menyapu air di atas pembalut dan kemudian meratakan air ke seluruh badannya.”

(Riwayat Abu Daud)

Namun, menurut qaul qadim (fatwa lama) dalam mazhab Syafi’i tidak diwajibkan bertayamum setelah berwuduk, bahkan memadai dengan menyapu air ke atas balutan dan membasuh anggota lain yang sihat. Perkara ini dinyatakan oleh Imam al-Nawawi :

أصحهما عند الجمهور وجوبه هو نَصُّهُ فِي الْأُمِّ وَالْبُوَيْطِيِّ وَالْكَبِيرِ وَالثَّانِي لَا يَجِبُ وَهُوَ نَصُّهُ فِي الْقَدِيمِ وَظَاهِرُ نَصِّهِ فِي الْمُخْتَصَرِ وَصَحَّحَهُ الشَّيْخُ أَبُو حَامِدٍ وَالْجُرْجَانِيُّ وَالرُّويَانِيُّ فِي الْحِلْيَةِ

Maksudnya: “Pendapat yang paling kuat di sisi jumhur ialah wajib (menggabungkan antara basuhan dan tayamum), seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Syafi’i dalam al-Umm, al-Buwaiti dan al-Kabir. Manakala, pendapat yang kedua ialah tidak wajib (menggabungkan antara basuhan dan tayamum) seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Syafi’i dalam qaul qadim, dan zahir nas dalam kitab al-Mukhtasar. Pendapat ini juga disahihkan oleh Syeikh Abu Hamid, al-Jurjani, dan al-Ruyani dalam al- Hilyah.”[4]

KEADAAN YANG DIWAJIBKAN UNTUK QADA SOLAT

Menurut mazhab Syafi’i, pesakit yang diwajibkan untuk mengqada solat setelah sembuh daripada kesakitannya adalah seperti situasi berikut:

  1. Jika balutan itu dibalut pada anggota tayamum iaitu muka atau tangan hingga ke siku.
  2. Jika balutan itu dibalut pada anggota badan yang sihat secara berlebihan sehingga melebihi daripada had sepatutnya yang bertujuan mengikat anggota yang sakit.[5]

Syeikh Khatib al-Syirbini menyatakan bahawa syarat balutan itu mestilah dipakai dalam keadaan sudah mengambil wuduk atau mandi wajib sebelumnya. Hal ini diqiyaskan dengan hukum sapuan di atas khuf.[6] Justeru, sekiranya balutan dipasang bukan dalam keadaan sudah bersuci, maka dia wajib mengqada semua solat yang dilakukan dalam tempoh tersebut selepas sembuh daripada kesakitannya atau selepas dia tidak memakai jabirah lagi.

Walau bagaimanapun, Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab memilih pendapat Imam al-Muzani yang mengatakan bahawa orang yang membalut anggota tubuhnya dengan balutan, maka dia tidak perlu mengqada solatnya dalam semua keadaan di atas. Imam al-Nawawi menyatakan:

وأن المزني رحمه الله قال: كل صلاة وجبت في الوقت وإن كانت مع خلل لم يجب قضاؤها

Maksudnya: “Sesungguhnya Imam al-Muzani rahimahullah berkata: Setiap solat wajib dilakukan pada waktu yang ditentukan, sekalipun ada kecacatan maka ia tidak wajib diqada.”[7]

Begitu juga pandangan dalam mazhab Maliki, mazhab Hanafi dan salah satu pandangan dalam mazhab Hanbali menyatakan bahawa balutan tidak disyaratkan mesti dipasang dalam keadaan sudah berwuduk kerana secara realitinya perkara ini sangat sukar untuk dilakukan. Justeru, seseorang itu tidak perlu mengqada solat setelah ia sembuh. Pandangan ini lebih memberi kemudahan kepada orang ramai terutamanya jika tempoh memakai balutan itu mengambil masa yang lama.[8]

Dalam Panduan Bersuci & Bersolat Bagi Pesakit yang diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyebutkan: “Pesakit yang sebahagian besar badannya boleh terkena air sedangkan kecederaannya sedikit hendaklah mandi dan membasuh bahagian yang boleh terkena air mengikut kemampuan. Selebihnya hendaklah disapu dengan air. Setelah itu solat dan solat tidak perlu diulang.”[9]

Kesimpulan

1. Pesakit diabetes berkeperluan untuk memakai peranti CGM hendaklah melakukan mandi wajib seperti biasa iaitu dengan mengalirkan air ke seluruh bahagian tubuh badannya termasuk pada bahagian peranti CGM. Kemudian, dia wajib bertayamum sebagai ganti anggota yang tidak terkena air. Walau bagaimanapun, jika terdapat kesukaran bagi mendapatkan debu tanah untuk bertayamum, maka dia boleh mengambil pandangan kedua dalam mazhab Syafi’i (qaul qadim) yang tidak mewajibkan tayamum setelah bersuci.

2. Sekiranya pesakit memakai alat tersebut dalam keadaan belum berwuduk atau mandi junub, maka solat fardu yang dilakukan dalam tempoh tersebut perlu diqada setelah dia sembuh berdasarkan pandangan muktamad dalam mazhab Syafi’i. Namun, jika tempoh itu terlalu lama dia boleh mengambil pandangan mazhab Maliki, Hanafi atau sebahagian Hanbali yang tidak mewajibkan untuk qada solat tersebut.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] National Library Of Medicine. (2023). Blood Glucose Monitoring. Diakses pada Oktober 2023 daripada https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK555976/ . Diterbitkan 23 April.

[2] Hasan bin Ahmad, al-Kaff. al-Taqrirat al-Sadidah fi Masail al-Mufidah. (Yaman: Dar al-Ilm wa al-Dakwah,2003) hlm. 152.

كيفية وضوء صاحب الجبيرة:1-يتوضأ حتى يصل إلى العضو الذي عليه الساتر.2-يتيمم عن الجريح.3-يغسل الصحيح من العضو.4-يمسح بالماء على الساتر الذي على الجرح.5-يكمل ما بقي من الوضوء

[3] Ibid.

كيفية الغسل صاحب الجبيرة: يتخير بين أن يقدم الغسل أولا أو التيمم, والأفضل تقديم التيمم, ليزيل الغسل أثر التراب.

[4] Yahya bin Syaraf, al-Nawawi. (1347H). al-Majmuk Syarh al-Muhazzab. Beirut: Dar al-Fikr. Jld. 2, hlm. 327.

[5] Muhammad bin Ahmad al-Syatiri. Syarh al-Yaqut al-Nafis. (Beirut: Dar al-Hawi, 1997). Hlm 164.

وبهذا يتضح أن للجبيرة اربعة أحكام:

1- إعادة الصلاة مطلقا, إذا كانت في الوجه أو اليدين.

2- إعادة الصلاة مطلقا, إذا أخذت من الصحيح زيادة على قدر الاستمساك.

[6] Muhammad bin Muhammad, Khatib al-Syirbini. Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Alfaz al-Minhaj. (t.p: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1994). Jld 1. Hlm 276.

فَاشْتُرِطَ فِيهِ الْوَضْعُ عَلَى طُهْرٍ كَالْخُفِّ. وَقِيلَ: لَا يَجِبُ لِلضَّرُورَةِ

[7] Yahya bin Syaraf, al-Nawawi. al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. (Beirut: Dar al-Fikr, 1347H). Jld. 2, hlm. 338.

[8] Muhammad bin Ahmad al-Syatiri. Syarh al-Yaqut al-Nafis. (Beirut: Dar al-Hawi, 1997). Hlm 166.

عرفنا أن صلاة المتيمم مع الجبيرة عند الشافعية يجب إعادتها في ثلاث حالات – وقد مرت معنا -. وأما بقية المذاهب الثلاثة, فيقول أصحابها ليس عليه إعادة بعد برء العليل, وفيها تيسير. وخصوصا إذا طالت مدة العلة.

[9] https://www.islam.gov.my/images/ePenerbitan/panduan_bersuci_dan_bersolat_bagi_pesakit.pdf