Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-855: BENARKAH NGO BOLEH MENGGUNAKAN 30% DARIPADA DUIT SUMBANGAN ORANG RAMAI?

HUKUM_NGO_BOLEH_MENGGUNAKAN_30_DARIPADA_DUIT_SUMBANGAN_ORANG_RAMAI.pptx.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum ada yang mendakwa bahawa Bank Negara membenarkan untuk NGO mengambil 30% daripada kos pengurusan. Adakah dakwaan ini benar dan jika tidak benar apakah hukumnya NGO mengambil duit tersebut?

Ringkasan Jawapan

Sebarang penggunaan duit sumbangan perlu mendapat keizinan daripada penderma terlebih dahulu, melainkan untuk perkara yang telah diterima secara uruf seperti penggunaan untuk kos pengurusan. Namun jumlah yang digunakan perlulah berdasarkan kos pengurusan sebenar. Menetapkan jumlah peratusan tertentu akan menyebabkan jumlah duit yang digunakan melebihi daripada kos pengurusan yang sebenar dan hukum mengambil duit lebih daripada yang diperlukan untuk kos pengurusan sebenar tanpa keizinan daripada penderma adalah haram.

Selain itu jumlah 30% untuk digunakan sebagai kos pengurusan tidak pernah ditetapkan oleh mana-mana pihak termasuk pihak Bank Negara Malaysia. Pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) hanya meletakkan panduan umum bahawa kos pengurusan NGO yang baik adalah tidak melebihi 30% daripada belanjawan tahunan. Semua pihak yang terlibat dinasihatkan agar menggunakan duit sumbangan orang ramai dengan berhati-hati. Ia adalah amanah yang dipertanggungjawabkan oleh orang ramai untuk dilaksanakan dan setiap sen yang diambil akan dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat kelak.

Huraian Jawapan

Pada asasnya derma atau sumbangan ialah pemberian ikhlas daripada seseorang untuk diberikan kepada seseorang yang lain[1]. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, sumbangan diertikan sebagai sesuatu yang diberikan sebagai bantuan atau pertolongan[2]. Setiap sumbangan yang diberikan akan diganjari oleh Allah SWT dengan ganjaran yang banyak. Firman Allah SWT:

مَّثَلُ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَٰلَهُمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنۢبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِى كُلِّ سُنۢبُلَةٍ مِّا۟ئَةُ حَبَّةٍ ۗ وَٱللَّهُ يُضَٰعِفُ لِمَن يَشَآءُ ۗ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya”.

(Surah al-Baqarah: 261)

Sebahagian orang mendakwa bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) membenarkan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) untuk mengambil hingga 30% daripada sumbangan orang ramai yang terkumpul untuk menampung kos pengurusan. Namun pihak BNM melalui kenyataan rasminya telah menafikan dakwaan tersebut kerana Pertubuhan Bukan Kerajaan tidak tertakluk di bawah bidang kuasa pengawalseliaan BNM[3].

Walau bagaimanapun Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) dalam Kod Tadbir Urus Baik Pertubuhan menyatakan bahawa perbelanjaan pentadbiran NGO hendaklah tidak melebihi 30% daripada belanjawan tahunan (overead cost)[4]. Selain itu, turut dinyatakan Ikrar Integriti Pertubuhan yang antaranya adalah tiada ahli-ahli, pekerja atau penderma-penderma yang menggunakan pertubuhan itu untuk kepentingan peribadi[5].

Duit sumbangan orang ramai boleh dilihat kepada bab wakalah (seseorang melantik pihak lain sebagai wakil). Seseorang yang diamanahkan untuk mengumpul duit sumbangan merupakan wakil kepada orang ramai bagi menyerahkan duit tersebut kepada saluran yang sepatutnya. Seorang wakil tidak boleh melakukan sesuatu kepada duit tersebut melainkan berdasarkan keizinan daripada orang yang mewakilkan. Imam al-Syirazi salah seorang ulama mazhab Syafi’i berkata:

لا يملك الوكيل من التصرف إلا ما يقتضيه إذن الموكل من جهة النطق أو من جهة العرف؛ لأن تصرفه بالإذن فلا يملك إلا ما يقتضيه الإذن

Maksudnya: “Wakil tidak memiliki hak untuk melakukan sesuatu melainkan dengan keizinan orang yang mewakilkan sama ada secara lisan ataupun uruf kerana tindakan wakil perlu dengan izin (orang yang mewakilkan). Oleh itu, dia tidak boleh memiliki (hak untuk melakukan sesuatu) melainkan dengan izin[6].”

 

Mengenai duit sumbangan yang dikhususkan untuk tujuan tertentu, ia tidak boleh digunakan melainkan untuk perkara yang telah dikhususkan. Hal ini seperti yang telah dinyatakan oleh Syeikh al-Jamal:

لَوْ دَفَعَ لَهُ تَمْرًا لِيُفْطِرَ عَلَيْهِ تَعَيَّنَ لَهُ عَلَى مَا يَظْهَرُ فَلَا يَجُوزُ اسْتِعْمَالُهُ فِي غَيْرِهِ نَظَرًا لِغَرَضِ الدَّافِعِ.

Maksudnya: “Jika seseorang memberi kurma untuk berbuka puasa maka hendaklah digunakan hanya untuk tujuan tersebut berdasarkan yang zahir. Tidak harus menggunakannya untuk tujuan yang lain melihat kepada kehendak orang yang memberi[7].”

Syeikh Zakaria al-Ansari pula berkata:

وَلَوْ أَعْطَاهُ دَرَاهِمَ وَقَالَ اشْتَرِ لَك بِهَا عِمَامَةً أَوْ اُدْخُلْ بِهَا الْحَمَّامَ أَوْ نَحْوَ ذَلِكَ تَعَيَّنَتْ لِذَلِكَ مُرَاعَاةً لِغَرَضِ الدَّافِعِ، هَذَا إنْ قَصَدَ سَتْرَ رَأْسِهِ بِالْعِمَامَةِ وَتَنْظِيفَهُ بِدُخُولِهِ الْحَمَّامَ لِمَا رَأَى بِهِ مِنْ كَشْفِ الرَّأْسِ وَشَعَثِ الْبَدَنِ وَوَسَخِهِ، وَإِلَّا أَيْ وَإِنْ لَمْ يَقْصِدْ ذَلِكَ بِأَنْ قَالَهُ عَلَى سَبِيلِ التَّبَسُّطِ الْمُعْتَادِ، فَلَا تَتَعَيَّنُ لِذَلِكَ، بَلْ يَمْلِكُهَا أَوْ يَتَصَرَّفُ فِيهَا كَيْفَ شَاءَ

Maksudnya: “Sekiranya seseorang memberikan beberapa dirham kepada seseorang yang lain lalu berkata: ‘’Belilah buat untuk kamu dengan wang ini atau gunakan wang ini untuk masuk ke dalam bilik mandi’, atau seumpamanya, maka menjadi tuntutan kepada penerima melakukan perkara tersebut bagi meraikan tujuan penyumbang. Namun, tuntutan ini hanya terpakai sekiranya apa yang dimaksudkan melalui pembelian serban dan masuk bilik mandi tersebut bagi tujuan menutup kepala atau membersihkan diri disebabkan dia melihat kepala penerima terdedah (tidak tertutup) dan badannya kelihatan kotor. Sebaliknya jika dia menyatakannya dalam bentuk pernyataan yang memberi keluasan secara adat kebiasaan, maka tidak menjadi kewajipan untuk menggunakan duit tersebut bagi tujuan di atas. Bahkan penerima berhak memilikinya atau menggunakan wang tersebut bagaimanapun yang dia kehendaki[8].”

Sebahagian institusi fatwa meletakkan isu ini sama dengan hukum harta waqaf. Perkara ini dijelaskan oleh Jabatan Fatwa Jordan[9]:

الأصل أن يكون صرف التبرعات حسب نية المتبرع وشرطه؛ لأن المتبرع بمنزلة الواقف، والأصل التزام شرط الواقف؛ فلا يُصرف المال إلا حيث أراد.

Maksudnya: "Para ulama menjelaskan bahawa hasil kutipan sedekah dan wakaf wajib diagihkan kepada niat dan syarat yang telah ditetapkan penderma atau pewakaf. Bahkan haram disalurkan pada apa yang bukan disyaratkan oleh penderma."

 

Selain itu, Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan (JPHSWP) kali ke-137 yang bersidang pada 9 hingga 10 Jun 2022 telah memutuskan bahawa:

  1. Hukum menggunakan wang sumbangan orang ramai untuk tujuan kebaikan seperti mempromosi sumbangan adalah harus jika mendapat keizinan daripada penderma.
  2. Keizinan daripada penderma boleh diperolehi dengan cara pihak yang mengumpul derma menyatakan secara jelas pada iklan tentang hasrat mereka untuk menggunakan sebahagian daripada duit sumbangan bagi membayar kos promosi dan pengiklanan.
  3. Jumlah dana yang digunakan bagi tujuan promosi hendaklah sekadar keperluan, di samping memastikan duit tersebut digunakan dengan cermat dan memberi kebaikan kepada penderma.
  4. Jika wang telah dikumpulkan, pihak pengumpul dana perlu memaklumkan dan mendapat keizinan daripada penderma terlebih dahulu melalui pelbagai cara yang mampu dilakukan sebelum menggunakan sebahagian daripada dana tersebut untuk membayar kos pengiklanan.

Oleh itu, sebarang penggunaan duit sumbangan perlu mendapat keizinan daripada penderma terlebih dahulu, melainkan untuk perkara yang telah diterima secara uruf seperti penggunaan untuk kos pengurusan. Namun jumlah yang digunakan perlulah berdasarkan kos pengurusan sebenar. Menetapkan jumlah peratusan tertentu akan menyebabkan jumlah duit yang digunakan melebihi daripada kos pengurusan yang sebenar dan hukum mengambil duit lebih daripada yang diperlukan untuk kos pengurusan sebenar tanpa keizinan daripada penderma adalah haram.

Kesimpulan

Jumlah 30% untuk digunakan sebagai kos pengurusan tidak pernah ditetapkan oleh mana-mana pihak termasuk pihak Bank Negara Malaysia (BNM).

Pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) hanya meletakkan panduan umum bahawa kos pengurusan NGO yang baik adalah tidak melebihi 30% daripada belanjawan tahunan.

Kami menasihatkan supaya duit sumbangan orang ramai digunakan dengan berhati-hati. Ia adalah amanah yang dipertanggungjawabkan oleh orang ramai untuk dilaksanakan dan setiap sen yang diambil akan dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat kelak.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] Lihat: https://www.jawhar.gov.my/wp-content/uploads/2021/12/Pengenalan-Sumber-Am.pdf

[2] Lihat: https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=sumbangan

[3] Lihat: Facebook rasmi Bank Negara Malaysia (BNM) yang disiarkan pada 18 Mac 2022. https://www.facebook.com/photo.php?fbid=339880154840626&id=100064559328856&set=a.231115039050472

[4] Lihat: https://www.ros.gov.my/www/assets/Kod-Tadbir-Urus-Baik-Pertubuhan.pdf

[5] Ibid.

[6] Imam al-Syirazi, al-Muhazzab fi Fiqh Imam al-Syafii, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah (t.t), jld. 2, hlm. 166.

[7] Syeikh Jamal, Hasyiah Jamal ‘ala Syarh al-Manhaj, Beirut: Dar al-Fikr (t.t), jld. 2, hlm. 328.

[8] Zakaria al-Ansari, Asna al-Matalib Sarh Raudh al-Talib, Qaherah: Dar al-Kitab al-Islami (t.t), jld. 2, hlm. 479.

[9] Lihat: https://www.aliftaa.jo/Question.aspx?QuestionId=2693#.YpRtji8RpQJ