Soalan
Assalamualaikum Datuk Mufti, saya seorang yang menetap di sebuah negara Eropah. Di sini, ada sesetengah masjid yang mempunyai waktu azan yang lebih awal berbanding masjid-masjid lain. Sebagai contoh, di tempat tinggal saya ada 3 masjid, dua daripadanya azan isyak pada 7:55 malam, manakala masjid yang lagi satu azan waktu isyak pada 7:42 malam dan iqamat pada 7:52 malam, sebelum waktu azan kedua-kedua masjid tadi,
Soalan saya, adakah saya boleh solat Isyak di masjid yang lebih awal waktu solatnya?
Mohon penjelasan.
Ringkasan Jawapan
Jika diketahui bahawa azan yang lebih awal itu adalah azan oleh orang yang dipercayai dan diperakui kemampuannya dalam menentukan waktu solat dengan tepat, maka dibolehkan untuk berpegang dengan azan tersebut, manakala jika tidak dapat diketahui perkara tersebut, maka hendaklah untuk berpegang kepada azan yang lebih lewat supaya lebih diyakini bahawa waktu solat telah masuk.
Huraian Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Allah SWT telah mensyariatkan solat 5 waktu sehari semalam dan telah menentukan waktu-waktu yang tertentu setiap bagi setiap solat, firman Allah SWT:
إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ كَانَتۡ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ كِتَٰبٗا مَّوۡقُوتٗا
Maksudnya: “Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”
(Al-Nisa’:103)
Ayat tersebut secara umum tentang kewajipan solat pada waktu-waktu yang telah ditetapkan, adapun perincian tentang waktu mula dan tamat setiap solat telah disebut dalam banyak hadis-hadis dan boleh diringkaskan seperti berikut:
- Zohor: Waktunya bermula dengan gelincir matahari dan berakhir apabila bayang-bayang sesuatu objek menjadi sama panjang dengan objek tersebut.
- Asar: Waktunya apabila bayang-bayang sesuatu objek menjadi sama panjang dengan objek tersebut dan melebihi sedikit dan berakhir dengan tenggelamnya matahari.
- Maghrib: Waktunya bermula dengan tenggelamnya matahari dan berakhir dengan hilangnya mega merah atau syafaq ahmar di langit.
- Isya: Waktunya bermula dengan hilangnya mega merah di langit dan berakhir apabila terbit fajar sadiq.
- Subuh: Waktunya bermula apabila terbit fajar dan berakhir apabila terbit sedikit daripada matahari.[1]
Justeru, antara syarat sah solat ialah mengetahui masuk waktu sama ada secara yakin atau secara sangkaan kuat. Hal ini seperti yang disebut oleh Ibn Hajar al-Haitami, kata beliau:
أَحَدُهَا (مَعْرِفَةُ) دُخُولِ (الْوَقْتِ) وَلَوْ ظَنًّا مَعَ دُخُولِهِ بَاطِنًا فَلَوْ صَلَّى غَيْر ظَانٍّ وَإِنْ وَقَعَتْ فِيهِ أَوْ ظَانًّا وَلَمْ تَقَعْ فِيهِ لَمْ تَنْعَقِدْ[2]
Maksudnya: “(Syarat sah solat) yang pertama ialah mengetahui masuk waktu walaupun secara sangkaan kuat bersamaan masuk waktunya secara tidak jelas keadaannya. Jika seseorang mengerjakan solat tanpa sangkaan kuat (bahawa telah masuk waktu solat) walaupun pada hakikatnya waktu solat sudah masuk, atau jika seseorang itu solat dengan sangkaan kuat bahawa waktu solat telah masuk tetapi pada hakikatnya belum, maka hukum solat (dalam dua keadaan ini) tidak sah.”
Oleh yang demikian, jika seseorang itu menunaikan solat tanpa mengetahui sudah masuk waktu atau belum, maka solat itu tidak sah walaupun pada hakikatnya solat itu dilakukan dalam waktunya. Namun, jika solat dilakukan dengan sangkaan kuat bahawa waktu solat telah masuk kemudian didapati bahawa solat itu dilakukan pada luar waktu, maka terdapat tiga keadaan:
- Jika solat itu dilakukan sebelum masuk waktu dan orang tersebut mempunyai solat fardu yang lepas yang ditinggalkan dan belum diganti, maka solat itu menjadi solat qada kepada solat yang lepas. Adapun solat yang ingin dilakukan pada waktu itu mestilah diulang semula apabila sudah masuk waktu.
- Jika dalam situasi yang sama tetapi tidak ada solat fardu yang belum diganti, maka solat itu dikira sebagai solat sunat mutlak.
- Jika didapati solat itu dilakukan selepas tamat waktu, maka solat itu menjadi solat qada kepada waktu yang terlepas itu. Oleh itu, solat itu tidak perlu diulang semula[3].
Selain itu, para ulama juga telah menetapkan bahawa terdapat tiga cara untuk mengetahui waktu solat:
- Mengetahui dengan yakin: Iaitu dengan melihat kepada petunjuk waktu solat yang boleh dilihat iaitu terbit fajar, gelincir matahari, panjang bayang-bayang menjadi sama dengan panjang objek bayang-bayang tersebut, terbenam matahari dan hilangnya mega merah atau syafaq ahmar di langit. Orang yang mampu untuk melakukan cara ini tidak boleh bertaklid untuk mengetahui waktu solat.
- Mengetahui dengan sangkaan kuat atau ijtihad, iaitu dengan melihat kepada petunjuk-petunjuk lain yang menunjukkan masuk waktu secara tidak langsung seperti mengira pergerakan dan panjang bayang-bayang.
- Bagi yang tidak mampu melakukan dua cara di atas, dia perlu bertaklid dan mengikut orang yang mengetahui seperti muazzin.[4]
Berdasarkan persoalan di atas, perbezaan waktu solat ini boleh berlaku di tempat yang tiada autoriti yang menyelaraskan takwim waktu solat seperti di negara minoriti muslim. Hal ini boleh dikaitkan dengan perbahasan para ulama berkaitan hukum bertaklid kepada muazzin untuk mengetahui waktu solat. Dalam hal ini, Imam al-Nawawi ada menjelaskan bahawa pendapat yang paling tepat di sisi mazhab syafi‘i ialah diharuskan untuk bertaklid dengan muazzin yang dipercayai dan diperakui kemampuannya dalam menentukan waktu solat dengan tepat sama ada bagi orang yang buta dan yang boleh melihat dan sama ada ketika cuaca cerah atau mendung.[5]
Oleh itu, jika diketahui bahawa seorang muazzin itu diperakui kemampuannya dalam menentukan waktu solat dengan tepat seperti seperti diiktiraf oleh orang-orang berilmu yang tinggal di situ, maka boleh untuk bertaklid dengannya walaupun azannya lebih awal daripada azan yang lain. Adapun jika tidak dapat dipastikan perkara tersebut, maka hendaklah berpegang kepada azan yang paling lewat kerana ia lebih diyakini bahawa waktu solat telah betul-betul masuk.
Kesimpulan
Jika diketahui bahawa azan yang lebih awal itu adalah azan oleh orang yang yang dipercayai, maka dibolehkan untuk berpegang dengan azan tersebut.
Namun, jika tidak dapat diketahui perkara tersebut, maka hendaklah untuk bepegang kepada azan yang lebih lewat supaya lebih diyakini bahawa waktu solat telah masuk.
Wallahu a'lam
Rujukan:
[1] Hasan bin Ahmad bin Muhammad al-Kaf, al-Taqrirat al-Sadidah, (Tarim: Dar al-Ilm wa al-Dakwah, 2003), 182-186.
[2] Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Haitami, Tuhfat al-Muhtaj fi Sharh al-Minhaj (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-Arabiy, t.t), 2: 110.
[3] Hasan bin Ahmad bin Muhammad al-Kaf, al-Taqrirat al-Sadidah, 200.
لو صلى بعد الاجتهاد، ثم تبين أنها خارج الوقت، فما حكم صلاته؟ فيه تفصيل
1- إذا وقعت قبل دخول الوقت: فتكون قضاء إن كانت عليه فائتة، وإلا وقعت نافلة مطلقة.
2- إذا وقعت بعد خروج الوقت: فتكون قضاء لتلك الصلاة.
[4] Muhammad al-Zuhaili, al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Shafi’I, (Damsyik: Dal al-Qalam, 2011) 1:207.
ويعرف الشخص بدخول وقت الصلاة بأحد الوسائل الآتية:
1- العلم اليقيني: بأن كان بصيراً وقادراً على معرفة المواقيت بالأدلة المحسوسة ، بمعرفة طلوع الفجر، وزوال الشمس، ووصول الظل إلى منله، وغروب الشمس، وغياب الشفق الأحمر، ولا يسعه أن يقلد غيره، وإن كان الجو غيما راعى ذلك، وتوخى مرور الزمان حتى يتقن دخول الوقت، ثم يصلي.
2- العلم الظني بالاجتهاد: وذلك بأن يعتمد على أدلة ظنية ذات دلالة غير مباشرة كالظل، والقياس بالأعمال وطولها.
3- التقليد: وذلك عند تعذر العلم اليقيني أو العلم الظني، فيقلد غيره، ويعتمد على قول الخبير في ذلك كالمؤذن، وكذا الأعمى في تقليد البصير، والجاهل بالوقت في تقليد العالم.
[5] Yahya bin Sharaf al-Nawawi, al-Majmu’ Sharh al-Muhazzab, (Kaherah: al-Muniriyyah, 1345H), 3:73.
المؤذن الثقة العارف بالمواقيت هل يجوز اعتماده في دخول الوقت فيه أربعة أوجه أحدها يجوز للأعمى في الصحو والغيم ويجوز للبصير في الصحو ولا يجوز له في الغيم لأنه في الغيم مجتهد والمجتهد لا يقلد المجتهد وفي الصحو يشاهد فهو مخبر عن مشاهدة وهذا الوجه هو الذي رجحه الروياني والرافعي وغيرهما: والثاني وهو الأصح يجوز للبصير والأعمى في الصحو والغيم قاله ابن سريج والشيخ أبو حامد وصححه صاحبا التهذيب ونقله عن نص الشافعي رحمه الله وقطع به البندنيجى وصاحب العدة قال البندبيجى ولعله إجماع المسلمين لأنه لا يؤذن في العادة إلا في الوقت