Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-895: HUKUM MEMBERI ‘RATING’ DAN ‘REVIEW’ BARANG YANG BELUM DIGUNAKAN UNTUK MENDAPATKAN SHOPEE COINS

HUKUM_MEMBERI_RATING_DAN_REVIEW_BARANG_YANG_BELUM_DIGUNAKAN_UNTUK_MENDAPATKAN_SHOPEE_COINS.jpg

Soalan

Assalamualaikum ustaz, terdapat ramai pelanggan di Shopee yang terus memberi ‘review’ dan ‘rating’ sebaik sahaja menerima barang yang dibeli untuk mendapatkan sejumlah ‘coins’ walaupun belum menggunakan produk tersebut dan memeriksa kualitinya. Adakah perkara ini dibolehkan?

Ringkasan Jawapan

  1. Memberi penilaian (rating) dan ulasan (review) tanpa menggunakan barang yang dibeli merupakan satu bentuk perbuatan menipu dan memperdayakan orang lain yang diharamkan.
  2. Shopee Coins yang diterima hasil daripada penilaian dan ulasan yang palsu adalah haram dan hendaklah dibiarkan sehingga luput.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Shopee Coins merupakan satu bentuk mata ganjaran di platform perdagangan Shopee. Ia boleh diperoleh melalui pembelian barang, melakukan beberapa tugasan di aplikasi shopee dan lain-lain[1]. Ia dikira sebagai harta kerana mempunyai nilai dan boleh ditebus kepada baucar atau digunakan untuk membayar barang yang dibeli di Shopee.

Secara asasnya, hukum pemberian Shopee Coins oleh pihak Shopee kepada pengguna adalah harus berdasarkan akad ju’alah. Ju’alah ialah satu kontrak di mana satu pihak berjanji untuk memberi ganjaran sebagai balasan bagi perbuatan tertentu yang dilakukan oleh pihak lain yang diketahui atau tidak diketahui.[2] Dalam hal ini, pihak Shopee menjanjikan untuk memberi sejumlah Shopee Coins kepada sesiapa yang memberi penilaian (rating) dan ulasan (review) serta menyertakan gambar dan video barang yang dibelinya dalam tempoh yang ditetapkan.

Walau bagaimanapun, timbul isu apabila terdapat sebahagian pembeli terus memberi penilaian dan ulasan selepas barang diterima untuk mendapatkan Shopee Coins walaupun belum menggunakan barang tersebut. Mereka juga kadang-kadang meletakkan gambar yang tidak berkaitan untuk memenuhi syarat yang diletakkan oleh Shopee. Isu ini boleh dilihat daripada dua sudut iaitu hukum memberi penilaian palsu dan hukum menerima ganjaran daripada penilaian palsu.

Memberi penilaian dan ulasan produk yang dibeli tanpa menggunakan dan memeriksa kualiti sebenarnya boleh memperdayakan pembeli-pembeli yang lain. Penilaian dan ulasan yang baik tanpa mengetahui hakikat sebenar produk tersebut boleh menyebabkan pembeli lain meyakini kualiti produk tersebut yang mungkin tidak bertepatan dengan hakikat sebenar. Justeru, perbuatan tersebut merupakan satu bentuk penipuan yang diharamkan berdasarkan firman Allah SWT:

فَٱجۡتَنِبُواْ ‌ٱلرِّجۡسَ ‌مِنَ ٱلۡأَوۡثَٰنِ وَٱجۡتَنِبُواْ قَوۡلَ ٱلزُّورِ

Maksudnya: “Maka jauhilah kekotoran syirik yang disebabkan oleh penyembahan berhala, serta jauhilah perkataan yang dusta.”

(Surah al-Hajj: 30)

Selain itu, Rasulullah SAW juga bersabda:

ليس منا من غش

Maksudnya: “Bukan daripada kalangan kami orang yang berdusta.”

(Riwayat Abu Daud)

Syeikh Muhammad Shamsul Haq al-‘Azim Abadi mensyarahkan hadis ini mengatakan bahawa ia merupakan dalil pengharaman menipu yang merupakan ijmak ulama.[3]

Berdasarkan penjelasan di atas, Shopee Coins yang diterima oleh pembeli atas penilaian dan ulasan palsu tanpa menggunakan dan memeriksa kualiti produk yang dibeli merupakan ganjaran daripada perbuatan yang haram. Oleh itu, ia haram untuk digunakan dan hendaklah dibiarkan sehingga luput.

Fatwa Dar al-Ifta’ Jordan (Jabatan Fatwa Jordan) juga menyatakan perkara yang sama iaitu diharuskan untuk menerima ganjaran wang atau diskaun yang diberikan oleh laman web ketika membeli atau menilai produk dengan syarat mengelakkan sebarang penipuan, penyelewengan, atau pemalsuan dalam penilaian produk dan memastikan penilaian tersebut benar dan jujur.[4]

Akhir kata, semua pelanggan yang membeli barang di mana-mana platform atas talian dinasihatkan untuk sentiasa jujur dalam setiap ulasan yang diberikan terhadap produk yang dibeli. Perkara ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW:

عَلَيْكُمْ بِالصِّدْقِ ، فَإِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِيْ إِلَى الْبِرِّ ، وَإِنَّ الْبِرَّ يَهْدِيْ إِلَى الْجَنَّةِ ، وَمَا يَزَالُ الرَّجُلُ يَصْدُقُ وَيَتَحَرَّى الصِّدْقَ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللهِ صِدِّيْقًا ، وَإِيَّاكُمْ وَالْكَذِبَ ، فَإِنَّ الْكَذِبَ يَهْدِيْ إِلَى الْفُجُوْرِ ، وَإِنَّ الْفُجُوْرَ يَهْدِيْ إِلَى النَّارِ ، وَمَا يَزَالُ الرَّجُلُ يَكْذِبُ وَيَتَحَرَّى الْكَذِبَ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللهِ كَذَّابًا

Maksudnya: “Hendaklah kalian sentiasa berlaku jujur kerana kejujuran itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan itu membawa seseorang ke syurga. Apabila seorang selalu berlaku jujur dan melazimi kejujuran, maka dia akan dicatat di sisi Allah sebagai orang yang jujur. Jauhilah kalian daripada berdusta kerana dusta itu membawa seseorang kepada kejahatan dan kejahatan itu membawa seseorang ke Neraka. Apabila seseorang itu sentiasa berdusta dan melazimi kedustaan, maka dia akan dicatat di sisi Allah sebagai pendusta (pembohong).”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kesimpulan

Memberi penilaian (rating) dan ulasan (review) palsu tanpa menggunakan barang yang dibeli dan memeriksa kualiti sebenarnya merupakan satu bentuk perbuatan menipu dan memperdayakan orang lain yang diharamkan.

Shopee Coins yang diterima hasil daripada penilaian dan ulasan yang palsu adalah haram dan hendaklah dibiarkan sehingga luput.

WaAllahua’lam

 

Rujukan: 

[1] Rujuk: https://help.shopee.com.my/portal/4/article/78476-[Shopee-Coins]-What-is-Shopee-Coins

[2] Muhammad al-Zuhaili, Al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Shafi’i, (Beirut: Dar al-Qalam, 2011), Jld. 3 Hlmn. 267

التزام عوض معلوم على عمل معين أو مجهول عسر علمه، من شخص معين أو مجهول.

[3] Muhammad Shams al-Haq al-‘Azim Abadi, ‘Aun al-Ma’bud Sharh Sunan Abi Daud, (Riyadh: Maktabah al-Ma’arif: 2009), Jld. 5 hlmn. 252

قَالَ الْخَطَّابِيُّ مَعْنَاهُ لَيْسَ عَلَى سِيرَتِنَا وَمَذْهَبِنَا يُرِيدُ أَنَّ مَنْ غَشَّ أَخَاهُ وَتَرَكَ مُنَاصَحَتَهُ فَإِنَّهُ قَدْ تَرَكَ اتِّبَاعِي وَالتَّمَسُّكَ بِسُنَّتِي وَقَدْ ذَهَبَ بَعْضُهُمْ إِلَى أَنَّهُ أَرَادَ بِذَلِكَ نَفْيَهُ عَنِ الْإِسْلَامِ وَلَيْسَ هَذَا التَّأْوِيلُ بِصَحِيحٍ وَإِنَّمَا وَجْهُهُ مَا ذَكَرْتُ لَكَ وَهَذَا كَمَا يَقُولُ الرَّجُلُ لِصَاحِبِهِ أَنَا مِنْكَ وَإِلَيْكَ يُرِيدُ بِذَلِكَ الْمُتَابَعَةَ وَالْمُوَافَقَةَ وَيَشْهَدُ لِذَلِكَ قَوْلُهُ تَعَالَى فَمَنْ تَبِعَنِي فَإِنَّهُ مِنِّي وَمَنْ عَصَانِي فَإِنَّكَ غَفُورٌ رحيم انْتَهَى. وَالْحَدِيثُ دَلِيلٌ عَلَى تَحْرِيمِ الْغِشِّ وَهُوَ مُجْمَعٌ عَلَيْهِ.

[4] Rujuk: https://www.aliftaa.jo/research-fatwas/3809/%d8%ad%d9%83%d9%85-%d8%a3%d8%ae%d8%b0-%d9%85%d8%a7%d9%84-%d9%85%d9%82%d8%a7%d8%a8%d9%84-%d8%aa%d9%82%d9%8a%d9%8a%d9%85-%d8%a7%d9%84%d9%85%d9%86%d8%aa%d8%ac%d8%a7%d8%aa