Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-915: HUKUM MENGHARAMKAN PENGAMBILAN MAKANAN DARIPADA DAGING HAIWAN YANG HALAL

PP_poster_70.jpg

SOALAN:

Assalamualaikum wbt, SS Mufti. Saya merupakan seorang penuntut pengajian tinggi di salah sebuah universiti luar negara. Sejak akhir-akhir ini, golongan aktivis dalam kalangan penuntut di universiti berkenaan semakin giat menjalankan kempen kesedaran untuk membanteras kezaliman terhadap haiwan dengan mendakwa krisis-krisis yang berlaku di peringkat global seperti perubahan iklim, pemanasan global berpunca daripada tabiat pemakanan manusia berasaskan daging. Bahkan terdapat juga kelompok yang bertindak secara agresif dengan melarang individu lain daripada membeli makanan halal yang berasaskan daging. Malah sebahagian penuntut muslim yang terlibat secara aktif dengan gerakan ini turut mengharamkan produk-produk makanan sedemikian. Oleh itu, saya ingin bertanya, apakah hukum mengharamkan makanan daripada daging yang halal disebabkan oleh faktor pemeliharaan terhadap haiwan dan alam sekitar? Mohon pencerahan, terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN:

Hukum mengharamkan pengambilan makanan berasaskan daging yang halal adalah haram kerana bercanggah dengan perintah Allah SWT. Perbuatan sedemikian disifatkan sebagai melampaui batas kerana mengharamkan sesuatu yang telah dihalalkan oleh-Nya. Secara asasnya, syariat Islam mengharuskan pengambilan makanan berasaskan daging selain daripada haiwan yang diharamkan seperti khinzir, anjing, kacukan antara kedua-duanya, bangkai haiwan dan lain-lain.

Pelaksanaan kempen atau program yang bertujuan memupuk kecintaan terhadap haiwan dan pemeliharaan alam sekitar bertepatan dengan perintah syarak yang melarang manusia daripada melakukan kerosakan di bumi. Namun pada masa yang sama, kempen tersebut mestilah dilaksanakan secara adil iaitu dalam kerangka yang harmoni dengan turut mengambil kira perspektif hukum syarak. Antaranya tidak mengharamkan perkara-perkara yang jelas halal menurut Islam.

HURAIAN JAWAPAN:

Daging merupakan salah satu sumber makanan yang membekalkan sumber protein kepada tubuh manusia. Pengambilan daging merujuk kepada amalan memakan daging yang berasal daripada haiwan seperti lembu, ayam, kambing, dan ikan[1]. Ia merupakan komponen penting dalam banyak diet di seluruh dunia yang menyumbang kepada aspek budaya, pemakanan dan ekonomi dalam masyarakat. Namun sejak akhir-akhir ini, kesan pengambilan daging secara berleluasa turut meninggalkan impak negatif terhadap krisis alam sekitar yang berpunca daripada pengeluaran gas rumah hijau, pembalakan yang tidak terkawal, pencemaran air serta udara[2].

Hal ini kemudiannya melahirkan golongan yang berjuang menentang penindasan terhadap haiwan melalui penternakan, pembinaan rumah penyembelihan dan perkilangan. Antara bentuk perjuangan golongan ini termasuk menggalakkan pengambilan makanan berasaskan tumbuhan. Namun terdapat juga segelintir dalam kalangan mereka yang menggunakan pendekatan keras dengan melarang atau mengharamkan secara terus makanan berasaskan daging haiwan.

Berdasarkan persoalan di atas, secara asasnya Allah SWT melarang orang beriman daripada mengharamkan perkara-perkara yang halal kerana ia termasuk dalam perbuatan yang melampaui batas. Berdasarkan firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُحَرِّمُوا طَيِّبَاتِ مَا أَحَلَّ اللَّهُ لَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.”

Surah al-Ma’idah (87)

Menurut Imam al-Tabari, Allah SWT tidak menyukai golongan yang melampaui batas iaitu menghalalkan perkara yang haram dan mengharamkan perkara yang halal. Hal ini kerana perbuatan sedemikian melanggar segala batasan yang telah ditetapkan ke atas hamba-Nya[3]. Dalam menghuraikan maksud daripada ayat ini, Imam al-Qurtubi t memperincikan perintah agar tidak melampaui batas tersebut merujuk kepada pendekatan yang ekstrim iaitu bersifat terlalu keras hingga mengharamkan perkara yang halal dan terlalu longgar hingga menghalalkan perkara yang haram[4].

Sementara itu, Rasulullah SAW turut menegaskan bahawa Allah SWT telah menjelaskan mengenai penentuan hukum halal, haram dan harus terhadap sesuatu perkara menerusi dalil-dalil yang terkandung dalam al-Quran. Diriwayatkan daripada Salman al-Farisi RA bahawa Baginda SAW bersabda:

الْحَلَالُ مَا أَحَلَّ اللَّهُ فِي كِتَابِهِ وَالْحَرَامُ مَا حَرَّمَ اللَّهُ فِي كِتَابِهِ وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ مِمَّا عَفَا عَنْهُ

Maksudnya: “Setiap perkara yang halal ialah setiap yang dihalalkan oleh Allah SWT dalam kitab-Nya. Manakala setiap perkara yang haram pula ialah setiap yang diharamkan oleh Allah SWT dalam kitab-Nya. Sementara perkara-perkara yang didiamkan adalah dimaafkan oleh-Nya.”

Riwayat Ibn Majah (2731)

Di samping itu, menggunakan pendekatan untuk mengharamkan sesuatu yang halal juga bercanggah dengan kaedah fiqh yang telah disusun oleh fuqaha. Berdasarkan kaedah[5]:

‌الْأَصْلُ ‌فِي ‌الْأَشْيَاءِ ‌الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya: Hukum asal bagi setiap perkara adalah harus hingga terdapat dalil yang menunjukkan terhadap haram.”

Pada asalnya, pelaksanaan kempen atau gerakan untuk memperjuangkan agenda pemeliharaan terhadap haiwan dan alam sekitar merupakan sesuatu yang diiktiraf oleh syarak. Hal ini kerana terdapat dalil dalam al-Quran yang menjelaskan larangan terhadap manusia daripada melakukan kerosakan di bumi sama ada di daratan mahupun di lautan. Allah SWT berfirman:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ

Maksudnya: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia.”

Surah al-Rum (41)

Walau bagaimanapun, golongan yang menjayakan agenda tersebut lebih-lebih lagi dalam kalangan muslim perlu mematuhi garis panduan tertentu. Antaranya adalah bersifat adil dengan turut mengambil kira perintah dan larangan daripada Allah SWT yang lain. Hal ini bagi mengelakkan daripada tindakan yang berlebih-lebihan dan melampaui batas hingga mengubah ketetapan syarak seperti mengharamkan perkara yang halal ataupun menghalalkan perkara yang halal. Tindakan yang berasaskan emosi ataupun rasional semata-mata akan menghasilkan natijah yang buruk dalam kehidupan.

KESIMPULAN

i.          Berdasarkan dalil dan keterangan di atas, hukum mengharamkan pengambilan makanan berasaskan daging yang halal adalah haram kerana bercanggah dengan perintah Allah SWT. Perbuatan sedemikian disifatkan sebagai melampaui batas kerana mengharamkan sesuatu yang telah dihalalkan oleh-Nya.

ii.         Secara asasnya, syariat Islam mengharuskan pengambilan makanan berasaskan daging selain daripada haiwan yang diharamkan seperti khinzir, anjing, kacukan antara kedua-duanya, bangkai haiwan dan lain-lain.

iii.        Pelaksanaan kempen atau program yang bertujuan memupuk kecintaan terhadap haiwan dan pemeliharaan alam sekitar bertepatan dengan perintah syarak yang melarang manusia daripada melakukan kerosakan di bumi. Namun pada masa yang sama, kempen tersebut mestilah dilaksanakan secara adil iaitu dalam kerangka yang harmoni dengan turut mengambil kira perspektif hukum syarak. Antaranya tidak mengharamkan perkara-perkara yang jelas halal menurut Islam.

 Wallahu a'lam.

 

Rujukan:

[1] “Meat consumption”, laman sesawang Organization for Economic Co-Operation and Development (OECD), diakses pada 16 Ogos 2024, https://www.oecd.org/en/data/indicators/meat-consumption.html#:~:text=Definition,costs%20and%20high%20output%20prices.

[2] Neus González, Montse Marquès, Martí Nadal, and José L. Domingo. "Meat consumption: Which are the current global risks? A review of recent (2010–2020) evidences." Food Research International 137 (2020): 109341.

[3] Abu Ja’afar Muhammad bin Jarir a-Tabari, Jami’ al-Bayan ‘an Takwil Ay al-Quran (Mekah:Dar al-Tarbiyyah wa al-Turath,t.t), 10:514-515.

يقول تعالى ذكره: فلا تفعلوا أيُّها المؤمنون، كما فعل أولئك، ولا تعتدُوا حدَّ الله الذي حدَّ لكم فيما أحلَّ لكم وفيما حرم عليكم، فتجاوزوا حدَّه الذي حدَّه، فتخالفوا بذلك طاعته، فإن الله لا يحبُّ من اعتدى حدَّه الذي حدّه لخلقه، فيما أحل لهم وحرَّم عليهم.

[4] Abu ‘Abdullah Muhammad bin Ahmad al-Ansari al-Qurtubi, al-Jami’ li Ahkam al-Quran (Kaherah:Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah,1964), 6:263.

الرَّابِعَةُ: قَوْلُهُ تَعَالَى:" وَلا تَعْتَدُوا" قِيلَ: الْمَعْنَى لَا تَعْتَدُوا فَتُحِلُّوا «1» مَا حَرَّمَ اللَّهُ فَالنَّهْيَانِ عَلَى هَذَا تَضَمَّنَا الطَّرَفَيْنِ، أَيْ لَا تُشَدِّدُوا فَتُحَرِّمُوا حَلَالًا، وَلَا تَتَرَخَّصُوا فَتُحِلُّوا حَرَامًا

[5] Jalal al-Din ‘Abd al-Rahman al-Suyuti, al-Asybah wa al-Nazho’ir fi Qawa’id wa Furu’ Fiqh al-Syafi’iyyah (t.tp:Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah,1983), 60.