Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-937: MAKANAN HAIWAN: ADAKAH PERLU HALAL DAN SUCI?

PP_poster_7.jpg

SOALAN

Assalamualaikum, baru-baru ini tular isu berkaitan makanan kucing yang mengandungi unsur babi telah menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat. Hal ini kerana, terdapat label makanan kucing yang jelas menyatakan kandungan "pork" atau "pork derivatives", manakala sebahagian lagi menggunakan istilah yang mengelirukan seperti "meat derivatives". Persoalannya, adakah makanan haiwan juga perlu mendapat logo halal dan dipastikan kesuciannya? Mohon pencerahan SS Mufti.

Ringkasan Jawapan:

Secara umumnya, tiada tuntutan bagi haiwan untuk mendapatkan makan halal kerana tidak termasuk dalam lingkungan taklif hukum syarak. Ia berbeza dengan manusia sebagai makhluk berakal yang dituntut untuk memastikan makanan yang diambil adalah halal lagi baik (halalan tayyiban). Hal ini juga kerana neraca makanan haiwan adalah berbeza dengan neraca manusia. Disebabkan oleh itu, tiada keperluan untuk meletakkan logo halal dalam produk makanan haiwan dan cukup sekadar pemilik haiwan peliharaan mengetahui kandungan yang terdapat dalam produk makanan untuk membezakan antara yang suci dan bernajis.

Kebimbangan masyarakat terhadap makanan haiwan peliharaan yang mungkin terdedah secara langsung dengan najis berat (mughallazah) adalah wajar kerana dikhuatiri adanya sentuhan dan penyebaran najis di kawasan rumah, tempat ibadah serta kepada ahli keluarga yang bersentuhan dengan haiwan peliharaan tersebut. Justeru, dalam hal ini pemilik haiwan peliharaan perlulah memastikan bahawa makanan haiwan yang dibeli di pasaran tidak mengandungi bahan yang haram dan bernajis. Sekiranya didapati produk makanan haiwan mengandungi pork, pork derivatives atau bahan-bahan yang meragukan pada label, maka ia akan memberi implikasi hukum terhadap isu kenajisan mughallazah yang boleh berpindah melalui sentuhan secara langsung atau jilatan air liur haiwan tersebut.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Neraca Makanan Manusia dan Haiwan

Agama Islam menetapkan bahawa neraca haiwan adalah berbeza dengan neraca manusia yang mukallaf. Setiap manusia dituntut untuk mencari makanan yang memenuhi dua kriteria utama iaitu makanan yang halal dan makanan yang baik (halalan tayyiban). Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik”

Surah al-Baqarah (16)

Frasa “ يَا أَيُّهَا النَّاسُ ” yang berbentuk perintah adalah seruan kepada seluruh manusia dan bukannya ditujukan kepada haiwan kerana taklif syarak hanya terpakai kepada manusia yang berakal. Sementara itu, ayat ini menunjukkan bahawa makanan halal itu mestilah yang bersifat suci kerana berpandukan kepada ungkapan halalan yang disusuli perkataan tayyiban. Imam al-Tabari RA menyatakan definisi tayyiban (baik) adalah suci dan bersih daripada najis dan keharaman[1].

Oleh itu, dapat difahami bahawa lafaz al-ṭayyib iaitu suci sebagai sifat makanan yang halal bagi manusia.

Haiwan Peliharaan Makan Makanan Bernajis

Isu haiwan peliharaan memakan makanan yang mengandungi najis (mughallazah) memberikan kesan hukum pada mukallaf khususnya apabila berlaku penyebaran najis melalui sentuhan secara langsung atau jilatan air liurnya pada tubuh manusia, perkakas dapur serta tempat ibadah. Para ulama telah membahaskan tentang hukum sisa jilatan kucing berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Kabsyah binti Ka’ab bin Malik bahawa beliau berkata:

أَنَّ أَبَا قَتَادَةَ دَخَلَ عَلَيْهَا - ثُمَّ ذَكَرَتْ كَلِمَةً مَعْنَاهَا - فَسَكَبْتُ لَهُ وَضُوءًا، فَجَاءَتْ هِرَّةٌ فَشَرِبَتْ مِنْهُ، فَأَصْغَى لَهَا الْإِنَاءَ حَتَّى شَرِبَتْ. قَالَتْ كَبْشَةُ: فَرَآنِي أَنْظُرُ إِلَيْهِ فَقَالَ: أَتَعْجَبِينَ يَا ابْنَةَ أَخِي؟ فَقُلْتُ: نَعَمْ. قَالَ: إِنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِنَّهَا لَيْسَتْ بِنَجَسٍ، إِنَّمَا هِيَ مِنَ الطَّوَّافِينَ عَلَيْكُمْ وَالطَّوَّافَاتِ

Maksudnya: "Abu Qatadah menemuinya Kabsyah lalu berkata: Aku menuangkan air ke dalam bekas untuk dia berwuduk. Kemudian, seekor kucing datang minum daripada air tersebut. Abu Qatadah memiringkan bekas supaya kucing tersebut dapat minum. Kabsyah berkata: Abu Qatadah mengetahui bahawa aku sedang memperhatikannya, lalu dia berkata: Adakah engkau terkejut wahai anak saudaraku? Aku menjawab: Ya. Abu Qatadah berkata: Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: "Kucing itu bukan najis kerana ia merupakan haiwan yang sering berkeliaran di sekelilingmu."

(Riwayat al-Nasa'i)

Syeikh Zainuddin al-Ma’bariy ada menjelaskan berkenaan keadaan haiwan selain daripada anjing dan khinzir yang meminum air dalam keadaan mulutnya bernajis:

وسؤر كل حيوان طاهر طاهر، فلو تنجس فمه ثم ولغ في ماء قليل أو مائع، فإن كان بعد غيبة يمكن فيها طهارته بولوغه في ماء كثير أو جار لم ينجسه ولو هرا وإلا نجسه

Maksudnya: "Sisa minuman daripada setiap haiwan yang suci adalah suci. Jika mulutnya bernajis kemudian dia menjilat air yang sedikit atau cairan, (maka hukumnya diperincikan); jika sesudah itu ia tidak kelihatan (berkeliaran) dan ada kemungkinan mulutnya menjadi suci dengan meminum air yang banyak atau air yang mengalir, maka air tersebut tidak menjadi najis walaupun haiwan itu adalah kucing. Namun, jika tidak sedemikian (belum sempat suci), maka jilatan air liurnya menjadi najis."[2]

Air liur jilatan kucing menjadi najis dan boleh tersebar kerana ia dalam keadaan basah.

Seterusnya, terdapat satu kaedah fiqh yang dinyatakan oleh Imam al-Suyuti bahawa:

النَّجِسُ إذَا لَاقَى شَيْئًا طَاهِرًا، وَهُمَا جَافَّانِ، لَا يُنَجِّسُهُ

Maksudnya: “Najis yang bersentuhan dengan sesuatu yang suci dan dalam keadaan kedua-duanya kering, maka ia tidak menyebabkan sesuatu yang suci itu menjadi najis”[3]

Berdasarkan kaedah ini, dapat difahami bahawa kewajipan melakukan sertu hanya apabila seseorang itu menyentuh sesuatu yang bernajis seperti khinzir dalam keadaan salah satu (yang menyentuh atau yang disentuh) atau kedua-duanya basah sahaja.

Penutup

Pemilik haiwan peliharaan yang beragama Islam atau pengguna muslim hendaklah bersikap cakna dalam memilih produk makanan haiwan yang bebas daripada unsur najis dan haram bagi memastikan kebersihan tempat ibadah terjaga dan tidak berlaku penyebaran najis melalui sentuhan atau jilatan air liur haiwan yang mungkin terkena pada manusia. Hal ini kerana, makanan haiwan bukanlah produk yang memerlukan kepada logo atau pensijilan halal disebabkan taklif syarak tidak terpakai kepada haiwan. Ia berbeza dengan manusia sebagai makhluk berakal yang dituntut untuk memastikan makanan yang diambil adalah halal lagi baik (halalan tayyiban) selaras dengan kehendak syariat Islam.

Wallahu a'alam.

 

Rujukan:

[1] Abu Jaafar al-Tabari, Jami’ Al-Bayan Fi Ta’wil Al-Quran ( T.t : Muasasah al-Risalah, 2000) Jld 3: 301

"طيبًا" فإنه يعني به طاهرًا غير نَجس ولا محرَّم

[2] Zainuddin al-Ma’bariy al-Malibariy, Ahmad bin Abd al-Aziz. Fath al-Mu’in bi Syarh Qurrah al-’Ain bi Muhimmat al-Din. (t.p: Dar Ibn Hazm, t.tt). Hlm 73.

[3] al-Suyuti, Jalaluddin ‘Abd al-Rahman. Al-Asybah Wa al-Nazair fi Qaqaid wa Furu’ al-Syafi’iyyah. (t.p: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1983H). Hlm 432.