SOALAN
Sekembalinya jemaah haji atau umrah ke kampung atau rumahnya, ramai yang menyambut kepulangan mereka. Tidak kurang juga sebahagian orang meminta doa daripada mereka. Persoalannya, wajarkah meminta doa daripada orang yang balik haji? Mohon pencerahan SS Mufti.
RINGKASAN JAWAPAN
Secara ringkas, amalan meminta doa daripada orang yang pulang daripada haji dan umrah dapat dijelaskan melalui klasifikasi berikut:
- Hukum dan dalil amalan
- Amalan meminta doa daripada mereka adalah sunat, berasaskan anjuran Nabi SAW agar umat Islam saling mendoakan.
- Didorong oleh keyakinan bahawa doa jemaah haji dan umrah lebih mudah dikabulkan oleh Allah SWT.
- Adab menyambut kepulangan:
- Menziarahi dan mengucapkan salam.
- Berjabat tangan sebagai tanda hormat dan kasih sayang.
- Mencium di antara kedua mata sebelum memohon doa sebagai tanda penghargaan dan keberkatan.
- Hikmah dan nilai sosial:
- Amalan ini memberi manfaat ukhrawi dan sosial, membina akhlak mulia dan mendidik jiwa.
- Mengukuhkan hubungan kekeluargaan dan kemasyarakatan serta menumbuhkan suasana harmoni dan kasih sayang.
- Hubungan dengan maqasid Islam
- Selaras dengan maqasid Islam yang menekankan pembangunan tadayyun iaitu rohani dan jasmani secara seimbang.
- Menjadi manifestasi ‘umran atau tamadun insan berteraskan nilai keimanan dan ukhuwah Islamiah.
HURAIAN JAWAPAN
Anjuran meminta doa daripada orang lain
Kebiasaannya, sebahagian masyarakat sering meminta kepada mana-mana peribadi yang dianggap baik untuk mendoakan mereka. Perkara ini juga diamalkan oleh Nabi SAW dan para sahabat RA. Hal ini di dapati ketika Saidina Umar al-Khattab RA mendapat keizinan Nabi SAW untuk menunaikan umrah lalu baginda SAW bersabda:
لاَ تَنْسَنَا يَا أُخَىَّ مِنْ دُعَائِكَ
Maksudnya: Janganlah kamu melupakan kami dalam doamu wahai saudaraku.
(Riwayat Abu Daud)
Hadis di atas membahaskan bahawa terdapat galakan untuk meminta doa daripada orang-orang Islam yang lain, meskipun orang yang meminta doa lebih mulia daripada orang yang berdoa.[1]
Selain itu, amalan mengharapkan manfaat doa daripada saudara seislam amatlah dianjurkan berbanding dengan doa diri sendiri. Ini kerana berlaku kebimbangan akan kelalaian dalam amal ibadah diri sendiri. Sedangkan, diharapkan bahawa manfaat doa daripada saudara seislam dapat diperoleh kerana keikhlasan amal ibadahnya.[2]
Nabi SAW menganjurkan umat Islam agar saling mendoakan antara satu sama lain kerana doa bukan sahaja menjadi pengikat ukhuwah dan lambang kasih sayang sesama mukmin, malah ia juga adalah satu bentuk pengamalan sunnah yang menjadi lambang penjagaan agama. Seruan ini menghidupkan amalan ukhrawi yang mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Selain itu, amalan saling mendoakan turut mengukuhkan kesatuan sosial dalam kalangan umat Islam melalui hubungan yang berasaskan doa, empati, dan kasih sayang. Ia turut berperanan sebagai tarbiah rūḥiyyah yang mendidik umat agar tidak bersifat individualistik, sebaliknya mengamalkan solidariti rohani dalam membina masyarakat yang harmoni dan berakhlak.
Allah SWT kabulkan doa orang yang mengerjakan haji dan umrah
Salah satu peribadi yang dianggap baik untuk meminta doa adalah orang yang balik daripada mengerjakan haji atau umrah. Hal tersebut sememangnya digalakkan kerana doa orang yang balik daripada mengerjakan haji atau umrah akan dikabulkan. Rasulullah SAW bersabda:
الْغَازِي فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالْحَاجُّ وَالْمُعْتَمِرُ وَفْدُ اللَّهِ دَعَاهُمْ فَأَجَابُوهُ وَسَأَلُوهُ فَأَعْطَاهُمْ
Maksudnya: Orang yang berperang di jalan Allah dan orang yang mengerjakan haji serta umrah merupakan tetamu rasmi Allah. Ketika Allah memanggil mereka, mereka menjawab panggilan-Nya. Sehinggalah mereka meminta kepada-Nya, Allah mengabulkan permintaan mereka.
(Riwayat Ibnu Majah)
Hadis yang di atas mengesahkan bahawa Allah SWT akan mengabulkan perkara yang sama sepertimana dalam doa orang yang balik daripada mengerjakan haji atau umrah. Allah SWT juga akan memberi perkara yang lebih baik daripada permohonan doa orang tersebut.[3]
Hukum meminta doa daripada orang yang mengerjakan haji
Adapun hukum meminta doa daripada orang yang balik daripada haji adalah sunat. Begitu juga sunat bagi orang yang naik haji untuk mendoakan keampunan orang lain yang tidak melakukan haji walaupun orang tersebut tidak memintanya.[4]
Berdoa untuk seseorang tanpa pengetahuannya melambangkan keikhlasan yang tinggi dan dikurniakan ganjaran yang sama oleh Allah SWT. Seseorang yang berdoa untuk saudaranya secara rahsia akan memperoleh doa yang sama daripada malaikat. Apatah lagi doa yang dipanjatkan dengan ikhlas seluruh umat Islam akan diberi pahala dan diperkenankan oleh Allah SWT. Oleh sebab itu, sebahagian ulama salaf apabila ingin berdoa untuk diri sendiri, maka mereka akan mendoakan saudaranya dengan doa yang sama. Hal demikian kerana doa sebegini lebih mustajab dan mendatangkan ganjaran yang sama bagi dirinya.[5]
Sementara itu, para ulama berpendapat bahawa tempoh pengabulan Allah SWT akan doa tersebut boleh berlaku sehingga empat puluh hari sejak kepulangan orang yang mengerjakan haji.[6] Mengikut pendapat yang kuat, ulama salaf meminta doa orang yang balik daripada mengerjakan haji selama empat puluh hari terutama sebelum mereka sampai memasuki rumah mereka.[7]
Keyakinan bahawa doa itu mustajab adalah sebahagian daripada akidah dan petunjuk keimanan kepada sifat Allah SWT sebagai al-Mujīb, iaitu Tuhan yang Maha Mengabulkan doa. Perkara ini berkait rapat dengan maqasid penjagaan agama kerana ia mendorong umat Islam untuk sentiasa bergantung dan berharap kepada Allah SWT dalam segala urusan.
Di samping itu, doa dapat menenangkan hati dan memberi kekuatan kepada seseorang dalam menghadapi ujian hidup. Hal ini selari dengan maqasid penjagaan jiwa. Doa orang soleh pula membawa keberkatan dan memberi kesan positif kepada masyarakat dan ia juga menyumbang kepada suasana yang harmoni dan saling menyokong yang mendatangkan keberkatan dan keharmonian.
Adab meminta doa daripada orang yang mengerjakan haji
Tidak hanya dianjurkan untuk meminta doa, umat Islam juga disarankan untuk datang bertamu, mengucapkan salam serta berjabat tangan dengan para tetamu Allah SWT sekembalinya mereka ke tanah air. Hal itu sebagaimana disabdakan Nabi SAW:
إِذَا لَقِيتَ الْحَاجَّ فَسَلِّمْ عَلَيْهِ وَصَافِحْهُ وَمُرْهُ أَنْ يَسْتَغْفِرَ لَكَ قَبْلَ أَنْ يَدْخُلَ بَيْتَهُ فَإِنَّهُ مَغْفُورٌ لَهُ
Maksudnya: Apabila kamu berjumpa dengan orang yang baru balik daripada mengerjakan haji, maka berilah salam kepadanya dan jabatlah tangannya. Begitu juga mintalah kepadanya untuk memohonkan ampun buatmu sebelum ia memasuki rumahnya. Ini kerana dia adalah orang yang telah diampuni dosa-dosanya.”
(Riwayat Ahmad)
Dalam pada itu, antara amalan ulama salaf termasuklah meraikan kepulangan orang yang balik haji dengan mencium di antara kedua mata mereka, kemudian meminta doa daripada mereka. Semua perkara itu segera dilakukan sebelum mereka mengotori diri dengan perbuatan dosa.[8]
Amalan meminta doa daripada jemaah haji mencerminkan penghargaan masyarakat terhadap ibadah besar yang telah mereka sempurnakan dan secara tidak langsung menyemarakkan nilai-nilai keagamaan dalam kehidupan seharian. Ia juga menzahirkan prinsip kesamarataan sosial dengan menghormati semua jemaah haji tanpa mengira status. Tambahan pula, budaya ini menghidupkan interaksi yang berpaksikan nilai agama, sekali gus memperkukuh jaringan hubungan sosial dalam masyarakat.
Dalam masa yang sama, adab seperti memberi salam, berjabat tangan dan menziarahi melambangkan penghormatan terhadap maruah serta status keagamaan seseorang yang selaras dengan maqasid penjagaan maruah. Ia turut menghindarkan pemujaan melampau terhadap individu yang sejajar dengan maqasid penjagaan akal agar amalan kekal dalam kerangka syariat. Lebih penting, budaya ini menghidupkan akhlak dan semangat kerjasama, membina masyarakat yang beradab, penyayang dan bersatu.
Kesimpulan
Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa meminta doa orang yang balik daripada haji dan umrah adalah wajar kerana mempunyai asas dalam Islam seperti:
- Nabi SAW menganjurkan untuk meminta doa daripada orang-orang Islam yang lain.
- Allah SWT mengabulkan doa orang yang mengerjakan haji dan umrah.
- Hukum meminta doa orang yang balik daripada haji adalah sunat.
- Berdoa untuk saudara seislam tanpa pengetahuannya lebih mustajab dan diberi ganjaran yang sama.
- Antara adab meraikan kepulangan orang yang balik haji termasuklah datang bertamu, mengucapkan salam, berjabat tangan serta mencium di antara kedua mata sebelum meminta doa daripada mereka.
Walaupun amalan ini bersifat ibadah, ia turut memberi impak besar dalam aspek pembangunan sosial, nilai kemanusiaan dan kesejahteraan masyarakat yang semuanya termasuk dalam dimensi maqasid membangunkan dunia.
Wallahu a'lam
Rujukan:
[1] Muhammad Ibn Alan al-Shiddiqi, Dalil al-Falihin li Turuq Riyad al-Solihin (Bairut: Dar al-Ma'rifah, 2004), 5: 202 Teks asal:
وفي الحديث غير ما تقدم من القوائد مزيد تواضعه والحث على سؤال الدعاء من سائر المسلمين وإن كان الطالب أشرف من المطلوب منه
[2] Muhammad bin Ahmad al-Zahabi, Siyar A‘lām al-Nubala’ (Kaherah: Dar al-Hadith, 2006), 8: 235. Teks asal:
قال ابن بكر: سمعت النباجي يقول: ينبغي أن نكون بدعاء إخواننا أوثق منا بأعمالنا نخاف في أعمالنا التقصير، ونرجو أن نكون في دعائهم لنا مخلصين.
[3] Al-Munawi, Faidh al-Qadir (Mesir: Maktabah Tijariah al-Kubra, 1357 H), 3: 402: Teks asal:
إما سألوه ما عينه وإما ما هو خير منه وهو أعلم بما يصلح به عباده
[4] Ahmad Salamah al-Qalyubi & Ahmad al-Burullusi Umairah, Hasyiata Qalyubi wa ‘Umairah ‘ala Syarh al-Mahalli ‘ala Minhaj al-Tolibin (Beirut: Dar al-Fikr, 1995), 2: 190. Teks asal:
وَيُنْدَبُ لِلْحَاجِّ الدُّعَاءُ لِغَيْرِهِ بِالْمَغْفِرَةِ وَإِنْ لَمْ يَسْأَلْ وَلِغَيْرِهِ سُؤَالُ الدُّعَاءِ مِنْهُ بِهَا
[5] Abu Zakaria Muhyiddin Yahya bin Syaraf al-Nawawi, *Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim ibn al-Hajjaj* (Beirut: Dar Ihya al-Turath al-Arabi, t.t.), 17: 49. Teks asal:
وَفِي رِوَايَةٍ دَعْوَةُ الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ مُسْتَجَابَةٌ عِنْدَ رَأْسِهِ مَلَكٌ مُوَكَّلٌ كُلَّمَا دَعَا لِأَخِيهِ بِخَيْرٍ قَالَ الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ آمِينَ وَلَكَ بِمِثْلٍ أَمَّا قَوْلُهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِظَهْرِ الْغَيْبِ فَمَعْنَاهُ فِي غَيْبَةِ الْمَدْعُوِّ لَهُ وَفِي سِرِّهِ لِأَنَّهُ أَبْلَغُ فِي الْإِخْلَاصِ قَوْلُهُ (بِمِثْلٍ) هُوَ بِكَسْرِ الْمِيمِ وَإِسْكَانِ الثَّاءِ هَذِهِ الرِّوَايَةِ الْمَشْهُورَةِ قَالَ الْقَاضِي وَرَوَيْنَاهُ بِفَتْحِهَا أَيْضًا يُقَالُ هُوَ مِثْلُهُ وَمَثِيلُهُ بِزِيَادَةِ الْيَاءِ أى عديله سواء وفى هذا فضل الدعاء لأخيه المسلم بظهر الغيب ولو دعا لجماعة من المسلمين حصلت هَذِهِ الْفَضِيلَةُ وَلَوْ دَعَا لِجُمْلَةِ الْمُسْلِمِينَ فَالظَّاهِرُ حُصُولُهَا أَيْضًا وَكَانَ بَعْضُ السَّلَفِ إِذَا أَرَادَ أن يدعو لنفسه يدعولأخيه الْمُسْلِمِ بِتِلْكَ الدَّعْوَةِ لِأَنَّهَا تُسْتَجَابُ وَيَحْصُلُ لَهُ مِثْلُهَا
[6] Ahmad Salamah al-Qalyubi & Ahmad al-Burullusi Umairah, Hasyiata Qalyubi wa ‘Umairah ‘ala Syarh al-Mahalli ‘ala Minhaj al-Tolibin (Beirut: Dar al-Fikr, 1995), 2: 190. Teks asal:
وَذَكَرُوا أَنَّهُ أَيْ الدُّعَاءَ يَمْتَدُّ أَرْبَعِينَ يَوْمًا مِنْ قُدُومِهِ
[7] Abdul Rahman bin Muhammad Ba’lawi, Bughyah al-Mustarsyidin (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyah, 2016), 144. Teks asal:
و في رواية يستجاب له من دخول مكة إلى رجوعه إلى أهله و فضل أربعين يوما، فالمختار طلب الدعاء منه كما عليه السلف إلى أربعين، و أولى منه أن يكون قبل دخول داره، فلو لم يدخل إلا بعد سنين استمر الحكم
[8] Abu Hamid al-Ghazali, Ihya’ Ulum ad-Din, (Beirut: Dar Ma’rifah, t.t.), 1: 241. Teks asal:
وقد كان من سنة السلف رضي الله عنهم أن يشيعوا الغزاة وأن يستقبلوا الحاج ويقبلوا بين أعينهم ويسألوهم الدعاء ويبادرون ذلك قبل أن يتدنسوا بالآثام .
