Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HUKUM SIRI KE-956: ZAKAT KE ATAS WANG SIMPANAN KWSP ORANG YANG MENINGGAL DUNIA

ZAKAT_KE_ATAS_WANG_SIMPANAN_KWSP_ORANG_YANG_MENINGGAL_DUNIA.jpg

Soalan:

Bapa saya telah meninggal dunia dan dia memiliki duit KWSP yang perlu dibahagi-bahagikan kepada ahli waris. Soalan saya adakah saya perlu mengeluarkan zakat terlebih dahulu sebelum kami bahagikan kepada semua ahli waris.

Ringkasan Jawapan:

Menurut mazhab Syafi’i, individu yang mempunyai simpanan dalam KWSP dianggap telah memiliki harta tersebut secara sempurna (milk tam). Oleh itu, walaupun seseorang itu meninggal dunia sebelum dibenarkan mengeluarkan simpanannya (belum tamakkun), zakat tetap diwajibkan ke atas harta tersebut. Sehubungan itu, Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-142 telah memutuskan bahawa waris wajib mengeluarkan zakat daripada wang KWSP si mati.

Huraian Jawapan:

Duit sumbangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan sebuah institusi keselamatan sosial yang ditubuhkan di bawah Undang-Undang Malaysia, Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991 (Akta 452) yang menyediakan faedah persaraan kepada ahlinya melalui pengurusan simpanan. Di bawah akta KWSP, semua rakyat Malaysia yang bekerja diwajibkan untuk mencarum sebahagian pendapatannya di dalam kumpulan wang ini. Caruman tersebut akan dikreditkan ke akaun individu ahli di KWSP. Amaun caruman terdiri daripada caruman pekerja dan caruman majikan dan dikira berdasarkan gaji bulanan pekerja. Kadar caruman semasa adalah mengikut upah/gaji bulanan diterima.

Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan kali ke-120 yang bersidang pada 1 November 2019M telah membincangkan perkara berkenaan dengan Hukum dan Kaedah Taksiran Zakat ke atas Skim Pengeluaran Caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. Fatwa yang telah diwartakan adalah seperti yang berikut:

  1. Pengeluaran simpanan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja yang telah memenuhi syarat milk al-taam dan bukan bagi tujuan perbelanjaan hajah asliyah diwajibkan zakat ke atas keseluruhan amaun caruman yang dikeluarkan pada kadar dua perpuluhan lima peratus (2.5%), tertakluk kepada nisab dan tanpa perlu menunggu haul.
  2. Simpanan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja yang telah memenuhi syarat milk al-taam tetapi caruman tidak dikeluarkan, keseluruhan amaun caruman yang layak dikeluarkan daripada simpanan caruman itu diwajibkan zakat pada kadar dua perpuluhan lima peratus (2.5%), tertakluk kepada nisab dan tanpa menunggu haul.

Berdasarkan syarat-syarat wajib zakat di sisi mazhab Syafi’i adalah seperti berikut :

  1. Islam
  2. Merdeka
  3. Al-milk al-tam (pemilikan sempurna)
  4. Nisab
  5. Haul

Perbincangan ulama silam yang hampir dengan isu zakat KWSP ialah zakat harta yang dirampas, hilang atau harta yang ditahan oleh pemerintah. Mazhab Hanafi mengistilahkannya dengan zakat al-Mal al-Dhimar. Al-Mausuah al-Kuwaitiyyah mendefinisikan al-Mal al-Dhimar sebagai:

كُل مَالٍ مَالِكُهُ غَيْرُ قَادِرٍ عَلَى الاِنْتِفَاعِ بِهِ لِكَوْنِ يَدِهِ لَيْسَتْ عَلَيْهِ،

Maksudnya: “Semua harta yang pemiliknya tidak memiliki kemampuan untuk mengambil manfaat dengannya kerana harta tersebut tidak berada dalam pemilikannya[1].”

 

Pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafi’i dan mazhab Hanbali harta-harta yang dicuri atau hilang tetap wajib untuk dizakatkan setelah harta tersebut diperolehi semula di samping mengqada semula zakat bagi tahun-tahun ketika harta tersebut hilang bermula dari caruman itu mencukupi nisab dan melepasi tempoh haul. Hal ini seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Baijuri dalam Hasyiah al-Baijuri:

وتجب في مغصوب ومحجور وضال وغائب وإن تعذر أخذه، وفي دين لازم من نقد وعرض تجارة لأنها مملوكة ملكا تاما، ولعموم الأدلة ولكن لا يجب الإخراج من ذلك بالفعل إلا عند التمكن من أخذه فيخرجها عن الأحوال الماضية بعد أخذه ولو تلف قبل التمكن سقطت كما في شرح الروض

Maksudnya: “Zakat juga wajib ke atas harta yang dirampas, di sekat (senarai hitam), tercicir dan hilang sekalipun tidak mungkin untuk mendapatkannya. Begitu juga dengan harta yang dihutangkan sama ada berbentuk wang ringgit atau barang dagangan kerana kesemuanya memiliki pemilikan yang sempurna di samping keumuman dalil-dalil yang ada. Namun zakat tersebut tidak wajib dikeluarkan melainkan setelah dia mampu untuk mengambilnya kembali lalu hendaklah dikeluarkan zakat bagi haul-haul yang sebelumnya. Meskipun begitu jika harta tersebut musnah maka gugur kewajipan zakat ke atasnya[2].”

Meskipun begitu di Wilayah-Wilayah Persekutuan kita mengambil pandangan mazhab Maliki yang hanya mewajibkan untuk membayar zakat al-Mal al-Dhimar untuk tempoh setahun setelah memperolehnya walaupun harta tersebut hilang dalam tempoh yang lama. Syeikh Yusuf al-Mawwaq dari mazhab Maliki berkata:

الْمَشْهُورُ: أَنَّ الدَّيْنَ مِنْ الْغَصْبِ يُزَكِّيهِ زَكَاةً وَاحِدَةً سَاعَةَ يَقْبِضُهُ

Maksudnya:Pendapat yang masyhur (pandangan yang terkuat) hutang bagi zakat harta yang dicuri perlu dizakatkan dengan sekali zakat sahaja ketika dia memperoleh kembali harta tersebut[3].

Berdasarkan penjelasan di atas, kami merumuskan bahawa menurut mazhab Syafi’i, individu yang mempunyai simpanan dalam KWSP dianggap telah memiliki harta tersebut secara sempurna (milk tam). Oleh itu, walaupun seseorang itu meninggal dunia sebelum dibenarkan mengeluarkan simpanannya (belum tamakkun), zakat tetap diwajibkan ke atas harta tersebut. Sehubungan itu, Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-142 telah memutuskan bahawa waris wajib mengeluarkan zakat daripada wang KWSP si mati.

Wallahu a'lam

 

Rujukan:

[1] Al-Mausuah al-Fiqhiyyah al-Quwaitiyyah, Kuwait: Wizarah al-Auqaf al-Syuun al-Islamiyyah (1427H), jld. 23, hlm. 237.

[2] al-Baijuri, Muhammad bin Ahmad, Hasyiah al-Baijuri ala Syarh Ibn Qasim, Kahirah: Dar al-Hadis (2013), jld. 1, hlm. 578.

[3] Al-Mawwaq, Muhammad bin Yusuf, al-Tajj wa al-Iklil li Mukhtasar al-Khalil, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah (1994), jld. 3, hlm. 146.