Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HUKUM SIRI KE-960: PANDANGAN BERKENAAN ISU TAKLIK TALAK SEBAGAI BAHAN PERTARUHAN

pertaruhan_taklik_game_bola.JPG

SOALAN:

Assalamualaikum w.b.t, saya ada satu persoalan. Baru-baru ini tular di media sosial berkenaan tindakan seorang suami yang didakwa menjadikan lafaz talak sebagai taruhan dalam satu perlawanan bola sepak terkemuka. Suami terbabit meletakkan syarat bahawa dia akan menceraikan isterinya dengan talak tiga sekiranya pasukan bola itu tewas. Mohon Pandangan SS Mufti berkenaan isu ini

Ringkasan Jawapan

Perbuatan suami yang menjadikan talak sebagai bahan pertaruhan bagi sesuatu perkara disebut sebagai taklik talak iaitu menggantungkan lafaz talak kepada isteri dengan syarat, sifat atau perbuatan tertentu sama ada dilakukan oleh suami, isteri atau orang lain. Hukumnya adalah sah dan talak boleh berlaku disebabkan perkara itu. Di Malaysia, pengesahan berkaitan sah atau tidak sesuatu lafaz talak atau taklik perlu dirujuk kepada Mahkamah Syariah kerana institusi ini adalah pemegang kuasa statutori untuk memutuskan sama ada berlaku perceraian atau tidak.

 

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Definisi dan Dalil Pensyariatan

Taklik talak ialah perbuatan suami yang menggantungkan lafaz talak kepada isterinya berdasarkan suatu sifat, syarat atau perbuatan sama ada yang dilakukan oleh isteri atau orang lain. [1] Para fuqaha empat mazhab berpandangan bahawa talak boleh berlaku secara taklik talak apabila perkara yang disyaratkan atau digantungkan dengan talak itu berlaku. Mereka berhujah dengan keumuman dalil al-Quran yang menunjukkan akan keharusan talak serta penyerahan hak talak kepada suami, berdasarkan Firman Allah SWT:

ٱلطَّلَـٰقُ مَرَّتَانِ

Maksudnya : Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali.

(Surah al-Baqarah: 229)

Dalil ini tidak membezakan antara talak yang dilafazkan secara terus dengan talak yang diletakkan syarat dan tidak pula mengaitkan akan jatuhnya talak kepada syarat tertentu. Hal ini bermaksud, suami berhak menjatuhkan talak mengikut kehendaknya sama ada secara terus, disandarkan pada masa hadapan atau diikat dengan syarat secara sumpah mahupun selainnya.[2]

Selain itu, merujuk kepada riwayat daripada Ibn Mas’ud berkenaan seorang suami yang berkata kepada isterinya:

إِنْ فَعَلْتُ كَذَا وَكَذَا فَهِيَ طَالِقٌ فَتَفْعَلُهُ ، قَالَ : هِيَ وَاحِدَةٌ وَهُوَ أَحَقُّ بِهَا

Maksudnya: “Sekiranya aku melakukan sekian sekian, maka dia (isteri) tertalak”. Kemudian, suami itu melakukannya. Ibnu Mas'ud berkata: 'Ia dikira satu talak (raj'ie), dan dia (suami) lebih berhak untuk merujuknya kembali.”

Dalam permasalahan ini, taklik bukan sahaja boleh berlaku dengan cara suami mensyaratkan talak pada perbuatannya sendiri atau perbuatan isteri. Namun, ia juga boleh berlaku jika disyaratkan pada perbuatan orang lain dan lafaz itu adalah sah. Al-Ramli menyatakan:[3]

وإن لم يبال بتعليقه كالسلطان, أو كان يبالي به ولم يعلم به, ولم يقصد الزوج إعلامه به .. وقع الطلاق بفعله وإن اتفق في بعض صوره نسيان أو نحوه؛ لأن الغرض حينئذ مجرد التعليق بالفعل من غير أن ينضم إليه قصد المنع.

Maksudnya: Namun, sekiranya orang itu tidak mengambil peduli akan taklik tersebut seperti pemerintah atau dia mengambil peduli tentangnya tetapi tidak mengetahuinya dan suami pula tidak berniat untuk memaklumkan kepadanya, maka berlaku talak dengan perbuatan orang itu walaupun dalam sebahagian keadaannya seperti lupa atau seumpamanya. Hal ini kerana, tujuan suami pada ketika itu hanyalah semata-mata menggantungkan talak dengan perbuatan tersebut tanpa disertai niat untuk menghalang orang itu daripada melakukannya."

 

Pertaruhan sebagai Taklik kepada Talak

Pengharaman pertaruhan atau perjudian adalah mutlak dan disepakati oleh seluruh ulama berdalilkan firman Allah SWT berikut:

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ ۖ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا ۗ

Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya.”

(Surah Al-Baqarah: 219)

Imam Al-Tabari menghuraikan hakikat kerosakan daripada perjudian (al-maisir) dan pertaruhan terhadap jiwa, sosial dan kerohanian manusia. Secara umumnya, perjudian bukanlah sekadar aktiviti permainan atau transaksi kewangan semata-mata, sebaliknya ia merupakan perangkap berbahaya yang melekakan seseorang daripada mengingati Allah SWT serta melalaikannya daripada menunaikan ibadah solat. Bahkan, perjudian menjadi punca utama terhakisnya keharmonian bermasyarakat apabila ia menyemaikan benih permusuhan dan kebencian yang mendalam antara sesama manusia, akibat rasa tidak puas hati dan kerugian yang dialami.[4] Keburukan-keburukan ini diperkuatkan lagi dengan sandaran firman Allah SWT:

إنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَن يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلَاةِ ۖ فَهَلْ أَنتُم مُّنتَهُونَ ‎﴿٩١﴾‏

Maksudnya: “Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?”

(Surah al-Ma'idah: 91)

Justeru semua perbuatan yang berunsurkan perjudian atau pertaruhan sama ada dilakukan secara bersemuka mahupun secara dalam talian adalah sangat dilarang dalam Islam. Lebih-lebih lagi, apabila seseorang mempertaruhkan sesuatu yang bukan harta tetapi maruah dan kehormatan seorang isteri sebagai cagaran dalam pertaruhan duniawi semata-mata. Menggunakan talak sebagai taruhan jelas mempermain-mainkan syiar Allah SWT dan hukum perkahwinan.

Dalam situasi ini, walaupun talak ditaklikkan dengan pertaruhan, namun sekiranya perkara yang ditaklikkan tersebut berlaku, maka talak boleh jatuh dan sabit di sisi mazhab Syafi’i sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini.

Kuasa Mahkamah dalam Pengesahan Talak

Sekiranya situasi lafaz talak atau taklik telah berlaku, pasangan suami isteri wajib mengambil tindakan segera dengan merujuk perkara tersebut ke Mahkamah Syariah. Langkah ini penting bagi mendapatkan kepastian dan keputusan hukum yang rasmi sebelum mereka meneruskan hubungan sebagai suami isteri.

Tindakan ini amat kritikal bagi memelihara kesucian ikatan perkahwinan serta mengelakkan pasangan daripada terus bersekedudukan dalam keadaan meragukan (syubhah). Tanpa pengesahan daripada pihak berkuasa agama, tindakan meneruskan hubungan kelamin dikhuatiri boleh mendedahkan pasangan suami dan isteri kepada perbuatan yang membawa kepada zina di sisi syarak.

Penutup

Lafaz talak bukanlah satu perkara yang boleh dibuat main, dijadikan bahan gurauan atau diguna sebagai modal pertaruhan. Oleh yang demikian, dinasihatkan agar suami wajib bertaubat atas pertaruhan yang dilakukan serta penyesalan yang mendalam kerana telah mempermainkan hukum-hakam Allah SWT. Nabi SAW telah menegaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ

Maksudnya: “Tiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya dianggap bersungguh-sungguh, iaitu nikah, cerai, rujuk semula (selepas talak)”

(Riwayat Abu Daud)

[1] Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, ‘Ali al-Syarbaji. al-Fiqh al-Manhaji. (Damsyik: Dar al-Qalam, 1992). 4/134

ومعنى تعليق الطلاق: أن يعلّق الزوج وقوع الطلاق على حدوث صفة، أو شرط، سواء مما قد تتلبس به الزوجة أو غيرها، كتعليقه طلاقها على قدوم غائب، أو على تصرّف معين قد تقوم به الزوجة أو غيرها.

[2] Wahbah al-Zuhaili, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu. (Damsyiq: Dar al-Fikr, t.tt). 9/6974.

فقال أئمة المذاهب الأربعة: يقع الطلاق المعلق متى وجد المعلق عليه،

أدلة القول الأول: استدل أئمة المذاهب الأربعة بالكتاب والسنة والمعقول: - الكتاب: استدلوا بإطلاق الآيات الدالة على مشروعية الطلاق وتفويض الأمر فيه إلى الزوج، مثل قوله تعالى: ﴿الطلاق مرتان﴾ [البقرة:٢٢٩/ ٢]، فهي لم تفرق بين منجز ومعلق، ولم تقيد وقوعه بشيء، والمطلق يعمل به على إطلاقه، فيكون للزوج إيقاع الطلاق حسبما يشاء منجزاً أو مضافاً أو معلقاً على وجه اليمين أو غيره.

[3] Syihabuddin al-Ramli, Ahmad bin Ahmad. Fath al-Rahman bi Syarh Zubad Ibn Ruslan. (Beirut: Dar al-Minhaj, 2009). Hlm 790.

[4] Al-Tabari, Muhammad bin Jarir. 2001. Jami’ Al-Bayan ‘an Ta’wil Ay Al-Quran. 3:676. Kaherah: Dar Hajar.

وأما في الميسرِ فما فيه من الشُّغُلِ به عن ذكرِ اللهِ وعن الصلاةِ، ووقوعِ العداوةِ والبغضاءِ بين المتياسِرينَ بسبَبِه