Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD USUL AL-FIQH SIRI KE-7: HURAIAN KAEDAH “MURA’AH AL-KHILAF” SERTA PENGAPLIKASIANNYA

 

Soalan:

Assalamualaikum Dr. Boleh jelaskan berkenaan kaedah: "مراعاة الخلاف" dan aplikasinya di Malaysia ? Sejauh manakah Malaysia atau institusi-institusi fatwa di Malaysia mempraktikkan kaedah ini. جزاكم الله خيرا

Jawapan:

Wa’alaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kita ucapkan kepada penghulu kita junjungan besar Rasulullah S.A.W, juga kepada keluarga, serta seluruh para sahabat baginda S.A.W.

Sebelum kita mengupas lebih lanjut berkenaan isu ini, suka untuk kami perincikan terlebih dahulu berkenaan definisi bagi kaedah yang disebutkan.

Definisi Mura’ah al-Khilaf

Dari sudut bahasa, perkataan mura’ah merujuk kepada: Memelihara dan kekal di atas sesuatu. Demikian juga ia membawa maksud: Menjaga, berlemah lembut, serta mengurangkan tanggungan dan bebanan ke atas sesuatu. Rujuk Lisan al-Arab, Ibn Manzhur (14/329).

Manakala kalimah al-khilaf pula sebagaimana yang disebutkan oleh al-Fairuz Abadi adalah: Menyelisihinya pada sesuatu iaitu bercanggah dengannya. Rujuk al-Qamus al-Muhith, al-Fairuz Abadi (1/251).

Dalam menjelaskan makna khilaf, al-Jurjani mendefinisikannya dengan katanya: Percanggahan yang berlaku di antara dua orang yang saling berbeza untuk mentahkikkan kebenaran ataupun membatalkan kebathilan. Lihat al-Ta’rifaat, al-Jurjani. Hlm. 135.

Dari sudut istilah pula, mura’ah al-khilaf didefinisikan dengan beberapa pengertian. Antaranya:

Kata al-Syeikh Abu al-Abbas al-Qabbab (W. 779), Mura’ah al-khilaf adalah: Memberikan setiap satu daripada kedua-dua dalil hukumnya. Lihat al-Mi’yar al-Mu’rib wal-Jamik al-Maghrib (6/388).

Istilah ataupun kaedah “Mura’ah al-Khilaf” ini terkenal di sisi para ulama bermazhab Maliki iaitu Malikiyyah. Manakala majoriti fuqaha lainnya meletakkan kaedah ini sebagai “al-Khuruj min al-Khilaf” iaitu keluar daripada khilaf.

Pembahagian Khilaf

Para fuqaha membahagikan khilaf kepada beberapa bahagian:

Pertama: Ikhtilaf Tanawwu’ (إختلاف تنوع)

Ikhtilaf ini berlaku disebabkan terdapatnya dalil-dalil ke atas satu jenis daripada ibadah. Maka seseorang itu kadangkala beramal dengan satu dalil dalam ibadah tersebut. Kadangkala dia beramal dengan dalil lain yang warid berkenaan ibadah yang sama.

Sebagai contoh, waridnya dalil-dalil yang banyak berkenaan sifat istiftah (bacaan doa istiftah/iftitah dalam solat). Antaranya seperti berikut, Abu Hurairah R.anhu meriwayatkan dari Nabi S.A.W bahawa baginda membaca doa istiftah seperti berikut:

اللَّهُمَّ بَاعِدْ بَيْنِي وَبَيْنَ خَطَايَايَ كَمَا بَاعَدْتَ بَيْنَ المَشْرِقِ وَالمَغْرِبِ اللَّهُمَّ نَقِّنِي مِنَ الخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ  اللَّهُمَّ اغْسِلْ خَطَايَايَ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالبَرَدِ

Maksudnya : Ya Allah, jauhkanlah di antaraku dan juga kesalahan-kesalahanku sebagaimana Engkau telah menjauhkan di antara timur dan juga barat. Ya Allah, bersihkanlah diriku daripada kesalahan-kesalahan sebagaimana telah dibersihkan baju yang putih daripada kotoran. Ya Allah, basuhkanlah kesalahan-kesalahanku dengan air, salji, dan juga air sejuk.

Riwayat al-Bukhari (744) dan Muslim (598)

Manakala dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan daripada A’isyah R.anha. Beliau menceritakan bahawa Rasulullah S.A.W apabila bangun pada waktu malam, baginda memulakan solat baginda dengan bacaan berikut:

اللهُمَّ رَبَّ جَبْرَائِيلَ  وَمِيكَائِيلَ وَإِسْرَافِيلَ  فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ  عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ  أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ  فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ  اهْدِنِي لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

Maksudnya: Wahai Allah, Tuhan kepada Jibrail, Mikail, dan juga Israfil. Tuhan yang menciptakan langit-langit dan juga bumi. Tuhan yang mengetahui perkara ghaib dan juga perkara yang nyata. Engkau menghukum di antara hamba-hamba-Mu terhadap perkara yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah aku akan kebenaran terhadap apa yang mereka perselisihkan dengan keizinan-Mu. Sesungguhnya Engkau memberikan hidayah kepada sesiapa yang Engkau kehendaki ke arah jalan yang lurus.

Riwayat Muslim (770)

Oleh itu, jika sesorang mengamalkan kedua-dua dalil yang sahih di atas di dalam dua solat yang berbeza, sekalipun terdapat perbezaan lafaz antara keduanya akan tetapi perbuatan tersebut tidaklah tercela. Ini kerana, dia beramal dengan kedua-dua lafaz yang mempunyai dalil sahih padanya di dua tempat yang berbeza. Bahkan dia dalam hal ini mengikut petunjuk Rasulullah S.A.W. Maka ini yang dipanggil sebagai ikhtilaf tanawwu’ iaitu perbezaan dalam jenis lafaz.

Kedua: Ikhtilaf Afham (Perbezaan Dalam Memahami Nas).

Perbezaan dalam memahami nas juga termasuk dalam pembahagian khilaf. Khilaf ini berlaku pada permasalahan yang terdapat padanya nas, lalu para ulama berbeza dalam beramal dengan nas ini disebabkan perbezaan mereka dalam memahami apakah yang dikehendaki dari nas tersebut.

Sebagai contoh, nas menyebut berkenaan iddah bagi wanita yang ditalakkan di dalam firman Allah S.W.T:

وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلاَثَةَ قُرُوَءٍ

Maksudnya: Dan wanita-wanita yang ditalakkan itu membersihkan diri mereka selama tiga quru’.

Surah al-Baqarah (228)

Berdasarkan ayat ini, berlaku khilaf di sisi para fuqaha dalam menafsirkan kalimah quru’. Sebahagian fuqaha menafsirkan kalimah quru’ sebagai suci. Manakala sebahagian yang lain menafsirkannya sebagai haidh.

Di dalam permasalahan ini, kedua-dua kumpulan mendapat pahala hasil dari ijtihad masing-masing. Sesiapa yang tepat, dia memperoleh dua pahala iaitu pahala berijtihad dan pahala tepat. Manakala siapa yang tersilap dia mendapat satu pahala sahaja iaitu pahala berijtihad.

Ketiga: Ikhtilaf Tudhaad (اختلاف تضاد)

Yang dimaksudkan dengan ikthtilaf ini adalah: Dua pendapat yang saling berbeza dari setiap sudut. Dan hanya terdapat satu sahaja yang tepat. Ikhtilaf jenis ini terbahagi kepada dua:

  1. Khilaf al-Saigh (perselisihan yang diterima): Iaitu khilaf yang berlaku pada tempatnya dan terbit daripada orang yang layak mengenainya. Khilaf seperti ini berlaku pada permasalahan-permasalahan yang tidak terdapat padanya dalil qath’ie ataupun pada permasalahan yang tidak terdapat padanya dalil.

 

  1. Khilaf Ghayru al-Saigh (perselisihan yang ditolak): Khilaf jenis ini berlaku pada permasalahan yang sudah terdapat nas qath’ie padanya. Sebagai contoh, seorang mengatakan bahawa solat itu tidak wajib. Maka berbezanya pendapat dalam hal ini tidak diambil kira kerana telah bercanggah dengan nas-nas yang qath’ie.

 

Berikutan hal di atas, dapatlah kita fahami bahawa bukan kesemua khilaf itu boleh diterima hanya kerana telah berlaku khilaf padanya. Akan tetapi, sangat penting untuk kita tahu apakah isu yang diperselisihkan ? Adakah ianya berlaku pada tempat-tempat yang sewajarnya ? Adakah pendapat yang berlawanan itu datang dari seorang yang berkelayakan ?

Renunglah kata-kata penyair berikut:

وَلَيْسَ كُلُّ خِلَافٍ جَاءَ مُعْتَبَرا    إِلَّا خِلَاف لَهُ حَظٌّ مِنَ النَّظَرِ

Maksudnya: Dan bukanlah kesemua khilaf itu datang dalam keadaan muktabar. Kecuali khilaf yang terdapat padanya bahagian dari penelitian.

Walaupun khilaf merupakan perkara tabii bagi setiap manusia, akan tetapi menjaga, meraikan, serta memelihara adab-adab khilaf amat penting untuk kita semua. Bacalah sejarah para salafussoleh, sekalipun mereka berkhilaf dalam satu-satu tajuk akan tetapi mahabbah, ukhuwwah, serta rabithah al-qulub (ikatan hati) antara mereka sentiasa hangat dengan perasaan kasih sayang. Bayangkan cara mereka memberi nasihat dan teguran kepada saudara mereka dengan lafaz:

اللَّه يَحْفَظُكَ حَفِظَكَ اللَّه

  اللَّه يَهْدِيكَ  هَدَاكَ اللَّهُ

Mereka juga saling mendoakan agar masing-masing mendapat petunjuk daripada Allah S.W.T. Akhir kalam, kami menutup tulisan ini dengan ucapan:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الحَقَّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ وَأَرِنَا البَاطِلَ بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَه

Maksudnya: Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami yang benar itu benar, dan rezekikanlah kami untuk mengikutinya. Serta tunjukkanlah kepada kami yang batil itu batil dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya.

Semoga dengan penulisan ini dapat memberikan sedikit kefahaman kepada kita berkenaan kaedah ‘Mura’ah al-Khilaf’ ini. Ameen.