Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD USUL FIQH SIRI KE-50: HAK PEMERINTAH UNTUK MENGEHADKAN PERKARA YANG HARUS (TAQYID AL-MUBAH)

TAQYID MUBAH

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Muqaddimah

Antara qaedah fiqh yang sering digunapakai dalam bidan siyasah syar’iyyah ialah qaedah yang berbunyi:

تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة

Maksudnya: Polisi dan tindakan pemerintah mestilah tertakluk kepada maslahah terhadap rakyat.

Definisi maslahah seperti yang disebutkan oleh Imam al-Ghazali Rahimahullah ialah: ‘Mendatangkan manfaat dan menghalang kemudharatan (Rujuk Al-Mustasfa min ‘Ilm al-Usul, 2/139) Justeru, sebarang bentuk perkara yang memberikan kebaikan dan manfaat kepada manusia serta dalam masa yang sama ia menghalang keburukan dan kemudaratan ke atas diri mereka, adalah dianggap sebagai maslahah.

Kata Imam Ibn Hajar al-Haitami al-Syafi’e: Adalah tidak wajib untuk menuruti arahan pemimpin (al-hakim) yang tidak membawa kepada maslahah ‘ammah. Maka difahami scara mafhum mukhalafah, menurut arahan pemimpin yang mempunyai maslahah ‘ammah ialah wajib. (Rujuk Tuhfah al-Muhtaj 3/71)

Disana terdapat satu lagi qaedah yang digunapakai oleh ulama dalam bidang siyasah, iaitu (للإمام تقييد المباح) yang membawa maksud hak pemerintah bagi mengehadkan perkara yang harus.

 

Definisi Taqyid al-Mubah

Istilah Taqyid al-Mubah ini terbina daripada dua perkataan, iaitu taqyid (تقييد) dan al-mubah (المباح).

Taqyid merupakan masdar ( - مصدرkata terbitan) daripada kalimah qayyada (قيد) , yang bermaksud mengikat atau membataskan.

Al-Mubah bermaksud pilihan yang diberi oleh Allah SWT samada untuk dilakukan atau ditinggalkan, tanpa ada pujian atau celaan terhadap mana-mana pilihan itu. (Rujuk al-Muwafaqat 1/172)

Menurut Dar al-Iftaa’ al-Misriyyah, kaedah “Pemerintah Berhak Mengehadkan Perkara Harus” tidak dinaskan secara jelas dalam kitab-kitab qawa’id fiqhiyyah yang terdahulu, namun ia sebenarnya merupakan ma’na atau mafhum yang diistinbatkan (المعاني المستنبطة)daripada konsep maslahah itu sendiri.

Secara umumnya, kaedah ini bermaksud pemerintah berhak menetapkan syarat atau pengikat terhadap perkara-perkara yang asalnya harus disisi syarak, di mana syarat atau pengikat ini bertujuan untuk mentahqiqkan maslahah umum.

Perkara-perkara harus tersebut juga mestilah terletak di bawah skop bidang kuasa pemerintah, antaranya polisi berkaitan ketenteraan, harta benda awam dan lain-lain bidang kuasa pemerintah yang didasari atas konsep maslahah.

Larangan, pengikat atau syarat terhadap perkara harus itu juga mestilah tidak bersifat mutlaq atau umum, contohnya larangan makan dan minum secara mutlaq, atau larangan poligami secara mutlaq. (Rujuk https://www.dar-alifta.org/ar/ViewFatwa.aspx?ID=14158&LangID=1 )

Satu perkara yang perlu diberi perhatian ialah konsep ini tidak bermaksud menghalalkan apa yang diharamkan atau mengharamkan perkara yang dihalalkan oleh Allah SWT. Halal dan haram sebagai hak mutlaq Allah SWT merupakan suatu prinsip syarak yang jelas lagi qath’ie, tanpa boleh diingkari oleh sesiapa. (Rujuk Majmu’ al-Fatawa 22/227) Qaedah taqyid al-mubah ini sebenarnya berkait rapat dengan qaedah fiqh yang mu’tabar, iaitu:

الضرورات تبيح المحظورات

Maksudnya: Keadaan darurat mengharuskan perkara-perkara yang asalnya haram.

Qaedah ini tidaklah bermaksud perkara-perkara yang haram itu bertukar hukumnya menjadi halal secara mutlaq; namun ia hanya dibenarkan untuk keadaan tertentu, bagi orang tertentu dan untuk jangka masa yang tertentu.

 

Aplikasi Taqyid al-Mubah

Antara contoh aplikasi qaedah taqyid al-mubah ialah:

1. Syarat dan kebenaran untuk berburu binatang: Keharusan berburu binatang diikat dengan arahan supaya lesen berburu diperoleh terlebih dahulu, dan kerajaan juga berkuasa untuk menetapkan spesis binatang atau tumbuhan tertentu sebagai spesis yang dilindungi.

2. Penetapan harga syiling dan kawalan terdapat pasaran perniagaan: Terdapat hadith Nabi SAW dimana orang ramai meminta Nabi SAW untuk mengawal harga barangan di pasar yang melambung tinggi pada waktu itu, namun Nabi SAW enggan dan bersabda:

إِنَّ اللَّهَ هُوَ الْمُسَعِّرُ الْقَابِضُ الْبَاسِطُ الرَّازِقُ وَإِنِّي لأَرْجُو أَنْ أَلْقَى اللَّهَ وَلَيْسَ أَحَدٌ مِنْكُمْ يُطَالِبُنِي بِمَظْلَمَةٍ فِي دَمٍ وَلاَ مَالٍ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah SWT lah yang menetapkan harga barang, Dia yang Maha Menyekat, Maha Memberi dan Menyediakan; dan aku harap untuk bertemu dengan Allah SWT dalam keadaan tiada seorangpun daripada kamu yang menuntut haknya disebabkan kezaliman yang aku lakukan dari sudut nyawa atau harta benda.

Sunan Abi Dawud (3451), Jami’ al-Tirmizi (1314) dan Sunan Ibn Majah (2200)

Hadith ini secara zahirnya mengisyaratkan bahawa para peniaga berhak menetapkan harga barang yang dijual dan kerajaan tidak berhak campur tangan. Namun menurut Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah, hadith ini tidak boleh digunakan sebagai hujjah untuk mengharamkan penetapan harga oleh pemerintah kerana ia merupakan kes khusus dan tidak terpakai dalam semua situasi. Bahkan dalam sebahagian keadaan, penetapan harga merupakan satu keadilan, namun ia menjadi satu kezaliman dalam keadaan yang lain. (Rujuk Majmu’ al-Fatawa 28/95 dan al-Turuq al-Hukmiyyah hlm. 217)

Maka kerajaan dan pemerintah berhak menetapkan harga barang dan mengawal harga pasaran agar tidak berlakunya eksploitasi oleh peniaga dan mengelakkan kezaliman terhadap para pengguna dan pembeli.

3. Menghidupkan tanah yang mati. Terdapat hadith daripada Sa’id bin Zaid R.A yang meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَحْيَا أَرْضًا مَيْتَةً فَهِيَ لَهُ

Maksudnya: Sesiapa yang menghidupkan tanah yang mati, maka dia berhak ke atas tanah tersebut.

Sunan Abi Dawud (3073) dan Muwatto (1430)

Namun, hadith ini tidak bermaksud seseorang itu bebas untuk menjalankan perniagaan di mana-mana lokasi yang difikirkan sesuai. Syeikh Khalil al-Saharanfuri sewaktu menjelaskan hadith ini menyatakan bahawa ‘tanah yang mati’ dalam hadith di atas difahami oleh para fuqaha’ sebagai tanah yang tidak bertuan yang berada di luar kawasan suatu negeri, atau tanah yang tidak mempunyai sebarang maslahah untuk negeri atau kampung tersebut.

Tanah yang diusahakan itu juga mestilah mendapat keizinan pemerintah terlebih dahulu, dan inilah pandangan yang dipegang oleh Imam Abu Hanifah, Qadhi Abu Yusuf, Imam Malik sebagaiman dinukilkan oleh Imam al-Syaukani dan Imam Mulla Ali al-Qari. (Rujuk Bazl al-Majhud fi Halli Alfaz Abi Dawud 10/318, Nail al-Autor 6/45 dan Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masobih 6/133)

4. Penetapan had umur berkahwin: Berkahwin merupakan satu anjuran agama yang yang sangat dituntut, namun kerajaan berhak menetapkan had minimum umur untuk berkahwin bagi mengelakkan mafsadah yang timbul akibat perkahwinan kanak-kanak. Kami telah nyatakan dalam artikel kami sebelum ini:

“...kerajaan berkuasa untuk menetapkan polisi mengehadkan umur minimum perkahwinan kerana ia termasuk di bawah kategori taqyid al-mubah (mengikat perkara yang harus dengan suatu maslahat) bagi menegakkan keadilan dan bukanlah bertujuan untuk mengharamkan apa yang Allah SWT halalkan”.[1]

5. Berkahwin dengan wanita ahli Kitab. Menurut Imam Ibn Jarir al-Tobari, Saidina Umar al-Khattab R.A telah melarang Tolhah bin ‘Ubaidillah dan Huzaifah bin al-Yaman daripada menikahi wanita ahli Kitab kerana bimbang masyarakat akan mengikuti perbuatan mereka, dan akhirnya akan menyebabkan ramai wanita Muslimah yang tidak dinikahi oleh lelaki Muslim. (Rujuk Jami’ al-Bayan fi Ta’wil al-Qur’an 3/715)

Diperhatikan bahawa contoh-contoh di atas adalah berkait rapat dengan konsep maslahah dan mafsadah, serta berkait dengan kepentingan umum masyarakat serta negara. Pengehadan pada perkara harus itu juga tidaklah bersifat mutlaq, dan ia hanya terhad kepada skop dan bidang kuasa pemerintah untuk campur tangan padanya, serta dilakukan atas dasar maslahah serta kepetingan umum.

Maka, pemerintah tidak berhak menetapkan menu tertentu yang perlu dimakan dan diminum oleh rakyat, kerana ini tidak termasuk dalam bidang kuasa pemerintah. Namun, pemerintah berhak melarang makanan atau minuman tertentu yang boleh membawa kepada mudharat kerana ia termasuk di bawah konsep maslahah dan mafsadah umum yang menjadi tanggungjawab pemerintah untuk mengawalnya.

Begitu juga pemerintah tidak berhak untuk menetapkan ciri-ciri wanita yang perlu dikahwini kerana ia bukan bidang kuasa pemerintah untuk melakukannya, serta tiada maslahah yang akan dicapai daripada polisi sebegitu. Namun pemerintah berhak untuk menetapkan had umur minimum bagi perkahwinan jika difikirkan adanya mafsadah yang timbul akibat daripada perkahwinan kanak-kanak. (Rujuk https://www.dar-alifta.org/ar/ViewFatwa.aspx?ID=14158&LangID=1 )

 

Kesimpulan

Tuntasnya, kami nyatakan bahawa kaedah taqyid al-mubah ini merupakan satu qaedah yang sahih dan mu’tabar disisi syarak, dan ia juga bertepatan dengan contoh-contoh dalam hukum-hakam fiqh serta kaedah syarak yang lain.

Namun demikian, penetapan syarat atau penyempitan terhadap perkara-perkara yang harus ini tidaklah bersifat mutlaq, dan ia hanya terhad kepada skop yang dibenarkan bagi pemerintah untuk campur tangun, serta ia mestilah bertujuan untuk mencapai maslahah umum dan mengelakkan mudharat.

Wallahu a’lam.

 

Nota kaki:

[1] Rujuk artikel kami pada pautan https://muftiwp.gov.my/en/artikel/bayan-linnas/2545-bayan-linnas-145-isu-perkahwinan-kanak-kanak-menurut-perspektif-siyasah-syar-iyyah