Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

QALAM MUFTI #11: “MANHAJ WASATHIY DALAM MENYANTUNI KEPELBAGAIAN”

Kemunculan pelbagai aliran pemikiran di negara kita seperti Islam liberal, classical liberalism, sosialisme, feminisme, atheisme, Syiah, Qadiani dan lain-lain merupakan satu cabaran besar yang harus digalas oleh kita semua bagi mempertahankan aqidah Islam yang kita anuti sejak sekian lama. Namun di satu sudut yang lain, saya turut melihat ia sebagai satu peluang untuk kita menabur bakti kepada agama Islam yang kita cintai ini, dan juga sebagai ruang untuk kita menjelaskan hakikat sebenar agama sebagaimana yang diwahyukan oleh Allah SWT melalui al-Qur’an dan pengutusan Baginda Rasul SAW.

Sejarah telah mengajar kita, agama Islam diterima ramai berkat daripada wacana agama yang subur dalam kalangan rakyat yang dikelolai oleh para ulama’ mujtahidin dan cendekiawan ulung. Meskipun penggunaan kuasa dan hukuman dibenarkan menurut Siyasah Syar’iyyah untuk membanteras gejala yang tidak sihat, namun ia hanya dibenarkan dalam skop-skop tertentu dan tidak boleh digunakan secara semberono.

Insha Allah, semua isu yang dinyatakan di atas akan dibahaskan pada masa akan datang dengan lebih terperinci dan ilmiah yang disertai dengan maraji’, masadir dan sumber yang sebenar.

 

Kepelbagaian adalah Satu Keniscayaan

Kepelbagaian dan keragaman merupakan satu Sunnatullah yang telah ditakdirkan oleh Ilahi. Firman-Nya dalam al-Qur’an:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّـهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)”.

(Surah al-Hujuraat: 13)

Menurut ‘Allamah Ibn ‘Asyur dalam tafsirnya, makna ayat ini dijelaskan oleh satu hadith Baginda SAW sewaktu khutbah Haji Wada’ yang berbunyi:

 يَا أَيُّهَا النَّاسُ أَلَا إِنَّ رَبَّكُمْ وَاحِدٌ وَأَنَّ أَبَاكُمْ وَاحِدٌ لَا فَضْلَ لِعَرَبِيٍّ عَلَى عَجَمِيٍّ وَلَا لِعَجَمِيٍّ عَلَى عَرَبِيٍّ وَلَا لِأَسْوَدَ عَلَى أَحْمَرَ وَلَا لِأَحْمَرَ عَلَى أَسْوَدَ إِلَّا بِالتَّقْوَى

Maksudnya: “Wahai umat manusia! Ketahuilah bahawa Tuhan kamu adalah satu, dan bapa kamu adalah satu (Nabi Adam a.s); dan tiada kelebihan orang Arab ke atas orang ‘Ajam atau orang ‘ajam ke atas Arab, atau orang kulit hitam ke atas yang berkulit merah atau sebaliknya, kecuali menurut nilaian taqwa.” (Lihat Tafsir At-Tahrir wa at-Tanwir, 26/261. Hadith riwayat Ahmad : 22978)

Berkenaan perkataan “لِتَعَارَفُوا” yang bermaksud “supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain)”, Sayyid Qutb berkata: “Perbezaan bahasa dan warna kulit, perbezaan tabiat dan akhlak, perbezaan kebolehan dan bakat-bakat adalah perbezaan yang tidak seharusnya membawa kepada pergaduhan dan perbalahan, malah ia sewajarnya membawa kepada tolong-menolong dan kerjasama yang erat untuk melaksanakan tugas-tugas kemanusiaan dan melengkapkan keperluan umat manusia. Warna kulit, bangsa, bahasa dan negara tidak mempunyai nilai menurut neraca Allah kerana di sana hanya neraca taqwa merupakan satu-satunya neraca yang menentukan nilai dan kelebihan manusia. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 15/112)

Islam tidak pernah memusuhi perbezaan pendapat dan kebebasan pemikiran. Firman-Nya dalam Al-Qur’an:

وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ لَجَعَلَ النَّاسَ أُمَّةً وَاحِدَةً ۖ وَلَا يَزَالُونَ مُخْتَلِفِينَ

Maksudnya: Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut ugama yang satu. (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan.

(Surah Hud: 118)

Kata Syeikh Rasyid Redha dalam mentafsirkan ayat ini,  Allah SWT mencipta manusia sebagai makhluk yang mempunyai tingkatan ilmu yang berbeza dan mempunyai kebebasan dan pilihan dalam membuat sebarang keputusan, dan hal ini menatijahkan perbezaan dan kepelbagaian hatta dari sudut agama dan pegangan. Ini menjadi bukti kepada kuasa Allah SWT dari sudut kehendak-Nya untuk menciptakan apa sahaja perkara. (Lihat Tafsir al-Manar, 12/161)

Bahkan Islam menggalakkan umat agar memaksimumkan keupayaan akal kurniaan Allah untuk sentiasa berfikir dan bersikap kritis dalam menanggapi sesuatu perkara berpandukan ilmu dan fakta sahih.

Usaha untuk menghimpunkan manusia ke dalam satu aliran pemikiran yang satu, menghimpunkan seluruh umat Islam di atas mazhab atau aliran yang satu merupakan perkara yang sia-sia, kerana ia bercanggah dengan Sunnatullah yang telah sedia ada sejak azali lagi. Apa yang mampu kita laksanakan ialah berusaha ke arah mencari pendekatan terbaik bagi mengurus perbezaan pendapat dan menanggapi kepelbagaian yang pasti wujud dalam kehidupan manusiawi. Slogan ‘kepelbagaian dalam bingkai kesatuan’ perlu dihayati agar kita saling menghargai perbezaan yang wujud dan menghormati sesama kita.

Begitu juga, kita saling meraikan perbezaan dengan penuh penghormatan seperti kenyataan al-Syeikh Rasyid Ridha:

نتعاون مع بعضنا في ما اتفقنا فيه ويعذر بعضنا بعضا فيما اختلفنا عليه

Maksudnya: "Kami bertolong-tolongan dalam isu yang kami sepakat padanya dan kami saling berlapang dada pada perkara yang berselisih tentangnya."

Kenyataan pertama ini maksudnya, orang Islam hendaklah bangkit melaksanakan urusan kebaikan yang tiada khilaf pada pensyariatannya. Pertolongan yang wajib ini telah terbukti wujud dalam firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

(Surah al-Maidah: 2)

Adapun ibarat yang kedua boleh ditafsir dengan dua tafsiran tetapi kami maksudkan di sini perkara khilafiyah yang cabang dan yang bukan keji.

Konteks negara Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi menjadi pentas untuk kita mengaplikasikan adab berbeza pendapat dan meraikan kepelbagaian aliran pemikiran yang wujud. Kata Syeikh Ahmad Ar-Raysouni dalam bukunya al-Fikr al-Maqasidiy, demokrasi mengajar kita supaya bersikap tawadhu dan tidak taasub kepada pandangan sendiri, berlapang dada, hormat-menghormati dan sentiasa membuka ruang perbincangan dan perdebatan agar suatu keputusan atau ketetapan terbaik dapat diambil.

Oleh kerana kepelbagaian ini merupakan satu realiti masyarakat, maka pelaksanaan dan implementasi hukum-hakam syara’ juga perlu meraikan realiti yang kompleks ini sebagaimana yang sering ditegaskan ulama kontemporari seperti Mufti Mesir, Syeikh Syauqi Ibrahim Abdul Karim ‘Allam. Realiti masyarakat yang kompleks dan ilmu yang makin berkembang menjadikan proses istinbat hukum dan pelaksanaan undang-undang menjadi sukar dan memerlukan penelitian yang lebih mendalam dan berhati-hati.

Kajian dan penelitian yang mendalam berkenaan setiap aliran mestilah dipastikan ketepatannya dan dirujuk kepada sumber yang terpercaya (tabayyun), agar kita tidak berlaku zalim ke atas mereka dan tidak menghukum mereka atas apa yang mereka tidak lakukan. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya,

 (Surah al-Hujurat: 6)

Imam Ibn Kathir berkata: Allah memerintahkan agar kita benar-benar menyemak berita dari orang fasik dengan mewaspadainya seupaya tidak berlaku sebarang pendustaan dan kekeliruan. Kebanyakan ahli tafsir menyebut turunnya ayat ini kepada al-Walid bin ‘Uqbah bin Abi Mu’ith ketika menjadi utusan Rasulullah untuk memungut zakat daripada Bani Mustaliq. (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 7/476)

Imam al-Syaukani rahimahullah berkata: “Yang dimaksudkan dengan tabayyun adakah memeriksa dengan teliti, yang dimaksudkan dengan tasabbut adalah berhati-hati dan tidak tergesa-gesa, melihat dengan keilmuan yang dalam terhadap sebuah peristiwa dan khabar yang datang, sampai menjadi jelas dan terang baginya.” (Lihat Fathul Qadir, 5/65)

Syeikh al-Maraghi berkata: Allah SWT mendidik hamba-hamba-Nya yang mukmin dengan sifat sopan yang berguna bagi mereka dalam soal agama atau dunia. Berhubung perkara ini apabila meraka dihampiri oleh seorang fasik yang terang-terangan meninggalkan syiar agama  dengan membawa sesuatu berita hendaklah tidak terus mempercayainya sehinggalah betul-betul mendapat kepastian dan berusaha mengetahui perkara yang sebenarnya tanpa bersandar kepada ceritanya semata-mata. Ini disebabkan orang yang tidak ambil kisah melakukan kefasikan tentu tidak kisah pula untuk berbuat dusta kerana dusta memang termasuk cabang kefasikan. Langkah ini perlu diambil supaya jangan sampai orang mukmin menimpakan bencana ke atas kaum yang tidak mereka ketahui keadaan mereka, yang mana nanti mereka akan menyesal di atas perbuatan yang terlanjur mereka lakukan lalu mereka pun berangan-angan sekiranya perkara ini tidak pernah berlaku. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 13/6490)

Sayyid Qutb berkata: Perbuatan meragui secara mutlaq terhadap segala sumber dan segala berita adalah bertentangan dengan dasar kepercayaan yang seharusnya wujud di antara individu kelompok yang beriman, dan melumpuhkan perjalanan kehidupan dan peraturan dalam masyarakat Islam, sedangkan Islam membiarkan kehidupan masyarakat itu berjalan mengikut perjalanan tabi’enya dan Islam hanya mengadakan jaminan dan kawalan untuk memelihara perjalanan kehidupan itu sahaja bukan untuk melumpuhkan. Inilah contoh dasar kebebasan dan pengecualian dalam menangani sumber berita. (Lihat Fi Zilal al-Qur’an, 15/96)

Adab atau sikap yang terkait dengan tabayyun agar tidak terjerumus dalam kancah fitnah termasuk juga mengelakkan daripada mendengar atau membaca berita yang membahas keaiban dan membahayakan pemikiran.

Sebab itulah dalam Surah al-Hujurat juga, prinsip tabayyun diseiringkan dengan ayat yang menuntut umat bersangka baik dan tidak mudah menjatuhkan hukum atau kesimpulan sebagaimana yang disebut ayat 12 dalam surah yang sama: “Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada prasangka kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa.”

 

Islam Rahmah v Islam Marah-Marah

Kita sering diperingatkan akan konsep Islam Rahmatan lil ‘Alamin yang bersumberkan wahyu Allah SWT melalui al-Kitab:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ

Maksudnya: Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.

(Surah al-Anbiya’: 107)

Imam Ibn Kathir sewaktu mentafsirkan ayat ini membawakan hadith daripada Abu Hurairah RA, dimana suatu hari Nabi SAW diminta untuk melaknat dan mencela orang Musyrikin, Nabi SAW yang mulia telah bersabda:

إِنِّي لَمْ أُبْعَثْ لَعَّانًا وَإِنَّمَا بُعِثْتُ رَحْمَةً

Maksudnya: Sesungguhnya aku tidak diutuskan untuk menjadi pencela dan pelaknat, sesungguhnya aku diutuskan sebagai rahmat. (Rujuk Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 5/388. Hadith Riwayat Muslim: 2599)

Al-Qur’an juga menyebut bahawa antara faktor dakwah Nabi SAW diterima adalah kerana sikap rahmah, toleran dan penuh hikmah Baginda. Firman Allah SWT:

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللَّـهِ لِنتَ لَهُمْ ۖ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ ۖفَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ ۖ

Maksudnya: “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu.

(Surah Ali ‘Imran: 159)

Pelaksanaan hukum dan penguatkuasaan undang-undang yang sinonim dengan kekerasan, jika tanpa disertakan dengan roh kelembutan dan hikmah yang mendidik pasti akan mendatangkan fitnah kepada agama Islam. Lantaran itu, sikap berhati-hati dalam menangani perbezaan dan menanggapi kemajmukan aliran adalah amat dituntut bagi menzahirkan sifat rahmah agama Islam.

Kita bertanggungjawab dalam membina imej Islam yang lebih harmoni tanpa menggadaikan prinsip-prinsip asas, membawa naratif Islam yang lebih toleran tanpa mengorbankan ketegasan dalam perkara-perkara pokok yang tidak boleh diambil mudah. Tsawabit (rukun dan asas agama) wajib ditegaskan, manakala al-mutaghayyirat (perkara ranting yang boleh berubah) perlu ditanggapi dengan penuh keanjalan dan keluwesan.

Tugas dakwah dan tanggungjawab amar maaruf nahi munkar perlu digerakkan atas asas da’wah bil hikmah, mau’izah hasanah dan perdebatan yang sihat, sesuai dengan pesanan Allah SWT melalui firman-Nya:

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk”.

(Surah an-Nahl: 125)

Naratif Islam yang baharu dan segar itu asasnya ialah fiqh kewarganegaraan (fiqh muwathonah), Maqasid Syariah sebagai tujuan tertinggi syarak dan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi kontrak sosial seluruh rakyat Malaysia.

 

Larangan Takfir dan Label yang Menghina

Kebebasan berfikir dan meraikan kepelbagaian pendapat mempunyai asas yang kukuh dalam Islam. Namun, sepertimana hal-hal yang lain, ia tidak mungkin bersifat mutlak dan tetap mempunyai batas dan sempadan yang tidak boleh dilanggar. Kesucian agama Islam sebagai agama Persekutuan hendaklah dihormati, perkara sensitif melibatkan bahasa Melayu, Raja-raja Melayu dan sentimen kaum mestilah digarap dengan penuh berhati-hati.

Tanggungjawab `amar maaruf nahi munkar’ pada peringkat tertinggi terletak di atas bahu kerajaan dan pihak berkuasa agama dalam menghalang sebarang unsur yang boleh mencemarkan kedaulatan agama Islam dan memecahbelahkan kesatuan rakyat Malaysia.

Malangnya, terdapat segelintir daripada kita yang tergelincir daripada landasan dan terlebih lajak daripada laju. Kafir-mengkafir, penggunaan label yang buruk terhadap mereka yang berbeza pendapat dan penghinaan yang dahsyat terhadap mereka yang tidak sealiran telah mengundang persepsi negatif terhadap agama Islam itu sendiri amnya dan institusi agama khususnya.

Islam dan institusinya mulai ditohmah sebagai anti-pemikiran, tidak mesra perbezaan pendapat, bersikap kuku besi, penuh kekasaran dan cenderung hanya untuk menghukum berbanding berhujah secara matang. Persepsi negatif ini hanya dapat dihilangkan melalui reformasi sikap kita dalam menanggapi kepelbagaian aliran, menyantuni mereka yang berbeza dengan penuh hikmah dan sopan santun sebagai satu bentuk aplikasi konsep Islam Rahmatan lil ‘Alamin.

Perkara yang haq tidak boleh ditegakkan dengan cara yang bathil. Kebenaran dan kebathilan tidak boleh sama sekali dicampur-adukkan. Firman Allah SWT:

وَلَا تَلْبِسُوا الْحَقَّ بِالْبَاطِلِ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah...”

(Surah al-Baqarah: 42)

Imam al-Maraghi menukilkan dalam tafsirnya daripada kitab al-Taisir bahawa ayat ini ditujukan kepada kaum Muslimin dan setiap daripada golongan mereka. Jelasnya, firman tersebut bermaksud: “Wahai para pemerintah! Janganlah kamu mencampurkan keadilan dan kezaliman. Wahai para hakim! Janganlah kamu mencampurkan sesuatu keputusan dengan sogokan.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 1/105)

Larangan kafir-mengkafir telah ditegaskan oleh Baginda Nabi SAW:

أَيُّمَا رَجُلٍ قَالَ لِأَخِيهِ يَا كَافِرُ، فَقَدْ بَاءَ بِهَا أَحَدُهُمَا

Maksudnya: Barangsiapa yang berkata kepada saudaranya ‘wahai kafir’ maka telah kafirlah salah seorang daripada mereka.

Riwayat Bukhari (6104)

Ibn ‘Abdil Barr sewaktu menjelaskan hadith ini yang turut terdapat dalam kitab Muwatta’ menyatakan bahawa hadith ini melarang keras amalan mengkafirkan orang Islam kerana perlakuan dosa ataupun mengkafirkan mereka kerana takwilan dan pendapat yang meskipun bercanggah dengan pandangan umum majoriti ulama, namun masih tidak terkeluar daripada Islam. (Lihat al-Tamhid li ma fi al-Muwatta’ oleh Ibn ‘Abd al-Barr, 17/14)

Baginda SAW juga melarang perbuatan mencela dan mencaci dalam hadith yang lain:

سِبَابُ الْمُسْلِمِ فُسُوقٌ، وَقِتَالُهُ كُفْرٌ

Maksudnya: Mencela orang Muslim itu satu kefasikan, membunuh mereka pula adalah satu kekafiran.

Riwayat Bukhari (7076)

Pelaksanaan `amar maaruf nahi munkar’ sebagai satu kerja kebajikan yang terpuji, jika dicampuradukkan dengan amalan yang keji seperti kafir-mengkafir dan cela-mencela merupakan satu situasi yang sungguh ironis.

 

Manhaj Wasathiy[1]

Justeru, dalam berinteraksi dengan kepelbagaian aliran pemikiran dan mazhab dewasa ini, manhaj wasathiyy harus diamalkan oleh setiap pihak. Antara contoh aplikasi manhaj wasathiy ini ialah seperti berikut:

  • Pertengahan ANTARA mereka yang melampau-lampau dalam menyesat dan mengkafirkan sesama muslim DENGAN mereka yang terlalu bermudahan-mudahan dalam perkara yang jelas kekufuran dan kemurtadannya.
  • Pertengahan ANTARA golongan yang hanya menghukum menggunakan akal walaupun bercanggah dengan nas muktamad DENGAN kumpulan yang menolak sepenuhnya fungsi akal atau terlampau literal dalam memahami nas yang anjal bentuk pelaksanaannya.
  • Pertengahan ANTARA mereka yang menyeru kepada falsafah liberal hingga menyucikan hak individu melebihi hak komuniti DENGAN mereka yang menyeru kepada falsafah sosialisme yang terlalu menyucikan komuniti sehingga menzalimi hak individu.
  • Pertengahan ANTARA mereka yang menyeru kepada tajdid dan ijtihad sehingga dalam urusan prinsip agama dan hal qat'iyyat DENGAN mereka yang menyeru sepenuhnya kepada taqlid dan memusuhi ijtihad, walaupun dalam isu-isu semasa yang belum pernah disentuh oleh ulama silam.
  • Pertengahan ANTARA mereka yang meletakkan kebenaran hanya berpihak pada parti politik anutannya DENGAN mereka yang langsung tidak mempercayai kebenaran ada pada mana-mana parti politik.

Sesungguhnya, sikap wasathiyyah atau pertengahan yang dinyatakan ini telah sedia terangkum dalam disiplin ilmu yang menjadi teras kepada ajaran Ahli Sunnah wal Jamaah yang telah sekian lama mendarah daging dalam tubuh umat Islam di negara ini. Justeru, sayugianya ia terus disemai dan dibajai agar terus mekar dalam jati diri umat Islam hingga benar-benar berjaya menjadi umat yang terbaik dan disegani.

 

Penutup

Kami tegaskan di sini bahawa “Manhaj Wasathiy Dalam Menyantuni Kepelbagaian” perlu dilihat dengan suluhan ilmu dan makrifah. Sebarang bentuk fahaman dan iktiqad hendaklah dineracakan dengan panduan nusus syar’iyyah daripada al-Quran, al-Sunnah, Ijma’ dan juga pendapat dan fahaman para ulama’ muktabar dalam kalangan Ahli Sunnah wal Jama’ah. Kami nyatakan bahawa apa-apa yang telah dimuktamadkan dan diputuskan oleh ulama’ di zaman dahulu melalui ijma’ dan kesepakatan, maka tidak perlu lagi kajian semula seperti dalam disiplin ilmu yang sebenar.

Begitu juga, sebarang bentuk fahaman dan yang membabitkan akidah perlu dirujuk kepada kitab-kitab yang muktabar dalam Mazhab Ahli Sunnah wal Jama’ah. Kami juga mengharapkan agar kebebasan yang diberikan bukan membawa kepada porak-peranda, tuduh-menuduh, menegakkan benang yang basah, mendakwa tanpa hujah dan bukti serta menjadikan Islam itu boleh dimanipulasikan dan disemberonokan sehingga masing-masing mendakwa bahawa merekalah yang betul tetapi hakikatnya mereka menyimpang daripada asas kebenaran.

Justeru, benarlah kaedah yang masyhur yang menyebut:

الرجوع إلى الحق خير من التمادي في الباطل

Maksudnya: “Kembali kepada kebenaran lebih baik daripada berterusan dalam kebatilan.”

Semoga pencerahan ini menjadikan kita benar-benar memahami adab al-khilaf dan sentiasa mencari kebenaran mengikut neraca syariah yang dipandu oleh akal yang bersinar lagi jernih. Ameen.

 

Akhukum fillah,

SS Dato’ Seri Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

 

[1] Imam al-Munawi berkata: “Yang tidak berat sebelah kerana pertengahan adalah adil bagi semua pihak dan sudut. Begitu juga terbaik pada sesuatu. Sedangkan kerugian serta luputnya apabila membawa kepada condong.” (Lihat al-Taisir bi Syarh al-Jami’ al-Saghir, 1/480)

Inilah juga yang dijadikan kaedah dalam pertimbangan adat, uruf dan lain-lain dalam urusan akhirat, tasyri’ Islami, aqidah sahih yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan para sahabatnya.

Inilah thawabit kehidupan seperti juga thawabit Islam.