Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

QALAM MUFTI #24: NASIHAT KEPADA PELAJAR YANG AKAN BELAJAR DI UNIVERSITI ISLAM MADINAH

universiti madinah.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri. Bolehkah SS Dato’ Seri kongsikan pengalaman dan tips nasihat belajar Universiti Islam Madinah dan apabila sudah pulang ke tanah air kerana saya akan menuntut ilmu di sana.

 

Jawapan

Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.

Pertamanya, saya mengucapkan syabas kerana berada berhampiran dengan kekasih Allah, kota suci Madinah al-Munawwarah yang mempunyai keberkatan dan keistimewaan luar biasa. Kami nyatakan di sini antara kelebihan kota Madinah:

Daripada Abi Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الْإِيمَانَ لَيَأْرِزُ إِلَى الْمَدِينَةِ كَمَا تَأْرِزُ الْحَيَّةُ إِلَى جُحْرِهَا

Maksudnya: Sesungguhnya iman akan kembali ke Madinah sebagaimana ular akan masuk ke sarangnya atau lubangnya.

Riwayat al-Bukhari (1876)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Sebagaimana seekor ular akan keluar daripada lubangnya untuk mencari apa yang dia dapat hidup dan apabila merasa bimbang akan sesuatu, ia akan kembali ke sarangnya. Begitu juga iman akan tersebar di kota Madinah. Setiap orang beriman pada jiwanya dipandu untuk ke kota Suci Madinah kerana cinta kepada Nabi SAW. (Lihat Fath al-Bari, 4/93)

Keduanya, hendaklah saudara bersabar ketika berlaku kesukaran dalam menguruskan kehidupan di bumi Madinah. Inilah yang diajar oleh Rasulullah SAW, daripada Abi Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَصْبِرُ عَلَى لأْوَاءِ الْمَدِينَةِ وَشِدَّتِهَا أَحَدٌ مِنْ أُمَّتِى إِلاَّ كُنْتُ لَهُ شَفِيعًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَوْ شَهِيدًا

Maksudnya: Tidak seseorang itu daripada umatku sabar di atas kesusahan dan keperitan ketika berada di Madinah kecuali aku memberi syafaat kepada pada hari Kiamat atau menjadi saksi kepadanya.

Riwayat Muslim (3413)

Imam al-Nawawi berkata: Kelebihan syafaat ini kepada penduduk Madinah dengan tambahan darjat atau diringankan hisab atau dengan apa yang Allah kehendaki. Antaranya, Allah memuliakan mereka pada hari Kiamat dengan pelbagai jenis kemuliaan termasuk menempatkan mereka di bawah lindungan Arasy atau kedudukan mereka di atas minbar atau dipercepatkan mereka ke syurga. (Lihat Syarh al-Nawawi 'ala Sahih Muslim, 5/28)

Ketiganya, saya ucapkan syabas kerana masih dapat menuntut dan mempelajari ilmu. Ini merupakan ibadat. Semoga saudara termasuk dalam hadis daripada Abi Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا ، سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ

Maksudnya: Sesiapa yang berjalan mencari secangkir ilmu, nescaya Allah mudahkan baginya jalan ke syurga.

Riwayat Ibn Majah (223), al-Tirmizi (2646)

Antara kelebihan menuntut ilmu ialah:

  • Jalan bagi seseorang untuk menuju ke syurga adalah dengan ilmu. Tanpa ilmu agama yang mencukupi di dalam diri, tidak mungkin bagi seseorang untuk mendapat dan mencapai ke makam yang tertinggi seterusnya masuk ke dalam syurga Allah SWT.
  • Ilmu juga memainkan peranan yang penting di dalam menerangkan keutamaan di dalam amalan, agar apa yang dilakukan itu adalah suatu yang terbaik.
  • Kelebihan menuntut ilmu atau belajar, apatah lagi jika sekiranya menuntut ilmu dengan niat yang ikhlas kerana Allah SWT. Kita perlu bersikap merendah diri iaitu tawaduk dan serius dalam pencarian ilmu. Dalam keadaan begini, ilmu itu akan dapat
    diperolehi dengan sebaik-baiknya.
  • Pada hakikatnya ilmu adalah warisan utama kenabian. Ilmu ini tidak diperturunkan kepada para malaikat. Dari aspek itu, golongan sufi merupakan golongan yang tidak mempunyai harta pada zaman Nabi SAW. Walaupun tidak mempunyai harta hatta tempat tinggal sekalipun, golongan sufi ini kaya dengan ilmunya.
  • Menuntut ilmu juga merupakan satu bentuk ibadah yang agung daripada ibadah yang lain. (Lihat al-Kafi Syarah Hadis 40, hlm. 340)

 

Keempatnya, betulkan niat.

Ini kerana ia menjadi natijah yang baik apabila awalannya dengan niat yang betul. Dengan sebab itulah para ulama’ mengesyorkan agar kita mentashihkan niat terutamanya dalam menuntut ilmu kerana dengannya, keberkatan ilmu akan diperolehi.

Firman Allah SWT:

وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّـهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ

Maksudnya: Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya.

Surah al-Bayyinah (5)

Ibn Kathir berkata: Maksudnya ialah melepaskan kesyirikan dan menuju kepada tauhid.

 

Kelima, ilmu utama yang dipelajari.

Imam al-Mawardi menyebut: “Ketahuilah bahawa semua ilmu ada permulaannya yang membawa kepada akhir, pengenalan yang membawa kepada hakikat. Justeru, hendaklah pelajar memulakan dengan awalannya hingga ke akhirnya. Jangan mulakan akhir sebelum mengenal awal dan hakikat sebelum pengenalan.” (Lihat Adab al-Dunya wa al-Din, hlm. 48)

Ibn Abbas R.Anhuma pernah berkata:

الْعِلْمُ أَكْثَرُ مِنْ أَنْ يُحْصَى فَخُذُوا مِنْ كُلِّ شَيْءٍ أَحْسَنَهُ

Maksudnya: “Ilmu itu amat banyak daripada yang termampu untuk dihitung, maka ambillah setiap sesuatu itu yang terbaik”

 

Keenam, berdoalah kepada Allah untuk mendapat ilmu bermanfaat.

Daripada Ummu Salamah R.Anha, Nabi SAW berdoa apabila solat Subuh ketika hendak memberi salam:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.

Riwayat Ibn Majah (925)

Daripada Jabir R.A, Rasulullah SAW bersabda:

سَلُوا اللَّهَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَتَعَوَّذُوا بِاللَّهِ مِنْ عِلْمٍ لاَ يَنْفَعُ

Maksudnya: “Mohonlah kamu semua kepada Allah akan ilmu yang bermanfaat dan berlindunglah dengan Allah daripada ilmu yang tidak bermanfaat.”

Riwayat Ibn Majah (3843)

Ketujuh, hormatilah guru.

Ini kerana, kita mengambil ilmu daripadanya, mempelajari dan beramal adab daripadanya. Melihat tokoh-tokoh ulama’ silam, mereka amat menghormati guru seperti Imam Syafi’e menghormati gurunya Imam Malik.

 

Kelapan, penuhkanlah masa dengan perkara yang bermanfaat.

Firman Allah SWT:

وَالْعَصْرِ ﴿١﴾ إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ ﴿٢﴾ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ

Maksudnya: “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian - Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”

(Surah al-Asr:1-3)

Imam al-Tabari ketika menafsirkan ayat pertama dari surah al-‘Asr ini berkata: Tuhan kita bersumpah dengan al-‘ashr sementara makna al-‘asr adalah sebutan masa iaitu senja, malam dan siang dan tidak dikhususkan dengan salah satu maknanya dan mengesampingkan makna yang lainnya. Jadi semua boleh disebut dengan sebutan ini dan tercakup dalam sumpah Allah SWT tersebut. (Rujuk Tafsir al-Tabari, 24/589)

Ibnu Kathir dalam kitab tafsirnya (1/319) menaqalkan pandangan Imam al-Syafie Rahimahullah yang berkata:

لَوْ تَدَبَّرَ النَّاس هَذِهِ السُّورَة لَكَفَتْهُمْ

Maksudnya: “Sekiranya manusia mentadabbur (apa yang terkandung dalam) surah ini (al-‘Asr), nescaya sudah memadai bagi mereka.”

­­­­

 

Kesembilan, fokuslah dalam mempelajari ilmu.

Bacalah sejarah Imam Syafi’e di mana beliau pernah berkata: “Kalau aku panah sepuluh kali, tidak ada satu pun yang tidak tepat.” Ini menunjukkan beliau seorang yang fokus, aim dan target. Antara punca hilang fokus apabila jiwa bercelaru dan banyaknya masalah peribadi dan keluarga. (Lihat Masa: Peliharalah, hlm. 118)

 

Kesepuluh, ingatlah bahawa amanah dan tanggungjawab kita sebagai penuntut ilmu amat banyak. Justeru, hendaklah bijak dalam menyusun masa kerana kaedah menyebut:

الوَاجِبَات أَكْثَر مِن الاوْقَات

Maksudnya: “Kewajipan-kewajipan kita jauh lebih banyak daripada masa yang kita miliki.”

Inilah kenyataan yang menunjukkan bahawa masa yang kita miliki adalah amat sedikit. Justeru, gunakanlah perkara yang memberi manfaat dan faedah dalam kehidupan ini.

 

Kesebelas, belajarlah dengan sebarapa ramai guru. Sejarah salafus soleh menunjukkan, para ulama’ dan imam mempunyai ramai guru. Ada yang sampai ratusan guru. Hal ini akan memberi banyak pengalaman serta pengajaran yang amat berguna dengan melihat watak setiap guru yang mempunyai kelebihan masing-masing dan gayanya yang tersendiri.

 

Kedua belas, banyakkan membaca kerana ia merupakan kunci kepada ilmu. Dengan membaca sejarah, kita akan dapat melihat betapa lobanya para ulama’ untuk membaca. Imam al-Syaukani dalam kitabnya al-Badr al-Tali’ pernah menceritakan kisah Ibn Rif’ah, seorang faqih bermazhab Syafie, lahir pada tahun 645 Hijrah dan meninggal dunia pada tahun 710 Hijrah sangat menekuni ilmu sekalipun ketika sakit. Itulah kesungguhan beliau dalam membaca.

 

Ketiga belas, fahamilah Fiqh Syafi’e dengan sebaik mungkin dan juga feqah yang lain sebagai Fiqh Muqaran. Dengan mendalami Fiqh Syafie yang amat sesuai di Malaysia untuk amalan akan menjadikan kita memahami waqi’ dan realiti feqah di tanah air kita tanpa menafikan Fiqh Muqaran sebagai sebuah keluasan fiqh. Dengan itu rasa penghormatan kepada khazanah fiqh dan ilmiah dari hasil karya ulama’ sentiasa kita junjung.

 

Keempat belas, banyakkan bermuzakarah kerana dengannya ilmu akan berkembang serta akan mendapat maklumat dengan lebih mudah. Kami titipkan di sini sikap salafus soleh:

  • Ibn Abbas berkata: “Muzakarah ilmu sebahagian malam lebih aku sukai daripada qiamullail.”
  • Imam Malik dengan tegas membetulkan sikap Muhammad bin Abdillah ketika cuai dari bermuzakarah.

Antara faedah muzakarah:

  • Menyebabkan kamu boleh menghafaz masalah yang kamu muzakarahkan dengan orang lain.
  • Boleh menguatkan ingatan.
  • Kamu gabungkan ilmu kamu dengan yang lain.

Betapa pentingnya muzakarah sehingga menarik minat para sahabat yang terkemuka seperti Saiyidina Ali, Ibn Mas’ud, Ibn ‘Abbas, Abu Said al-Khudri dan juga ulama’ terkemuka dalam kalangan tabi’in seperti Alqamah, al-Nakha’ie, Ibn Syihab, Abdul Rahman ibn Abi Laila dan lain-lain.

 

Kelima belas, teruskan pembelajaran.

Apabila pulang ke Malaysia, teruskan lagi untuk menambah ilmu kepada tahap yang lebih tinggi. Begitu juga, belajarlah daripada ulama’ tempatan berkenaan dengan selok belok dakwah dan cara mereka mengistinbatkan hukum sesuai dengan suasana tempatan dan uruf yang mungkin sedikit berbeza dari negara yang kita pelajari ilmu. Dengan adanya sifat toleransi, tasamuh dan penghormatan yang tinggi kepada masyayikh dan tuan-tuan guru tempatan akan menatijahkan sebuah kesinambungan, keakraban orang yang berilmu antara generasi terdahulu dengan generasi kemudian. Ini akan membawa keadaan yang amat harmoni serta ketenangan dalam masyarakat.

Semoga titipan nasihat yang ringkas berkenaan dengan persoalan yang ditanya akan menatijahkan semangat kita untuk menjadikan kita sebahagian daripada ahli ilmu.

Sebagai penutup, kami nyatakan ucapan Yahya bin Abi Kathir di mana beliau berkata:

مِيرَاثُ الْعِلْمِ خَيْرٌ مِنْ مِيرَاثِ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ ، وَالنَّفْسُ الصَّالِحَةُ خَيْرٌ مِنَ اللُّؤْلُؤِ ، وَلا يُسْتَطَاعُ الْعِلْمُ بِرَاحَةِ الْجَسَدِ

Maksudnya: Warisan ilmu itu lebih baik daripada warisan emas, jiwa yang solehah lebih baik daripada permata lu’lu’, dan tidaklah mampu diperolehi ilmu dengan kerehatan tubuh badan.