Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 7/2025: GARIS KAWAL SELIA SYARIAH DI TANAH PERKUBURAN ISLAM: MENANGANI AMALAN KHURAFAT, SYIRIK DAN PENYALAHGUNAAN TABARUK DI TANAH PERKUBURAN ISLAM

TintaMufti.jpg

 

GARIS KAWAL SELIA SYARIAH DI TANAH PERKUBURAN ISLAM

MENANGANI AMALAN KHURAFAT, SYIRIK DAN PENYALAHGUNAAN TABARUK DI TANAH PERKUBURAN ISLAM

 

PENDAHULUAN

Ziarah kubur ialah amalan yang dianjurkan dalam Islam untuk mengingatkan manusia kepada kematian dan akhirat. Ia menjadi ruang untuk bermuhasabah dan memberikan kesedaran terhadap kehidupan yang sementara. Rasulullah SAW bersabda:

كُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ فَزُورُوهَا فَإِنَّهَا تُذَكِّرُ الْآخِرَةَ

Maksudnya: “Dahulu aku melarang kamu menziarahi kubur, maka kini ziarahlah ia, kerana ia mengingatkan kamu kepada akhirat.

(Riwayat Muslim)

Namun dalam masyarakat hari ini, wujud satu kecenderungan yang melampaui batas apabila tanah perkuburan dijadikan tempat melaksana ritual tertentu yang tidak pernah diajarkan dalam Islam. Sebaliknya, terdapat pula kelompok yang terlalu menyempitkan ruang amalan, hingga setiap bentuk penghormatan atau doa kepada si mati terus dilabel sebagai perbuatan syirik atau peniruan agama lain.

Kedua-dua kecelaruan ini berpunca daripada kegagalan membezakan antara nilai adat, budaya dan sempadan hukum syarak yang sebenar. Justeru itu, masyarakat Islam memerlukan satu garis panduan yang tuntas bagi membezakan dengan tepat antara amalan yang dibenarkan secara syarak dan perbuatan yang bercanggah dengan prinsip akidah. Sebagai langkah membetulkan kekeliruan dan memelihara kesucian tanah perkuburan, garis kawal selia ini digubal untuk memperincikan dua aspek utama iaitu batasan terhadap amalan yang boleh mencetuskan unsur khurafat atau syirik tersembunyi dan bentuk amalan ziarah yang dibenarkan.

AMALAN YANG BOLEH MEMBAWA KEPADA KHURAFAT DAN SYIRIK

Garis kawal selia ini menolak segala bentuk perbuatan yang berunsur syirik kecil dan khurafat yang tidak bersandarkan kepada al-Quran, hadis sahih atau amalan salafussoleh. Antara perbuatan yang ditegah termasuklah:

1. Tawaf atau Solat Menghadap Kubur

Tindakan mengelilingi kubur seperti melakukan tawaf atau solat dengan niat menyembah kubur adalah dilarang. Ia menyerupai ibadah khusus yang hanya layak bagi Allah SWT dan mengandungi unsur pemujaan tersembunyi namun ia berbeza dengan seseorang yang solat di atas kubur yang tidak sempat melaksanakan solat jenazah, maka ia dibolehkan.

2. Mencium, Menyapu atau Mengambil Tanah/Batu Kubur

Mengambil tanah atau menyentuh batu nisan dengan kepercayaan perkara-perkara tersebut boleh memberi kesan secara langsung dan mendatangkan manfaat adalah tabaruk yang menyimpang. Ia tidak mempunyai asas dalam sunnah dan boleh mendorong kepada takzim terhadap mayat secara melampau. Ia juga berkaitan dengan larangan mengambil tanah yang telah diwakafkan.

3. Ritual Ghaib & Sihir di Kubur

Melakukan jampi, bacaan mantera, meditasi atau memanggil roh di kubur termasuk dalam perbuatan khurafat yang menyalahi maqasid syariah. Ia membuka ruang kepada jin, sihir dan syirik. Amalan ini sering disangka sebagai ibadah, sedangkan ia melibatkan kepercayaan kepada kuasa ghaib yang tiada dalam ajaran Islam. Perbuatan seperti ini bukan mendekatkan diri kepada Allah SWT, malah boleh merosakkan akidah tanpa disedari.

4. Meletak Makanan, Minuman atau Barang Persembahan

Adat meletak makanan, minuman atau barang persembahan di kubur adalah amalan warisan bukan Islam yang tiada asas dalam ajaran Islam. Ia dikira sebagai tasyabbuh iaitu menyerupai ritual pemujaan roh. Jika dilakukan dengan kepercayaan bahawa si mati boleh memberi manfaat atau perlindungan, maka ia membawa kepada pergantungan selain Allah SWT. Keyakinan ini boleh menjerumus kepada perbuatan syirik yang nyata dilarang dalam Islam.

5. Tidur atau Berehat di Kubur

Tidur atau berehat di kawasan kubur tidak selari dengan adab ziarah dan boleh membawa kepada salah faham akidah. Ia sering dikaitkan dengan kepercayaan bahawa seseorang boleh menerima ketenangan batin atau isyarat ghaib daripada roh si mati. Walaupun tidak dinyatakan secara langsung, perbuatan ini boleh membuka jalan kepada tabaruk yang menyalahi syariat dan mencetuskan unsur pemujaan tersembunyi. Ia juga memberi gambaran yang salah kepada masyarakat bahawa kubur mempunyai kekuatan tertentu, sedangkan hanya Allah SWT yang memberi manfaat dan mudarat.

 

AMALAN ZIARAH KUBUR YANG DIBOLEHKAN

Ziarah kubur adalah amalan yang dianjurkan dalam Islam sebagai peringatan terhadap kematian dan kehidupan akhirat. Ia menepati maqasid syariah dari sudut menyedarkan jiwa tentang hakikat kehidupan sementara dan menggalakkan taubat serta muhasabah diri. Namun, amalan ini mestilah dilakukan dengan panduan syariat dan adab yang betul agar tidak terjerumus ke dalam perbuatan yang bercanggah dengan akidah seperti khurafat atau syirik tersembunyi. Oleh itu, hanya amalan yang jelas tujuannya, tidak bertentangan dengan prinsip akidah dan diiktiraf oleh para ulama sahaja yang dibenarkan ketika menziarahi kubur.

1. Menziarahi Kubur Orang Soleh

Ziarah ke atas kubur orang soleh dibolehkan dan disunatkan dengan syarat dilakukan dengan tujuan mengambil iktibar, mengenang kebaikan mereka serta memperbaharui kesedaran terhadap kematian. Ia bukan bertujuan memohon hajat daripada si mati, akan tetapi menjadikan mereka sebagai wasilah untuk berdoa.

2. Memberi Salam dan Berdoa untuk Si Mati

Amalan memberi salam dan mendoakan si mati adalah sunnah yang mencerminkan hubungan kasih sayang berterusan antara orang hidup dan orang yang telah meninggal dunia. Ia mengandungi nilai akidah kerana pengharapan dan permohonan sepenuhnya ditujukan kepada Allah SWT, bukan kepada roh si mati. Amalan ini juga menjadi peringatan rohani tentang akhirat dan keperluan memohon rahmat Ilahi.

3. Membaca al-Quran dan Menghadiahkan Pahalanya

Membaca al-Quran dan menghadiahkan pahalanya kepada si mati merupakan amalan yang diterima dalam mazhab Syafi‘i dan dianggap sebagai satu bentuk kebajikan yang berterusan. Ia memberi manfaat kepada si mati selagi dilaksanakan dengan niat yang ikhlas dan tidak disertai dengan kepercayaan yang bertentangan dengan akidah. Amalan ini perlu dilakukan berpandukan syariat agar tidak disalahtafsir sebagai pemujaan atau ritual yang menyimpang.

4. Menyiram Air dan Meletakkan Kerikil di Atas Kubur

Perbuatan ini dibenarkan dalam Islam kerana mempunyai tujuan yang jelas dan bermanfaat seperti mengelakkan debu berterbangan, mengemaskan tanah serta menandakan lokasi kubur. Ia bukan amalan berbentuk ritual atau kepercayaan mistik, sebaliknya satu bentuk penjagaan adab dan keteraturan di kawasan perkuburan.

5. Memohon Keampunan dan Rahmat untuk Si Mati

Memohon keampunan dan rahmat untuk si mati adalah amalan yang diiktiraf dalam syarak kerana ia menguatkan nilai kasih sesama Muslim dan menzahirkan kepercayaan bahawa hanya Allah SWT yang mampu mengurniakan ketenangan di alam barzakh. Doa ini juga menggambarkan pengharapan agar amalan baik si mati menjadi peneman di kubur tanpa sebarang unsur pemujaan atau pergantungan kepada roh.

6. Menyebut Kebaikan dan Kisah Orang Soleh

Menyebut kebaikan si mati atau kisah orang soleh dibenarkan selagi ia bertujuan memberi pengajaran dan membangkitkan semangat untuk meneladani mereka. Ia hanya menjadi masalah jika disertai pujian berlebihan atau kepercayaan yang boleh menimbulkan unsur pemujaan. Oleh itu, amalan ini mestilah disampaikan secara terkawal agar kekal dalam batas akidah yang sejahtera.

7. Mengelak daripada Menyesatkan Amalan yang Ada Khilaf

Perbuatan seperti menyentuh atau mencium kubur merupakan isu khilaf dalam kalangan ulama; ada yang menilainya makruh, ada pula yang membenarkannya dengan adab dan niat tabaruk. Oleh itu, umat Islam perlu mengelak daripada mudah menghukum sesat terhadap amalan yang masih berada dalam ruang perbezaan yang diiktiraf. Pendekatan yang berhikmah dan menghormati khilaf lebih utama daripada mencetuskan perpecahan.

 

PENILAIAN AMALAN TABARUK: MEMAHAMI KEBERKATAN YANG TERIKAT DENGAN SYARIAT

Elemen tabaruk atau mengambil keberkatan dalam Islam bukanlah sesuatu yang ditolak secara mutlak, tetapi ia terikat dengan syarat-syarat tertentu. Tabaruk ialah mengharapkan keberkatan daripada Allah SWT dengan perantara sesuatu. Keberkatan itu datangnya daripada Allah SWT dan tidak datang daripada mana-mana benda atau individu.

Sesuatu tempat tidak memiliki kelebihan secara zat, tetapi menjadi mulia kerana ibadah yang berlaku di dalamnya. Begitu juga dengan peninggalan orang soleh yang dihormati kerana hubungannya dengan individu yang dimuliakan, bukan kerana memiliki kuasa tersendiri. Menganggap tempat atau objek itu berkuasa secara sendiri tanpa dalil adalah perbuatan melampau. Ia boleh membawa kepada kesyirikan apabila diyakini mampu menyampaikan hajat atau memberikan manfaat.

Maka, umat Islam perlu berhati-hati. Bertabaruk dengan cara yang menepati syariat adalah dibenarkan, tetapi ia tidak boleh dijadikan hujah untuk membenarkan perbuatan taksub, pemujaan atau ritual yang bercanggah dengan akidah. Oleh yang demikian, amalan menziarahi kubur mestilah dikembalikan kepada maqasid asalnya iaitu mendidik jiwa, menginsafkan hati dan menguatkan ikatan dengan kehidupan akhirat.

 

PENUTUP

Garis kawal selia ini merupakan inisiatif menyeluruh yang bertujuan memperjelaskan batas syariat dalam amalan ziarah kubur, khususnya dalam membezakan antara amalan yang sah dengan amalan yang boleh membawa kepada unsur khurafat atau syirik. Ia disusun bagi memastikan umat Islam kekal dalam landasan akidah yang murni serta mampu menilai setiap amalan berdasarkan panduan syarak yang sahih. Dalam masa yang sama, panduan ini juga selari dengan tuntutan untuk menjaga imej dan nama baik Islam yang merupakan salah satu daripada maqasid syariah yang utama.

Dalam hal ini, jabatan agama, institusi fatwa dan pusat keilmuan yang berautoriti wajar terus memainkan peranan utama dalam membimbing, memantau dan mendidik masyarakat. Penegasan terhadap adab dan hukum dalam ziarah kubur perlu dihidupkan semula agar tidak dicemari fahaman batil atau sangkaan melampau terhadap unsur tabaruk. Keberkatan yang sebenar hanya berlaku apabila ia berpaksikan syariat dan bebas daripada unsur taksub yang mengelirukan.

Peranan ini tidak terhenti pada penjagaan akidah semata-mata, malah termasuk dalam kerangka pembangunan masyarakat berasaskan nilai agama. Tanah perkuburan Islam bukan hanya ruang pengebumian, tetapi juga medan pendidikan rohani yang menanam kesedaran tentang kematian, memupuk keinsafan dan menguatkan ikatan insan dengan akhirat. Sehubungan itu, semua pihak termasuk penggubal dasar, pentadbir tanah perkuburan, para ulama dan masyarakat awam bertanggungjawab menyuburkan budaya ziarah yang berpaksikan syariat, bebas daripada unsur pemujaan dan penyelewengan yang boleh menjejaskan asas akidah.

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL
6 MUHARRAM 1447 / 2 JULAI 2025