Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 9/2025: ETIKA HALAL SEBAGAI MANIFESTASI MAQASID AL-TADAYYUN DAN AL-‘UMRAN

TintaMufti.jpg

 

ETIKA HALAL SEBAGAI MANIFESTASI MAQASID AL-TADAYYUN DAN AL-‘UMRAN

Etika halal dalam Islam bukan sekadar isu pemakanan atau simbol komersial semata-mata. Ia merupakan sebuah sistem nilai yang menyeluruh, mencerminkan kesucian akidah, keteraturan hidup, serta aspirasi membangunkan masyarakat yang harmoni dan berperadaban. Dalam dunia moden yang semakin kompleks, etika halal memainkan peranan penting dalam menyeimbangkan aspek rohani dan jasmani, peribadi dan sosial, serta individu dan institusi.

Lebih daripada sekadar menentukan halal atau haram sesuatu produk, etika halal membentuk hubungan yang utuh antara hamba dan Tuhannya melalui pematuhan terhadap perintah yang telah disyariatkan. Pada masa yang sama, ia menjadi asas kepada pembinaan tamadun, menjamin kebajikan pengguna dan memacu kemakmuran ekonomi berlandaskan prinsip tanggungjawab, kebersihan, keadilan serta ketelusan.

Kepentingan dan Keyakinan terhadap Logo Halal

Logo halal bukan sekadar lambang yang dicetak pada pembungkusan produk. Ia membawa makna integriti, ketelusan dan jaminan syariah. Keyakinan masyarakat terhadap logo halal adalah asas penting kepada kestabilan spiritual dan emosi pengguna Muslim. Logo tersebut menandakan bahawa satu produk telah melalui proses penyaringan ketat yang mematuhi prinsip syariah. Perkara ini menunjukkan setiap sumber bahan mentah, kaedah pemprosesan, kebersihan, penyimpanan hinggalah kepada logistik dan pengedaran telah melalui proses-proses yang ketat dan mematuhi prinsip syariah.

Di samping itu, logo halal turut mencerminkan tanggungjawab moral dan etika pihak pengeluar dan pengeluarannya bukan hanya untuk keuntungan tetapi juga untuk memenuhi tanggungjawab terhadap pengguna dan agama. Ini mewujudkan trust (kepercayaan) yang tinggi antara industri dan masyarakat.

Halal Sebagai Cerminan Fitrah dan Rasional Akal

Etika halal turut bersesuaian dengan fitrah manusia dan akal yang sihat. Islam tidak menetapkan sesuatu hukum tanpa asas. Firman Allah SWT:

وَيُحِلُّ لَهُمُ ٱلطَّيِّبَـٰتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ ٱلْخَبَـٰئِثَ


Maksudnya: “…Dia menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan ke atas mereka segala yang buruk…”

Surah al-Aʻraf (157)

Menariknya dalam ayat ini Allah SWT tidak menyandarkan halal dan haram kepada Diri-Nya secara langsung iaitu misalnya, “Aku halalkan…”, sebaliknya disebut dalam bentuk umum, kerana halal dan haram itu sendiri dapat dinilai oleh akal dan diterima oleh fitrah manusia. Halal merujuk kepada perkara yang baik, bersih, selamat dan bermanfaat di samping ia sesuai dengan nilai sejagat. Manakala haram pula adalah sesuatu yang membawa kemudaratan, kekotoran atau kezaliman justeru secara semula jadi ia ditolak oleh akal yang sihat.

Halal dalam Kerangka Maqasid al-Tadayyun dan al-‘Umran

Untuk memahami peranan halal dalam konteks negara Malaysia, kita boleh melihatnya dalam kerangka maqasid al-syariah, khususnya dua cabang utama:

  • Maqasid al-Tadayyun (Tujuan seseorang mengamalkan agama dalam kehidupannya)
  • Maqasid al-‘Umran (Tujuan pembangunan sosial dan tamadun)

Dari Sudut Tadayyun:

Etika halal adalah manifestasi ketaatan dan kehambaan. Ia melatih umat Islam untuk mematuhi perintah Allah SWT secara konsisten, bukan sahaja dalam ibadah khusus seperti solat dan puasa, tetapi juga dalam aspek kehidupan harian seperti pemakanan, perniagaan dan pekerjaan. Kepatuhan terhadap prosedur halal merangkumi cara penyembelihan, pemprosesan bersih, bebas najis dan bahan yang suci adalah sebahagian daripada ibadah.

Apabila seorang Muslim berhati-hati memilih makanan halal, ia bukan sekadar soal kesihatan, tetapi tanda ketaqwaan dan keikhlasan dalam mematuhi ajaran Allah SWT serta menjadikannya hamba yang taat.

Dari Sudut Umran:

Dalam aspek sosial dan ekonomi pula, halal memberi impak besar kepada pembangunan ummah. Industri halal membuka ruang perniagaan antarabangsa, menjana peluang pekerjaan dan memacu pertumbuhan ekonomi yang stabil dan lestari. Lebih penting, ia menyediakan jaminan kebersihan dan keselamatan makanan yang bukan sahaja dihargai oleh Muslim tetapi juga masyarakat bukan Islam.

Selain itu, makanan yang halal turut membina peribadi seseorang yang bersih dan baik dari sudut akhlaknya. Hal ini kerana perkara yang diakui setiap golongan bahawa makanan memberi kesan terhadap peribadi dan personaliti seseorang. Oleh yang demikian, pemilihan makanan kepada perkara yang halal adalah sangat penting dalam membentuk peribadi yang baik dan berakhlak.

Maka logo halal menjadi alat penting yang mewujudkan ketenangan dalam kalangan masyarakat, melindungi pengguna daripada unsur berbahaya dan tidak beretika, serta menyumbang kepada kesejahteraan awam.

Logo Halal sebagai Simbol Keamanan: Gabungan Antara Maqasid al-Tadayyun dan al-‘Umran

Dengan itu, logo halal perlu difahami sebagai simbol yang menggabungkan kedua-dua maqasid ini. Ia bukan sekadar mematuhi aspek keagamaan, tetapi turut mencetuskan keamanan, ketenangan jiwa dan kepercayaan sosial. Apabila masyarakat yakin terhadap ketulenan logo halal, maka terbinalah rasa hormat, rasa selamat dan kesatuan nilai antara masyarakat pelbagai agama dan budaya.

Oleh itu, logo halal membawa peranannya yang tersendiri seperti melambangkan kesolehan peribadi (maqasid al-tadayyun), dan dari sisi lain ia menjadi teras yang membina kepercayaan sosial dan tamadun sejahtera (maqasid al-‘umran). Dalam dunia moden yang penuh kekeliruan maklumat dan kebimbangan pengguna, logo halal berperanan sebagai penenang sosial, yang membina rasa aman, hormat dan memenuhi nilai-nilai perpaduan. Maka, mengkhianati ketulenan logo halal atau melakukan penipuan dengan logo halal bererti mengkhianati asas maqasid syariah itu sendiri.

Kesimpulan

Umat Islam seharusnya melihat halal bukan hanya dari sudut hukum, tetapi juga dari sudut tanggungjawab sosial, pembangunan ekonomi dan penyatuan nilai kemanusiaan. Halal adalah medan ibadah dan dakwah yang luas. Oleh itu, masyarakat Islam perlu berinteraksi secara aktif dengan sistem halal. Sekaligus menjadikan umat Islam sebagai pengguna yang bijak, pengusaha yang berintegriti dan pemimpin yang bertanggungjawab.

Dengan pendekatan ini umat Islam mampu menyumbang secara signifikan kepada pembangunan negara dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab halal dunia yang bukan sahaja mematuhi syariah, tetapi juga menyantuni fitrah insani sejagat.

Wallahu a'lam.

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL
18 MUHARAM 1447H / 14 JULAI 2025