Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #57: MUSUH UTAMA ORANG BERIMAN

musuh iman.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Saya ada terbaca berkenaan antara musuh utama yang selalu menghasut orang beriman ialah nafsunya sendiri, selain syaitan. Bolehkah jelaskan lebih lanjut, siapakah musuh-musuh utama orang beriman?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Menjawab persoalan di atas, sebenarnya musuh orang yang beriman amatlah banyak sama ada musuh luaran atau musuh dalaman. Kami nukilkan di sini empat musuh orang beriman menurut Imam Ahmad bin Sahl, iaitu:

 

Pertama: Dunia. Senjatanya ialah makhluk, sedangkan penjaranya adalah uzlah.

Fudhail bin Iyadh pernah menyebut: “Jika diibaratkan dunia dengan emas yang cepat rosak dan akhirat dengan tembikar yang tahan lama, sudah tentu yang lebih baik untuk dipilih ialah tembikar berbanding dengan emas.”

Yahya bin Mu’az pernah berkata: “Tiga sifat yang perlu dimiliki oleh para aulia’ Allah, iaitu:

  • Thiqah kepada Allah di dalam semua perkara.
  • Merasa kaya bersama Allah daripada selainnya.
  • Merujuk kepada Allah di dalam semua perkara.

Semuanya itu bergantung kepada sejauh mana kadar kasih hati kepada Allah, maka sekadar itulah kasih Allah kepadanya. Sejauh mana takut hati kamu kepada Allah maka sekadar itulah makhluk akan takut kepada kamu. Sejauh mana kamu menumpukan perhatian kepada Allah maka sekadar itu pulalah tumpuan hati makhluk kepadamu.” (Lihat Tabaqat al-Sufiyyah oleh al-Sulami 16/27 dan Siyar A’lam al-Nubala’, 9/218)

 

Kedua: Syaitan. Senjatanya ialah kenyang dan penjaranya adalah lapar.

Allah SWT berfirman:

أَلَمْ أَعْهَدْ إِلَيْكُمْ يَا بَنِي آدَمَ أَن لَّا تَعْبُدُوا الشَّيْطَانَ ۖ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

Maksudnya: Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!

Surah Yasin (60)

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abi Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

الْمُؤْمِنُ يَأْكُلُ فِي مِعًى وَاحِدٍ وَالْكَافِرُ يَأْكُلُ فِي سَبْعَةِ أَمْعَاءٍ

Maksudnya: Seorang mukmin itu makan dengan satu perut, sedangkan orang kafir makan dengan tujuh perut.

Riwayat al-Bukhari (5392) dan Muslim (5498)

Manakala dalam hadith daripada Miqdam bin Ma’di, Rasulullah SAW bersabda:

مَا مَلأَ آدَمِيٌّ وِعَاءً شَرًّا مِنْ بَطْنٍ. بِحَسْبِ ابْنِ آدَمَ أُكُلاَتٌ يُقِمْنَ صُلْبَهُ، فَإِنْ كَانَ لاَ مَحَالَةَ فَثُلُثٌ لِطَعَامِهِ وَثُلُثٌ لِشَرَابِهِ وَثُلُثٌ لِنَفَسِهِ

Maksudnya: “Tidaklah anak Adam memenuhi bekas yang lebih buruk dari perut. Cukuplah bagi anak Adam memakan beberapa suapan untuk menegakkan belakangnya. Namun jika dia mesti (melebihkannya), hendaklah sepertiga perutnya (diisi) untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan sepertiga lagi untuk bernafas”

Riwayat al-Tirmizi (2380), Ibnu Majah (3349), al-Nasaie (6729)
dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (5263)

Syeikh al-Mubarakfuri menjelaskan: “Penuhnya perut (dengan makanan) boleh menyebabkan kerosakan pada agama dan dunia.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 7/44)

Abu ‘Awanah al-Isfarayini berkata bahawa al-Rabi’ menyebut, dia mendengar al-Imam al-Syafi’e berkata: “Aku tidak pernah kenyang selama 16 tahun kecuali sekali, maka kumasukkan tanganku (ke dalam mulut) untuk memuntahkannya.” (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 19/24)

Ibnu Abi Hatim meriwayatkan daripada al-Rabi’ dengan tambahan kepada perkataan Imam Syafie tersebut:

لأَنَّ الشّبَعَ يُثْقِلُ البَدَنَ، وَيُقَسِّي القَلْبَ، وَيُزِيلُ الفطْنَةَ، وَيجلِبُ النَّوْمَ، وَيُضْعِفُ عَنِ العِبَادَةِ

Maksudnya: Kerana kenyang menjadikan badan menjadi berat, hati menjadi keras, mengurangkan kecerdasan, lebih banyak tidur dan melemahkan untuk melakukan ibadah.” (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 19/25)

 

Ketiga: Nafsu. Senjatanya ialah tidur sedangkan penjaranya adalah dengan berjaga malam (dengan beribadat).

Firman Allah SWT:

إِنَّ النَّفْسَ لَأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلَّا مَا رَحِمَ رَبِّي

Maksudnya: Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu).

Surah Yusuf (53)

Allah SWT juga berfirman:

وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَّكَ عَسَىٰ أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُودًا

Maksudnya: “Dan pada sebahagian malam hari bersolat Tahajjudlah kamu sebagai suatu ibadat tambahan bagimu; Mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.”

Surah Isra’ (79)

Manakala dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:

عَلَيْكُمْ بِقِيَامِ اللَّيْلِ فَإِنَّهُ دَأْبُ الصَّالِحِينَ قَبْلَكُمْ وَإِنَّ قِيَامَ اللَّيْلِ قُرْبَةٌ إِلَى اللَّهِ وَمَنْهَاةٌ عَنِ الإِثْمِ وَتَكْفِيرٌ لِلسَّيِّئَاتِ وَمَطْرَدَةٌ لِلدَّاءِ عَنِ الْجَسَدِ

Maksudnya: “Kerjakanlah solat malam sebab itu adalah kebiasaan orang solihin sebelum kamu, juga suatu jalan untuk mendekatkan diri kepada Tuhanmu, juga sebagai penebus segala amalan buruk, pencegah dari perbuatan dosa dan dapat menghalang penyakit daripada badan.”

Riwayat al-Tirmizi (3549) dan al-Baihaqi dalam
al-Sunan al-Kubra (4832) dan Syu’ab al-Iman (2834)

Syeikh al-Mubarakfuri berkata: Sabda Nabi SAW ‘hendaklah kamu berqiyam pada waktu malam’ iaitu solat tahajjud. Dan sabda Nabi SAW ‘ia adalah hidangan buat orang yang soleh’ bermaksud solat malam itu telah menjadi kebiasaan atau adat buat mereka. Adapun sabda Nabi SAW ‘ia menghapuskan dosa’ bermakna menghapuskan dosa serta menutupnya.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 9/375)

 

Keempat: Hawa. Senjatanya bercakap, sedangkan penjaranya adalah diam.

Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّـهَ وَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا ﴿٧٠﴾ يُصْلِحْ لَكُمْ أَعْمَالَكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَمَن يُطِعِ اللَّـهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ فَازَ فَوْزًا عَظِيمًا

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat - benar (dalam segala perkara), Supaya Ia memberi taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan.

Surah al-Ahzab (70-71)

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ اْلآخِرِ فَليَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir maka hendaknya dia berkata yang baik atau diam”

Riwayat al-Bukhari (6475) dan Muslim (74)

Imam Abu Hatim menyebut: Orang berakal sepatutnya lebih banyak diam daripada bercakap. Hal ini kerana betapa banyak orang yang menyesal kerana percakapan, manakala sedikit yang menyesal kerana diam. Orang yang paling besar mendapat musibah adalah orang yang lidahnya sentiasa berbicara sedangkan fikirannya tidak mahu berjalan. Dan orang yang berakal seharusnya lebih banyak menggunakan kedua telinganya daripada mulutnya. Dia perlu menyedari bahawa dia diberi dua telinga sedangkan diberi hanya satu mulut supaya dia lebih banyak mendengar daripada berbicara. (Lihat Raudhah al-‘Uqala’ wa Nuzhah al-Fudhala’, hlm. 45-47)

Semoga Allah SWT memberikan kita taufik dan hidayah dalam menghadapi musuh-musuh yang sentiasa berusaha menjadikan kita lalai dan alpa daripada berzikir dan mengingati-Nya. Amin.