Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #75 : SUKA MENONTON DAN MENDENGAR CERITA SERAM SEHINGGA TAKUT DUDUK SEORANG

ALAFKAR 75

Soalan :

Assalamualaikum wbt Datuk. Semoga Datuk dalam keadaan yang sihat sejahtera sentiasa. Saya ada satu persoalan. Anak saya suka sangat tengok cerita hantu. Kadang-kadang tu dalam pukul 12 tengah malam pun dia belum tidur lagi sebab dengar rancangan seram di podcast. Saya seakan-akan rasa dia obses dengan kisah-kisah hantu yang didengarinya dan sebagainya. Tapi lama-kelamaan saya lihat ada perubahan pada dirinya. Dahulu dia seorang yang berani akan tetapi sekarang ini macam jadi penakut. Sikit-sikit minta teman sampaikan dia jadi takut kalau duduk rumah seorang diri. Dulu tidak macam ini. Soalan saya, apa hukumnya menonton atau mendengar rancangan-rancangan seram sehingga boleh menyebabkan kita menjadi takut?. Mohon pencerahan Datuk.Maaf kalau soalan saya panjang.

Jawapan :

Waalaikumussalam wbt. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Sebagai seorang Muslim, kita beriman bahawa adanya alam selain dari alam nyata yang disebut alam ghaib. Ini selaras dengan firman Allah SWT di dalam Al-Quran. Firman Allah :

ذَٰلِكَ ٱلْكِتَـٰبُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ ﴿٢﴾ ٱلَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِٱلْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَمِمَّا رَزَقْنَـٰهُمْ يُنفِقُونَ 

Maksudnya : “Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa; Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.”

(Surah Al-Baqarah :1-2)

Sheikh Mustafa Al-Maraghi menyebut bahawa iman dengan perkara yang ghaib ialah percaya bahawa adanya kewujudan di sebalik alam yang nyata yang mana ianya dipandu dengan dalil dan akal yang waras. (Rujuk Tafsir Al-Maraghi, 1/35)

Begitu juga kewujudan jin dan syaitan adalah perkara ghaib yang wajib diimani oleh setiap muslim.Kewujudannya adalah satu rukun iman dan ianya disebut secara jelas di dalam Al-Quran dan Hadis. Oleh kerana itu, menafikan kewujudan jin dan syaitan adalah merupakan perbuatan yang bercanggah dengan Al-Quran dan hadis yang mana kedua-dua sumber ini menyokong kewujudan jin dan syaitan.

Firman Allah SWT :

وَحُشِرَ لِسُلَيْمَـٰنَ جُنُودُهُۥ مِنَ ٱلْجِنِّ وَٱلْإِنسِ وَٱلطَّيْرِ فَهُمْ يُوزَعُونَ

Maksudnya : “ Dan dihimpunkan bagi Nabi Sulaiman bala tenteranya, dari jin dan manusia serta burung; lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanan masing-masing.”

(Surah Al-Naml : 17)

Syed Qutb menyebut bahawa manusia maklum diketahui kewujudan akan tetapi jin adalah kewujudan yang tidak diketahui hal ehawal mereka melainkan apa yang diceritakan dan dikhabarkan oleh Allah swt. (Rujuk Fi Zilal Al-Quran, 5/2635)

Firman Allah swt di dalam ayat yang lain :

يَـٰبَنِىٓ ءَادَمَ لَا يَفْتِنَنَّكُمُ ٱلشَّيْطَـٰنُ كَمَآ أَخْرَجَ أَبَوَيْكُم مِّنَ ٱلْجَنَّةِ يَنزِعُ عَنْهُمَا لِبَاسَهُمَا لِيُرِيَهُمَا سَوْءَٰتِهِمَآ ۗ إِنَّهُۥ يَرَىٰكُمْ هُوَ وَقَبِيلُهُۥ مِنْ حَيْثُ لَا تَرَوْنَهُمْ ۗ إِنَّا جَعَلْنَا ٱلشَّيَـٰطِينَ أَوْلِيَآءَ لِلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ

Maksudnya : “ Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari Syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan Syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman.”

(Surah Al-‘Araf : 27)

Firman Allah :

إِنَّهُۥ يَرَىٰكُمْ هُوَ وَقَبِيلُهُۥ مِنْ حَيْثُ لَا تَرَوْنَهُمْ ۗ

Maksudnya : “Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka.”

Ayat ini secara jelas menyatakan bahawa sememangnya jin dna syaitan tidak dapat dilihat oleh mata kasar manusia. Walaupun tidak dapat dilihat oleh mata kasar manusia, akan tetapi sebagai orang muslim kita tetap percaya akan kewujudannya kerana Al-Quran terlebih dahulu menetapkan akan kewujudan mereka.

Adapun hantu,jembalang dan sebagainya, ia pada hakikatnya adalah khayalan gambaran masyarakat kita.. Hantu dalam masyarakat melayu digambarkan sebagai makhluk ghaib yang menjelma dengan rupa yang menakutkan. Sesetengahnya mengatakan bahawa hantu itu berasal dari roh orang mati yang tidak tenteram disebabkan ada hajatnya ketika hidup tidak diselesaikan. Antara hantu yang sering dikaitkan dengan orang yang meninggal dunia ialah pocong, Pontianak, langsuir dan lain-lain (Rujuk Diskusi Akidah Dan Pemikiran Semasa di Malaysia, hlm 405)

Pada hakikat itu hanyalah gambaran khayalan masyarakat semata-mata. Pada hakikatnya bentuk jin dan syaitan bukanlah seperti itu. Tiada yang dapat mengambarkannya hakikatnya melainkan apa yang Allah dan Nabi SAW khabarkan sama ada di dalam Al-Quran mahupun di dalam hadis.

Sheikh Allamah Badruddin Al-Syibli menukilkan perkataan Al-Qadhi Abu Ya’la Al-Farra’ bahawa tubuh jin boleh jadi kasar. Kita tidak boleh mengetahui tentang hakikat sebenar tubuh mereka sama ada kasar atau halus melainkan apa yang warid pengkhabarannya daripada Allah dan Rasul. Maka. Mereka tidak dapat dilihat adalah kerana Allah tidak mengizinkan mata kita untuk melihat mereka. Pandangan ini dikemukakan bagi menolak pandangan muktazilah yang mengatakan bahawa tubuh jin itu halus, oleh kerana itu mereka tidak boleh dilihat. (Rujuk Aakam Al-Marjan Fi Ahkam Al-Jann , hlm 17).

Dalam kata lain, hantu-hantu yang digambarkan oleh masyarakat kita adalah sebenarnya penyerupaan jin dan syaitan semata-mata untuk menakutkan dan menyesatkan manusia. Ini lebih terbukti melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Jabir Bin Abdullah bahawa Nabi SAW bersabda :

لاعَدْوَى وَلَا طِيرَةَ وَلَا غَولَ

Maksudnya : “ Tidak ada penyebaran penyakit (secara tabi’i), tidak ada kesialan pada bulan safar dan tidak ada ghaul.”

Riwayat Muslim (2222)

Al-Munawi menyatakan ghaul adalah seekor makhluk kepercayaan orang arab terdahulu di mana mereka mempercayai bahawa ghaul adalah jin yang boleh menyerupai seseorang dan menganggu sesiapa yang berjalan seorang diri pada waktu malam dan mereka juga mempercayai bahawa ghaul ini akan mengikut orang tersebut dan boleh menyebabkan kecelakaan (Rujuk Faidh Al-Qadir Syarh Al-Jami’ Al-Saghir, 6/434).

Ini dikuatkan lagi dengan syarahan Imam Al-Nawawi. Beliau menyebut yang dimaksudkan oleh Nabi SAW dengan ‘ tidak ada ghaul’ ialah penyerupaan yang dilakukan jin dan syaitan tidak mampu memberi mudarat kepada manusia. Beliau mengukuhkan hujahnya dengan membawa hadis yang lain iaitu

لَا غُول وَلَكِنَّ السَّعَالِي

Maksudnya :”Tidak ada ghaul (jin dan syaitan yang boleh menyerupai) akan tetapi yang ada adalah Al-Sa’ali.”

Yang dimaksudkan dengan Al-Sa’ali ialah tukang sihir dari kalangan jin. Mereka inilah yang bertanggungjawab membuat sihir sehingga menyebabkan adanya khalayan dan penyerupaan. (Rujuk Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 7/375).

Ibn Abi Al-Dunia meriwayatkan daripada Yasir Bin Amru bahawa pernah satu hari disebutkan tentang ghaul di hadapan Umar Bin Al-Khattab. Beliau berkata : seseorang tidak boleh berubah kepada benda yang lain akan tetapi mereka ada tukang sihir sepertimana kalian juga ada tukang sihir. Jika kamu lihat mereka maka laungkan azan. (Rujuk Aakam Al-Marjan Fi Ahkam Al-Jann, hlm 22)

Kesemua ini bermakna bahawa jin dan syaitan diberikan kelebihan tertentu dengan izin Allah untuk melakukan penyerupaan bentuk tertentu dengan tujuan untuk menakut-nakutkan manusia. Oleh itu apa yang dilihat dan digambarkan oleh masyarakat bukanlah bentuk sebenar jin mahupun syaitan.

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, tidak sepatutnya sebagai orang yang beriman kepada Allah kepada untuk takut kepada hantu. Itu hanya perbuatan jin dan syaitan semata-semata untuk menakut-nakutkan manusia. Pada hakikatnya, mereka sangat takut kepada orang yang beriman. Oleh kerana para salafussoleh diajar agar tidak takut kepada hantu kerana ia tidak mampu memberikan apa-apa mudarat kepada manusia.

Sa’ad Bin Abi Waqqas menyebut :

“Kami diperintahkan jika ternampak penampakan jin agar melaungkan azan”

Muhammad Bin Ahmad Al-‘Utbi menyebut bahawa Abdullah Bin Zubair pernah melihat seorang lelaki yang panjangnya sejengkal berada di atas pelana haiwan tunggangannya. Lalu Abdullah Bin Zubair berkata : Siapakah engkau?. Lelaki itu berkata akulah Izb (إِزْب). Abdullah Bin Zubair menyebut : Apakah itu Izb?. Lelaki itu menjawab : Nama bagi Jin. Lalu Ibu Zubair memukul kepala lelaki tersebut dengan kayu sehingga dia lari. (Rujuk Aakam Al-Marjan Fi Ahkam Al-Jann, hlm 22).

Ini menunjukkan bahawa jelmaan jin dan syaitan dalam pelbagai rupa tidak patut untuk ditakuti. Ketakutan kita kepada makhluk-makhluk tersebut ditakuti akan membawa kepada syirik. Perkara ini akan meleret sehingga membawa kepada pemujaan dan sebagainya.

Kesimpulannya, dengarlah perkara-perkara yang bermanfaat. Tinggalkanlah perkara-perkara yang sia-sia yang tidak menambahkan iman dan amal. Sentiasalah melazimi majlis ilmu bagi menambahkan ilmu berkenaan agama yang mana ianya boleh memagar diri daripada jatuh ke lembah dosa.

Perbanyakkanlah membaca Al-Quran sebagai wirid harian. Mendengar dan menonton rancangan yang berunsurkan mistik secara berlebihan ditakuti akan membawa kepada ketahayulan, kesyirikan dan sebagainya. Di samping itu, ibu bapa perlu menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya untuk mendidik anak dengan didikan yang betul. Kukuhkan dan beri penekanan kepada mereka terhadap ilmu akidah. Jelaskan tentang syirik, khurafat dan sebagainya agar ianya boleh dijauhi oleh anak. Jangan sesekali didik mereka dengan khurafat dan tahyul apatahlagi mengalakkan mereka untuk melakukan perkara yang boleh mengganggu gugat akidah.

Semoga Allah menjaga kita daripada melakukan perkara yang sia-sia. Wallahu’alam