Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #695 : HUKUM TINGGAL SEBILIK DENGAN RAKAN BUKAN ISLAM

 

Soalan:

Apakah hukumnya wanita muslim sebilik dengan wanita bukan Islam? Contohnya seperti suasana yang berlaku di asrama pelajar dan pekerja. Benarkah batas aurat sesama mereka mengambil hukum lelaki ajnabi? Jika benar, adakah termasuk hukum berkhalwat? Mohon pencerahan.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Mengenai kedudukan aurat antara wanita Muslimah dan bukan Islam di dalam Islam, kami memetik keterangan ulama terdahulu berkenaan perkara ini.

Imam Zakariyya al-Ansari Rahimahullah (w.926H) menyebut dalam kitabnya Asna al-Matalib (3/111): “(Dan bermula wanita Muslimah itu berhijab di hadapan wanita kafir) sebagai satu kewajipan. Justeru haram membiarkan wanita kafir merenung ke arahnya berdasarkan firman Allah Taala: (أَوْ نِسَائِهِنّ) [Surah al-Nisa’: 31], maksudnya, “atau perempuan-perempuan Islam,” dan wanita kafir itu bukan daripada kalangan wanita beriman. Ini kerana kemungkinan wanita kafir itu akan menceritakan rupa paras wanita Muslimah kepada lelaki yang kafir. Justeru, tidak boleh dibenarkan wanita kafir masuk ke dalam hammam (bilik mandi awam) sedangkan ada bersama wanita Muslimah di dalamnya. Benar, diharuskan bagi wanita Muslimah untuk mendedahkan bahagian tubuh yang terdedah ketika bekerja.”

Menurut Imam Syihabuddin al-Ramli Rahimahullah (w.957H) dalam menghuraikan lagi kalam gurunya: “Ini menunjukkan kepada pensahihan beliau dan perkataan beliau, “apa yang didedahkan ketika bekerja” bererti wajah, kepala, tapak tangan sehingga siku dan tapak kaki sehingga lutut.”

Manakala menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah (w.974H) dalam Tuhfah al-Muhtaj (7/149): “yakni kepala, tengkuk, kedua tapak tangan sehingga pangkal lengan, dan dua tapak kaki sehingga dua lutut.” Ini juga yang disebut Syeikh Hasan al-Kaf hafizhahullah dalam Taqrirat al-Sadidah (1/205).

Justeru, pada asalnya wanita Muslimah itu perlu menutup auratnya di hadapan wanita bukan Islam melainkan bahagian-bahagian badan yang terdedah ketika bekerja. Adapun tentang isu khalwat, contohnya bersendirian dengan mereka di dalam asrama dan bilik, kami berpendapat bahawa hal tersebut diharuskan kerana syarak hanya larangan hanya berlaku ketika lelaki dan wanita berkhalwat. Hal ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Saidina Abdullah Ibn Umar R.anhuma bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

أَلاَ لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ كَانَ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ

Maksudnya: “Ketahuilah bahawa tidaklah berdua-duan seorang lelaki dan seorang perempuan itu melainkan yang ketiganya adalah syaitan.”

Riwayat Al-Tirmizi (2165)

Syeikh Muhammad Bin Abd Al-Rahman Al-Mubarakfuri Rahimahullah (w.1353H) apabila mensyarahkan hadis ini berkata: “Makna hadis ini ialah syaitan akan ada bersama keduanya (lelaki dan perempuan yang berkhalwat) serta membisikkan syahwat kepada mereka sehinggalah ia mencampakkan mereka berdua ke lembah penzinaan.” Rujuk Tuhfah Al-Ahwazi (6/320) oleh Syeikh Al-Mubarakfuri  

Kami berpendapat dalam isu seperti ini, pengawalan dan penjagaan aurat adalah amat penting tetapi dalam keadaan tertentu, jika sesama perempuan sekalipun perempuan bukan Islam maka ia adalah harus dengan syarat tidak membawa fitnah dan menjatuhkan maruah wanita muslimah. Ini kerana keadaan realiti kehidupan kini begitu berbeza dengan zaman dahulu. Justeru, meraikan keadaan semasa yang bersifat realiti perlulah diambilkira. Rujuk Irsyad Al-Fatwa Ke-141 : Aurat Antara Muslimah Dan Wanita Bukan Muslim.

Kami menasihati para wanita Muslimah yang tinggal satu bilik dengan wanita yang bukan Islam hendaklah dijaga pemakaian dengan sebaik mungkin dan jadikan itu peluang untuk berdakwah kepada Islam dengan menunjukkan akhlak dan perilaku yang baik.

Wallahua`lam.