Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #790: IQOMAH DALAM KEADAAN BERJALAN

 

Soalan: Apakah dibolehkan berjalan ketika iqomah?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Iqomah merupakan sunat muakkad sama seperti azan pada solat Jumaat dan solat lima waktu (solat fardhu). [Lihat: al-Taqrirat al-Sadidah, 229] Antara dalil disunatkan membaca iqomah sebelum daripada solat adalah berdasarkan sebuah hadith yang sahih daripada Anas bin Malik iaitu:

 

  • Daripada Anas bin Malik RA berkata:

 

أُمِرَ بِلاَلٌ أَنْ يَشْفَعَ الأَذَانَ، وَأَنْ يُوتِرَ الإِقَامَةَ

Maksudnya: “Bilal diperintah (oleh Nabi SAW) agar mengsyafa’kan (mengulang dua kali) pada azan dan mewitirkan (membaca sekali sahaja) pada iqomah.” [Riwayat al-Bukhari (607) dan Muslim (378)]

 

Melihat kepada persoalan di atas, secara asalnya sebagaimana yang dinyatakan di dalam kitab Mazhab al-Syafie adalah disunatkan bagi orang yang melaungkan azan dan mendirikan solat (iqomah) agar mereka mengadap ke arah kiblat serta berdiri tegak. [Lihat: al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, 107/3]

 

Selain itu, para fuqaha’ (ahli feqah) bersepakat bahawa sunat bagi orang yang mendirikan solat (iqomah) agar berdiri tegak dan makruh iqomah secara duduk dengan tanpa keuzuran melainkan jika ada keuzuran maka ia tidak mengapa. Hal ini juga, sama keadaannya makruh mengiqomahkan solat dalam keadaan berjalan, menunggang dan selain daripadanya dengan tanpa keuzuran. Ini kerana, para fuqaha’ mengatakan ia makruh berdasarkan satu athar daripada Bilal RA bahawa beliau azan dalam keadaan menunggang, kemudian beliau turun lalu mengiqomahkan solat. [Lihat: al-Mawsu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 11/6]

Justeru itu, kami cenderung untuk mengatakan bahawa iqomah dalam keadaan berjalan adalah makruh jika seseorang itu melakukannya tanpa keuzuran kerana ia menyelisihi sunnah. Tambahan pula, anak kepada Imam Ahmad pernah bertanya kepada ayahnya (Imam Ahmad) berkaitan seorang lelaki melakukan iqomah dalam keadaan berjalan. Lalu Imam Ahmad mengatakan bahawa beliau lebih suka lelaki tersebut melakukan iqomah pada tempatnya. [Lihat: Masa’il Imam Ahmad, 185/1]

 

Penutup

Kesimpulannya, setiap perkara yang kita lakukan berkaitan ibadah perlulah didasari dengan wahyu iaitu al-Quran dan Sunnah agar amalan tersebut diterima oleh Allah SWT. Akhirnya, semoga dengan sedikit pencerahan ini dapat memberi kefahaman kepada kita di dalam agama. Amin.

 

Wallahua’lam