Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #850: HUKUM MENCIUM TANGAN ORANG ALIM

cium tangan.PNG

 

HUKUM MENCIUM TANGAN ORANG ALIM

Soalan

Apakah hukum mencium tangan para alim ulama?

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Para Sahabat Mencium Tangan Nabi SAW

Telah tsabit dalam sekian banyak hadith bahawa para sahabat R.Anhum mencium tangan Baginda SAW. Daripada Zari’, beliau menceritakan:

لَمَّا قَدِمْنَا الْمَدِينَةَ فَجَعَلْنَا نَتَبَادَرُ مِنْ رَوَاحِلِنَا فَنُقَبِّلُ يَدَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم وَرِجْلَهُ

Maksudnya: Sewaktu kami tiba di Madinah, kami berlumba-lumba untuk turun dari tunggangan KAMI dan kami mencium tangan dan kaki Baginda SAW.

Sunan Abi Daud (5225)

Daripada Usamah bin Syuraik, dia berkata:

قمنا إلى النبي صلى الله عليه وسلم فقبَّلنا يده

Maksudnya: Kami pergi kepada Nabi SAW dan mencium tangan Baginda.

Riwayat Ibn al-Muqri’ dalam Al-Rukhsah fi Taqbil al-Yad, hal. 58. Menurut Imam Ibn Hajar dalam Fath al-Bari (11/57), sanad bagi hadith ini baik.

Diriwayatkan juga bahawa para sahabat mencium tangan sesama mereka. Ibn Jad’an meriwayatkan:

قَالَ ثَابِتٌ لأَنَسٍ‏:‏ أَمَسَسْتَ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم بِيَدِكَ‏؟‏ قَالَ‏:‏ نَعَمْ، فَقَبَّلَهَا‏

Maksudnya: Thabit R.A bertanya kepada Anas R.A: Adakah kamu memegang Nabi Muhammad SAW dengan tanganmu? Anas menjawab “Ya”. Maka Tsabit pun mencium tangan beliau.

Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (974)

Imam al-Baihaqi pula meriwayatkan:

لَمَّا قَدِمَ عُمَرُ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ الشَّامَ اسْتَقْبَلَهُ أَبُو عُبَيْدَةَ بْنُ الْجَرَّاحِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ فَقَبَّلَ يَدَهُ ثُمَّ خَلَوْا يَبْكِيَانِ قَالَ: فَكَانَ يَقُولُ تَمِيمٌ: " تَقْبِيلُ الْيَدِ سُنَّةٌ

Maksudnya: Sewaktu ‘Umar R.A tiba ke Syam, Abu Ubaidah al-Jarrah R.A menyambut beliau dan mencium tangan beliau, lalu mereka berlalu sambil kedua-duanya menangis. Tamim pun berkata: “Mencium tangan itu satu sunnah.”

Al-Sunan al-Kubra (13585)

Ibnu al-Muqri’ juga meriwayatkan bahawa Ali R.A pernah mencium tangan al-‘Abbas, dan sanadnya dianggap baik oleh Imam Ibn Hajar. (Rujuk Al-Rukhsah fi Taqbil al-Yad, hal. 73 dan Fath al-Bari, 11/57)

 

Hukum Mencium Tangan Ulama dan Solehin

Para ulama berbeza pandangan dalam isu ini:

  1. Harus dan digalakkan

Jumhur ulama mazhab Hanafi, Syafi’e dan Hanbali mengharuskan perbuatan yang demikian.

Menurut al-Zaila’ie, Imam al-Sarakhsi dan para ulama’ mutaakhirin yang lain membolehkan mencium tangan orang yang alim dan wara dengan niat untuk bertabarruk. Menurut Sufyan al-Thauri pula, hukumnya ialah sunat. (Rujuk Tabyin al-Haqa`iq Syarh Kanz al-Daqa`iq, 6/25) Imam al-Haskafiy pula menyatakan tidak ditegah mencium tangan hakim yang berpegang teguh pada agama dan pemimpin yang adil, dan dikatakan hukumnya ialah sunat. (Rujuk Al-Durr al-Mukhtar, 6/383)

Menurut Imam Al-Nawawi, sunat hukumnya mencium tangan orang soleh, zuhud, alim dan seumpamanya dari kalamgan ahli akhirat. Sebaliknya mencium tangan seseorang kerana kekayaan, keduniaan atau kedudukannya, maka hukumnya adalah tersangat makruh. (Rujuk Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/636; dan Raudhah al-Thalibin, 10/236)

Imam al-Buhuti al-Hanbali pula mengharuskan mencium tangan dan kepala sebagai tanda penghormatan dan dengan niat untuk memuliakan seseorang. (Rujuk Kasyaf al-Qina’, 2/157)

  1. Haram

Imam Malik melarang mencium tangan, samada orang alim ataupun tidak, hatta mencium tangan bapa, tuan atau suami sekalipu. Ini kerana ia merupakan perbuatan orang-orang ‘ajam dan mampu membawa kepada takabbur dan takjub kepada diri sendiri. (Rujuk Kifayatu al-Thalib, 2/475; dan Al-Fawakih al-Diwani, 2/326)

Namun menurut Imam Ibn Hajar, Imam Malik membenci perbuatan tersebut jika ia bertujuan untuk membesar-besarkan dan mengagungkan orang itu, namun jika ia bertujuan untuk medekatkan diri kepada Allah SWT kerana agama, ilmu dan kemuliaanya, maka ia diharuskan. (Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 11/57)

Selain itu, Imam al-Qurthubi turut mengatakan bahawa tidak boleh bersalaman (atau menghulur tangan) diiringi dengan membongkokkan badan dan mencium tangan. Membongkokkan badan dengan maksud kerendahan hati hanya boleh ditujukan kepada Allah SWT. Adapun mencium tangan, itu adalah perbuatan orang-orang ‘ajam (orang bukan ‘Arab) yang dilakukan untuk memuliakan orang-orang tuanya. (Rujuk Tafsir al-Qurthubi, 9/266)

 

Kesimpulan

Kesimpulannya, kami berpandangan hukum mencium tangan para ulama, orang-orang soleh, para awliyaa’ dan orang-orang ialah harus, dengan syarat tidak terlampau berlebih-lebihan sehingga ke tahap mengagungkan dan mengkuduskan mereka.

Ini berdasarkan banyaknya hadith dan athar para sahabat Baginda R.Anhum yang melakukan perkara demikian, selain pandangan majoriti fuqaha’ yang mengharuskan mencium tangan orang-orang yang mulia, terutamanya dari sudut ilmu dan kewarakan.

Wallahu a’lam.