Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #928: HUKUM MENYEWAKAN BARANG YANG DISEWA

 

ak928

Assalamualaikum ustaz,

Saya Nurul, Ada kemusykilan sesuatu tentang hasil sewaan kedai yang disewa dari pihak majlis dan disewa kepada orang lain dengan mengatakan kepada pihak majlis saya yang berniaga supaya kedai tidak dirampas. Hakikatnya saya tidak berniaga tetapi mengambil untung atas sewa sahaja. Saya menipu dengan mengatakan saya yang berniaga sedangkan orang lain yang berniaga semata-mata untuk pastikan kedai tidak dirampas. Apakah hukum hasil pendapat begini ustaz? Saya mohon sangat penjelasan ustaz supaya saya boleh panjangkan kepada pihak yg terlibat. Terima kasih ustaz

Waalaikumsalam Alhamdulillah

Para ulama telah membahaskan secara panjang lebar dalam bab menyewa barang yang disewa ini. Dalam perbahasan ini antara tujuan utamanya kedua-dua pihak mestilah mendapat manfaat daripadanya. Ini merupakan pendapat jumhur para fuqaha’:

جُمْهُورُ الْفُقَهَاءِ (الْحَنَفِيَّةِ وَالْمَالِكِيَّةِ وَالشَّافِعِيَّةِ وَالأصَحُّ عِنْدَ الْحَنَابِلَةِ) عَلَى جَوَازِ إِيجَارِ الْمُسْتَأْجِرِ إِلَى غَيْرِ الْمُؤَجِّرِ الشَّيْءَ الَّذِي اسْتَأْجَرَهُ وَقَبَضَهُ فِي مُدَّةِ الْعَقْدِ

Maksudnya: Jumhur fuqaha’ (Hanafi, Maliki, Syafii dan pendapat Asoh Hanbali) harus orang yang menyewa (sesuatu barang) menyewakan semula (barang itu) ke atas penyewa yang lain selagimana barang sewaan itu masih di dalam kontrak perjanjian.

(Rujuk: Al-Mausuah Al-Fiqhiyah Al-Kuwaitiah: 1/267)

Namun seharusnya bagi penyewa mengikut syarat-syarat perjanjian sekiranya pemberi sewa itu tidak membenarkan untuk menyewa kepada orang lain, maka tidak boleh disewakannya ini kerana seseorang itu terikat dengan perjanjian. Berdasarkan hadis Nabi S.A.W:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ "‏ الصُّلْحُ جَائِزٌ بَيْنَ الْمُسْلِمِينَ إِلاَّ صُلْحًا حَرَّمَ حَلاَلاً أَوْ أَحَلَّ حَرَامًا وَالْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ إِلاَّ شَرْطًا حَرَّمَ حَلاَلاً أَوْ أَحَلَّ حَرَامًا ‏

Maksudnya: Diharuskan perjanjian di antara orang-orang Islam melainkan perjanjian mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram dan orang Islam itu terikat dengan syarat-syaratnya (perjanjian) melainkan syarat mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram.

(Hadis riwayat Imam Tirmizi: 1352)

Hadis di atas menerangkan ciri-ciri yang yang terkandung di dalam akad atau perjanjian yang seharusnya dipatuhi. Oleh itu para ulama menggariskan bahawa hukum bagi kedua-dua belah pihak yang berjanji seharusnya meredhai satu sama lain dengan isi kandungan perjanjian itu selagimana ia tidak menyalahi hukum syarak.

Kesimpulan

Hukum asal sewa ke atas sewa diharuskan. Walau bagaimanapun dalam kontek persoalan yang diajukan pihak majlis kebiasaannya menetapkan peraturan yang tegas ini termasuk tidak memberikan primis yang disewa untuk disewakan semula kepada pihak yang lain. Ini bertujuan menjaga kemaslahatan umum bagi mengelak daripada terjadinya monopoli, penipuan dan penindasan.

Walaupun begitu suka kami mengingatkan kepada yang bertanya agar menepati janji yang dimetrainya. Inilah yang dinaskan di dalam Al-Quran firman Allah S.W.T:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian

(Surah Al-Maidah: 1)

Oleh itu kami cadangkan supaya mengikut prosuder yang betul dan mengemukakan surat permohonan kepada majlis jika ingin permis itu disewakan kepada orang lain.

Wallahualam.