Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #994 : HUKUM MENJUAL AIR TEBU UNTUK KEGUNAAN SEMBAHYANG AGAMA LAIN

af994

Soalan:

Seorang pakcik menjual air tebu dan datang seorang bukan Islam nak beli tebu. Dia bagitahu pakcik itu tebu untuk buat sembahyang. Berdosakah pakcik itu menjual tebu itu?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah ﷻ. Selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, para isteri Baginda, keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Syariat Islam mengharuskan aktiviti jual beli dilangsungkan antara orang Islam dan bukan Islam. Antara dalilnya ialah hadis daripada Aisyah R.Anha:

اشْتَرَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ يَهُودِيٍّ طَعَامًا بِنَسِيئَةٍ، وَرَهَنَهُ دِرْعَهُ

Maksudnya: Rasulullahpernah membeli daripada seorang Yahudi makanan (bijirin barli) secara kredit, dengan menggadaikan baju besi Baginda.”

Riwayat al-Bukhari (no.2096)

Namun begitu, diharamkan bagi seorang Muslim untuk menjual barang kepada seseorang yang pasti menggunakan barang tersebut untuk tujuan maksiat. Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebut dalam kitab al-Majmu` Syarh al-Muhazzab (9/353):

“Berkata al-Syafie Rahimahullah dalam al-Mukhtasar: Aku benci aktiviti menjual jus perahan (buah-buahan yang dibuat arak) kepada orang yang memerah untuk arak, dan menjual pedang kepada sesiapa yang akan bermaksiat kepada Allah dengan pedang itu (seperti perompak) dan (tetapi) aku tidak membatalkan akad jualan itu. Berkata para ashab kami (Syafieyyah) bahawa dimakruhkan untuk menjual perahan kepada orang yang dikenali mengambilnya untuk membuat khamar, tamar kepada orang yang dikenali mengambilnya untuk membuat nabiz (sejenis minuman peraman yang memabukkan apabila diambil dalam kuantiti yang banyak), senjata kepada orang yang dikenali mengambilnya untuk melakukan maksiat dengan senjata itu. Namun sekiranya sudah dipastikan tujuan pengambilan itu bagi tujuan khamar, nabiz, dan maksiat dengan senjata itu, maka pada pengharamannya ada dua pendapat; seperti yang dihikayatkan oleh Ibn al-Sobbagh, al-Mutawalli, al-Baghawi dalam Syarh al-Mukhtasar, al-Ruyani dan lain-lain.

  • Pendapat pertama: al-Ruyani menaqalkan daripada majoriti Ashab bahawa hukumnya adalah makruh yang bersangatan tetapi tidak haram.
  • Pendapat (kedua) yang paling sahih: Haram, dan inilah pegangan yang qat’ie (diputuskan/ditegaskan) oleh al-Syeikh Abu Hamid dan al-Ghazzali dalam al-Ihya’ dan selain mereka daripada kalangan Ashab.

Berkata al-Ghazali dalam al-Ihya: Dan hukum menjual hamba yang amrad (lelaki cantik tanpa bulu-bulu muka) kepada orang yang yang dikenali akan melalukan perbuatan keji adalah sama seperti menjual arak untuk khamar. Dia berkata: Begitu jugalah bagi setiap tasarruf (hak kepenggunaan) yang membawa kepada maksiat.”

Mereka berdalilkan kepada firman Allah Taala:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: "Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan."

(Surah al-Maidah: 2)

Begitu juga hadis daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لُعِنَتْ الْخَمْرُ عَلَى عَشْرَةِ أَوْجُهٍ بِعَيْنِهَا وَعَاصِرِهَا وَمُعْتَصِرِهَا وَبَائِعِهَا وَمُبْتَاعِهَا وَحَامِلِهَا وَالْمَحْمُولَةِ إِلَيْهِ وَآكِلِ ثَمَنِهَا وَشَارِبِهَا وَسَاقِيهَا

Maksudnya: "Khamar dilaknat atas sepuluh sudut; fizikalnya, orang yang memerahnyanya, orang yang minta diperah, penjualnya, orang yang minta dibelikan, orang yang membawanya, orang yang minta dibawakannya, orang yang memakan hasil penjualannya, peminumnya dan orang yang menuangkannya,"

Riwayat Ibn Majah (no.3371)

Justeru, pada asalnya haram untuk pakcik itu menjual tebu itu, kerana dianggap tolong-menolong dalam perlakuan maksiat, sedangkan syirik itu adalah maksiat terbesar. Namun begitu kami memahami dilemma yang dialami oleh penjual berkenaan.

Kami mencadangkan sebaiknya apabila diberitahu oleh pembeli bahawa dia ingin menggunakan untuk tujuan sembahyang, penjual berkenaan boleh menjawab seperti, “Orang Islam tak boleh jual tebu untuk buat sembahyang.” Ertinya, cuba diterangkan kepada kaum bukan Islam tentang hak-hak orang Islam daripada bersubahat dengan amalan ibadat agama lain. Ini juga merupakan praktis fiqh al-ta`yusy (kewujudan bersama) yang baik. Namun jika terdapat unsur-unsur yang memudaratkan penjual, maka boleh bertaklid dengan pendapat lemah bahawa hukum jualan itu adalah makruh, sekadar untuk menghilangkan mudarat tersebut. Jika terpaksa berbuat demikian, sebaiknya hasil jualan itu disedekahkan untuk maslahat umum atau mereka yang memerlukan, bertepatan dengan sabda Rasulullah ﷺ:

يَا مَعْشَرَ التُّجَّارِ إِنَّ الشَّيْطَانَ وَالإِثْمَ يَحْضُرَانِ البَيْعَ فَشُوبُوا بَيْعَكُمْ بِالصَّدَقَةِ

Maksudnya: “Wahai para peniaga! Sesungguhnya syaitan dan dosa itu hadir dalam aktiviti jual beli. Maka sucikanlah jual beli kamu dengan bersedekah.”

Riwayat al-Tirmidhi (no.1208) daripada Qays bin Abi Gharazah RA, dengan sanad hasan sahih.

Semoga penjelasan ini memberikan kebaikan kepada semua. Wallahua’lam.