Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1022 : MENJAWAB AZAN DALAM TANDAS

ak1022

Assalamualaikum. Saya ada satu persoalan. Sewaktu saya masuk kedalam tandas kebetulan azan dilaungkan. Apakah perlu saya menjawabnya. Terima kasih.

Muqaddimah

Waalaikumsalam, Alhamdulillah pertama sekali bersyukur kita kehadrat Allah S.W.T dengan nikmat Iman dan Islam, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga Baginda, para Sahabat Baginda R.A dan kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T.

Pengenalan

Sebelum menjawab persoalan yang diajukan sebaiknya kita menyelami secara ringkas dalam perbahasan ulama berkenaan dengan azan samada dari sudut taarifnya atau hukumnya.

Al-Azan: Menurut Ibnu Manzur: Dari segi Bahasa bermaksud seruan (untuk memberitahu) seperti mana firman Allah S.W.T:

وَاَذِّنۡ فِى النَّاسِ بِالۡحَجِّ

Maksudnya: Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji

(Surah Al-Hajj: 27)

Maksud dari segi Syarak: Azan merupakan seruan apabila masuknya waktu solat fardhu. Dengan lafaz yang yang ditetapkan nas dengan ciri-ciri yang khusus. Sesetengah ulama berpendapat ia merupakan seruan yang menandakan masuknya waktu fajar sahaja.

(Al-Mausuah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah: 2/357)

Sejarah

Bermula pensyariatan azan pada tahun yang pertama hijrah Nabi S.A.W di Madinah. Seperti hadis riwayat Muslim daripada Abdullah bin Umar R.A “Dan ketika permulaan umat Islam memasuki kota Madinah, Umat Islam berbincang mengenai waktu menunaikan solat dan bagaimana cara seruan kepada orang ramai melakukan solat. Ada yang memberi cadangan untuk membunyikan loceng seperti Nasrani dan ada yang mencadangkan menggunakan tanduk seperti Yahudi. Lalu Baginda S.A.W menyuruh Bilal untuk menyeru manusia menunaikan Solat (dengan bertakbir)”.

(Riwayat Sahih Muslim: 377)

Dan ada pendapat mnyatakan disyariatkan pada tahun kedua hijrah. Selain itu ada yang berpendapat sebelum hijrah sewaktu di kota Makkah. Imam Nawawi berkata di dalam syarahnya: “Sesungguhnya umat Islam bersepakat tentang pensyariatan azan dan ia dilakukan dari zaman Baginda S.A.W sehingga kini” (Syarah Sahih Muslim: 4/75).

Hukum

Mengikut sesetengah pendapat melaungkan azan merupakan fardhu kifayah dan ini berdalilkan hadis Nabi S.A.W yang memerintahkan untuk mendirikan azan. Perintah ini menunjukkan fardhu kifayah seperti seruan jihad dan azan merupakan syiar Islam. Diriwayatkan Imam Bukhari di dalam Sahihnya sabda Nabi S.A.W:

وَإِذَا حَضَرَتِ الصَّلاَةُ فَلْيُؤَذِّنْ لَكُمْ أَحَدُكُمْ

Maksudnya: Apabila tibanya waktu melakukan solat maka bangunlah salah seorang daripada kamu untuk melaungkan azan

(Riwayat Sahih Al-Bukhari: 6008)

Pendapat yang rajih disisi Hanabilah adalah sunat muakkad begitu juga pendapat asoh Syafiiyyah dan mengikut jumhur ulama hukum melaungkan azan adalah Sunnat ketika solat fardhu dan fardhu Kifayah ketika solat Jumaat

(Al-Mausuah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah: 2/358)

Begitu juga dalam hal menjawab azan Syeikh Muhammad Zuhaili menukilkan di dalam kitabnya hukumnya adalah sunnat sama ada dalam keadaan suci ataupun tidak, termasuk juga dalam keadaan haid atau berjunub. (Al-Muktamad Fi Al-Fiqh Syafii’: 1/190)

Hadis riwayat Imam Bukhari daripada Abi Said Al-Khudri sesungguhnya Rasullullah S.A.W bersabda:

إِذَا سَمِعْتُمُ النِّدَاءَ فَقُولُوا مِثْلَ ما يَقُولُ الْمُؤَذِّنُ

Maksudnya: Apabila kamu mendengar seruan (azan) maka jawablah seperti yang dilaungkan Muazzin.

(Riwayat Sahih Bukhari: 611)

Larangan menjawab azan

Berkenaan dengan persoalan di atas kami datangkan perbahasan berkenaan hadis Nabi S.A.W tidak menjawab salam ketika menunaikan hajat. Hadis riwayat Imam Muslim daripada Ibnu Umar R.A:

أَنَّ رَجُلاً مَرَّ وَرَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَبُولُ فَسَلَّمَ فَلَمْ يَرُدَّ عَلَيْهِ ‏‏

Maksudnya: Seorang lelaki ketika melewati dan Nabi S.A.W ketika itu sedang menunaikan hajat lalu ia memberi salam dan Baginda S.A.W tidak menjawabnya.

Imam Nawawi dalam mensyarahkan hadis ini berkata: Makruh berkata-kata serta berzikir ketika sedang menunaikan hajat sama ada ketika di padang pasir atau di dalam binaan. Ini termasuk juga berkata-kata dalam hal yang lain melainkan dalam keadaan yang darurat sahaja. Selain itu apabila bersin tidak perlu menjawab Alhamdulillah ketika berada di dalam tandas. Juga tidak perlu menjawab salam dan menjawab azan. (Futuhat al-Rabbaniah ala Al-Azkar Al-Nawawiyah: 1/221).

Ini bagi menjaga kesucian nama Allah S.W.T begitu juga apa yang dilakukan nabi S.A.W dengan menanggalkan cincinnya yang tertera nama Allah S.W.T sebelum menunaikan hajat. Daripada Anas bin Malik R.A:

كَانَ رَسُولُ اَللَّهِ ‏- صلى الله عليه وسلم ‏-إِذَا دَخَلَ اَلْخَلَاءَ وَضَعَ خَاتَمَهُ

Maksudnya: Sesungguhnya Rasullullah S.A.W apabila memasuki bilik air Baginda akan menanggalkan cincinnya.

(Bulugh Al-Maram hadis No. 93)

Selain itu dibenarkan untuk mengqada jawab azan setelah selesai menunaikan hajat atau bersama isteri seperti yang dinyatakan Imam Al-Nawawi di dalam kitabnya:

وَيُسْتَثْنَى مِنْ هَذَا الْمُصَلِّي وَمَنْ هُوَ عَلَى الْخَلَاءِ وَالْجِمَاعِ فَإِذَا فَرَغَ مِنْ الْخَلَاءِ وَالْجِمَاعِ تَابَعَهُ

Maksudnya: Dikecualikan daripada hal ini (menjawab azan) bagi orang yang solat dan yang berada di dalam tandas serta melakukan jimak, apabila sudah selesai daripadanya (menunaikan hajat dan jimak) maka ikutilah ia (menjawab azan)

(Al-Majmuk Syarah Al-Muhazzab: 3/118)

Begitu juga dibenarkan untuk menjawab azan di dalam hati ini seperti yang dinyatakan Imam Al-Nawawi:

فإن عطس فحمد الله تعالى بقلبه ولم يحرك لسانه فلا بأس، وكذلك يفعل حال الجماع

Maksudnya: Sekiranya bersin maka ucapkanlah Alhamdulillah di dalam hatinya dan tanpa menggerakkan lidahnya ianya hal itu tidak mengapa. Begitu juga jika dalam keadaan berjimak

(Futuhat al-Rabbaniah ala Al-Azkar Al-Nawawiyah: 1/221)

Kesimpulan

Menjawab kepada persoalan yang diajukan hukum menjawab azan adalah disunatkan kepada setiap mukallaf yang mendengarnya. Adapun sekiranya ketika berada di dalam tandas ulama melarangnya serta makruh menjawabnya ini bagi menjaga syiar atau kebesaran nama Allah S.W.T dan merupakan salah satu daripada adab-adab memasuki tandas. Selain itu kita boleh qadanya selepas selesai menunaikan hajat ataupun menjawabnya di dalam hati.

Wallahualam.