Soalan
Assalamualaikum. Apakah hukum mengambil barang di dalam flight seperti selimut dan bantak
Jawapan
Waalaikumsalam, Alhamdulillah pertama sekali bersyukur kita kehadrat Allah S.W.T dengan nikmat Iman dan Islam, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga Baginda, para Sahabat Baginda R.A dan kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T.
Berkaitan dengan hal mengambil manfaat daripada barang bukan hak milik kita. Allah S.W.T berfirman di dalam Al-Quran:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ ۚ وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.
(Surah Al-Nisa’: 29)
Di dalam mentafsirkan ayat di atas Syeikh Sayyid Tantawi menyatakan di dalam kitabnya: “Ayat ini bermaksud Allah S.W.T menyeru orang Islam supaya tidak mengambil serta memakan harta saudaranya secara batil begitu juga penggunaannya akan menjerumus kepada kemaksiatan” (Rujuk: Tafsir Al-Waseet Li Tantawi: 3/125)
Begitu juga dengan Hadis Nabi S.A.W daripada Amru bin Yathribi sesungguhnya Nabi S.A.W bersabda:
وَلَا يَحِلُّ لِامْرِئٍ مِنْ مَالِ أَخِيهِ إِلَّا مَا طَابَتْ بِهِ نَفْسُهُ
Maksudnya: Tidak halal harta seseorang saudaranya melainkan dengan keizinan daripada pemiliknya sendiri. (Musnad Imam Ahmad: 15488)
Ini bertepatan dengan kaedah fiqhiyyah seperti yang di nyatakan Syeikh Mustafa Zarqa di dalam kitabnya:
لا يجوز لأحد أن يتصرف في ملك الغير بلا إذنه
Maksudnya: Tidak harus bagi seseorang itu menggunakan harta orang lain dengan tanpa izin.
(Rujuk: Syarah Al-Qawaid Al-Fiqhiyyah: 461)
Cukup jelas bahawa Islam sangat menitik berat dalam hal halal dan haram terutamanya dari segi hak pemilikan kerana bagi mendapat keredhaan Allah S.W.T dan tidak menzalimi saudaranya. Nabi S.A.W melarang untuk mengambil barang bukan miliknya ini. Hadis daripada Abdullah bin Saib bin Yazid mendengar Baginda S.A.W bersabda
لاَ يَأْخُذَنَّ أَحَدُكُمْ مَتَاعَ أَخِيهِ لاَعِبًا وَلاَ جَادًّا وَقَالَ سُلَيْمَانُ " لَعِبًا وَلاَ جِدًّا " . " وَمَنْ أَخَذَ عَصَا أَخِيهِ فَلْيَرُدَّهَا
Maksudnya: Janganlah salah seorang daripada kalian mengambil barang saudaranya sama ada untuk bergurau senda atau benar-benar (mahu mengambilnya). Berkata Sulaiman “Sama ada bergurau dan bersungguh-sungguh” Nabi bersabda “Sesiapa yang mengambil tongkat saudaranya maka pulangkan ia”.
(Rujuk: Sunan Abi Daud: 5003)
Dr. Wahbah Zuhaili di dalam kitab beliau menyatakan “Ulama’ bersepakat bahawa wajib memulangkan barang yang diambil kepada tuannya dalam keadaan barang seperti mana dia mengambilnya” (Rujuk: Al-Fiqh Islami Wa Adillatuhu: 6/4800).
Kesimpulan:
Melihat kepada persoalan di atas kami melihat terdapat polisi syarikat penerbangan berkenaan dengan barang yang boleh dibawa keluar atau tidak. Sekiranya menaiki kapal terbang untuk perjalanan yang jauh kebiasaan syarikat penerbangan akan memberi gift bag yang terdapat di dalamnya seperti berus gigi dan ubat gigi sebagai cenderahati untuk digunakan. Ia juga berbeza mengikut class penerbangan dan ini dibolehkan untuk dibawa keluar.
Adapun barangan kecemasan seperti jaket keselamatan dan topeng udara serta barang yang digunakan semula oleh syarikat penerbangan seperti selimut dan bantal tidak boleh dikeluarkan sama sekali ini kerana faktor polisi penerbangan dan keselamatan penumpang.
Bagi mereka yang telah mengambil, seharusnya memperbanyakkan istighfar dan bertaubat serta memohon doa kepadaNya semoga diampunkan dosa yang lalu. Begitu juga tidak mengulangi perbuatan itu kembali. Firman Allah S.W.T:
عَفَا اللَّـهُ عَمَّا سَلَفَ ۚ وَمَنْ عَادَ فَيَنتَقِمُ اللَّـهُ مِنْهُ ۗ وَاللَّـهُ عَزِيزٌ ذُو انتِقَامٍ
Maksudnya: Allah maafkan apa yang telah lalu; dan sesiapa yang mengulangi (kesalahan itu) maka Allah akan menyeksanya; dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Berkuasa membalas dengan azab seksa.
(Surah Al-Maidah: 95)
Wallahualam.