Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1184: MAKSUD PERKATAAN ‘هَمّ’ DALAM SURAH YUSUF

hammm.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Saya terbaca satu ayat dalam Surah Yusuf berkenaan kisah Nabi Yusuf dan wanita yang tertarik kepadanya. Saya ingin tahu lebih lanjut, apakah maksud perkataan “هَمّ” yang disebut dalam surah Yusuf ayat 24 dan apa tafsiran atas perkataan tersebut?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ هَمَّتْ بِهِ ۖ وَهَمَّ بِهَا لَوْلَا أَن رَّأَىٰ بُرْهَانَ رَبِّهِ ۚ كَذَٰلِكَ لِنَصْرِفَ عَنْهُ السُّوءَ وَالْفَحْشَاءَ ۚ إِنَّهُ مِنْ عِبَادِنَا الْمُخْلَصِينَ

Maksudnya: Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa.

Surah Yusuf (24)

Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim (4/381) berkata, maksud keinginan (هَمّ) di sini seperti yang disebut oleh al-Baghawi dalam Ma’alim al-Tanzil (4/231) ialah gelora yang tercetus oleh kata-kata nafsu. Keinginan yang ingin ditampilkan Allah SWT di sini memuncak dalam jiwa dan diri Nabi Yusuf AS serta wanita tersebut. Ataupun secara literalnya kedua-dua mereka bersyahwat. Akan tetapi terdapat beberapa ulama’ tafsir yang menyangkal pentafsiran sebegini, antaranya Ibn Hazm al-Andalusi yang memberi maksud al-Hamm (الهمّ) dengan berdendam untuk memukul. Maksudnya di sini ialah disebabkan kehendak syahwat wanita itu tidak dituruti oleh Nabi Yusuf AS, dia menjadi marah dan tertekan kerana merasakan dirinya lebih berkuasa dari Nabi Yusuf AS, lalu dikejarnya Nabi Yusuf AS untuk dipukul. Nabi Yusuf AS juga menjadi marah dan ingin memukulnya juga.

Syeikh Rasyid Ridha dalam Tafsir al-Manar (12/223) juga menyokong pendapat Ibn Hazm dan ulama’-ulama’ yang sependapat dengannya. Hal ini kerana terdapat kalimah al-Hamm (الهمّ) yang membawa maksud hendak memukul atau berniat jahat, antaranya dalam ayat 11 Surah Ali Imran, ayat 122 Surah al-Nisa’, ayat 13 dan 73 surah al-Taubah serta beberapa ayat lain lagi.

Syeikh al-Maraghi dalam mentafsirkan ayat di atas menyebut: Nabi Yusuf AS pun semakin hebat dan gah terhadap wanita itu kerana keteguhan dirinya berpegang dengan agama dan amanah, menghindari pengkhianatan dan mencegah kehormatan tuannya dan tuan wanita itu kecuali dengan menghina Nabi Yusuf AS melalui balas dendam. Inilah yang mungkin direncanakan oleh wanita tersebut untuk segera dilaksanakan atau hampir sahaja dia bermaksud untuk mengajarnya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/3326)

Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam al-Tafsir al-Munir (12/240) menyebut, pentafsiran ayat ini perlu dilihat secara keseluruhan ayat. Apabila ditafsirkan secara menyeluruh, tiada unsur keinginan dikemukakan di dalam ayat di atas. Hal ini kerana konsep ta’lik (لو لا) yang digunakan di sini. Maksudnya keinginan tersebut tertegah dengan pertandaan Allah SWT. Menurut beliau lagi, sekiranya dimaksudkan dengan keinginan di sini ialah gelora yang dicetuskan kata-kata nafsu serta keinginan melakukan zina berdasarkan ciri manusiawi, ia tidak dipersalahkan dalam syarak. Buktinya tindakan diambil apabila keinginan disertakan dengan keazaman dan tekad melakukannya. Perkara ini dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam hadis Qudsi yang menyebut:

فَمَنْ هَمّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا الله عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً وَإِنْ هَمّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا الله عَزّ وَجَلّ عِنْدَهُ عَشْرَ حَسَنَاتٍ إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ إِلَى أَضْعَافٍ كَثِيرَةٍ. وَإِنْ هَمّ بِسَيّئَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا الله عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً... وَإِنْ هَمّ بِهَا فَعَمِلَهَا، كَتَبَهَا الله سَيّئَةً وَاحِدَةً

Maksudnya: Sesiapa yang bercita-cita untuk melakukan satu kebajikan sedangkan dia tidak melakukannya, nescaya Allah tulis baginya dengan satu kebaikan penuh. Sebaliknya, jika dia bercita-cita untuk melakukan satu kebajikan, kemudian dia melakukannya, nescaya Allah menulis pahalanya sepuluh kebajikan sehingga digandakan 700 dan kepada gandaan-gandaan yang banyak. Sedangkan sesiapa yang bercita-cita untuk melakukan satu kejahatan, kemudian tidak melakukannya, nescaya Allah tulis baginya satu kebajikan yang penuh. Sebaliknya jika dia bercita-cita untuk melakukan satu kejahatan kemudian dilakukannya, maka Allah akan tulis satu dosa.

Riwayat Muslim (355)

Daripada perbincangan di atas, difahami bahawa perbezaan kalimah al-Hamm yang terbit daripada Nabi Yusuf AS dan wanita tersebut bahawa al-Hamm yang terbit daripada wanita tersebut berdasarkan dendam yang membara disebabkan keinginannya ditolak oleh Nabi Yusuf AS dan berasaskan maksiat. Manakala al-Hamm Nabi Yusuf pula ialah mempertahan dan melepaskan diri daripada godaan wanita itu seperti yang dijelaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:

كَذَٰلِكَ لِنَصْرِفَ عَنْهُ السُّوءَ وَالْفَحْشَاءَ

Maksudnya: Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji.

Surah Yusuf (24)

Di hujung ayat ini, Allah SWT membersihkan Nabi Yusuf AS daripada dosa tersebut serta menggolongkannya dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang ikhlas.