Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1226 : PERBEZAAN ANTARA TAFSIR DAN TADABBUR AL-QUR’AN

tafsir dan tadabbur.JPG

Soalan:

Apakah perbezaan antara tafsir dan tadabbur al-Qur’an? Jika saya membaca al-Qur’an, saya cuba memahami ayat yang dibaca menurut ilmu dan pengetahuan yang saya ada, saya kaitkan dengan ilmu sains yang saya pelajari, adakah itu dikira sebagai mentafsir al-Qur’an?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Tafsir dan tadabbur merupakan dua perkara berbeza. Disini kami kemukakan perbezaan-perbezaan kedua-duanya:

 

Perbezaan dari Sudut Definisi

Kalimah tafsir dari sudut bahasa bermaksud penerangan dan penjelasan. Adapun dari sudut istilah syara’, maka ia didefinisikan oleh Imam al-Zarkasyi sebagai satu bidang ilmu yang diketahui dengannya kefahaman berkenaan kitab Allah SWT yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW, dan penjelasan makna-maknanya, pengeluaran hukum-hakam dan hikmahnya. Hal ini memerlukan penguasaan ilmu bahasa Arab, nahu, sorof, bayan, usul al-fiqh, qira’at, asbab al-nuzul (sebab-sebab penurunan ayat al-Qur’an) dan al-nasikh wa al-mansukh. (Rujuk Lisan al-‘Arab 5/55 dan Al-Burhan fi Ulum al-Qur’an 1/13)

Sementara Imam al-Suyuti menambah keperluan untuk mengetahui ayat-ayat Makki dan Madani, ayat-ayat muhkam dan mutasyabih, ayat-ayat yang khas dan ‘am serta yang mutlaq dan yang muqayyad. (Rujuk Al-Itqan fi ‘Ulum al-Qur’an, hlm. 544)

Menurut Imam al-Maturidi pula, tafsir bermaksud penentuan (al-qath’) makna tertentu bagi kehendak suatu ayat, dan penyaksian dengan nama Allah SWT bahawa Dia berkehendak dengan ayat ini dengan maksud sebagaimana yang ditafsirkan. (Rujuk al-A’lam, oleh Imam Khairuddin al-Zirkili 7/11)

Manakala tadabbur merupakan usaha untuk mencari makna disebalik zahir suatu perkara. Kalimah tadabbur juga digunakan pada setiap usaha manusia untuk mendalami hakikat satu perkara. (Rujuk Mafhum al-Tafsir wa al-Ta’wil wa al-Istinbat wa al-Tadabbur wa al-Mufassir, oleh Dr. Musa’id al-Toyyar, hlm. 185)

Maka jelas daripada definisi kedua-duanya, bahawa tafsir merupakan satu cabang ilmu yang mempunyai syarat-syarat yang ketat yang perlu dipenuhi, manakala tadabbur merupakan usaha untuk memahami dan ia bukan merupakan satu cabang ilmu yang khusus.

 

Kepada Siapa Tafsir dan Tadabbur Diwajibkan.

Tadabbur tidak memerlukan seseorang itu memenuhi syarat-syarat tertentu kecuali kefahaman secara umum tentang satu-satu ayat. Hal ini kerana Allah SWT telah menjadikan al-Qur’an itu mudah untuk difahami secara umum. Kerana itulah Allah SWT berfirman:

وَلَقَدْ يَسَّرْنَا الْقُرْآنَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِنْ مُدَّكِرٍ

Maksudnya: Dan sesungguhnya Kami permudahkan al-Qur’an itu untuk diambil peringatan daripadanya; maka adakah yang mahu mengambil peringatan?

Surah al-Qamar (17)

Maka tadabbir diwajibkan ke atas setiap umat Islam, bahkan Allah SWT menyeru seluruh umat manusia untuk mentadabbur ayat-ayat al-Qur’an menerusi firman-Nya:

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَى قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا

Maksudnya: (Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?

Surah Muhammad (24)

Kalimah tadabbur disebut sebanyak empat kali dalam al-Qur’an; dua tempat sewaktu membicarakan berkenaan orang munafiq, Manakala dua lagi tempat sewaktu membicarakan perihal orang kafir. (Rujuk Mafhum al-Tafsir wa al-Ta’wil wa al-Istinbat wa al-Tadabbur wa al-Mufassir, oleh Dr. Musa’id al-Toyyar, hlm. 185)

Adapun tafsir, maka para ulama telah meletakkan syarat-syarat yang ketat yang perlu dipenuhi sebelum seseorang itu boleh mentafsirkan al-Qur’an. Kerana itulah sebahagian ulama salaf bersikap berhati-hati dan teliti ketika ingin mengeluarkan pandangan tentang tafsir, kerana takut berkata suatu perkara tentang Allah SWT tanpa ilmu. (Rujuk Al-Fusul fi Usul al-Tafsir, hlm. 47)

 

Wasilah dan Maqasid

Tadabbur merupakan tujuan penurunan al-Qur’an itu sendiri, iaitu untuk diambil iktibar daripadanya dan seterusnya diamalkan. Adapun tafsir sebagai satu ilmu untuk mengetahui makna ayat-ayat al-Qur’an, ia merupakan wasilah untuk mencapai maqasid penurunan al-Qur’an itu sendiri:

كِتَابٌ أَنزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِّيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya: (Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.

Surah Sod (29)

Kami nyatakan di sini kitab-kitab yang masyhur berkenaan dengan tafsir dan tadabbur:

Pertama: Kitab-kitab tafsir, antaranya:

  • Jamiʿ al-Bayan ʿan Taʾwil ay al-Qurʾan oleh Ibn Jarir al-Tabari
  • Tafsir al-Quran al-‘Azim oleh Ibn Kathir
  • Tafsir al-Jami' li Ahkam al-Qur'an oleh al-Qurtubi
  • Tafsir Al-Kasysyaf oleh al-Zamakhsyari

Kedua, kitab-kitab tadabbur, antaranya:

  • Qawa’id al-Tadabbur al-Amthal li Kitab Allah Azza wa Jalla oleh Syeikh Abd al-Rahman Habannakah
  • Fath min al-Rahim al-Rahman fi Bayan Kaifiyyat Tadabbur Kalam al-Manan oleh Syeikh Ahmad Mansur
  • Ta’lim Tadabbur al-Quran al-Karim oleh Syeikh Hasyim ‘Ali al-Ahdal
  • Mafatih li al-Ta’amul ma’a al-Quran oleh Syeikh Solah Abd al-Fatah al-Khalidi dan sebagainya.

 

Kesimpulan

Tuntasnya, dapat difahami bahawa terdapat beberapa perbezaan besar antara tafsir dan tadabbur:

  1. Tafsir merupakan satu cabang ilmu khas untuk mengetahui makna sebenar ayat-ayat Allah SWT, manakala tadabbur merupakan usaha untuk mengetahui makna umum ayat.
  2. Banyak syarat-syarat ketat yang perlu dipenuhi untuk mentafsir al-Qur’an, sedangkan tadabbur hanya memerlukan kefahaman umum.

iii. Tadabbur wajib ke atas setiap Muslim, manakala tafsir hanya wajib pada yang mampu dan berkelayakan sahaja.

  1. Tadabbur merupakan tujuan penurunan al-Qur’an itu sendiri, iaitu untuk diambil iktibar daripadanya dan seterusnya diamalkan. Adapun tafsir sebagai satu ilmu untuk mengetahui makna ayat-ayat al-Qur’an, ia merupakan wasilah untuk mencapai maqasid penurunan al-Qur’an itu sendiri.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اجْعَلِ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِناَ، وَنُوْرَ صُدُوْرِناَ، وَجلاَءَ أَحْزَانِناَ، وَذهَابَ هُمُوْمِناَ

Maksudnya: Ya Allah! Jadikanlah al-Qur’an sebagai penyejuk hati kami, cahaya yang menyinari dada kami, penghibur duka kami dan penghapus kesedihan kami.

Wallahu a’lam.