Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1721 : SEDEKAH PENGUSAHA JUDI DI ATAS TALIAN YANG BUKAN ISLAM

af1721 compressed

Soalan:

Assalamualaikum wrm. wbt.,

Seorang rakan bukan islam membuka kedai cyber cafe online judi, dan rakan tersebut ingin memberi sebahagian keuntungan hasil kepada saya setiap bulan bagi tujuan kerja-kerja amal kebajikan dan kemudahan awam sahaja. Adakah boleh saya berbuat demikian?

Jawapan:

Waalaikumussalam wrm. wbt.

Alhamdulillah segala puji bagi Allah ﷻ, selawat serta salam ke atas Junjungan Mulia, Nabi Muhammad ﷺ, ke atas Ahli Bait, serta Para Sahabat baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Akhirat.

 

Hukum pengurusan harta yang haram

Islam melarang umat Islam daripada bersekongkol dengan perbuatan dosa dan maksiat. Ini termasuklah bermuamalat dengan harta orang yang diperolehi dengan usaha yang haram. Namun, dalam masa yang sama, harta yang diperolehi dengan cara yang haram tidak sewajarnya dibakar atau dicampak ke laut kerana tidak dapat digunakan. Hakikat yang perlu kita ketahui bahawa pada asalnya semua perkara yang boleh disebut sebagai harta itu adalah untuk kegunaan manusia untuk menjadi hamba Allah yang beribadah dan bertaqwa.

Dalam artikel-artikel berikut, pihak kami telah menghuraikan beberapa isu yang melibatkan hukum hakam pengurusan dengan harta yang haram. Antara:

Kesimpulan daripada artikel-artikel di atas, harta yang diperolehi daripada harta yang haram wajib dikembalikan kepada tuannya jika diperolehi dengan kaedah pengambilan tanpa persetujuan pemiliknya, seperti rompakan, riba dan curi.

Adapun harta haram yang tidak dapat dicari pemiliknya, atau diperolehi dengan kaedah pengambilan tetapi dengan persetujuan pemiliknya, seperti upah pelacur, jual beli khinzir dan anjing, dan hasil jualan arak, maka harta itu wajib disedekahkan bagi tujuan maslahat awam umat Islam, atau disedekahkan kepada golongan fakir. Para ulama juga mensyaratkan agar harta itu diberikan kepada hakim yang adil untuk membelanjakannya bagi maslahat awam. Jika tidak ada hakim yang adil, maka boleh diserahkan kepada seseorang yang adil untuk menguruskan.

 

Kesimpulan

Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, kami cenderung bahawa pendapat tersebut boleh diberikan kepada Majlis-Majlis Agama Negeri-Negeri, melalui Pusat Pungutan Zakat masing-masing, kerana mereka bertindak sebagai hakim yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus harta-harta yang diperolehi dengan cara yang haram untuk maslahat umat Islam.

Perlu ditekankan di sini bahawa sedekah diatas tidak sama dengan sedekah yang diberikan daripada sumber yang haram, atas faktor-faktor berikut:

  • kerana sedekah dengan harta yang haram hanyalah cara untuk melepaskan diri daripada memiliki harta yang haram setelah bertaubat.
  • Diharamkan ke atas orang tengah untuk mengambil apa-apa upah daripada harta yang haram itu, dan diharamkan untuk menunjukkan apa-apa promosi terhadap aktiviti perjudian tersebut.
  • Tidak boleh perbuatan sedekah itu menjadi justifikasi kepada amalan perjudian.
  • Keharusan bersedekah ini hanyalah untuk memastikan sesuatu yang bermanfaat tidak disia-siakan seperti dibakar atau dibuang ke laut. Ini kerana pada asalnya harta tersebut boleh digunakan untuk tujuan yang halal tetapi sebahagian manusia telah khianat dengan harta yang Allah ﷻ amanahkan dan membazirkannya dengan berjudi.
  • Jika harta tersebut tidak boleh disedekahkan, maka harta berkenaan akan beredar dalam lingkungan harta haram sahaja dan akan merugikan juga umat Islam.
  • Sebaiknya pihak penanya menasihati rakannya yang bukan Islam bahawa amalan perjudian sebenarnya adalah perkara buruk dalam masyarakat dan perlu dihentikan

Wallahua`lam.

Semoga penjelasan ini memberikan manfaat kepada penanya. Kita berdoa agar Allah ﷻ memberikan kita rezeki yang halal dan baik, dan menjadikan kita hamba-Nya yang bertaqwa.

Disediakan oleh,

Unit Buhuth,

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.