Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1797: HUKUM AIR MAZI DARI SUAMI ISTERI KETIKA PROSES PERSETUBUHAN

HUKUM AIR MAZI DARI SUAMI ISTERI KETIKA PROSES PERSETUBUHAN

 

 

SOALAN

Assalamualaikum. Apa hukum air mazi yang keluar pada kemaluan suami atau isteri ketika proses bersetubuh. Sebagai contoh, suami sentuh kemaluan isteri ketika proses bersetubuh dengan tangan dan dalam masa yang sama tangan itu sentuh pada tempat lain seperti tilam, bantal, selimut atau sebagainya. Jika air mazi ini najis, maka bagaimana cara untuk saya elakkan daripada terkenanya kerana ia amat lah sukar untuk mengelak semasa proses bersetubuh, terima kasih.

 

RINGKASAN JAWAPAN

Air mazi merupakan sejenis najis yang wajib dibersihkan. Walaupun air itu terkena pada tangan, pakaian dan seumpamanya ketika bersama dengan pasangan. Namun dikecualikan sekiranya tempat yang susah untuk dijaga dan keadaannya sangat sedikit seperti terkena pada tilam, bantal dan seumpamanya.

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah SAW. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat dan seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

 

Air mazi ialah air yang berwarna putih, halus dan melekit, keluar ketika bangkitnya permulaan syahwat atau ketika bergurau senda bersama isteri dan menciumnya. Ia keluar tanpa memancutkan air mani, kadang-kadang ia keluar tanpa disedari. Mazi lelaki dan wanita adalah sama.  Wanita keluar mazi apabila bangkit syahwatnya. Tidak wajib mandi dengan sebab keluar mazi, iaitu air yang keluar disebabkan syahwat yang paling rendah (mani adalah air kemuncak syahwat). Mazi mempunyai sifat-sifat air mani seperti yang disebutkan berdasarkan hadis riwayat Saidina Ali R.anhu di mana beliau berkata:

كُنْتُ رَجُلاً مَذَّاءً فَجَعَلْتُ أَغْتَسِلُ حَتَّى تَشَقَّقَ ظَهْرِى فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِلنَّبِىِّ (ص) أَوْ ذُكِرَ لَهُ - فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ (ص) لاَ تَفْعَلْ إِذَا رَأَيْتَ الْمَذْىَ فَاغْسِلْ ذَكَرَكَ وَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلاَةِ فَإِذَا فَضَخْتَ الْمَاءَ فَاغْتَسِلْ

Maksudnya: “Aku adalah seorang lelaki yang sering keluar mazi, aku sentiasa mandi pada musim sejuk sehingga belakangku kelihatan pecah-pecah. Aku telah menceritakan perkara ini kepada Nabi SAW. Rasulullah SAW bersabda: “Jangan kamu lakukan seperti itu, jika kamu melihat mazi maka basuhlah kemaluanmu dan berwuduklah sebagaimana kamu berwuduk untuk solat. Apabila kamu mendapati air mani yang keluar dari kemaluan kamu maka diwajibkan kepada kamu mandi.” 

Riwayat Abi Daud (206)

 

Sehubungan dengan itu, air mazi menurut istilah fiqh pula adalah air jernih yang melekit keluar ketika timbulnya syahwat.

(Rujuk: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 36/315)

 

Manakala Imam al-Nawawi di dalam kitabnya menyatakan perbezaan antara mani dan mazi adalah, air mani keluar ketika kemuncak syahwat serta mengakibatkan kepenatan. Adapun mazi keluar ketika bersyahwat tidak mengakibatkan kepenatan.

 (Rujuk: al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, 2/141)

 

 

Berhubung dengan perkara ini, jelas bahawa air mazi merupakan najis mutawassitah seperti bangkai, arak, air kencing dan tahi yang perlu di bersihkan dengan air yang suci sehingga hilang bau rasa dan warna. Perkara ini dijelaskan melalui hadis Nabi SAW:

عَنْ سَهْلِ بْنِ حُنَيْفٍ، قَالَ كُنْتُ أَلْقَى مِنَ الْمَذْىِ شِدَّةً وَعَنَاءً فَكُنْتُ أُكْثِرُ مِنْهُ الْغُسْلَ فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِرَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَسَأَلْتُهُ عَنْهُ فَقَالَ ‏"‏ إِنَّمَا يُجْزِئُكَ مِنْ ذَلِكَ الْوُضُوءُ ‏"‏ ‏.‏ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ بِمَا يُصِيبُ ثَوْبِي مِنْهُ قَالَ ‏"‏ يَكْفِيكَ أَنْ تَأْخُذَ كَفًّا مِنْ مَاءٍ فَتَنْضَحَ بِهِ ثَوْبَكَ حَيْثُ تَرَى أَنَّهُ أَصَابَ مِنْهُ

Maksudnya: “Sahl bin Hunaif berkata, "Saya merasa letih dan susah kerana sering mandi disebabkan keluarnya mazi, lalu saya adukan hal itu kepada Rasulullah SAW, kemudian Baginda bersabda, “Cukuplah engkau dengan berwudhu”. Saya bertanya, Wahai Rasulullah, bagaimana dengan mazi yang terkena pada pakaian saya? Baginda menjawab, “Cukuplah engkau mengambil air sebanyak satu tapak tangan, lalu engkau siramkan pada pakaian yang engkau lihat pada bahagian yang terkena itu”.

Riwayat al-Tirmizi (115)

 

Kenyataan di atas jelaslah bahawa air mazi yang keluar wajib dibersihkan dengan air secukupnya. Kerana ia dianggap sebagai najis. Pakaian, tempat tidur yang terkena air mazi wajib dibersihkan dengan cara yang betul.

 

KESIMPULAN

Kesimpulannya, air mazi yang keluar adalah najis. Apabila terkena pada pakaian, selimut atau seumpamanya maka wajib dibersihkan. Sekiranya air mazi itu sedikit dan sukar untuk dijaga maka dimaafkan. Namun, sekiranya ia banyak maka wajib untuk dibersihkan. Semoga kita sentiasa dalam keadaan bersih dari kekotoran najis.

WaAllahu a’lam.