Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1870: HUKUM BERMAIN MERCUN YANG TIDAK MEMBAHAYAKAN

GAMBAR FINAL

Soalan

Assalamualaikum S.S Datuk, baru-baru ini saya ada terbaca di surat khabar bahawa terdapat beberapa jenis mercun yang dibenarkan kerana tidak membahayakan seperti Pop-pop dan Happy Boom. Soalan saya apakah hukum bermain mercun yang tidak berbahaya ini ketika hari raya aidilfitri. Adakah ia juga diharamkan?

Ringkasan Jawapan

Hukum bermain mercun yang tidak membahayakan adalah harus dengan syarat:

  • Telah dipastikan oleh pihak berkuasa bahawa ia tidak membahayakan.
  • Tidak berlebih-lebihan sehingga perlu berhutang untuk membelinya.
  • Tidak menganggu jiran tetangga.
  • Kanak-kanak yang bermain perlu mendapat pantauan dari orang dewasa.

Sayugianya diingatkan bahawa Islam menganjurkan untuk menghidupkan malam raya dengan membanyakkan takbir dan ibadat-ibadat sunat. Menghabiskan malam raya dengan bermain mercun yang tidak membahayakan sehingga mengabaikan ibadat-ibadat di malam raya adalah bertentangan dengan suruhan agama.

Huraian Jawapan

Pada asalnya hukum bermain mercun ialah diharamkan kerana ia boleh membahayakan. Kami telah bincangkan mengenai hukum bermain mercun pada artikel Bayan Linnas Siri ke-27 bertajuk: Mercun Budaya Bahaya. Antara Institusi fatwa di peringkat dunia yang mengharamkan penggunaan mercun ialah:

1. Dar al-Ifta’ al-Urduniyyah (Jordan)[1]

2. al-Majlis al-Islami li al-Ifta’ (Palestin)[2]

3. Dar al-Ifta’ al-Libiyah (Libiya)[3]

4. Rabitah Ulama al-Yaman (Yaman)[4]

Selain dari bermain mercun diharamkan oleh syarak ia juga dianggap salah di sisi undang-undang sebagaimana yang temaktub dalam Akta Bahan Letupan 1957 [Akta 207]. Namun baru-baru ini dalam akhbar Metro bertarikh 12 Februari 2022 dinyatakan bahawa Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, “hanya bunga api jenis 'Pop-pop' dan 'Happy Boom' dibenarkan kerana tidak mengandungi bahan bakar boleh membahayakan keselamatan”[5].

Menurut syarak hukum asal permainan yang tidak memudaratkan adalah harus. Dalam sebuah kaedah fiqh menyebut:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَلِيْلُ عَلَى التَحْرِيْمِ

Maksudnya: “Asal sesuatu perkara adalah harus sehingga ada dalil yang melarang.”[6]

Mengenai isu pembaziran tedapat dua pandangan dalam mazhab Syafii mengenai hukum membeli barangan dengan niat untuk berseronok-seronok. Sebahagian ulama menganggap ia sebagai suatu pembaziran manakala sebahagian lagi mengatakan bahawa ia tidak dianggap sebagai pembaziran. Dalam kitab Raudah al-Talibin disebutkan:

وَأَمَّا الصَّرْفُ فِي الْأَطْعِمَةِ النَّفِيسَةِ الَّتِي لَا تَلِيقُ بِحَالِهِ، فَقَالَ الْإِمَامُ، وَالْغَزَّالِيُّ: هُوَ تَبْذِيرٌ. وَقَالَ الْأَكْثَرُونَ: لَا؛ لِأَنَّ الْمَالَ يُتَّخَذُ لِيُنْتَفَعَ فِيهِ وَيُلْتَذَّ. وَكَذَا الْقَوْلُ فِي التَّجَمُّلِ بِالثِّيَابِ الْفَاخِرَةِ،

Maksudnya: “Adapun mengenai membelanjakan pada makanan-makanan mahal yang tidak sesuai dengannya berkata Imam (al-Haramain) dan al-Ghazali ia dianggap membazir. Manakala kebanyakan ulama (Syafiiyah) mengatakan bahawa ia tidak dianggap suatu pembaziran kerana harta itu dicari untuk diambil manfaat dan untuk tujuan keseronokan. Begitu juga dengan memperindahkan diri dengan pakaian-pakaian yang mewah.”

Pendapat yang kuat dalam mazhab Syafii membeli sesuatu barangan dengan tujuan untuk keseronokan tidak dianggap suatu pembaziran[7]. Membeli mercun yang tidak membahayakan tidak dianggap sebagai suatu pembaziran selagi tidak berlebihan. Walau bagaimanapun kami menasihatkan supaya orang ramai  sentiasa mengawal keselamatan anak-anak ketika bermain mercun tersebut. Keharusan bermain mercun yang tidak membahayakan ini mestilah memenuhi beberapa syarat:

  • Telah dipastikan oleh pihak berkuasa bahawa ia tidak membahayakan.
  • Tidak berlebih-lebihan sehingga perlu berhutang untuk membelinya.
  • Tidak menganggu jiran tetangga.
  • Kanak-kanak yang bermain perlu mendapat pantauan dari orang dewasa.

Tuntasnya, hukum bermain mercun yang tidak membahayakan adalah harus dengan syarat-syarat yang telah disebutkan. Namun sayugianya diingatkan bahawa Islam menganjurkan untuk menghidupkan malam raya dengan membanyakkan takbir dan ibadat-ibadat sunat. Menghabiskan malam raya dengan bermain mercun yang tidak membahayakan sehingga mengabaikan ibadat di malam raya adalah bertentangan dengan suruhan agama.

  

 

[1] Laman Rasmi Dar al-Ifta’ al-Urduniyyah (Diakses pada 11.4.2022): https://www.aliftaa.jo/Question.aspx?QuestionId=283#.YlOOPnhBzIU

[2] Laman Rasmi al-Majlis al-Islami li al-Ifta’ (Diakses pada 11.4.2022): http://www.fatawah.net/Fatawah/923.aspx

[3] Laman Rasmi Dar al-Ifta’ al-Libiyah (Diakses pada 11.4.2022): https://ifta.ly/%D8%AD%D9%83%D9%85-%D8%A7%D8%B3%D8%AA%D8%B9%D9%85%D8%A7%D9%84-%D8%A7%D9%84%D8%A3%D9%84%D8%B9%D8%A7%D8%A8-%D8%A7%D9%84%D9%86%D8%A7%D8%B1%D9%8A%D8%A9-%D9%88%D8%A8%D9%8A%D8%B9%D9%87%D8%A7-%D9%88%D8%B4/1330/

[4] Laman Rasmi Rabitah Ulama al-Yaman (Diakses pada 11.4.2022): https://yemenscholars.com/1113

[5] Laman Rasmi Harian Metro (Diakses pada 11.4.2022): https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/02/809573/hanya-pop-pop-happy-bom-dibenarkan

[6] Imam al-Suyuti, al-Asybah wa al-Nazair, Beirut: Dar al-kutub al-Ilmiyyah (1990), hlm. 60.

[7] Al-Dimyati, Ianah al-Talibin ala Hill al-Alfaz Fath al-Muin, Beirut: Dar al-Fikr (1997), jld. 3, hlm. 85.

قوله: فليس بتبذير) أي على الأصح، لأن له في ذلك غرضا صحيحا، وهو الثواب، أو التلذذ)

ومن ثم قالوا: لا سرف في الخير، كما لا خير في الس