Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1958: HUKUM MENGHANTAR KANAK-KANAK YANG BELUM BALIGH KE SEKOLAH BERASRAMA

HUKUM_MENGHANTAR_KANAK-KANAK_YANG_BELUM_BALIGH_KE_SEKOLAH_BERASRAMA.jpg

 

SOALAN

Apakah hukumnya jika ibu bapa menghantar kanak-kanak pada usia yang terlalu muda, atau yang belum baligh untuk tinggal di asrama sekolah, tahfiz atau madrasah?

RINGKASAN JAWAPAN

Pada pandangan kami, berdasarkan pandangan pakar kanak-kanak dan saranan oleh ulama, tidak sesuai bagi kanak-kanak yang usianya masih terlalu muda atau yang belum baligh untuk tinggal berasingan dari kedua ibu bapa dan keluarganya. Hal ini kerana mereka masih lagi berada di fasa yang sangat memerlukan kepada penjagaan, bimbingan dan belaian kasih sayang secara langsung daripada ibu bapa dan keluarga.

Realiti di asrama juga akan membebankan seorang pelajar yang masih terlalu mentah untuk mengurus keperluan diri, belajar berdikari serta untuk fokus dalam pembelajaran.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad ﷺ, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Ibu bapa memainkan peranan yang cukup penting dalam pendidikan awal seperti membentuk asas-asas perkembangan diri seseorang anak. Sesungguhnya anak-anak perlu dibekalkan dengan persiapan diri seperti persiapan mental dan spiritual bagi mengurus diri sendiri pada masa akan datang dalam membina jati diri yang kukuh.

Antara aspek pendidikan yang perlu diberikan perhatian adalah berkenaan penjagaan aurat serta memelihara batas pergaulan hatta sesama jantina. Dalam satu hadis riwayat Abu Sa’id al-Khudri, beliau meriwayatkan bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

لاَ يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ وَلاَ الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ وَلاَ يُفْضِي الرَّجُلُ إِلَى الرَّجُلِ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ وَلاَ تُفْضِي الْمَرْأَةُ إِلَى الْمَرْأَةِ فِي الثَّوْبِ الْوَاحِدِ

Maksudnya: Seorang lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki yang lain, dan seorang perempuan tidak boleh melihat aurat perempuan yang lain. Serta seorang lelaki tidak boleh berbaring dengan lelaki yang lain di dalam selimut yang sama. Demikian seorang perempuan tidak boleh berbaring dengan perempuan yang lain di dalam selimut yang sama..

Riwayat Muslim (338)

Penekanan soal ini perlulah dipertanggungjawabkan ke atas ibu bapa atau penjaga dalam kalangan keluarga. Jika kanak-kanak seusia 9 atau 10 tahun sudah dihantar ke asrama, adakah mereka mampu menjaga soal batasan aurat dan pergaulan ini?

Oleh kerana itulah menurut Imam Badruddin Ibn Jamaah:

والأَوْلَى أَنْ لا يَسْكُنَ المدرسةَ وَسِيمُ الوَجْهِ أو صَبِيٌ ليس له فيها وليٌ فَطِنٌ

Maksudnya: Dan adalah lebih utama bagi seorang yang berwajah jambu atau kanak-kanak yang tidak mempunyai wali yang bijak bersamanya untuk tidak tinggal di asrama sekolah.[1]

Realitinya di asrama sekarang, seorang pelajar atau kanak-kanak itu perlu mengurus keperluannya sendiri tanpa dibantu oleh guru atau warden. Meskipun jika seorang pelajar itu mempunyai saudara yang lebih tua yang tinggal bersama di asrama tersebut, saudara itu sendiri juga mengurus keperluannya sendiri, maka kemungkinan besar dia sendiri tidak mampu untuk untuk menjaga keperluan saudaranya yang masih kecil itu, menyebabkan kebajikannya terabai.

Kita juga perlu mengambil kira pandangan Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal yang menegaskan bahawa kanak-kanak yang berusia di bawah 12 tahun tidak sesuai tinggal di asrama, meskipun atas alasan untuk mengajar mereka hidup berdikari atau bagi tujuan pendidikan. Menurut beliau, pada usia itu anak-anak adalah terlalu mentah untuk menguruskan diri sendiri dan tempat paling sesuai untuk mereka adalah di rumah bersama keluarga dengan bimbingan ibu bapa sepanjang masa. Mereka juga amat memerlukan sentuhan kasih sayang ibu bapa bagi membolehkan proses tumbesarannya seimbang, terutama dari segi emosi dan pemakanan, serta perhatian, bimbingan dan kasih sayang sebagai sokongan untuk membesar dengan sempurna.

Beliau turut menambah:

“Usia tujuh hingga 12 tahun adalah fasa usia kanak-kanak melalui proses tumbesaran yang kritikal. Mereka mudah dipengaruhi rakan sebaya sekiranya ditempatkan di asrama tanpa bimbingan ibu bapa. Hubungan dan kasih sayang bermula dari rumah membantu mematangkan fikiran mereka. Berbekalkan bimbingan dari rumah, apabila keluar nanti, anak dapat menilai perkara baik dan buruk. Selepas mencecah usia 12 tahun ibu bapa perlu menilai semula tumbesaran fizikal dan emosi anak, mereka perlu rasional membuat keputusan sama ada membenarkan anak tinggal di asrama atau sebaliknya”[2]

Selain itu, bekas Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Sumber Manusia Kedah, Dr Salmee Said juga berpandangan bahawa anak-anak yang masih kecil tidak patut dihantar ke asrama, kerana mereka memerlukan belaian dan perhatian daripada ibu bapa setiap masa dan kebanyakannya masih belum mampu menguruskan diri sendiri dengan baik dan sempurna.[3]

Tambahan pula, Seksyen 61 Akta Kanak-Kanak 2001 juga menetapkan bahawa Mahkamah Bagi Kanak-Kanak tidak boleh membuat perintah yang menghendaki seseorang kanak-kanak di bawah umur sepuluh tahun dihantar ke asrama akhlak. Hal ini jelas menunjukkan penggubal undang-undang negara juga bersetuju bahawa asrama bukanlah tempat terbaik untuk seorang kanak-kanak itu membesar.

KESIMPULAN

Kesimpulannya, berdasarkan pandangan daripada pakar kanak-kanak, perundangan serta nukilan daripada Imam Badruddin Ibn Jamaah, kami berpandangan bahawa kanak-kanak tidak sesuai dihantar ke asrama pada usia yang terlalu muda sebelum mereka mencapai akil baligh. Kami mencadangkan agar ditetapkan usia minimum 12 tahun sebelum seorang kanak-kanak itu boleh dihantar ke asrama sekolah, tahfiz atau madrasah, atau setelah dia mencapai umur akil baligh, yakni setelah diyakini dia mampu berdikari, mengurus diri dengan baik dan mempunyai persediaan yang mencukupi.

[1] Rujuk Ibn Jama’ah, Badruddin (2018), Tazkirah al-Sam’ wa al-Mutakallim fi Adab al-‘Alim wa al-Muta’allim, al-Dar al-‘Alamiyyah, cetakan pertama, hlm. 203

[2] Rujuk pautan : https://www.bharian.com.my/wanita/keluarga/2019/11/627892/kanak-kanak-bawah-12-tahun-tidak-sesuai-tinggal-di-asrama

[3] Rujuk pautan: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/trend-hantar-anak-ke-pusat-tahfiz-usia-terlalu-muda-kurang-sesuai-223910