Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1974: KEDUDUKAN NIAT KETIKA TAKBIRATUL IHRAM

KEDUDUKAN_NIAT_KETIKA_TAKBIRATUL_IHRAM.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum w.b.t, Saya sedia maklum bahawa hukum niat ketika solat adalah wajib dan ia perlu disertakan ketika takbiratul ihram. Namun, saya ada persoalan iaitu di manakah kedudukan niat ketika takbiratul ihram? Mohon penjelasan SS Datuk Mufti.

Ringkasan Jawapan

Hukum niat ketika solat adalah wajib kerana ia merupakan rukun qalbi(hati) dan wajib disertakan ketika seseorang melafazkan takbiratul ihram. Kedudukan niat ketika takbir adalah pada permulaan lafaz takbir dan berkekalan niatnya sehingga selesai. Namun, bagi memudahkan masyarakat awam maka memadai bagi mereka untuk berniat sama ada pada permulaan, pertengahan atau pengakhiran takbir dengan syarat dia tidak dilalaikan daripada mengingatinya.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Kedudukan niat dalam suatu amalan merupakan perkara terpenting sehingga ia menjadi pembeza antara ibadat dan adat. Hal ini bermaksud suatu ibadat tidak dihukumkan sah dan tidak diambil kira oleh syarak kecuali apabila ia diniatkan sebagai ibadat. Seorang mukalaf juga tidak akan diganjari pahala jika niatnya tidak betul. Ini merujuk pada sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Umar al-Khattab, Nabi SAW bersabda[1]:

إنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang hanya mengikut apa yang diniatkan”.

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Definisi niat dari sudut bahasa ialah tujuan. Manakala dari sudut syarak bermaksud menyatakan tujuan suatu perbuatan ketika melakukannya. Tempat niat adalah di dalam hati dan ia sunat dilafazkan[2]. Rukun-rukun solat terbahagi pada empat bahagian iaitu rukun qauli (perkataan), fi’li (perbuatan), ma’nawi dan qalbi (hati). Niat merupakan satu-satunya rukun dalam rukun qalbi dan waktu pelaksanaannya adalah ketika takbiratul ihram. Seseorang yang bertakbir tanpa menyertakan niat atau berniat selepas selesai melafazkan takbir, maka solatnya tidak sah[3].

Secara umumnya, tingkatan niat dalam solat terbahagi kepada empat pecahan. Ia seperti yang dinyatakan oleh al-Bujairimi[4]:

  • Tingkatan pertama: Istihdar Haqiqi (استحضار الحقيقي); iaitu menghadirkan niat pada keseluruhan rukun solat secara terperinci.
  • Tingkatan kedua: Muqaranah Haqiqiyyah(مقارنة حقيقية) ; iaitu menyertakan niat pada permulaan lafaz takbir sehingga pengakhiran lafaznya.
  • Tingkatan ketiga: Istihdar ‘Urfi(استحضار العرفي) ; iaitu menghadirkan niat pada rukun-rukun solat secara umum sahaja.
  • Tingkatan keempat: Muqaranah ‘Urfiyyah(مقارنة العرفية) ; iaitu menyertakan niat pada sebahagian takbir sama ada pada permulaan, pertengahan atau pengakhiran takbir.

Imam al-Nawawi menyatakan dalam kitabnya[5]:

ويجب قرن النية بالتكبيرة وقيل: يكفي بأوله

Maksudnya: “Wajib menyertakan niat dengan takbir. Berdasarkan pandangan yang lemah : memadai (niat) di awal takbir”.

Pada asasnya, Khatib al-Syirbini menyatakan niat solat wajib disertakan ketika melafazkan takbiratul ihram kerana takbir merupakan rukun pertama di dalam solat. Niat juga wajib disertakan ketika permulaan takbir dan berterusan sehingga selesai lafaz takbir tersebut (muqaranah haqiqiyyah). Namun, berdasarkan pandangan yang tidak muktamad di sisi mazhab al-Syafi‘i memadai bagi orang yang solat untuk menghadirkan niat pada permulaan takbir dan tidak wajib menyertakan niat hingga ke akhirnya[6].

Walau bagaimanapun, Imam al-Haramain al-Juwaini dan Imam al-Ghazali melihat bahawa perkara ini menjadi kesukaran untuk dilaksanakan oleh masyarakat awam. Justeru, mereka berpandangan bahawa tidak wajib menyertakan niat pada permulaan takbiratul ihram dan berkekalan sehingga ke akhirnya. Bahkan memadai bagi masyarakat awam untuk menyertakan niat solat secara muqaranah urfiyyah dan ini juga merupakan pandangan yang dipilih oleh imam al-Nawawi dan pandangan yang kuat di dalam mazhab[7].

Para ulama berselisih pendapat ketika mendefinisikan makna muqaranah urfiyyah. Al-Ramli menyatakan bahawa ia adalah sekira-kira seseorang itu menyertakan niat dalam solat sama ada pada permulaan, pertengahan atau pengakhiran takbir. Manakala, sebahagian yang lain pula mentakrifkan ia sebagai niat ketika takbir dalam keadaan dia tidak lalai daripada mengingatinya serta diikuti dengan kesungguhan yang jitu[8].

Al-bujairimi turut menyatakan bahawa terdapat pandangan daripada sebahagian ulama mutakhir dari mazhab Syafi’i yang membataskan niat secara istihdar urfi dan muqaranah urfiyyah kerana dua tingkatan yang terawal itu tidak mampu dilakukan oleh kebiasaan orang awam[9].

KESIMPULAN

Kesimpulannya, orang yang solat wajib menyertakan niat ketika takbiratul ihram dan ketiadaan niat menjadikan solatnya tidak sah. Niat ketika takbir perlu disertakan pada permulaan lafaz takbir dan berkekalan sehingga akhir lafaz. Walau bagaimanapun, memadai bagi masyarakat awam untuk menyertakan niat sama ada pada permulaan, pertengahan atau penghakhiran takbir, dalam keadaan mereka berusaha dan tidak lalai daripada mengingatinya.

Wallahu A'lam

 

Rujukan: 

[1] Dr. Mustafa al-Khin, Dr. Mustafa al-Bugha @ ‘Ali al-Syirbiji. Al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi‘i. (Damsyiq: Dar al-Qalam, 1992). Jld 1. Hlm 53.

وبالنية تتميز العبادة، قال رسول الله - صلى الله عليه وسلم -: "إنما الأعمال بالنيات وإنما لكل امرئ ما نوى " أي لا تصح العبادة ولا يعتد بها شرعاً إلا إذا نويت، ولا يحصل للمكلف أجرها إلا إذا أخلص فيها

[2] Ibid.

تعريف النية: والنية معناها لغة: القصد، وشرعاً: قصد الشيء مقروناً بفعله. محل النية: ومحل النية القلب، ويسن التلفظ بها باللسان.

[3] Hassan bin Ahmad bin Muhammad al-Kaff. Al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah. (Tarim: Dar al-Mirath al-Nabawi, 2003). Hlm 208.

أركان قلبية : واحد, وهو النية (الركن الأول) .ووقتها : اثناء التكبير, فلو كبر بدون أن يستحضرها, ثم بعد التكبير نوى, فلا تنعقد صلاته.

[4] Al-Bujairimi, Sulaiman bin Muhammad. Hasyiah al-Bujairimi ala al-Khatib. (t.tp: Dar al-Fikr, 1995). Jld 2. Hlm 17.

 وَاعْلَمْ أَنَّ لِلْقَوْمِ هُنَا أَرْبَعَةَ أَشْيَاءَ: اسْتِحْضَارٌ حَقِيقِيٌّ بِأَنْ يَسْتَحْضِرَ جَمِيعَ أَرْكَانِ الصَّلَاةِ تَفْصِيلًا وَمُقَارَنَةٌ حَقِيقِيَّةٌ بِأَنْ يَقْرُنَ ذَلِكَ الْمُسْتَحْضَرَ بِجَمِيعِ أَجْزَاءِ التَّكْبِيرَةِ، وَاسْتِحْضَارٌ عُرْفِيٌّ بِأَنْ يَسْتَحْضِرَ الْأَرْكَانَ إجْمَالًا وَمُقَارَنَةٌ عُرْفِيَّةٌ بِأَنْ يَقْرُنَ ذَلِكَ الْمُسْتَحْضِرُ بِجُزْءٍ مَا مِنْ التَّكْبِيرِ

[5] Al-Nawawi, Yahya bin Syaraf. Minhaj al-Talibin wa Umdah al-Muftin. Ed: ‘Iwadh Qasim Ahmad ‘Iwadh. (t.tp: Dar al-Fikr, 2005). Hlm 25.

[6] Khatib al-Syirbini, Muhammad bin Muhammad. Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj. (t.tp: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1994). Jld 1. Hlm 347.

وَيَجِبُ قَرْنُ النِّيَّةِ بِالتَّكْبِيرَةِ (أَيْ تَكْبِيرَةِ الْإِحْرَامِ؛ لِأَنَّهَا أَوَّلُ الْأَرْكَانِ، وَذَلِكَ بِأَنْ يَأْتِيَ بِهَا عِنْدَ أَوَّلِهَا وَيَسْتَمِرُّ ذَاكِرًا لَهَا إلَى آخِرِهَا …وَقِيلَ: يَكْفِي( قَرْنُهَا )بِأَوَّلِهِ( بِأَنْ يَسْتَحْضِرَ مَا يَنْوِيهِ قَبْلَهُ وَلَا يَجِبُ اسْتِصْحَابُهَا إلَى آخِرِهِ، 

[7] Al-Nawawi, Yahya bin Syaraf. Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. (Kaherah: Idarah al-Taba’ah al-Munirah). Jld 3. Hlm 280.

وَاخْتَارَ إمَامُ الْحَرَمَيْنِ وَالْغَزَالِيُّ فِي الْبَسِيطِ وَغَيْرُهُ أَنَّهُ لا يَجِبُ التَّدْقِيقُ الْمَذْكُورُ فِي تَحْقِيقِ مُقَارَنَةِ النِّيَّةِ وَأَنَّهُ تَكْفِي الْمُقَارَنَةُ الْعُرْفِيَّةُ الْعَامِّيَّةُ بِحَيْثُ يُعَدُّ مُسْتَحْضِرًا لِصَلاتِهِ غَيْرَ غَافِلٍ عَنْهَا اقْتِدَاءً بِالأَوَّلِينَ فِي تَسَامُحِهِمْ فِي ذَلِكَ وَهَذَا الَّذِي اخْتَارَاهُ هُوَ الْمُخْتَارُ

[8] Ahmad Salamah al-Qalyubi & Ahmad al-Barlis ‘Umairah. Hasyiata Qalyubi wa ‘Umairah. (Beirut: Dar al-Fikr, 1995). Jld 1. Hlm 164.

وَاخْتَلَفُوا فِي الْمُرَادِ بِهِ فَقَالَ بَعْضُهُمْ: هُوَ عَدَمُ الْغَفْلَةِ بِذِكْرِ النِّيَّةِ حَالَ التَّكْبِيرِ مَعَ بَذْلِ الْمَجْهُودِ

وَقَالَ شَيْخُنَا الرَّمْلِيُّ: الْمُرَادُ بِهِ الِاكْتِفَاءُ بِاسْتِحْضَارِ مَا مَرَّ فِي جُزْءٍ مِنْ التَّكْبِيرِ أَوَّلَهُ أَوْ وَسَطَهُ أَوْ آخِرَهُ

[9] Al-Bujairimi, Sulaiman bin Muhammad. Hasyiah al-Bujairimi ala al-Khatib. (t.tp: Dar al-Fikr, 1995). Jld 2. Hlm 17.

وَإِنْ اكْتَفَى بَعْضُ الْمُتَأَخِّرِينَ بِالْأَخِيرَيْنِ لِمَا قِيلَ إنَّ الِاسْتِحْضَارَ الْحَقِيقِيَّ مَعَ الْقَرْنِ الْحَقِيقِيِّ لَا تُطِيقُهُ الطَّبِيعَةُ الْبَشَرِيَّةُ، بَلْ يَكْفِي الِاسْتِحْضَارُ الْعُرْفِيُّ مَعَ الْقَرْنِ الْعُرْفِيِّ.