Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #650 : NASAB ANAK ZINA YANG SUDAH DIPASTIKAN DNANYA

Soalan:

Mufti Wilayah Persekutuan, zaman sekarang adalah zaman teknologi dimana segala maklumat perkahwinan, kelahiran, etc didaftarkan dalam JPN. Juga ada teknologi DNA untuk menentukan hubungan anak dan bapa. Maka setiap urusan pembahagian harta ataupun urusan perkahwinan seharusnya dirujuk terlebih dahulu di JPN untuk menentukan kelayakan mereka dari segi syarak. Zaman dulu tiada database, maka peraturan atau fatwa yang ketat dilaksanakan untuk mengelakkan kekeliruan keturunan di masa akan datang. Oleh kerana zaman sekarang kita sudah mempunyai teknologi yang mampu untuk mengesahkan seseorang adalah layak dari segi syarak. Dari segi pendaftaran IC, apa salahnya dibinkan dengan nama bapa (mengikut syarat2 tertentu), tp dari segi syaraknya, setiap urusan berkenaan perkahwinan ataupun pembahagian harta, pihak majljs agama haruslah merujuk terlebih dahulu pada JPN sebagai SOP yang perlu dibuat. Mohon pendapat dari mufti berkenaan statement saya..

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Di dalam pendapat muktamad mazhab al-Syafie, air mani yang terhasil daripada persetubuhan yang tidak syarie tidak mempunyai nilai syarak. Di dalam Mughni al-Muhtaj, Imam al-Khatib al-Syirbini menyebut: “Makhluqah (perempuan) yang lahir daripada zinanya seorang lelaki, sama ada kerana zina yang disengajakan, atau bukan (seperti paksaan), sama ada diyakini ia datang daripada spermanya atau bukan, maka hukum mereka berdua adalah halal (bukan mahram) kerana dianggap ajnabi (orang asing) kerana tiada kehormatan pada sperma zina.” Rujuk Mughni al-Muhtaj (4/287).

Berkata Syeikh Muhammad al-Zuhaili hafizhahullah:

“Anak zina menjadi mahram dengan ibunya kerana tahqiq kelahirannya secara musyahadah lagi yakin daripada ibunya. Adapun anak perempuan, maka tidak menjadi mahram dengan lelaki yang berzina. Ini kerana zina itu fahisyah  (kekejian) dan haram maka tidak mensabitkan nasab secara sepakat ulama hadis, “Bagi orang yang berzina hanya batu (tiada apa-apa atau dihukum rejam)”. Tidak jua disabitkan perwarisan, tidak diterima perkataan penzina lelaki tersebut dan penyaksiannya, bahkan dia layak dikenakan hukuman rotan atau rejam, dinafikan daripada sekalian hukum hakam nasab,

Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (4/29)

Perkara ini yang seharusnya difikirkan oleh lelaki yang berzina ketika dia melakukan perbuatan terkutuk itu. Begitu juga wanita ketika membiarkan dirinya disetubuhi secara tidak halal. Sewajarnya mereka segera bertaubat, dan melangsungkan perkahwinan untuk mendapatkan persetubuhan yang halal bagi menutup keaiban yang berlaku dan menolak kemungkinan lahirnya anak hasil zina. Orang yang bertanggungjawab patut sedar perkara ini dan tidak menangguh-nangguh sehingga lahirnya anak luar nikah atau kurang enam bulan selepas pernikahan.

Apabila dilahirkan, anak tetap dianggap sebagai manusia tetapi dinafikan hak sebagai anak, faraid, dan wali perkahwinan. Secara alternatif, anak berkenaan dinasabkan kepada ibunya, wasiat boleh diberikan dan wali perkahwinan adalah wali hakim. Jika lelaki yang berzina itu berkahwin dengan ibunya, dia dianggap sebagai bapa tiri yang membolehkan mereka berdua berkhalwat, bersalaman dan mendedahkan aurat seperti hukum mahram muabbad.

Syarak tidak boleh menggadaikan kepentingan umum yakni institusi keluarga itu sendiri semata-mata kerana kesalahan beberapa individu. Nasab dan sistem keluarga perlu dipertahankan di zaman ramai orang sudah mula bersekedudukan dalam rumah sewa tanpa ikatan perkahwinan, ibu bapa sudah tidak menegur anak yang keluar bersama teman wanita atau lelaki, berkhalwat dan lain-lain sarana membawa kepada zina. Sebab itu zina disebut sebagai fahisyah benda yang keji dalam al-Quran yang perlu dijauhkan semampu kita. Kerana kesannya amat menakutkan.

Orang yang berzina perlu bertanggungjawab terhadap tindakan yang dia lakukan, dan sebagai orang Islam kita secara fardu ainnya patut tahu kesan dan tanggungjawab yang bakal dihadapi apabila kita sudah salah membuat tindakan. Justeru, tetap tidak boleh dibinkan / dibintikan anak zina dengan lelaki yang menyebabkan kelahirannya.

Dalam urusan ini, sepatutnya Jabatan Pendaftaran Negara yang patut merujuk nasihat dan pandangan ilmuwan Islam dan bukan sebaliknya.

Wallahua'lam.