Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #579 : HUKUM MENDENGAR AL-QURAN

 

Soalan: Apakah hukum jika mendengar bacaan surah al-Quran di dalam solat, hukum mendengar al-Quran di luar solat dan hukum mendengar al-Quran yang dirakam?

Jawapan:

Di sini kita perlu membezakan berkaitan dengan tiga keadaan dan situasi al-Quran yang dibaca atau diperdengarkan:

  • Bacaan al-Quran di dalam solat yang dibaca oleh imam daripada surah selain surah al-Fatihah.
  • Bacaan al-Quran secara mubasyarah (terus) di luar solat.
  • Bacaan al-Quran yang dirakam atau selainnya dan bukan yang mubasyarah (terus daripada pembaca).

 

Isu yang pertama: Bacaan al-Quran di dalam solat yang dibaca oleh imam daripada surah selain surah al-Fatihah.

Firman Allah SWT:

وَإِذَا قُرِىءَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُواْ لَهُ وَأَنصِتُواْ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Maksudnya: Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.

(Surah al-A’raf: 204)

Ibn Kathir berkata: “Allah SWT menyebutkan bahawa al-Quran merupakan basirah, petunjuk dan rahmat kepada manusia. Maka Allah SWT menyuruh manusia supaya senyap ketika mendengar bacaan al-Quran sebagai mengagungkannya dan menghormatinya tidak sepertimana yang telah dilakukan oleh orang kafir musyrikin Quraish iaitu dengan kata mereka: “Dan orang-orang yang kafir berkata: "Janganlah kamu mendengar Al-Quran ini dan tentanglah dia (dengan nyayian-nyanyian dan jeritan-jeritan riuh rendah serta tepuk sorak), supaya kamu berjaya (mengganggu bacaan atau menenggelamkan suara pembacanya)!".

Ibn Khathir berkata lagi: “Akan tetapi yang ditetapkan di sini ialah mendengar bacaan di dalam solat fardu yang dikuatkan bacaannya oleh imam, sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh imam Muslim daripada Abu Musa al-‘Asy’ari RA, bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya dijadikan imam itu untuk diikuti, jika dia bertakbir maka bertakbirlah, dan jika dia membaca (bacaan Al-Quran) maka diamlah.” Lihat Tafsir Ibn Kathir (3/484)

Imam al-Nawawi menyebut di dalam kitabnya al-Tibyan fi Adab Hamalah al-Quran: “Dan yang ditekankan di sini ialah suruhan kepada penghormatan atau pemuliaan ke atas al-Quran dalam segala urusan. Ini kerana terdapat sebahagian manusia yang lalai dan mengambil mudah dalam membaca al-Quran. Ini adalah untuk mengelakkan dari gelak ketawa (ketika bacaan al-Quran), bercakap, melainkan sesuatu yang tidak boleh dielakkan untuk berbicara.” Lihat al-Tibyan fi Adab Himlah al-Quran (92).

Ibn Qudamah dalam kitabnya al-Mughni menyebut: “Dan berkata Ahmad: “Adalah manusia (para ulama) ke atas perkara (iaitu suruhan pada ayat al-Quran di atas) ini ialah di dalam solat.” Berkata Sa’id bin Musayyib, Hasan, Ibrahim, Muhammad bin Ka’ab dan al-Zuhri: “Sesungguhnya ayat ini di turunkan perihal di bacaan di dalam solat.” Dan berkata Zaid bin Aslam dan Abu al-‘Aliah: “Adalah mereka iaitu para sahabat membaca al-Quran di belakang imam, maka turunlah ayat tersebut.” Dan telah berkata Ahmad dalam satu riwayat Abu Daud: “Telah berijma’ para ulama di atas ayat ini bahawa ianya adalah di dalam solat. Ini kerana ayat ini bersifat umum dan keumumannya merangkumi bacaan di dalam solat.” Lihat al-Mughi (1/404)

Maka hukum mendiamkan diri dan mendengar bacaan surah oleh imam di dalam solat adalah disunat dalam mazhab Syafie dan ada yang mengatakan wajib (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, jld 1, hlm 259).

 

Isu yang kedua: Bacaan al-Quran secara mubasyarah (terus) di luar solat.

Jumhur ulama menghukumkan sunat mendiamkan diri ketika mendengar al-Quran dibacakan di luar solat. Akan tetapi adalah terlebih afdhal mendengar dan menghayati bacaan al-Quran yang dibacakan.

Sebagai contoh sekiranya terdapat manusia di tepi kamu yang membacakan al-Quran sedangkan kamu membaca zikir khusus, maka tidak wajib ke atas kamu untuk senyap dan diam mendengar bacaannya. Hal ini juga sekiranya mendengar bacaan al-Quran yang membaca ayat sajdah di luar solat, adakah perlu sujud sajdah kerana telah mendengar bacaan sajdah tersebut? Maka jawabnya tidak perlu melakukan sujud sajdah.

 

Isu yang ketiga: Bacaan al-Quran yang dirakam atau selainnya dan bukan yang mubasyarah (terus daripada pembaca).

Adalah tidak syak lagi mendengar al-Quran yang dirakam, diradio atau selainnya adalah mendapat pahala dan merupakan amalan yang mulia. Lebih-lebih lagi jika difahami dan ditadabburkan maksud serta ma’ani al-Quran. Akan tetapi ianya berbeza dengan bacaan al-Quran yang dibacakan secara mubasyarah (terus) daripada pembaca. Ini kerana al-Quran yang dirakam atau seumpamanya tidak mengambil hukum sepertimana hukum al-Quran yang dibaca secara terus, sama ada hukum pada mashaf atau mendengar bacaan.

Sebagai contoh al-Quran yang terdapat di dalam perisian smartphone dengan al-Quran yang dituliskan pada mashaf. Kedua hukumnya adalah berbeza sama sekali yang mana al-Quran yang terdapat di dalam perisian smartphone atau selainnya dibolehkan untuk dipegang walaupan dalam keadaan berhadas kecil mahupun berhadas besar.

Tidak mengapa untuk tidak mendengar bacaan al-Quran yang dirakam sekiranya sibuk dengan kerja atau perkara lain. Yang mana kerja harian atau amalannya tidak memampukan dia untuk mendengar secara teliti bacaan al-Quran yang dirakam. Dan perbuatan tersebut tidak sama sekali menafikan adab dan penghormatan ke atas al-Quran.

Semoga pencerahan ini memberi kefahaman kepada kita semua. Amin.