Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN AL-FALAK SIRI KE-13 : ARAH KIBLAT DAN PIRING ASTRO

BAYAN FALAK 07 01

 

Pada zaman teknologi kini, terdapat pelbagai kaedah yang dapat digunakan untuk menentukan arah kiblat. Namun demikian, penggunaan piring astro dalam menetapkan arah kiblat didapati kurang tepat memandangkan kaedah ini tidak mempunyai sandaran yang kukuh.

Umum mengetahui, arah kiblat umat Islam dalam melaksanakan ibadat tertentu seperti solat, pengebumian jenazah, penyembelihan binatang ternakan adalah Kaabah yang terletak di Masjidil Haram. Ia telah disyariatkan berdasarkan firman Allah SWT:

وَمِنۡ حَيۡثُ خَرَجۡتَ فَوَلِّ وَجۡهَكَ شَطۡرَ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِۖ وَإِنَّهُۥ لَلۡحَقُّ مِن رَّبِّكَۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَٰفِلٍ عَمَّا تَعۡمَلُونَ

Maksudnya: "Dan dari mana sahaja engkau keluar untuk mengerjakan sembahyang, maka hadapkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram, dan sesungguhnya perintah berkiblat ke Kaabah itu adalah benar dari Tuhanmu. Dan ingatlah Allah tidak sekali-kali lalai akan segala apa yang kamu lakukan."

Surah al-Baqarah (149)

Tanggungjawab penentuan, semakan dan pengesahan arah kiblat bagi setiap masjid, surau dan premis awam di negara Malaysia dijalankan oleh Jabatan Mufti Negeri-Negeri. Di Malaysia, arahnya adalah pada sekitar bearing N 67 W hingga N 70 W atau azimut 290° hingga 293°. Jika menggunakan kompas dengan penunjuk yang ringkas, ke kanan (ke Utara) sedikit dari arah Barat sekitar 20°. (Rujuk Koleksi Kertas Kerja & Artikel Falak, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hlmn: 4)

Sikap masyarakat yang begitu prihatin dalam perkara ini telah menimbulkan persoalan sama ada piring Astro (penyedia perkhidmatan televisyen bersatelit dan radio berbayar di Malaysia) salah satu petunjuk arah kiblat. Astro ini dimiliki hak sepenuhnya oleh MEASAT Broadcast Network Systems, di bawah syarikat Astro All Asia Networks.

Menurut encik Shahrin bin Ahmad (falakonline), kedudukan sebenar piring Astro di sesuatu lokasi dapat disemak melalui sebuah laman web iaitu http://www.dishpointer.com/. Laman ini akan menunjukkan kedudukan azimut beberapa buah satelit, pengguna hanya perlu memilih bandar atau lokasi tempatan dan satelit 91.5E MEASAT 3A | MEASAT-3B.

Contoh carian rajah di bawah adalah bagi lokasi Sri Damansara. Hasil kiraan menunjukkan kedudukan azimut piring Astro di Sri Damansara ialah pada sekitar 253°, manakala arah kiblat bagi Sri Damansara 292° 32° 11º. Beza antara 'kiblat Astro' dan kiblat sebenar kira-kira 40°. Pengguna boleh membuat semakan selanjutnya berdasarkan maklumat arah kiblat menggunakan Kalkulator Falak di alamat http://www.falak.unisza.edu.my/calc/

  Lokasi

Rajah 1: Lokasi Sri Damansara

 

AppFalak

Rajah 2: Kalkulator Falak

 

Encik Ahmad Taufan Abdul Rashid dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menerangkan dalam blog beliau bahawa satelit-satelit yang digunakan kini ada dua jenis orbit, satelit di geostationary orbit yang kekal berada di longitud 91.5° Timur, dan khatulistiwa (latitud) 0°. Satu lagi pula berada di geosynchronous orbit yang berada di longitud yang sama, tetapi tidak kekal di latitud yang sama. Untuk penerima di bumi (Malaysia), piring penerima dihalakan ke arah satelit yang berada di geostationary orbit untuk menerima siaran berterusan. (Rujuk Koleksi Kertas Kerja & Artikel Falak, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hlmn: 5)

Jika diteliti, kedudukan piring Astro di setiap lokasi adalah berbeza-beza dari kiblat sebenar. Kebanyakannya arah piring Astro bukan sahaja menghala ke arah barat 270° bahkan sedikit ke kiri (ke selatan) sebagaimana contoh sebelum ini, iaitu di Sri Damansara. Pengguna boleh menyemak arah kiblat dengan menggunakan kaedah fenomena Istiwa Adzam iaitu matahari di atas Kaabah. Ia merupakan cara yang paling tepat untuk membuat semakan kiblat kediaman pada 28 Mei jam 5.16 petang atau 16 Julai jam 5.28 petang.

Kesimpulannya, kedudukan piring Astro didapati tidak menghadap tepat ke arah kiblat. Ianya hanya boleh dijadikan panduan setelah dibuat semakan dan pembetulan dari arah kiblat sebenar. Penentuan arah kiblat berdasarkan kaedah sedia ada seperti penggunaan kompas, tongkat istiwa, bayang matahari, berpandukan arah matahari terbenam adalah lebih baik dan tepat berbanding piring Astro yang berbeza-beza di setiap lokasi.