Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN AL-FALAK SIRI KE-24 : APLIKASI STELLARIUM: INOVASI DALAM PEMBELAJARAN ILMU FALAK

BAYAN FALAK 18 01 1

 

Satu kekangan yang selalu dihadapi oleh pelajar dan peminat ilmu falak ialah untuk menggambarkan angkasa dalam bentuk tiga dimensi atau 3D. Kesukaran ini menyebabkan ramai pelajar ilmu falak gagal dan seterusnya kurang berminat untuk mempelajari ilmu falak. Apatah lagi ilmu falak sering dimomokkan dengan ilmu yang melibatkan kiraan matematik yang berat-berat lalu ia menjauh khususnya dari masyarakat Islam. Sedangkan, realitinya, mempelajari ilmu falak adalah suatu pembelajaran yang menarik dan praktikal. Kita dapat memahami serta menemui banyak penemuan-penemuan yang menakjubkan yang terjadi di alam semesta ini. Namun dengan adanya kemudahan teknologi terkini seperti aplikasi Stellarium memudahkan kita untuk mempelajari ilmu falak serta dapat menggambarkan kedudukan angkasa raya dalam bentuk yang jelas dan praktikal.

Pembangunan Stellarium

Stellarium di dalam Bahasa Inggeris adalah bermaksud “peta tiga dimensi bagi kedudukan objek angkasa di mana pusatnya adalah di bumi. Ia adalah perisian normal bagi kegunaan sebuah planetarium dan menggambarkan ruang lingkup angkasa sehingga 50 tahun cahaya”[1]. Dengan kata lain, Stellarium adalah sebuah mini planetarium yang boleh digunakan oleh kebanyakan orang.

Program ini dibangunkan oleh seorang yang bernama Fabien Chéreau yang memulakan projek ini pada musim panas pada tahun 2000. Ia dibantu oleh beberapa individu yang mempunyai latar belakang dan kepakaran yang berbeza dalam pelbagai bidang seperti astronomi, Information Technology(IT), perisian komputer, planetarium dan lain-lain. Antara nama terlibat seperti Alexander Wolf, Georg Zotti, Teresa Huertas Roldán dan lain-lain[2].

Aplikasi ini boleh dimuat turun secara percuma melalui website https://stellarium.org/ dan versi terbaru ialah versi 0.22.2.

 Kemudahan Stellarium

Aplikasi Stellarium ini adalah perisian komputer yang membolehkan orang menggunakan komputer rumah mereka sebagai planetarium maya. Ia menghitung kedudukan matahari, bulan, planet dan bintang serta dapat menggambarkan bagaimana langit akan dapat dilihat oleh pemerhati bergantung pada lokasi dan waktunya[3]. Ia juga dapat menggambarkan buruj dan simulasi fenomena astronomi seperti hujan meteor, komet dan gerhana matahari atau bulan.

Stellarium ini juga boleh digunakan sebagai alat pendidikan untuk mengajar tentang langit malam. Ia juga sebagai alat bantuan bagi para astronomi amatur untuk memerhati dan mengamati keindahan malam di samping menggunakan teleskop untuk melihat mana-mana objek yang disasarkan. Memandangkan grafik yang dihasilkan oleh Stellarium amat berkualiti, ia boleh dijadikan sebagai produk projektor yang sebenar bagi kegunaan planetarium dan juga muzium astronomi. Beberapa kumpulan pengkaji astronomi amatur telah menggunakan aplikasi ini untuk memeta langit setempat bagi dijadikan artikel untuk dimuatkan dalam buletin dan majalah[4].

Selain daripada memaparkan hampir 600,000 bintang dengan tambahan katalog 177 juta bintang, lebih dari 80,000 objek angkasa dan berpuluh kumpulan bintang, galaksi dan buruj, Stellarium juga berfungsi memberi maklumat ‘matematik’ setiap objek langit seperti jarak, kecondongan, right ascension (RA), azimut, magnitud dan sebagainya.

Lebih menarik, aplikasi ini boleh digunakan dengan peralatan moden seperti projektor “fisheye” yang boleh menjimatkan banyak kos terutama kepada peminat-peminat astronomi.

Kesimpulan

Sememangnya, aplikasi Stellarium amat sesuai untuk pembelajaran ilmu falak. Ia menggabungkan aspek astronomi, ukur, geografi, matematik, (IT) dalam satu platform yang sama. Yang paling penting, ia dapat mengatasi halangan utama dalam pembelajaran ilmu falak iaitu kesukaran menggambarkan bentuk langit dan pergerakan objek langit-langit dalam bentuk paparan tiga dimensi (3D). Wallahua’lam.

Rujukan

[1] https://dbpedia.org/page/Stellarium, Ogos 2022.

[2] Zotti, G., Hoffmann, S. M., Wolf, A., Chéreau, F., & Chéreau, G. (2021). The simulated sky: Stellarium for cultural astronomy research. arXiv preprint arXiv:2104.01019.

[3] Hughes, S. (2008). Stellarium-a valuable resource for teaching astronomy in the classroom and beyond. Science Education News (SEN), 57(2), 83-86.

[4] Zotti, G., Hoffmann, S. M., Wolf, A., Chéreau, F., & Chéreau, G. (2021). The simulated sky: Stellarium for cultural astronomy research. arXiv preprint arXiv:2104.01019.