Mukadimah
Alhamdulillah pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Setelah sekian lama kalimah wasatiyyah selalu disebut dan dinyatakan dalam pelbagai pentas dan media massa tetapi pada saat yang sama mafhum al-wasatiyyah sentiasa menjadi perbincangan dengan pelbagai andaian serta makna mengikut kadar kefahaman masing-masing. Justeru, kami terpanggil untuk mengemukakan Bayan Linnas pada kali ini dengan tajuk Mafhum Wasatiyyah Dan Ummatan Wasatan. Semoga dengan pencerahan ini memberi maksud kepada kita makna dan mafhum wasatiyyah itu sendiri dengan lebih baik.
Guru kami, Fadhilah al-Syeikh al-Ustaz Dr. Muhammad Abd al-Latif al-Farfur di dalam bukunya al-Wasatiyyah fi al-Islam[1] (الوسطية في الإسلام) berkata: “Tiadalah di sana yang lebih baik di sisi ahli akal, lebih indah, lebih cantik dan lebih manis daripada tawassut (pertengahan atau sederhana) dalam semua perkara.”
Dengan ini penyair-penyair dan pakar sastera memuji dan bermadah dalam bait-bait syair mereka seperti sesungguhnya yang memuji binatang tunggangan yang memungkinkan nilai di atas.
إذا رحلْتُ فاجعلُونِي وَسَطا
إنِّي كبِيرٌ لا اُطِيقُ العنَّدَا
“Jika aku bermusafir jadilah aku di tengah,
Sesungguhnya aku yang tua tidak mampu ke tepi.”
Benarlah sabda Rasulullah SAW:
خَيْرُ الأُمورِ أوساطُهَا
Maksudnya: “Sebaik-baik perkara itu ialah pertengahannya.”
Riwayat al-Baihaqi dalam Sunannya (6319)
dan dalam Syu’ab al-Iman (3888)
Imam al-Munawi berkata: “Yang tidak berat sebelah kerana pertengahan adalah adil bagi semua pihak dan sudut. Begitu juga terbaik pada sesuatu. Sedangkan kerugian serta luputnya apabila membawa kepada condong.” (Lihat al-Taisir bi Syarh al-Jami’ al-Saghir, 1/480)
Inilah juga yang dijadikan kaedah dalam pertimbangan adat, uruf dan lain-lain dalam urusan akhirat, tasyri’ Islami, aqidah sahih yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan para sahabatnya.
Inilah thawabit kehidupan seperti juga thawabit Islam.
Takrif Wasatiy
Terdapat dua takrif, dari segi bahasa dan istilah.
Pertama: Bahasa
- Pada bahasa seperti kata Ibn Manzur dalam kitabnya Lisan al-Arab (hlm. 7/426) ialah: “Pertengahan sesuatu yang berada di antara dua kedudukan.”
- Dalam Asas al-Balaghah (hlm. 498) ialah dengan maksud terbaik. Daripadanya juga dengan maksud bersederhana seperti nafkah.
- Mengikut al-Qamus al-Muhit (2/391) pula, wasat dengan makna paling adil dan terbaik.
Dalam bahasa yang mudah, kalimah wasatiy memberi makna adil, terbaik dan pertengahan atau seimbang.
Kedua: Istilah
Sama seperti makna bahasa, kecuali ulama’ menyebut tawassut merupakan keadaan yang dipuji pada ghalibnya yang berdiri di atas asas akal insani yang sejahtera dengan fitrah dan menyelamatkannya daripada cenderung kepada melampau atau cuai. (Lihat al-Wasatiyyah fi al-Islam, hlm. 27)
Benarlah kata-kata Imam Abu Ishaq al-Shatibi di dalam al-Muwafaqat (3/163): “Wasat merupakan sebesar-besar syariat dan Ummu al-Kitab”
Ini berdasarkan dalil-dalil al-Quran antaranya, firman Allah SWT:
قُلِ ادْعُوا اللَّـهَ أَوِ ادْعُوا الرَّحْمَـٰنَ ۖ أَيًّا مَّا تَدْعُوا فَلَهُ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَىٰ ۚ وَلَا تَجْهَرْ بِصَلَاتِكَ وَلَا تُخَافِتْ بِهَا وَابْتَغِ بَيْنَ ذَٰلِكَ سَبِيلًا
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Serulah nama " Allah" atau nama "Ar-Rahman", yang mana sahaja kamu serukan (dari kedua-dua nama itu adalah baik belaka); kerana Allah mempunyai banyak nama-nama yang baik serta mulia". Dan janganlah engkau nyaringkan bacaan doa atau sembahyangmu, juga janganlah engkau perlahankannya, dan gunakanlah sahaja satu cara yang sederhana antara itu.”
(Surah al-Isra’: 110)
Ayat ini menunjukkan pertengahan ketika berdoa dengan tidak meninggikan suara atau amat perlahan. Justeru, itulah yang terbaik.
Takrif Ummatan Wasata
Berdasarkan nas al-Quran dan juga lughah, maka dapatlah dinyatakan pengertian Ummatan Wasata ini dengan pilihan Allah SWT bagi umat Islam yang wasat sebagai kemuliaan dan calon pilihan-Nya, di samping mempunyai ciri-ciri keistimewaan yang unggul yang membezakan umat ini dengan yang lain kerana Allah SWT yang lebih mengetahui risalah-Nya dan firman-Nya:
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ
Maksudnya: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).”
(Surah Ali Imran: 110)
Rahmat Allah SWT yang luas setiap sesuatu yang dibina atas asas-asas, dihalakan dengan keistimewaan yang bersifat sentiasa kebersamaan selayaknya, justeru layaklah mereka dengan kemuliaan dan kemajuan.
Inilah tawassuf dan shahadah yang datang daripadanya ini membawa kepada kesempurnaan hayat keseluruhannya dalam dua benteng duniawi dan ukhrawi. Ini kerana tawassuf di dunia yang berlangsung hingga hari akhirat.
Ibn al-Arabi berkata: “Yang dimaksudkan dengan wasatan dari segi bahasa ialah al-khiyar iaitu adil. Sebahagian ulama' mengatakan: Wasatan diambil daripada kata wastu al-Syai' (terbaik) bukannya daripada wastu yang membawa maksud pertemuan antara dua bahagian (iaitu pertengahan). Hal ini disebabkan umat ini ialah umat yang terakhir. Oleh itu yang dimaksudkan dengan wastu di sini ialah terbaik dan adil. Ini dibuktikan melalui firman Allah SWT pada ayat sambungannya yang bermaksud: “Supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.”
Dalam ayat ini Allah SWT memberitahu tentang nikmat yang dikurniakan kepada kita iaitu memuliakan kita dengan gelaran adil dan menjadikan kita sebagai umat yang menjadi saksi terhadap semua makhluk. Lalu Allah SWT menjadikan kita berada pada tempat terawal walaupun kita umat yang terakhir dari sudut zaman. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
نَحْنُ الآخِرُونَ السَّابِقُونَ
Maksudnya: “Kamilah orang yang terkemudian dan terdahulu.”
Riwayat al-Bukhari (238) dan Muslim (855)
Ini menunjukkan bahawa yang menjadi saksi ialah orang yang adil. Sesuatu tindakan tidak dilaksanakan terhadap orang lain melainkan melalui penyaksian orang lain yang adil. Nabi SAW bersabda:
إنَّ أُمَّتِيْ يَومَ الْقِيَامَةِ عَلَى كُومٍ، مُشْرِفِينَ عَلَى الْخَلائِقِ، مَا مِنَ النَّاسِ أَحَدٌ إِلاَّ وَدًّا أَنَّهُ مِنَّا، وَمَا مِنْ نَبِيٍّ كَذَّبَهُ قَوْمُهُ إِلاَّ وَنَحْنُ نَشْهَدُ أَنَّهُ قَدْ بَلَّغَ رَسَالَةَ رَبِّهِ عَزَّوَجَلَّ.
Maksudnya: “Sesungguhnya umat aku pada hari kiamat pada tempat yang tinggi dari sekalian makhluk, tiada di kalangan manusia seorang pun melainkan bercita-cita untuk menjadi sebahagian daripada kami, dan tiada daripada Nabi yang didustakan kecuali kami bersaksi bahawa sesungguhnya dia menyampaikan risalah Tuhannya Azza wa Jalla.”
Disebut dalam al-Ahkam al-Syar’iyyah al-Kubra (3/385)
oleh al-Isybili daripada jalur Ibn Jarir al-Tabari,
daripada Jarir bin Abdillah R.A.
Di samping itu, mesti dimuqaddimahkan dengan ini di dunia yang mengumumkan bagi umatnya sebagai semulia-mulia sifat dan sikap. Inilah yang mempengaruhi ditambah dengan kemuliaan akhlak yang bersifat dengan golongan pilihan daripada seluruh umat. Ini kerana tidak diterima akal penyaksi yang ketinggalan daripada taraf yang disaksikan ke atasnya.
Begitulah wasatiyah Islam pada permulaannya. Wasatiyah hadhariah serta syahadah umatnya atas setiap umat manusia di dunia sebelum berakhirnya di akhirat.
Yang sedemikian adalah modul perjalanannya yang istimewa di dunia sama ada ilmu, kefahaman dan akhlak. Dengan tasawwuf mempunyai keadilan antara kefahaman dan akal, dengan keselariannya antara pertimbangan rohani dan maddi.
Tafsiran Ayat Ummatan Wasata
Firman Allah SWT:
وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِّتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا
Maksudnya: “Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.”
(Surah al-Baqarah: 143)
Tafsiran ulama’ berkenaan Ummatan Wasata (أُمَّةً وَسَطًا):
- Imam Ibn Kathir dalam Tafsirnya (1/290) berkata: “Kata wasath di sini dengan maksud pilihan yang terbaik. Contohnya solat wustha adalah solat yang terbaik iaitu Solat Asar.”
- Al-Samarqandi dalam Tafsirnya Bahr al-‘Ulum (1/164) berkata: “Maksud al-Wasat ialah yang terbaik di kalangan mereka dan yang paling adil.”
- Ibn Jarir al-Tabari dalam Jami’ al-Bayan (2/626) berkata: “Kalimah umat wasata antara lain memberi maksud sebaik-baik perkara adalah pertengahan. Lebih dari yang dituntut adalah melampau dan kurang daripadanya merupakan kecuaian. Kedua-duanya adalah keji dan hina.”
- Imam al-Nasafi dalam Madarik al-Tanzil wa Haqa’iq al-Ta’wil (1/80) menaqalkan pendapat Syeikh Abu Mansur yang berkata: “Ayat ini menunjukkan ijma’ (iaitu kesepakatan ulama’ di kalangan umat Muhammad dalam perkara agama pada salah satu masa selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW) sebagai hujah kerana Allah SWT sifatkan umat ini dengan keadilan dan orang yang adil sahaja yang berhak untuk menjadi saksi dan diterimanya, apabila mereka bersepakat atas sesuatu dan menjadi saksi dengannya, maka wajiblah diterimanya.”
- Al-Maraghi dalam Tafsir al-Maraghi (1/276) berkata: Sesungguhnya Kami menjadikan kaum muslimin ini sebagai umat terbaik dan adil memandangkan mereka ini golongan yang berada di tengah-tengah, bukan golongan yang melampaui batas agama. Sebenarnya terdapat dua kategori manusia sebelum Islam:
- Pertama: Golongan Materialis (pengikut fahaman kebendaan). Mereka hanya memerhatikan soal-soal kebendaan semata-mata seperti orang Yahudi dan orang musyrik.
- Kedua: Golongan yang memberatkan diri dengan kehidupan batin secara melulu (semata-mata) dan meninggalkan kelazatan duniawi, seperti orang Nasrani, al-Sabi’ah, Wathani, Hindu dan golongan al-Riyadat. Lalu Islam datang menyatukan antara dua hak tersebut, iaitu hak rohani dan jasmani dengan memberikan segala hak kemanusiaan kepada orang Islam. Ini disebabkan manusia terdiri daripada roh dan jasmani, atau boleh dikatakan bahawa: Manusia itu adalah haiwan dan malaikat, oleh itu ia akan menjadi sempurna apabila kedua-dua haknya itu diberi sekaligus.
Pendapat Sayyid Qutb Berkenaan Ummatan Wasatan
Kami sengaja nukilkan kenyataan beliau melalui kitab Fi Zilal al-Quran (1/295) kerana huraiannya cukup lengkap. Katanya:
Iaitu umat Muslimin adalah umat yang adil yang menjadi saksi terhadap seluruh umat manusia dan menegakkan keadilan di antara mereka, menetapkan neraca-neraca pertimbangan dan nilai-nilai, memberi fikiran dan pandangan yang muktamad kepada mereka, menimbangkan nilai-nilai, pemikiran-pemikiran, kefahaman-kefahaman mereka, adat-adat resam dan lambang-lambang mereka dan memberi keputusan-keputusan kepada mereka dengan mengatakan ini benar dan itu tidak benar, bukannya fikiran-fikiran, nilai-nilai, neraca-neraca dan ukuran-ukuran yang diterima dari manusia.
Mereka adalah satu umat yang adil dari segi kefahaman dan kepercayaan. Mereka tidak melampau-lampau dalam kemurnian rohani dan tidak pula melampau di dalam kebendaan, mereka mengikut fitrah semulajadi yang diwakili oleh roh yang disalut dengan jasad atau oleh jasad yang disalut oleh roh. Mereka memberi kepada diri mereka yang mempunyai dua tenaga itu haknya yang sempurna dengan bekalan masing-masing. Mereka bekerja untuk memaju dan meningkatkan hayat dan kelanjutannya. Mereka melepaskan segala kegiatan di dalam perasaan dan keinginan tanpa keterlaluan, malah secara sederhana dan selaras.
Mereka adalah satu umat yang adil dari segi pemikiran dan perasaan. Mereka tidak membeku dengan pengetahuan-pengetahuan yang diketahui mereka dan menutup segala pintu ujian dan ilmu pengetahuan yang lain. Mereka tidak terikut-ikut kepada setiap penyeru dan meniru orang lain seperti beruk yang lucu, malah mereka berpegang teguh dengan kefahaman-kefahaman, cara-cara dan dasar-dasar berfikir yang ada pada mereka. Mereka mengkaji dengan teliti segala hasil pemikiran dan ujian. Cogan kata mereka yang kekal ialah “hakikat itu barang hilang orang Mukmin, di mana sahaja mereka temui hakikat itu mereka akan mengambilnya dengan penuh keyakinan.”
Mereka adalah satu umat yang adil dari segi penyusunan dan penyelarasan. Mereka tidak membiarkan seluruh hidup ini kepada perasaan dan hati manusia sahaja dan tidak pula membiarkannya kepada kuasa undang-undang dan hukuman sahaja, malah mereka meningkatkan hati nurani manusia dengan bimbingan dan pendidikan, dan menjaga kesejahteraan masyarakat dengan undang-undang. Mereka tidak menyerahkan manusia kepada kekuasaan dan hukuman pemerintah dan tidak pula menyerah mereka kepada ilham hati nurani semata-mata malah mereka mencampurkan di antara keduanya.
Mereka adalah satu umat yang adil dari segi penyusunan dan penyelarasan. Mereka tidak membiarkan seluruh hidup ini kepada perasaan dan hati manusia sahaja dan tidak membiarkannya kepada kuasa undang-undang dan hukuman sahaja, malah mereka meningkatkan hati nurani manusia dengan bimbingan dan pendidikan dan menjaga kesejahteraan masyarakat dengan undang-undang dan hukuman dan mencampurkan di antara bimbingan dan undang-undang. Mereka tidak menyerahkan manusia kepada kekuasaan dan hukuman perintah dan tidak pula menyerah mereka kepada ilham hati nurani semata-mata malah mereka mencampurkan di antara keduanya. Mereka adalah satu umat yang adil dari segi pertalian-pertalian dan hubungan-hubungan. Mereka tidak mengabaikan sakhsiah individu dan nilai-nilainya dan tidak pula menghapuskan sakhsiah individu di dalam sakhsiah kelompok atau negara. Mereka tidak menjadikan individu itu bebas lepas, mementingkan diri sendiri, tamak haloba dan menjaga faedah diri sendiri sahaja, malah mereka membebaskan motif-motif dan tenaga-tenaga manusia sekadar yang boleh membawa manusia kepada harakat-harakat kemajuan dan kesuburan, dan membebaskan keinginan-keinginan dan ciri-ciri manusia sekadar yang boleh menegakkan sakhsiah individu dan kewujudannya, kemudian mereka memasang pengawal-pengawal yang dapat menghalangkan keterlaluan dan memberi motivasi-motivasi yang boleh menggalakkan individu untuk berkhidmat kepada masyarakat. Mereka menetapkan tugas-tugs dan kewajipan-kewajipan yang dapat menjadikan individu berkhidmat kepada masyarakat dan masyarakat berkhidmat kepada individu dalam satu bentuk hubungan yang selaras dan harmoni.
Mereka adalah satu umat yang adil dari segi tempat, mereka mendiami kawasan-kawasan pusat dan tengah-tengah bumi. Sehingga ke saat ini, umat yang mendiami di bumi yang diselubungi nur Islam ialah umat yang mendiami di kawasan-kawasan di tengah bumi di antara timur dan barat dan di antara selatan dan utara. Dengan kedudukan yang sedemikian umat Islam masih menjadikan diri mereka sebagai saksi terhadap seluruh manusia. Mereka memberi apa yang ada pada mereka kepada seluruh penduduk bumi dan dengan perantaraan mereka dipindahkan hasil-hasil alam dan hasil-hasil rohani dan pemikiran dari satu tempat ke satu tempat. Merekalah yang memegang teraju pergerakan ini dengan baik dari segi kebendaannya mahupun dari segi kerohaniannya.
Mereka adalah satu umat yang pertengahan dari segi zaman. Kelahiran mereka menamatkan zaman kebudakan manusia sebelumnya dan selepas itu merekalah yang menjadi pegawal zaman kematangan akal manusia. Mereka berada di pertengahan zaman, di mana mereka membersih umat manusia dari kepercayaan yang karut dan khurafat yang masih terlekat pada mereka sejak dari zaman kebudakan mereka. Merekalah yang menghalang umat manusia dari tersesat dengan akal dan hawa nafsu mereka. Merekalah yang mengahwinkan di antara warisan rohani dari zaman-zaman para rasul dengan hasil-hasil pencapaian akal manusia yang terus berkembang subur itu. Merekalah yang dapat membimbing umat manusia ke jalan yang lurus di antara warisan rohani dan pencapaian akal.
Lima Noktah Penting
Kami meminjam kata-kata guru kami, Dr. Syeikh Muhammad Abdul Latif al-Farfur di dalam bukunya al-Wasatiyah fi al-Islam, terdapat lima noktah berhubung dengan wasatiyah:
Pertama: Tawassut Islami ialah keadilan antara wujdani dan aqli yang selari serta serasi antara rohaniah dan maddiah, jama'iyah dan fardiyah. Ia merupakan rahsia manhajnya yang khas dalam kehidupan sama ada secara ilmu manhaj dan akhlak. Justeru, ia menjadi model dan contoh kepada sekalian manusia yang diseru ke arahnya.
Kedua: Tawassut merupakan asas pada umumnya syariah dan segala juzuknya sama ada dalam akidah, usul, furu', qawaid fiqhiyah dan nizam iqtisadi. Tambahan daripada itu ia merupakan asal yang thabit termasuk dalam thawabit hayah dan juga thawabit Islam.
Ketiga: Teori nisbah merupakan asal dalam Islam antara amalan dan taklif. Ia merupakan senyata-nyata asas teori wasatiyah dan sepenting-pentingnya.
Keempat: Tawassut dalam Islam merupakan asal dan kaedah cenderung kepada salah satu dari pihaknya sama ada berlebihan atau berkurangan pada hukum tasyri'. Jika didapati ia hanyalah dalam masalah pengecualian dengan sebab darurat atau keperluan dan baginya sebab-sebabnya. Ia akan hilang dengan hilang sebab tersebut.
Kelima: Setiap yang melampau atau cuai adalah ditolak dalam syariat dan juga akal. Ia bukan daripada Islam begitu juga dari logik insani yang sejahtera.
Akhirnya penulis menutup perbahasan ini dengan meminjam kata-kata al-Imam Abu Ishaq al-Syatibi al-Lakhmi al-Gharnathi:
فَالوَسَطُ هُوَ مُعظَمُ الشَّرِيعَةِ وَأُمُّ الكِتَابِ
Maksudnya: Wasat merupakan sebesar-besar syariah dan ummu al-Kitab.
Penutup
Kami berpendapat apabila disebut ummatan wasatan dan dibahaskan wasatiyyah makanya beberapa perkara perlu diberi kecaknaan kerana ia menepati maksud wasatiyyah.
Pertama: Istiqamah.
Inilah tafsiran wasatiyyah oleh sebahagian ulama’. Rasulullah SAW pernah bersabda:
قُلْ: آمَنْت بِاَللَّهِ ثُمَّ اسْتَقِمْ
Maksudnya: “Katakanlah aku beriman kepada Allah. Kemudian beristiqamahlah.”
Riwayat Muslim (38), Ahmad (5/371),
al-Baihaqi (1/76) dan al-Daraqutni (3/45)
Hadis ini juga menggesa supaya segala kebaikan atau amalan termasuk pekerjaan dan perkhidmatan yang dilakukan hendaklah dalam istiqamah dengan menghindarkan segala sifat-sifat mazmumah seperti malas, putus asa, semangat yang seketika dan mudah luntur kerana ia boleh menafikan maksud dan matlamat istiqamah. (Lihat al-Kafi, hlm. 208)
Antara bentuk istiqamah itu, beriltizam dengan agama Islam yang sebenar.
Kedua: Menghindari daripada sifat melampau.
Sabda Rasulullah SAW:
وَإِيَّاكُمْ وَالْغُلُوَ فَإِنَّمَا أَهْلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمُ الْغُلُوُ فِى الدِّينِ
Maksudnya: “Dan awasilah kamu daripada sifat melampau kerana sesungguhnya telah binasa sebelum kamu dengan sifat melampau dalam beragama.”
Riwayat al-Baihaqi dalam Sunannya (9806)
Perkataan melampau atau ghuluw adalah melepasi batasan Allah yang boleh terjadi dalam beragama dengan pelbagai sebab antaranya:
- Kerana bersungguh cuba mempertahankan agama tanpa ilmu pengetahuan yang sebenar dan semata-mata mencapai kemenangan dengan kedudukan yang tinggi dalam agama.
- Kerana salah faham berkenaan dengan hakikat agama seperti ijtihad yang melampau dengan taksub kepada dirinya atau ketuanya.
- Kerana cinta dan loba untuk menguasai tempat yang mulia dan suci di sisi orang awam. Mereka menyangkakan dengan beragama maka mereka akan sampai ke tahap yang mereka inginkan.
Dengan meminjam kata-kata Dr. Muhammad Imarah dalam bukunya Manhaj Islah Imam Muhammad Abduh antara lain menyebut
"Pada wasatiyah Islam itu terdapat ciri dan bahagian yang dikira sebagai paling khusus dan tersendiri dalam manhaj Islam itu sendiri. Hal ini membezakannya dengan semua manhaj lain kerana kepelbagaian mazhab, syariat dan falsafahnya.Dengan kepelbagaian tersebut, tamadun Islam terbentuk dengan aneka nilai,ciri,asas dan cabang-cabangnya sehingga kita boleh mengatakan bahawa seseungguhnya wasatiyah jika dilihat dalam kerangka manhaj Islami dan tamadunnya, merupakan lensa kameranya yang paling gemerlap untuk memantulkan cahaya dan menghasilkan konsep idea dan pandangannya yang lengkap sebagai satu manhaj paradigma dan perspektif kehidupan."
Lihat Manhaj Islah Imam Muhammad Abduh (hlm 16-17)
Semoga kehidupan yang kita bina biarlah benar-benar bersifat wasatiy dalam mafhum yang menyeluruh dengan maksud mengutamakan terbaik, keadilan, istiqamah, dan sifat memelihara kehidupan dengan cara yang membina keharmonian dan ketenangan sama ada pada dirinya sendiri atau pada masyarakat sehingga tidak dilihat dalam bentuk takalluf, ekstrem dan melampau.
Akhukum fillah,
SS Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
Isnin, 7 Mei 2018.
[1] Bahth ‘Ilmi ini telah dikemukakan dan dibentangkan oleh beliau di Multaqa al-Fikr al-Islami yang ke-22 di Republik Algeria yang bersidang pada 17 – 23 Muharram 1409 Hijrah bersamaan 30 Ogos – 5 September 1988 Masihi dengan tajuk Umat Islam: Kesatuannya dan Wasatiyyahnya. Kemudian ia telah diangkat menjadi sebuah buku dengan tajuk seperti di atas yang diterbitkan oleh Dar al-Nafa’is cetakan Beirut, Lubnan dengan cetakan pertama pada 1414 Hijrah bersamaan 1992 Masihi.